Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja bantu majikan ambil pekerja berkualiti, tingkat operasi

HULU LANGAT, 13 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan program Jelajah Selangor Bekerja 2021 membantu majikan menggajikan bakal pekerja berkualiti dalam membantu memulihkan operasi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Pegawai pengambilan pekerja Safeguards G4S Sdn Bhd berkata pembukaan lebih banyak sektor ekonomi pada masa kini memerlukan syarikat mencari lebih ramai pekerja untuk menampung keperluan operasi syarikat.

Menurut Ummar Mohd Nasir, ramai peserta yang hadir pada program itu mempunyai kelayakan dan memberi pilihan kepada syarikat memilih yang terbaik.

“Setakat ini kami sudah menawarkan pekerjaan kepada 15 individu dalam tiga jelajah program dan berharap dapat mengambil seramai mungkin untuk menampung operasi.

“Gaji ditawarkan sehingga RM2,600 yang turut termasuk elaun, untuk mereka tiada pengalaman kami akan sediakan latihan,” katanya.

Ummar berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat hari ini.

Sebanyak 31 majikan menawarkan lebih 1,000 pekerjaan pada program itu.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 400 dapat kerja di Jelajah Selangor Bekerja setakat ini

HULU LANGAT, 13 NOV: Lebih 400 individu mendapat pekerjaan pada program Jejalah Selangor Bekerja menerusi tiga siri jejalah setakat ini.

Ketua penolong setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata lebih 500 orang pula menerima panggilan temu duga buat kali kedua.

Muhamad Faiz Mohamed Yusof

Menurut Muhamad Faiz Mohamed Yusof, pihaknya berharap lebih ramai pencari kerja dapat dibantu dalam baki tiga siri jelajah termasuk di Dewan Demesne di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat hari ini.

“Setakat ini program berkenaan berjaya menarik lebih 3,000 peserta yang membuat pendaftaran di laman sesawang www.selangorbekerja.com.my dan datang terus.

“Kita menjemput mereka yang ingin mencari kerja supaya hadir dalam program seterusnya di Paya Jaras (Sungai Buloh) dan Dewan Jubli Perak, SUK,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

  • 20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
  • 27 November: Dewan Jubli Perak, SUK
Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja di Hulu Selangor esok

SHAH ALAM, 5 NOV: Siri Jelajah Selangor Bekerja dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor esok yang boleh disertai melalui pautan http://www.selangorbekerja.com.my.

Siri jelajah seterusnya di Dewan Meranti, Paya Jaras, Petaling pada 20 November ini. Sebelum ini ia berlangsung di Shah Alam dan Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober lalu.

Isnin lalu, EXCO Generasi Muda dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 239 individu diterima bekerja dalam dua siri program tersebut.

Jelajah Selangor Bekerja mensasarkan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja menyertai program itu.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja pusing Hulu Selangor Sabtu ini

SHAH ALAM, 2 NOV: Dua siri Jelajah Selangor Bekerja diteruskan ke daerah Hulu Selangor dan Petaling, masing-masing pada 6 dan 20 November.

Program di Hulu Selangor dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu manakala Petaling membabitkan Dewan Meranti, Paya Jaras.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my.

Semalam, EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 239 individu diterima bekerja dalam dua siri program di Shah Alam dan Kuala Selangor, Oktober lalu.

Sementara 513 daripada keseluruhan 1,108 peserta layak untuk temu duga kedua bagi memenuhi sasaran menurunkan kadar pengangguran kepada 3.7 peratus tahun depan.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program berkenaan yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

239 orang dapat kerja dalam dua siri Jelajah Selangor Bekerja

SHAH ALAM, 1 NOV: Seramai 239 individu diterima bekerja dalam dua siri penganjuran Jelajah Selangor Bekerja di Shah Alam dan Kuala Selangor pada 23 dan 30 Oktober.

Sementara 513 daripada keseluruhan 1,108 peserta layak untuk temu duga kedua, kata EXCO Generasi Muda dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman.

“Sasaran Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar pengganguran dari 4.4 peratus tahun ini kepada 3.7 peratus pada 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 55 majikan menyertai dua siri jelajah berkenaan dan antara syarikat yang mengambil pekerja ialah UMW Toyota dan Proton.

Mohd Khairuddin berkata dua lagi siri Jelajah Selangor Bekerja akan diadakan di Hulu Selangor dan Petaling, masing-masing pada 6 dan 20 November.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program berkenaan yang dijadual antara 23 Oktober hingga 27 November melibatkan beberapa daerah.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pautan www.selangorbekerja.com.my.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja bantu belia luar bandar tingkat potensi

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Jelajah Selangor Bekerja membantu golongan muda di luar bandar mendapat pekerjaan lebih baik dan meningkatkan potensi diri, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata selain tawaran gaji berpatutan majikan terbabit dalam program itu turut menyediakan faedah serta kemudahan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan latihan.

Menurutnya tawaran itu satu peluang baik perlu direbut anak muda luar bandar berbanding hanya menunggu menyebabkan mereka terus berada di takuk sama.

“Kerja itu mampu mengenal pasti potensi mereka untuk dikembangkan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan.

“Akhirnya mereka dapat bantu keluarga di kampung bagi menikmati kehidupan lebih baik,” katanya selepas meninjau program Jejalah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu

13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat

20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh

27 November: Dewan Jubli Perak, SUK

Categories
AGENSI SELANGOR

Majikan iktiraf Jelajah Selangor Bekerja, bantu syarikat kembang operasi

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Majikan menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri menganjurkan Jejajah Selangor Bekerja membantu syarikat mengembangkan operasi dengan menyediakan tenaga kerja.

Pengarah kanan Pembangunan Manusia dan Pengurusan Proton Holdings Berhad (Proton) berkata pihaknya yang mempunyai dua kilang pengeluaran di Shah Alam dan Tanjung Malim, Perak sentiasa memerlukan pekerja untuk memenuhi permintaan.

Menurut Amran Mohd Tomin, program berkenaan adalah salah satu platform dan Proton menyokongnya dengan menyertai enam jelajah yang bermula 23 Oktober lalu.

“Program ini juga bukan sahaja buka peluang kerja kepada warga Selangor tetapi bantu tingkat kemahiran pekerja kerana kebanyakan syarikat terbabit termasuk Proton menyediakan latihan.

“Kita ucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari atas kejayaan menganjurkan program baik ini,” katanya ditemui pada Jejalah Selangor Bekerja di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Amran turut menjelaskan Proton sudah menawarkan kerja kepada sebilangan peserta program tersebut yang difahamkan akan melapor diri dalam masa terdekat selepas lulus ujian kesihatan.

Pengurus Besar Restoran Tony Romas Hakim Yit Abdullah. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Pengurus Besar Restoran Tony Romas Hakim Yit Abdullah pula berkata Jelajah Selangor Bekerja memberi peluang kepada majikan mendapatkan lebih ramai pekerja di lokasi lain seperti di Kuala Selangor.

“Mungkin di bandar ramai mengetahui jenama Tony Romas tetapi agak baharu di luar bandar, pendedahan seperti ini baik buat kami untuk mencari bakat baharu.

“Ini kali pertama kami sertai program ini dan sambutannya agak baik,” katanya.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berlangsung secara hibrid, hampir 200 syarikat menyertai siri jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.

Tarikh dan lokasi jelajah seterusnya seperti berikut:

1. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)
2. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)
3. Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November)
4. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja bantu remaja capai impian cebur bidang automotif

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Percubaan pertama seorang remaja menyertai Jelajah Selangor Bekerja menemui kejayaan apabila ditawar sebagai operator pengeluaran di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

Lebih menggembirakan buat Syed Nazrey Syed Hussin, 23, dari Sabak Bernam, pekerjaan ditawar syarikat multinasional itu memenuhi impiannya menceburi bidang automotif.

Lulusan kejuruteraan pertanian yang kini mencari rezeki sebagai pramusaji, beliau gembira kerana hasratnya bekerja dalam bidang selaras kelulusannya tercapai selepas beberapa kali mencuba.

“Ini kali pertama saya sertai Jelajah Selangor Bekerja dan tidak sangka cepat sahaja ditawarkan lebih-lebih dengan syarikat besar seperti Proton.

“Banyak manfaat diberikan seperti gaji menarik, hostel dan latihan untuk kami meningkatkan diri,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Sebanyak 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB pelawa penduduk Kuala Selangor sertai karnival kerjaya esok

SHAH ALAM, 29 OKT: Penduduk Kuala Selangor dan kawasan sekitar dipelawa menyertai Jelajah Selangor Bekerja 2021 bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) esok.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan di seluruh negeri.

“Inisiatif ini dianjurkan membantu mereka yang terkesan dengan pandemik dan bagi mengurangkan kadar pengangguran.

“Sebanyak 19 syarikat akan terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa,” katanya menerusi Facebook.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 mensasarkan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja menyertai program itu dengan mendaftar di laman sesawang http://www.selangorbekerja.com.my.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.

Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:

30 Oktober: Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Bandar Baru Kuala Selangor
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
27 November: Dewan Jubli Perak, SUK

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja: 76 individu dapat kerja, 228 temu duga kali kedua

SHAH ALAM, 28 OKT: Seramai 76 individu diterima bekerja menerusi program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, Ahad lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata selain itu, seramai 228 individu dipanggil menghadiri sesi temu duga kali kedua.

“Seramai 464 orang hadir dalam program ini manakala 40 majikan daripada syarikat ternama termasuk sektor aeroangkasa turut terlibat.

“Kita yakin lebih ramai bakal mendapat kerja terutama mereka yang dipanggil menghadiri temu duga kali kedua,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap golongan graduan, penganggur dan individu kehilangan kerja supaya mengambil peluang menyertai program dengan mendaftar di laman sesawang www.selangorbekerja.com.my.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November.

Berlangsung secara hibrid, hampir 200 syarikat menyertai siri jelajah di Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petali

Tarikh dan lokasi jelajah seterusnya seperti berikut:

1. Dewan MPKS, Bandar Baru Kuala Selangor (30 Oktober)

2. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)

3. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)

4. Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buluh (20 November)

5. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)

Categories
AGENDA NASIONAL

Cari kerja baharu untuk dekat dengan keluarga, tambah simpanan

SHAH ALAM, 23 OKT: Tuntutan kerja sebagai juruteknik di kilang memproses alat perubatan di Pulau Pinang memaksa Mohd Farid Munawar berpisah dengan keluarganya di Klang.

Jawatan itu diterima selepas dia diberhentikan kerja sebagai penyelia syarikat aeroangkasa di Subang awal tahun ini selepas lebih tiga tahun berkhidmat.

Mengakui berjauhan bersama orang tersayang bukan perkara mudah, Mohd Farid, 46, berkata sebahagian gajinya habis ketika pulang bertemu keluarga sekali gus mengekang hasratnya untuk menabung.

Bagaimanapun, penganjuran Jelajah Selangor Bekerja 2021 di Dewan Jubli Perak di sini membuka ruang buatnya mencuba nasib mencari kerja baharu supaya dapat kembali menetap di negeri ini.

“Sebab itu saya cuba cari kerja di Selangor supaya dapat tinggal bersama keluarga dan berjimat. Bila dengar program ini, saya terus daftar untuk mencuba nasib,” katanya ditemui hari ini.

Dia antara ribuan peserta program tersebut yang menawarkan hampir 3,000 peluang kerja dari 40 majikan pelbagai sektor termasuk aeroangkasa.

Sementara itu, graduan Kolej Universiti Islam Selangor Nor Syazwani Zulkefli, 22, menyifatkan inisiatif itu memudahkan individu yang berdepan masalah kurang mendapat maklumat kerja.

“Dalam program ini kita lihat banyak peluang kerja dalam satu plaftorm, tidak perlu susah payah. Saya berharap ia dapat diteruskan kerana ramai individu memerlukan kerja,” katanya yang berasal dari Sabak Bernam.

Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang dijadual bermula 23 Oktober hingga 27 November menawarkan lebih 25,000 peluang kerja secara hibrid di seluruh negeri.

Anggaran masa pencari kerja semasa di ruang temu duga tidak lebih sejam selain perlu mempamerkan bukti vaksinasi lengkap dan mendaftar masuk melalui MySejahtera atau SELangkah.

Berikut tarikh dan lokasi jelajah:

1. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (23 Oktober)
2. Stadium Tertutup, Kuala Selangor (30 Oktober)
3. Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu (6 November)
4. Dewan Demesne, Hulu Langat (13 November)
5. Dewan Meranti, Paya Jaras (20 November)
6. Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor (27 November)

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Sasar turun pengangguran bawah empat peratus

SHAH ALAM, 12 OKT: Kadar pengangguran di Selangor dijangka turun bawah empat peratus pada tahun depan susulan 25,000 peluang pekerjaan bakal diisi menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2021.

EXCO pembangunan generasi muda berkata kadar pengangguran direkodkan setakat suku kedua tahun ini pada paras 4.4 peratus bersamaan 165,000 penganggur.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan sektor paling terjejas antaranya teknologi maklumat, pembinaan, perkhidmatan, teknikal dan profesional.

“Kerajaan Negeri melihat pengangguran sebagai satu perkara yang harus diselesaikan, jadi kita akan berusaha capai paras bawah empat peratus sekiranya 25,000 peluang pekerjaan itu dipenuhi.

“Paling penting dalam program Selangor Bekerja, rakyat boleh hadir untuk sesi temu duga dan mereka akan dipadankan dengan pekerjaan,” katanya selepas melancarkan program di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan golongan belia.

Baginda turut bertitah kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.9 peratus pada 2020 berbanding 2019, 3.9 peratus.

DYMM tuanku bertitah walaupun terdapat sedikit pertumbuhan pada awal tahun, namun kadar itu kembali meningkat kepada 4.8 peratus selepas 40,600 individu hilang pekerjaan pada Jun 2021.