Categories
AGENSI SELANGOR

Jelajah Selangor Xtiv buka rezeki, ubati rindu penggiat seni

KUALA LANGAT, 6 MAC: Program Jelajah Selangor Xtiv 2022 membuka rezeki buat penggiat seni tanah air dan sekali gus mengubat kerinduan mereka selepas diuji pandemik Covid-19.

Penghibur legenda era 1960-an Datuk Jeffrydin, 76, berkata selepas penularan wabak, beliau tidak lagi menerima jemputan persembahan daripada mana-mana pihak lebih dua tahun sekali gus menjejaskan pendapatannya.

“Pada kali ini, isteri memaklumkan ada jemputan tetapi langsung tidak memberitahu di mana. Saya juga terkejut kerana dinyatakan perlu bermalam di sekitar Morib selepas persembahan.

“Saya tidak sangka tetapi bersyukur kerana dibukakan pintu rezeki walaupun tidak banyak. Ini persembahan secara bersemuka pertama saya hadir dan masih dihargai penganjur majlis,” katanya kepada SelangorKini.

Penghibur legenda, Datuk Jeffrydin mengadakan persembahan ketika majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 5 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambahnya, beliau kini dalam perancangan untuk merakam enam buah lagu baharu yang dimuatkan dalam satu album.

Bagi Wan Lestari, 54, jemputan diterima dalam program itu tidak disangka dan teruja untuk membuat persembahan.

“Walaupun Covid-19 masih melanda, program berjalan dengan lancar mengikut ketetapan. Jelajah Selangor ini bukan sahaja di Morib tetapi seluruh negeri apabila diberi peluang.

“Saya juga berbangga kerana mendapati konsep rock masih diterima dalam kalangan masyarakat,” katanya yang popular dengan lagu Sekelip Mata Kau Berubah.

Terdahulu, Jelajah Selangor XTIV 2022 diadakan di Dataran Morib di sini semalam dirasmikan EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 dilancar, cari bakat baharu e-sukan

KUALA LANGAT, 6 MAC: Kerajaan Negeri melancarkan Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 khusus untuk belia dalam usaha merapatkan hubungan dengan golongan tersebut selain mencari bakat pemain e-sukan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata golongan belia merupakan aset penting yang perlu diberi perhatian menerusi pelbagai aktiviti sukan serta pembangunan.

“Program ini adalah yang pertama untuk generasi muda dan perlu diteruskan kerana belia sudah lama tidak ada aktiviti jelajah seperti ini selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menerusi jelajah ini banyak program dianjurkan yang dapat mencungkil bakat golongan belia seperti silat dan beberapa pertandingan e-sukan lain. Insya-Allah selepas ini jelajah akan dibawa ke daerah lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian dan pelancaran Jelajah Selangor Xtiv Virtual 2022 di Dataran Morib di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin.

Tambahnya, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran jelajah kali pertama ini namun perlu ditingkatkan lagi dengan penglibatan pelbagai pihak antaranya persatuan e-sukan, motosikal dan beyblade.

“Contohnya apabila kita buka beyblade, kita perlu ada modul bagaimana hendak rekrut peminat sukan ini supaya mereka boleh masuk ke pertandingan lebih besar lagi,” katanya.

Selangor memperkenal program e-sukan sesuai dengan trend baharu menerusi  program Xtiv Virtual sejak 2020 dengan lebih 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Acara dipertandingkan termasuk PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Selangor satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan sukan secara maya berskala besar berserta hadiah.