Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Haji bersedia pastikan urusan jemaah haji lancar

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Meskipun ibadah haji ditangguhkan dua kali akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia, Tabung Haji (TH) tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi pandemik dan perkembangan semasa di Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata perancangan dan persiapan itu telah dilaksanakan sejak musim haji 2020 sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Beliau berkata ia termasuk melaksanakan kursus haji kepada bakal jemaah secara dalam talian iaitu sebanyak 14 siri termasuk tambahan satu siri khusus menekankan tatacara operasi piawai (SOP) baharu di Arab Saudi serta hukum hakam ibadat haji dalam suasana semasa penularan wabak Covid-19.

Katanya TH juga giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos Covid-19 seperti yang dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki tanah suci.

Selain itu TH juga telah melaksanakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pada tahun terdahulu yang menekankan istitha’ah atau kemampuan menunaikan haji dalam situasi wabak.

“Dalam muzakarah ini penting untuk kita memperhalusi dan memberi ketetapan ibadah haji dalam norma baharu dengan melihat kepada kekangan pergerakan dan terhalang semasa melaksanakan ibadah sekiranya berlaku penularan wabak semasa melaksanakan haji,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Syed Saleh berkata TH juga telah melaksanakan perjumpaan dengan pihak pengendali operasi di tanah air melibatkan stesen berlepas dan mengadakan bengkel bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapat panduan serta memastikan SOP petugas dan protokol kesihatan dijaga.

Beliau berkata pasukan kesihatan KKM akan ditempatkan di lapan stesen berlepas di Malaysia bagi memantau kesihatan jemaah sebelum berangkat ke tanah suci, selain TH juga akan menambah jumlah petugas kesihatan terutama pasukan kesihatan awam untuk ditempatkan di tiga lokasi utama iaitu di Jeddah, Madinah dan Mekah.

“Kebiasaannya pada musim haji sebelum ini, kita mempunyai 260 petugas perubatan daripada pelbagai kategori termasuk doktor pakar, jururawat dan ahli farmasi, namun disebabkan Covid-19, kita perlu menambah sekurang-kurangnya 30 lagi petugas kesihatan untuk menguruskan keselamatan dan kesihatan jemaah haji,” katanya.

Tambah beliau, langkah itu turut mengambil kira kemudahan isolasi di hotel penginapan, penyediaan peralatan perubatan seperti ventilator dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta ubat-ubatan.

Malah sebagai persediaan, TH telah menjalankan perancangan senario dengan memperincikan tindakan yang perlu diambil pada setiap peringkat aktiviti haji di tanah air dan tanah suci dengan pelbagai senario yang mungkin dihadapi sepanjang operasi haji.

Petugas juga dibekalkan dengan latihan, ilmu dan persiapan mental secukupnya untuk menghadapi situasi norma baharu dalam menjaga nyawa jemaah haji, sekali gus bersedia menjadi petugas barisan hadapan apabila musim haji tiba.

“Sekiranya berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah haji Malaysia, pertamanya kita akan tertakluk kepada SOP daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan itu kita akan lihat apa SOP mereka berdasarkan perkembangan semasa Covid-19.

“Keduanya, kita perlu menilai jangkitan Covid-19 iaitu sekiranya pada tahap satu dan dua kita boleh kendalikan sendiri di hospital kita dahulu melainkan tahap empat dan lima yang memerlukan kemudahan di ICU, maka kita akan hantar ke hospital Arab Saudi,” katanya.

Kos haji dijangka akan meningkat dengan sebahagian besar berkait rapat dengan penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Beliau berkata ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos-kos lain di Malaysia dan Arab Saudi.

“Saya lihat ini memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini sahaja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, melibatkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan tawaf dan saie sahaja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Mekah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, jadi bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini,” katanya. Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari,’ katanya.

Beliau berkata dari segi perkhidmatan, bagi memudahkan para jemaah, TH juga akan melancarkan TH Hujjaj pada musim haji akan datang, iaitu aplikasi yang memuatkan pelbagai maklumat penting untuk jemaah haji membuat rujukan dan panduan mengenai ibadah haji, kesihatan dan waktu solat sekali gus melancarkan pengurusan jemaah.

Di samping itu platform e-Taib (Talian Ibadah–Pusat Panggilan) akan diteruskan bagi membolehkan jemaah haji mendapatkan penjelasan dan bimbingan kepada persoalan ibadah haji dengan pantas dan berkesan melalui aplikasi WhatsApp.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah haji diberi vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca seperti yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkaitan perkara itu.

“Menerusi perbincangan ini, semua jemaah akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sekiranya bekalan mencukupi, sekiranya tidak, vaksin AstraZeneca akan digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah, Zulkifli berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ibadah itu.

Arab Saudi ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadah haji dan umrah musim ini dan negara itu hanya mengiktiraf vaksin Covid-19 jenama Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bakal jemaah haji diberi keutamaan terima vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 29 MAC: Bakal jemaah haji Malaysia tahun ini akan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin Covod-19, apabila kerajaan Arab Saudi menetapkannya sebagai syarat wajib, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi Covid-19 di sini hari ini Khairy berkata, Tabung Haji akan mengemukakan senarai jemaah haji mengikut jadual setelah mendapat keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menyediakan vaksin kepada jemaah haji jika ditetapkan sebagai wajib oleh kerajaan Arab Saudi.

“Apabila kita dapat ketetapan bahawa ia adalah wajib, kita akan bekerjasama dengan Tabung Haji untuk melihat kepada senarai yang diluluskan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini, supaya mereka diutamakan dalam pemberian vaksin,” katanya.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah, sebelum ini dilaporkan berkata vaksinasi Covid-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah haji dalam keadaan baik – Arab Saudi

MINA, 30 JULAI: Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata status kesihatan jemaah haji dalam keadaan baik dan setakat ini tiada kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan jemaah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pembantu Menteri Kesihatan dan jurucakap kementerian, Dr Mohammed Al-Abdulaali, berkata demikian pada taklimat media harian untuk musim haji tahun ini di Mekah.

Dr Al-Abdulaali merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota atas keprihatinan yang diberikan terhadap jemaah.

Beliau berkata tahun ini, kementerian bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan kesihatan sebaik mungkin dengan menyediakan beberapa kemudahan di kawasan suci itu.

Antara kemudahan itu termasuk enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan petugas di lapangan serta hospital lapangan, klinik bergerak dan tiga klinik di kediaman jemaah.

Kementerian juga melantik seorang ketua kesihatan bagi setiap kumpulan jemaah.

Dr Al-Abdulaali juga menyeru jemaah dan petugas mematuhi semua langkah pencegahan, termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Giliran jemaah haji tahun ini dibawa ke tahun depan

SHAH ALAM, 11 JUN: Giliran bagi jemaah yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini akan dibawa ke tahun depan, kata menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun depan pula akan melaksanakan ibadah tersebut pada tahun berikutnya.

“Kita akan cuba melakukan sebaik mungkin bagi memastikan giliran haji berjalan lancar. Namun individu yang rayuan haji pada tahun ini telah diluluskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ia perlu melakukan proses rayuan baharu pada tahun depan,” katanya pada sidang media di
Putrajaya hari ini.

Malaysia memutuskan tidak menghantar jemaah menunaikan haji pada tahun ini.

Pada setiap tahun kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul bagi menunaikan rukun Islam kelima yang dijadualkan bermula akhir Julai ini.

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

SHAH ALAM, 11 JUN: Malaysia memutuskan tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini, kata menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia selaras tuntutan agama iaitu mengelak melakukan perkara yang boleh memudaratkan atau kerosakan kepada diri dan negara.

“Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia bagi musim haji ditangguhkan ke tahun depan dan keputusan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan perkara ini dan saya berharap semua bakal haji bersabar dan reda dengan keputusan penangguhan ibadat haji tahun ini,” katanya.

Zulkifli berkata keputusan tersebut diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan TH serta perbincangan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada Selasa lalu.

“Saya juga akan bertemu Duta Arab Saudi di Malaysia untuk menyerahkan surat rasmi penangguhan haji malah negara seperti Kemboja, Indonesia, Brunei dan Singapura turut ambil keputusan sama,” katanya.

Berhubung penambahan kuota tahun depan berikutan penangguhan tahun ini, Zulkifli berkata perkara tersebut bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga penularan Covid-19 dikawal.

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia batal hantar jemaah haji tahun ini

JAKARTA, 2 JUN: Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia, memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji bagi tahun 1441 Hijrah.

Menteri Agama Indonesia Facrul Razi dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pandemik Covid-19 ketika ini masih mengancam penduduk seluruh dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Pada tahun lepas, kuota jemaah haji dari Indonesia adalah berjumlah lebih 231,000 jemaah.

“Selain soal keselamatan, kebijakan (dasar) ini diambil kerana, hingga saat ini Arab Saudi masih belum membuka akses layanan Penyelenggaraan Ibadah Haji 1441H/2020M.

“Akibatnya, pemerintah Indonesia (pasti) tidak memiliki cukup waktu untuk melakukan persiapan, bagi penghantaran jemaah haji (untuk tahun ini sekiranya ibadah haji dibenarkan Arab Saudi),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kumpulan terakhir: 475 jemaah haji selamat pulang

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 475 jemaah selamat pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 4.10 pagi tadi.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu keseluruhan seramai 30,173 jemaah haji Malaysia selamat pulang, manakala 24 jemaah haji telah meninggal dunia di Tanah Suci dan tiga lagi jemaah haji Malaysia sedang mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi.

“Para jemaah tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah pada pada 1.58 petang waktu Arab Saudi, 12 Sept. Ketibaan kumpulan terakhir ini menandakan berakhirnya Operasi Haji TH bagi Musim 1440H/2019M,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, keseluruhannya operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan rata-rata jemaah haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadah haji mereka dengan sempurna.

“TH ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, satu sesi post-mortem akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan bagi musim haji akan datang.

“Surat tawaran untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441H/2020M dijadualkan akan dikeluarkan bermula November ini secara berperingkat. TH menasihati para pendeposit untuk mengemas kini maklumat masing-masing dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan.

“Ini bagi mengelakkan surat tawaran haji tidak diterima kerana kesilapan alamat dan butiran peribadi yang tidak dikemaskini,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan pulang pertama jemaah haji Malaysia tiba Isnin ini

MAKKAH, 15 OGOS: Penerbangan pulang pertama jemaah haji Malaysia dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.50 petang waktu Malaysia, pada Isnin ini (19 Ogos), kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata, penerbangan itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini pada 1.10 pagi waktu tempatan atau 6.10 pagi waktu Malaysia.

Katanya, penerbangan balik terakhir jemaah haji Malaysia adalah 1 tengah hari waktu tempatan atau 6 petang waktu Malaysia pada 12 September ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah.

“Penerbangan terakhir itu dijangka tiba di KLIA pada hari Jumaat, 13 September pada 3 pagi (waktu Malaysia),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Penerbangan pulang pertama itu akan membawa seramai 483 jemaah haji Malaysia dan sebanyak 69 penerbangan akan terbabit dalam operasi membawa pulang jemaah itu.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Syed Saleh berkata, jemaah haji yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz membabitkan penerbangan antara 18 Julai hingga 5 Ogos, akan dibawa ke Madinah bermula Jumaat ini (23 Ogos) selepas solat Jumaat.

Beliau berkata, semua jemaah haji Malaysia selamat pulang ke Makkah dari Mina pada 10.50 pagi, semalam waktu tempatan atau 3.50 petang semalam waktu Malaysia setelah menyelesaikan ibadah melontar jamrah.

“Alhamdulillah jemaah haji telah selesaikan tunaikan tawaf dan sai’ haji. Bagi operasi haji untuk tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perjalanan musim haji tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

79 jemaah haji sakit dibawa melakukan ibadat wukuf

MAKKAH, 12 OGOS: Seramai 79 orang jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini telah dibawa melakukan ibadat wukuf di Arafah melalui program Safari Wukuf pada Sabtu

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pesakit itu yang dalam keadaan sedar dibawa seketika untuk berada di Arafah selepas masuknya waktu wukuf menggunakan ambulans dan bas-bas khas bagi membolehkan mereka melaksanakan rukun kedua haji itu.

Wukuf bermaksud berhenti dan berada di Arafah sebentar atau seketika dalam apa juga keadaan.

Fuziah berkata, sembilan jemaah haji Malaysia meninggal dunia ketika mengerjakan ibadat haji setakat ini dengan kematian terbaharu melibatkan seorang jemaah wanita semalam.

Beliau berkata, jemaah itu Faridah Abdul Latip, 65, dari Kuala Rompin, Pahang itu meninggal dunia akibat serangan jantung selepas melakukan ibadat melontar di jamrah pukul 7.05 malam tadi waktu tempatan atau 12.05 tengah malam waktu Malaysia.

“Jemaah tersebut meninggal dalam perjalanan balik ke khemah dan terkena serangan jantung di terowong Muassim dan disahkan meninggal dunia,” kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai enam jemaah haji yang sedang dirawat di hospital Arab Saudi di sini sedang dalam kritikal di mana kebanyakan mereka menghidap penyakit seperti masalah jantung, jangkitan kuman di paru-paru serta penyakit tibi dan ada dalam keadaan koma.

Katanya, pihak hospital Arab Saudi menyediakan rawatan dan jagaan terbaik buat mereka.

“Mereka ini mempunyai sejarah penyakit berkenaan sejak dari tanah air dan dengan keadaan di sini yang amat mencabar daya tahan mereka berkurangan.

“Pihak hospital Arab Saudi sedang merawat mereka sebaik mungkin, namun terpulang kepada keluarga hendak bawa mereka pulang atau sebaliknya,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH termasuk rombongan perubatan terdiri daripada 23 orang doktor pakar, 38 doktor dan 226 lain-lain anggota perubatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah haji diingat elak perbuatan khurafat di Tanah Suci

MAKKAH, 7 OGOS: Perbuatan khurafat dilakukan jemaah haji di Tanah Suci terutama ketika ibadat Masyair adalah perbuatan sia-sia sebaliknya mereka perlu mengamalkan doa kepada Allah, kata Pengarah Operasi (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah.

Memberikan contoh, beliau berkata, perbuatan khurafat seperti menanam wang untuk dijadikan ibu duit di Arafah bagi menambah rezeki adalah sia-sia kerana doa bagi memohon bertambah rezeki di sini terutama di hadapan Kaabah di Masjidil Haram dan ketika ibadat Masyair di Muzdalifah adalah mustajab.

“Orang kita buat (khurafat) nak kaya, bekerja nak naik pangkat, nelayan atau petani nak hasil banyak semua itu dia buat nak tambah rezeki, tetapi dalam hal ini kenapa buat khurafat sedangkan di sini kalau nak rezeki banyakkan doa dan ibadat seperti solat sunat duha kepada Allah.

“Masalah jemaah haji buat khurafat ini ada tetapi tidak ramai. Ada laporan (jemaah) ambil tali khemah, ambil kerak nasi, tanam duit, bawa duit pergi tawaf jadikan ibu duit … semua itu buat kononnya nak kaya, kalau nak kaya doalah kepada Allah,” katanya pada sidang media tentang ibadat Masyair di sini hari ini.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Tengku Aziz berkata, khurafat itu membawa kepada perbuatan syirik kepada Allah yang mana mereka yang melakukan syirik itu tidak akan dapat masuk syurga, justeru jemaah haji dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada melakukan perkara khurafat dan syirik itu.

Justeru, katanya, TH telah meminta jemaah haji meninggalkan perbuatan itu, bersama perbuatan dimurkai Allah lain seperti sihir, susuk dan saka sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci ini, dan fokus kepada ibadat serta doa mereka kepada Allah di sini.

“Apabila sampai di Arafah mereka (jemaah haji) dalam keadaan ihram. Mereka dalam keadaan keampunan Allah maka penuhkan dengan ibadat, Arafah ini hari keampunan daripada Allah, yang mana Allah dekat dengan kita, malah malaikat akan aminkan doa kita.

“Buat perancangan supaya diri penuh amal ibadat, buat ibadat tersusun ada perancangan dan matlamat seperti selesai baca al-Quran. Hindar perbuatan seperti berswafoto selalu atau habiskan masa sia-sia, bukan tidak boleh ambil gambar tetapi berpada-pada,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Runding saiz khemah Arafah, Mina bagi keselesaan jemaah haji

MAKKAH, 5 OGOS: Saiz khemah lebih besar di Arafah dan Mina antara penambahbaikan yang wajar dirunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselesaan jemaah haji Malaysia mengerjakan ibadat Masyair.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ruang yang selesa amat penting kerana jemaah haji akan menghabiskan masa selama empat hari untuk ibadat Masyair di kawasan itu.

“Ruang di Mina kita lihat kira-kira 7.2 kaki persegi (0.67 meter persegi) (untuk seorang jemaah), ruang ini kira juga daripada mula ke akhir Masyair itu dalam masa empat hari.

“Ruang agak tidak cukup, kurang daripada 2 kaki x 7 kaki. Kita boleh runding tetapi kawasan itu diwartakan macam itu,” katanya pada sidang media selepas melawat jemaah haji dan meninjau operasi haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Makkah di Abraj Janadriyah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof; Anggota Lembaga Pengarah TH, Datuk Ahamed Basheer Mohd Hussain dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Untuk rekod, di Arafah sebanyak 151 khemah dengan luas binaan keseluruhan 34,520 meter persegi dibina untuk jemaah haji Malaysia, manakala di Mina sebanyak 403 khemah dengan luas binaan keseluruhan 25,314 meter persegi dibina.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Sementara itu, Fuziah berkata bagi menyelesaikan isu senarai menunggu haji yang panjang, bermula tahun ini mereka yang telah mengerjakan haji tidak akan dibenarkan mendaftar semula untuk mengerjakan haji untuk kali kedua.

“Kita faham isu warga emas menunggu terlalu lama untuk mengerjakan haji jadi kita timbang pelbagai cara (selesai masalah) untuk mempercepatkan giliran menunggu, cabaran itu besar tetapi Anggota Lembaga Pengarah (TH) komited untuk menyelesaikannya,” katanya.

Mengulas mengenai operasi haji tahun ini, beliau berkata TH wajar dipuji kerana berjaya memastikan operasi haji tahun ini berjalan lancar dan inisiatif seperti Makkah Route diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Malaysia dipilih untuk Makkah Route ini sejak tiga tahun lalu kerana pengurusan haji kita adalah yang terbaik yang mana amat memudahkan jemaah, saya lihat ambil masa amat singkat untuk proses imigresen jemaah haji kita,” katanya.

-BERNAMA