Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan jemaah tabligh Malaysia pulang dari India

PUTRAJAYA, 24 OKT: Sembilan jemaah tabligh selamat tiba dari India semalam melalui penerbangan Air India Express, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin berkata dua daripada mereka menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang, manakala tujuh lagi menaiki penerbangan Air India Express dari Tiruchirappalli, India dan selamat tiba di KLIA pada pukul 6.58 petang.

“Dengan kepulangan sembilan ahli jemaah ini, Kementerian Luar berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai lepas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin, sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga hari ini, masih terdapat 19 ahli jemaah tabligh yang berada di India di mana daripada jumlah ini, 10 individu yang berada di New Delhi selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

“Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

“Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli jemaah tabligh yang masih berada di negara itu.

Kamarudin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

40 jemaah tabligh terkandas di India tiba hari ini

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 40 jemaah tabligh yang terkandas di India dijadual tiba di tanah air hari ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka antara yang gagal pulang melalui penerbangan misi kemanusiaan pada 17 Julai lalu.

“Mereka pulang menggunakan penerbangan Air India Express dan mengambil kira faktor risiko jangkitan dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Bangi.

“Pusat kuarantin diselia petugas Kementerian Kesihatan dan dikawal ketat polis. Pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan melawat dan semua pihak diminta mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, seramai 62 jemaah tabligh dibawa pulang dalam misi kemanusiaan menggunakan penerbangan sewa khas Malindo Air yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Mereka antara 96 rakyat Malaysia termasuk kakitangan kedutaan serta rakyat Malaysia yang terkandas disebabkan lapangan terbang di India ditutup.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 22,869 individu disaring di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa dan 22,791 daripadanya negatif Covid-19 serta menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Separuh positif Covid-19 di Sabah babit jemaah tabligh

SHAH ALAM, 23 MAC: Sabah giat mengesan jemaah menyertai ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling kerana separuh daripada kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri itu adalah dari kumpulan berkaitan, kata pengarah kesihatan negeri.

Datuk Dr Christina Rundi berkata setakat ini 83 daripada 158 kes adalah peserta perhimpunan pada 24 Februari lalu manakala 71 pula mempunyai kontak rapat dengan mereka.

“Siasatan, kawalan dan pencegahan masih giat dilaksanakan supaya wabak ini tidak terus menular,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Malaysia merekodkan 1,306 pesakit positif Covid-19, 10 meninggal dunia dan 45 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rayu jemaah tabligh jalani saringan

SHAH ALAM, 20 MAC: Jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh baru-baru ini diminta segera menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengekang penularan Covid-19, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Rayuan kepada peserta yang belum melakukan pemeriksaan segera hadir ke fasiliti kesihatan atau hubungi pejabat kesihatan berhampiran,” kata KKM dalam satu mesej dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Setakat 12 tengah hari semalam, KKM mengesahkan 110 pesakit positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 900 kes dengan 63 daripadanya berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Berdasarkan maklumat pengesanan kluster kes Covid-19 di masjid berkenaan sehingga semalam, seramai 10,650 peserta tabligh berjaya dikesan membabitkan 40 markas.

Daripada jumlah itu, 10,553 sudah diperiksa dengan 4,986 sampel diambil dan 513 disahkan positif serta 2,559 negatif manakala jadual menunjukkan 659 orang dimasukkan ke hospital selain 6,627 lagi di dalam pemantauan di rumah masing-masing.

Daripada keseluruhan kes itu, 109 dicatatkan di Perlis dengan tujuh orang disahkan positif diikuti Kedah (323 kes, 31 positif), Pulau Pinang (143 kes, 28 positif), Perak (577 kes, 28 positif) dan Selangor (1,924 kes, 40 positif).

Seramai pula 262 diperiksa di Negeri Sembilan dengan 33 positif, Melaka (371 kes, 17 positif), Johor (1,276 kes, 53 positif), Pahang (894 kes, 29 positif), Terengganu (364 kes, 10 positif), Kelantan (614 kes, 28 positif), Sarawak (656 kes, 38 positif), Sabah (1,805 kes, 91 positif), Kuala Lumpur dan Putrajaya (764 kes, 75 positif) serta Labuan (41 kes, lima positif).

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Jemaah tabligh mesti tampil segera buat pemeriksaan

SHAH ALAM, 19 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru ahli jemaah tabligh yang belum tampil untuk diperiksa berbuat demikian bagi mengekang penularan Covid-10, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 4,986 sampel diambil daripada jemaah tabligh dan 513 positif wabak sehingga 12 tengah malam tadi.

Katanya setakat ini seramai 10,553 ahli jemaah tabligh yang hadir majlis perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling telah diperiksa dengan 2,559 disahkan negatif.

KKM turut memaklumkan 659 ahli jemaah ditahan di wad manakala 6,627 menjalani kuarantin di rumah.

Pada 17 Mac lalu dua kematian pertama direkodkan di Malaysia dan salah satunya membabitkan jemaah tabligh berumur 34 tahun di Johor Bharu selepas dikesan positif Covid-19 lima hari sebelumnya.