Categories
AGENDA NASIONAL

Za’ba berjuang menerusi penulisan, bermula guna pelepah pisang

JEMPOL, 25 JULAI: Pendeta Za’ba cukup dikenali sebagai seorang sasterawan, ahli bahasa, ahli falsafah, tokoh politik dan pemikir ekonomi yang banyak memberi sumbangan besar kepada kemajuan bangsa dan negara.

Bahkan, pemilik nama sebenar Tan Sri Zainal Abidin Ahmad itu tidak lelah menyuntik semangat juang anak bangsa ketika memperjuangkan kemerdekaan negara dan banyak hasil penulisannya masih kekal segar sehingga kini.

Menceritakan perihal tokoh berkenaan, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Dr Shamsuddin Ahmad dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini berkata ketokohan Pendeta Za’ba bermula daripada penulisan di atas pelepah pisang.

“Sejak kecil Pendeta Za’ba suka menulis di atas pelepah pisang menggunakan ranting kayu yang dijadikan sebagai pensel, ayahnya yang memerhati dari jauh mendapati anaknya itu boleh menulis lalu menghadiahkan sekeping batu kepadanya.

“Bermula daripada sekeping kalam batu itulah Pendeta Za’ba mula belajar menulis tulisan jawi dan mengasah bakatnya dalam penulisan,” katanya dan menambah kalam batu berusia lebih 100 tahun dibingkaikan dengan kayu itu boleh disaksikan di ruang pameran Teratak Za’ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir di sini.

Rentetan peristiwa itu, pemikiran tokoh berkenaan yang jauh melangkaui zamannya serta berfikiran luar daripada kebiasaan berbanding kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu, menjadi pencetus semangat kepadanya untuk menghasilkan penulisan yang membawa kesedaran betapa pentingnya ilmu dan pendidikan kepada kemajuan rakyat.

Penulisan yang dihasilkan itu turut disiarkan di akhbar dan majalah tempatan seperti Utusan Melayu dan Lembaga Melayu malah beliau turut menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu.

Dilahirkan pada 16 Sept 1895 di Kampung Bukit Kerdas, iaitu kira-kira 62 tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, Pendeta Za’ba yang mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Batu Kikir, Jempol pada 1907 kata Shamsuddin, merupakan seorang yang lantang memberi kritikan terhadap pentadbiran kolonial Inggeris.

“Beliau juga turut terlibat dalam kegiatan politik bagi menyatukan suara-suara orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

“Pendeta Za’ba pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor dan bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya, kemudian lahirnya Umno.

“Melalui usaha ini, kewujudan suara orang Melayu dapat disatukan di bawah satu pertubuhan bagi menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris,” kata Shamsuddin.

Beliau berkata keperibadian tokoh yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu yang amat mencintai bidang keilmuan, turut menyumbang kepada wujudnya sistem bahasa Melayu moden sebagai wadah kepada penyatuan semangat perpaduan negara.

“Sumbangan beliau dalam bahasa Melayu moden membuahkan hasil apabila sistem pendidikan kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sekali gus menjadikan ia sebagai bahasa pengantara dan perpaduan,” katanya.

Merupakan antara sebilangan kecil anak Melayu yang berasal dari kampung namun berjaya menempatkan diri dalam bidang profesional, Pendeta Za’ba memulakan kerjaya sebagai guru di English College, Johor Bahru pada 1916 sebelum bertukar ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak pada 1918.

Beliau kemudiannya menjadi pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental dan African Studies di University of London pada 1947 sebelum menjadi Pensyarah Kanan dan juga Ketua Jabatan Pengajian Melayu pertama di Universiti Malaya, Singapura pada 1953.

Pendeta Za’ba meninggal dunia ketika berusia 78 tahun pada 23 Okt 1973.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Guan Eng : Kurangkan Pendakwaan Politik Tambah Polis Tempur Jenayah

LOGO POLIS BARU-EDIT

SHAH ALAM 30 JULAI : Serangan terhadap seorang aktivis anti-jenayah dan tokoh institusi kewangan negara oleh pembunuh bersenjata api haruslah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menambah nisbah anggota polis dalam memerangi jenayah daripada 14.2 peratus ke 50 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata polis haruslah diberi kuasa untuk memberi tumpuan terhadap membanteras jenayah berbanding menyintip pergerakan ahli politik.

Katanya berdasarkan statistik yang diberikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat, hanya 14.2 peratus daripada jumlah 112,583 anggota ditugaskan untuk memerangi jenayah.

Iaitu Jabatan Siasatan Jenayah mempunyai 10,150 anggota (9 peratus), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik – 4,224 anggota (3.8 peratus) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – 1,663 (1.4 peratus).

Guan Eng berkata, Kementerian Dalam Negeri enggan mendedahkan jumlah anggota yang ditugaskan di dalam Cawangan Khas.

“Ia tidak boleh diterima bahawa hanya 9 peratus daripada anggota polis terlibat secara langsung dalam membanteras jenayah di jalanan.

?Malah jika termasuk anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, jumlahnya hanya 14.2 peratus.

“Bilangan anggota polis yang terlibat dalam membanteras jenayah tidak harus 14.2 peratus tetapi mesti sekurang-kurangnya 50 peratus.

?Dalam erti kata lain perlu ada sekurang-kurangnya 56,000 anggota polis berpakaian seragam berkawal di jalan-jalan dan bukan 16,037 anggota polis sahaja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam Pengasas Arab Malaysia, Hussain Ahmad Najadi ditembak mati di sebuah tempat letak kereta di Jalan Raja Chulan oleh seorang lelaki, ketika beliau dan isteri dipercayai berjalan keluar dari tokong Cina Kuan Yin.

Sabtu lalu pula, pengerusi NGO anti-jenayah Malaysian Crime Watch Task Force (MyWATCH) Sri Sanjeevan Ramakrishnan cedera parah selepas ditembak oleh seorang pembonceng motosikal di Jempol, Negeri Sembilan.

Categories
NASIONAL

Keadaan Sri Sanjeevan Stabil Tetapi Kritikal

Sri Sanjeevan Mywatch 01

SHAH ALAM 30 JULAI : Keadaan aktivis anti-jenayah Sri Sanjeevan Ramakrishnan, 29, yang ditembak Sabtu lalu, dilaporkan kini lebih stabil tetapi masih kritikal.

Dalam kenyataan media pada 11.20 malam semalam, bapanya, Ramakrishnan Perianan berkata anaknya yang juga Pengerusi MyWatch sedang menerima rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Negeri Sembilan petang semalam.

Selain itu, bapanya juga mahu mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai anaknya itu tanpa merujuk kepada beliau atau kakak mangsa, R Maygala.

“Dalam tempoh beberapa jam yang lalu, saya mendapati adanya kenyataan-kenyataan berhubung keadaan anak saya yang dikeluarkan oleh beberapa pihak dan individu tertentu kepada pihak media.

“Walaubagaimanapun, ada di antara kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tersebut didapati tidak tepat dan mengelirukan.

“Saya dan keluarga masih dalam keadaan sedih dan terperanjat dengan apa yang berlaku kepada anak saya dan kenyataan-kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah bimbang dan kurang tenang,” jelas kenyataan itu.

Sabtu lalu, dalam kejadian 4.30 petang, mangsa cedera di perut akibat ditembak seorang pembonceng motosikal ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW menurunkan cermin keretanya di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Beberapa jam sebelum ditembak, Sanjeevan menulis di Twitternya bahawa seorang anggota polis  mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula mendakwa aktivis anti-jenayah itu juga merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.

Rafizi mendakwa mangsa memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah.

Rafizi mendakwa demikian bagi mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.