Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,300 anggota tentera terlibat dalam sekatan jalan, pos statik dan rondaan

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Seramai 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu polis dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata tindakan melalui pelaksanaan Op Penawar itu melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Atur gerak dan kesiapsiagaan ini turut meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang telah diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata menerusi Op Benteng pula, dengan kerjasama semua agensi keselamatan, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) berjaya memperketatkan kawalan sempadan darat, laut dan udara di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi berikutan kegiatan pencerobohan adalah saling berkait dengan jenayah rentas sempadan yang lain.

“Secara keseluruhannya, melalui Op Benteng di seluruh negara, seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin daripada membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus,” katanya.

Beliau juga berkata seramai 15,759 individu ditahan terdiri daripada pendatang tanpa izin, tekong dan penyeludup sejak 6 Mei hingga 1 Jun.

Katanya terdapat sejumlah 8,617 pelaporan melibatkan 5,221 kes tangkapan, 1,593 kes rampasan, 379 pengusiran dan 1,421 kes penglihatan melibatkan nilai rampasan dianggar RM528.6 juta.

Beliau berkata bagi tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang bermula semalam, pergerakan keluar masuk pendatang tanpa izin dijangka meningkat berterusan melalui lorong tikus selain berlakunya kegiatan jenayah rentas sempadan di utara Semenanjung serta sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Oleh itu, NTF akan memastikan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang terlibat bersiap siaga dalam segala aspek bagi menjaga sempadan negara dalam memastikan tiada pendatang tanpa izin dan kegiatan jenayah rentas sempadan berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Medan ATM di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Mei lepas dengan kapasiti 24 katil.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ATM telah selesai memberikan 112,348 dos vaksin kepada 56,174 pegawai dan anggota ATM setakat ini berdasarkan bidang penugasan dan kawasan berisiko tempat bertugas termasuk petugas pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Markas NTF.

“Pada Jun ini, ATM akan menerima 81,900 dos vaksin bagi meneruskan program vaksinasi kepada anggota ATM, selain ATM dijangka menerima kuota tambahan vaksin untuk diberikan kepada veteran ATM dan ahli keluarga warga ATM,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panglima ATM: Tiada keperluan hantar tentera ke hospital medan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tiada keperluan mendesak untuk menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas pengoperasiannya ditamatkan kerajaan, susulan penularan wabak Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata langkah itu berikutan kemudahan kesihatan serba lengkap telah dibina di kawasan berkenaan.

“Dulu masa tentera Malaysia diletakkan di situ, tak banyak negara yang menghulurkan bantuan kemudahan perkhidmatan kesihatan dan sebab itulah Hospital Medan dibina serta diambil alih oleh kami.

“Hospital Medan ini bertindak sebagai barisan hadapan kesihatan pada masa itu. Biarpun ia terhad, namun mencukupi dalam menangani masalah kesihatan ketika itu,” katanya kepada Bernama di Wisma Pertahanan, di sini.

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

“Sekarang semua kemudahan itu semakin bertambah dan sudah sampai masa khidmat tentera kita (ATM) tidak lagi diperlukan di situ. Jika diikutkan, boleh saja kekal berada di situ, namun tiada fungsi kritikal diperlukan lagi di sana,” katanya menambah khidmat ATM diperlukan ketika itu berikutan isu pelarian yang melanda negara berkenaan.

“Pada Jun lepas, kerajaan membuat keputusan supaya pengoperasian tentera di Hospital Medan di Bangladesh ditamatkan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Kesemua tentera di sana telah pulang dan penilaian turut dibuat daripada segi sama ada masih relevan untuk dikerahkan anggota ke situ apabila wabak ini berakhir,” katanya.

Hospital Medan Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.

-BERNAMA