Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

29,000 kertas siasatan jenayah belum selesai sejak 2005

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Sejumlah 29,000 kertas siasatan membabitkan kes jenayah komersial belum diselesaikan sejak 2005, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata jumlah itu adalah satu angka yang menakutkan dan menggambarkan seolah-olah kes yang dilaporkan orang ramai tidak diambil tindakan oleh polis.

“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad mempengerusikan mesyuarat untuk mengkaji kes terbengkalai itu berjumlah 55,000… sebenarnya kes-kes itu dari tahun 2005… termasuk juga 7,800 lebih fail kes siasatan berhubung penemuan wang palsu.

“Sejak Jun lalu jumlah kertas (siasatan) terbengkalai ini dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali dan kini tinggal lebih kurang 29,000… lebih daripada separuh kami telah diselesaikan dan fail itu telah diangkat ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Buku Manual Siasatan Jenayah Komersil dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, di sini semalam.
 
Abdul Hamid berkata langkah itu diharap dapat memberi keadilan kepada orang ramai yang menjadi mangsa dalam kes berkaitan jenayah komersial.

Ditanya mengenai punca berlakunya lambakan kes terbengkalai itu, beliau berkata perkara itu mungkin disebabkan berlaku pertukaran yang kerap di kalangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan. 

“Selain itu, polis juga sedang meneliti jika terdapat unsur penyelewangan dan sifat cuai, malas dan mempunyai agenda lain bagi tujuan melindungi dalam kalangan pegawai penyiasat yang ditugaskan berhubung kes terbabit.

“Maklumlah ada kes yang melibatkan orang kenamaan, ahli perniagaan yang besar-besar… InsyaAllah kami akan siasat satu persatu… tidak lama lagi akan ada tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang dengan sengaja tidak ambil tindakan untuk teruskan siasatan, gantungkan fail ini supaya satu hari esok ia dianggap fail lapuk dan boleh dibuang,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hamid memberi amaran bahawa setiap fail siasatan yang dibuka tidak boleh dianggap lapuk dan bukan senang untuk dibuang begitu sahaja.

Mengenai buku yang dilancarkan itu, beliau berkata ia bertujuan untuk memberi panduan kepada pegawai penyiasat meneruskan kes berkaitan jenayah komersial.

-BERNAMA