Categories
AGENSI SELANGOR

Nilai ganjaran pemberi maklumat jenayah cemar air diumum dalam masa terdekat

HULU LANGAT, 20 NOV: Nilai ganjaran kepada kepada pemberi maklumat jenayah cemar air akan diumum dalam masa terdekat, kata pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Hasrolnizam Shaari berkata pemberian ganjaran antara perkara terkandung dalam pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor LUAS 1999 yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 9 November tahun lalu.

“Lembangan sungai di Selangor ini agak luas dan kita telah aktifkan pelaksanaan pemberian ganjaran kepada individu yang boleh membantu agensi kenal pasti pihak mencemarkan sumber.

“Setakat ini kaedah pelaksanaannya sudah dipersetujui…cuma dari segi nilai belum lagi ditetapkan, mungkin dalam masa terdekat,” katanya ditemui pada program Sungai Sekamat-River Plogging di Kampung Batu 13 di sini, hari ini.

Pindaan Enakmen LUAS dilulus di Dewan Negeri Selangor pada 9 November setelah gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

Selain itu LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes jenayah komersial seluruh negara meningkat

SUNGAI PETANI, 12 APRIL: Jumlah kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sejak tiga tahun lalu, walaupun indeks jenayah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah kes jenayah komersial didapati meningkat sejak 2018, iaitu daripada 24,262 kepada 26,465 kes (2019) dan 27,323 kes (2020).

“Ini kerana jenayah komersial tidak perlu bersemuka, contohnya scam dan penipuan pinjaman yang boleh dibuat melalui panggilan telefon atau secara dalam talian, mungkin pemanggil berada di Kuala Lumpur (sebagai contoh) dan membuat panggilan ke Johor Bahru untuk menipu mangsa di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya lagi pada 2018, sebanyak 13,645 tangkapan dan 7,927 pertuduhan telah dibuat membabitkan jenayah komersial di negara ini.

“Jumlah tersebut meningkat kepada 13,835 tangkapan dan 9,875 pertuduhan pada 2019, dan 15,440 tangkapan dan 10,097 pertuduhan pada 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 4,196 tangkapan dan 2,372 pertuduhan telah dibuat,” katanya.

Zainuddin berkata, jumlah kes jenayah komersial yang membabitkan ‘scammer’, juga dilaporkan meningkat daripada 13,568 kes pada 2018 kepada 14,425 kes (2019) dan sebanyak 17,553 kes (2020).

“Kategori kes ‘scammer’ termasuklah e-dagang, pinjaman pelaburan tidak wujud, tipu tanah, ‘Bussiness Email Compromised’, tipu bomoh, tipu Toto, penipuan SMS (sistem pesanan ringkas), penipuan kad kredit, cabutan bertuah dan penyamaran.

“Tiga negeri ‘panas’ yang mencatatkan kes tertinggi ialah Selangor, Johor dan Kuala Lumpur, manakala jumlah kes ‘scammer’ di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini ialah sebanyak 5,078 kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dengan pelbagai taktik penipuan, termasuklah yang menggunakan latar belakang agama bagi meraih simpati orang ramai.

“Jangan ambil risiko untuk membuat pelaburan jika tidak pasti mengenai pelaburan tersebut, waspada juga dengan penipuan yang menggunakan pertubuhan islamik atau institusi agama, untuk mengumpul derma.

“Buat semakan sebelum membuat pindahan wang, kita ada terima maklumat mengenai kes seperti ini tetapi masih mengumpul bukti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Indeks jenayah di Selangor turun 7.16 peratus

SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor mencatatkan penurunan 1,528 kes daripada 19,810 kejadian jenayah berbanding tahun lalu, kata ketua polis negeri.

Berdasarkan penurunan 7.16 peratus kes itu, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata sebanyak 33,977 kertas siasatan jenayah dibuka.

Walaupun sasaran penyelesaian kes ditetapkan adalah 45 peratus, beliau berkata sebanyak 61.75 peratus membabitkan 12,232 kes  dapat diselesaikan.

“Jabatan Siasatan Jenayah turut berusaha mengekang kegiatan perjudian, maksiat dan gangsterisme menerusi 4,650 serbuan Op Dadu, Op Noda (1,434 serbuan) dan Op Cantas (417 serbuan).

“Pada masa sama, seramai 439 individu diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan dan Keganasan (POCA),” katanya dalam kenyataan di Facebook Polis Selangor, semalam.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 2,162 kes jenayah komersial membabitkan kerugian lebih RM71 juta direkodkan dengan tangkapan seramai 1,493 suspek tahun lalu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Negeri serius untuk mengurangkan kadar jenayah dan bakal menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) kepada 5,000 unit terutamanya di kawasan hot spot.

Setakat Oktober tahun lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh Selangor dan 4,225 akan ditambah pada 2020.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nisbah jenayah indeks di Malaysia bertambah baik

PUTRAJAYA, 27 NOV: Nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2018 bertambah baik kepada 273.8 berbanding 309.7 pada 2017, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya tujuh negeri merekodkan jenayah indeks melebihi paras nasional pada 2018 iaitu Kuala Lumpur (642.6), Selangor (330.8), Negeri Sembilan (327.1), Melaka (303.6), Kedah (287.6), Pulau Pinang (284.6) dan Johor (275.7).

Terengganu pula merekodkan jenayah indeks terendah iaitu 148.4 pada 2018, katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung penerbitan Statistik Jenayah, Malaysia, 2019 buat tahun kedua.

Penerbitan itu membentangkan lima statistik terpilih jenayah yang disediakan berdasarkan data pentadbiran yang diperoleh daripada pelbagai agensi.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto Jabatan Perangkaan Malaysia

Statistik disusun mengikut International Classification of Crime for Statistical Purpose Version 1.0 yang diterbitkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata berdasarkan data diperoleh daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bilangan penagih dadah menurun di Pahang, Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh 2016 sehingga 2018.

Tiga negeri pula iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah mencatatkan trend peningkatan bilangan penagih dadah, katanya.

Bagi jenayah rasuah, Mohd Uzir berkata bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 merekodkan penurunan 8.0 peratus kepada 766 kes.

Antara kertas siasatan yang dibuka pada 2018 adalah tuntutan palsu 231 kes dan salah guna kedudukan 101 kes, katanya.

Dalam tempoh sama, beliau berkata bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 1.7 peratus dan kesalahan salah guna kedudukan mencatatkan peningkatan tangkapan tertinggi iaitu 72.2 peratus.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penganggur didakwa bunuh Siti Masitah

ROMPIN, 22 FEB: Seorang penganggur warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh Siti Masitah Ibrahim yang mayatnya ditemui di padang ragut dalam kejadian di Pekan, dua minggu lalu.

Mohd Amirul Abdullah, 23, yang beralamat di Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini, sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Lelaki yang bertubuh kecil itu didakwa membunuh Siti Masitah, 11, yang juga warganegara Kemboja antara jam 5.50 petang hingga 8 malam, 30 Januari lalu di kawasan belukar padang ragut, Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan, dekat sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Azizah menetapkan 25 Mac ini bagi serahan dokumen forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan penemuan mayat Siti Masitah dalam keadaan menyayat hati dan tidak sempurna. Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh lebih seminggu sebelum mayatnya ditemukan.

Keluarga mangsa membuat laporan kehilangan kanak-kanak itu pada petang 30 Januari lalu setelah dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

3 penjenayah ditembak mati

GOMBAK 30 DIS: Polis menembak mati tiga penjenayah dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bahru, Batu Caves, di sini, petang semalam.

BH ONLINE melaporkan ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift berwarna putih pada mulanya dikesan berlegar di sebuah pusat komersial di Bandar Baru Selayang, dekat sini, kira-kira jam 6 petang.

Susulan maklumat risikan itu, hebahan dibuat oleh polis daerah Gombak kepada semua pasukan dan unit peronda yang berada di lapangan untuk menahan semua suspek.

Menyedari kehadiran polis, suspek berusaha melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka.

Selepas lebih 30 minit mengejar, polis yang menaiki dua kenderaan, berjaya mengepung masa di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Baru Selayang dan meminta mereka menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Fadzil Ahmat, berkata menyedari diri mereka terkepung, seorang suspek bertindak nekad melepaskan tembakan ke arah polis.

“Anggota kita tiada pilihan selain membalas tembakan ke arah mereka untuk mempertahankan diri menyebabkan ketiga-tiga suspek mati ditembak kejadian.

“Pemeriksaan menemukan sepucuk pistol jenis Beretta .22 dan dua bilah parang dalam kenderaan suspek,” katanya.

Katanya, buat masa ini, polis belum dapat memastikan identiti semua suspek kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun mereka dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an.

SUMBER: BH ONLINE

 

Categories
SELANGOR

32 suspek salahguna dadah ditahan operasi bersepadu AADK

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 20 DIS: Seramai 32 suspek ditahan dalam operasi bersepadu pencegahan penyalahgunaan dadah dilancarkan di Hulu Langat, di sini, hari ini.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Zulkefli Khalid, berkata ia adalah operasi program Generasi Idaman Selangor (GeMS) digerakkan bersama beberapa agensi kerajaan berjaya memberkas suspek di lokasi sasaran di daerah itu.

“Kita menahan 32 suspek iaitu 24 di lokasi pertama manakala lapan lagi di lokasi kedua seperti mana disasarkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati positif dadah dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 31 adalah rakyat tempatan manakala seorang warga Rohingya.

Operasi dijalankan Pejabat Daerah Hulu Langat itu disertai kira-kira 100 penguatkuasa daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Imigresen Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.

Zulkefli berkata, operasi GeMS digerakkan itu adalah yang ketiga dan pertama berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Dua operasi sebelum ini pada Ogos lalu menumpukan kepada anti zina di Hotel Bajet dan rumah urut sekitar Hulu Langat.

“Objektif program bagi melahirkan generasi muda Selangor yang berkualiti dan berakhlak mulia melalui pelaksanaan cara hidup sihat,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Jenayah turun 20%, tiada aktiviti perjudian di Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 NOV: Tiada aktiviti perjudian dilaporkan dalam tempoh tiga bulan lalu di daerah Gombak, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad.

Beliau berkata, indeks jenayah membabitkan kegiatan samun dan pecah rumah juga dilaporkan menurun 20 peratus bagi tempoh Januari hingga kini.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong hasil komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memerangi dan mencegah penularan aktiviti itu.

“Komitmen ditunjukkan anggota polis Gombak harus dipuji.

“Kita mesti mempertahankan prinsip dan integriti pasukan polis dengan menggandakan usaha pemantauan yang kita laksanakan.

“Keutamaan bagi pihak polis tentunya untuk kekal konsisten memastikan keselamatan dan keamanan rakyat kekal terjamin,” katanya, lapor The Star Online.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Negeri, komitmen membenteras penularan kegiatan jenayah di daerah Gombak dilaksanakan menerusi penubuhan ahli Pasukan Keselamatan dan Kejiranan (PKK).

Inisiatif itu digerakkan secara konsisten oleh Ahli Dewan Negeri (ADN), Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan yang disokong sepenuhnya, Ahli Parlimen kawasan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

PKK ditubuhkan bertujuan mencegah jenayah dan menangani gejala sosial dan jenayah di kawasan berkenaan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

“Sindiket bawahan didakwa, atasan dilindungi”

OLEH RAJA BAHRIN SHAH

1) Setelah berita pendakwaan beberapa orang ahli sindiket nelayan ikan yang beroperasi secara haram dan ahli-ahli penguatkuasa Maritim tersiar, ramai bertanya adakah ini watak-watak utama yang telah dikenakan tindakan.

Memandangkan jumlah nilai kos kerugian kecurian tangkapan laut yang didapati dari sumber rasmi kerajaan setinggi diantara RM4 hingga RM6 bilion, tidak mungkin mereka yang terdiri orang biasa dan pegawai rendah merupakan perancang utama sindiket tersebut. Mesti ada pihak atasan yang lebih tinggi dan berpengaruh terlibat yang masih belum di “sentuh” atau di dakwa. Adakah pihak yang didakwa ini dahulu di lindungi oleh vvip atau “Godfather” yang mempunyai kekebalan tertentu? Mereka telah bermaharajalela begitu lama dan bebas di luar “kesanggupan” dan kemampuan pihak berkuasa bertindak seolah olah mereka adalah “Pirates of the Carribean’ di Asia yang ganas lagi berpengaruh besar. Ada juga wanita asing muda Vietnam yang mempunyai pengaruh di kalangan pihak berkuasa atasan hingga bolih memiliki status gelaran Datuk.

2) Laporan Bernama pada 9 November 2017 melaporkan seorang lelaki pemilik kapal menangkap ikan warga Vietnam dan seorang wanita Vietnam bersama suaminya telah di dakwa Mahkamah di Terengganu kerana cuba memberi RM 100,000 wang rasuah kepada seorang pegawai SPRM untuk melepaskan dua bot Vietnam yang telah dirampas oleh pihak berkuasa. Lelaki Vietnam bernama Tran Van Sang mengaku perbuatan rasuah tersebut dan hukuman maxima jika didapati bersalah ialah 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan denda.

Adakah dengan mengaku bersalah Encik Tran berharap siasatan lanjut tidak akan diteruskan? Adakah beliau ingin melindungi pihak yang lebih tinggi dan berkuasa? Adakah Tran juga mahu memikul tanggungjawab penuh supaya rakan rakyat Malaysia akan dilepaskan tanpa siasatan diteruskan yang boleh membongkar rahsia orang atasan vvip Malaysia yang berpengaruh?

3) Soalan soalan tersebut diatas adalah diantara tandatanya saya dan beberapa lagi rakan profesional yang berbincang beberapa tangkapan berkaitan isu nelayan oleh pihak berkuasa baru baru ini.

Seperti saya biasa lakukan apabila pulang dari sesi Parlimen pada hari Jumaat lepas, saya telah ke Jeti Utama Nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu untuk mendapat reaksi nelayan isu penangkapan tersebut. Saya dapati hampir kesemua yang ditanya memberi komen sinis tentang operasi tersebut dengan menyatakan nelayan warga Vietnam dan bot mereka akan dilepaskan tidak berapa lama lagi serta bot mereka yang dirampas akan kembali beroperasi semula secara haram. Mereka juga menambah kakitangan dan pegawai yang ditangkap adalah golongan bawahan sahaja dan mereka percaya pihak yang lebih berkuasa yang terlibat masih bebas. Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang di rampas dengan mudah sementara pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkan nya.

4 ) Pada keseluruhannya nelayan dan rakyat percaya selepas musim pilihan raya operasi seperti ini tidak akan dijalankan lagi. Mereka terlalu arif dengan adegan bermusim dengan agenda tersendiri kerajaan. Mereka telah melihat sandiwara sebegini dahulu. Nelayan akan masih kekal di kalangan termiskin dengan pendapatan di bawah RM450 sebulan.

Aktiviti nelayan haram Vietnam dan Thailand telah dibiarkan berleluasa terlalu lama dan mereka yang di cantas sekarang hanyalah ranting ranting kecil. Sindiket-sindiket ini telah berakar umbi di bumi dan di dasar lautan negara kita. Selagi perancang perancang utama dan “godfather” tidak dibawa ke muka pengadilan, ranting ranting yang dicantas akan tumbuh kembali seperti cendawan selepas hujan.

# Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

MEDIU tak terlibat aktiviti jenayah

SHAH ALAM, 22 DIS: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), di sini, menegaskan penahanan dua penuntut antarabangsanya baru-baru ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, bukan hasil pengajaran dan pembelajaran di institusi swasta itu.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Luarnya, Datuk Dr Ab Ghani Mohamad berkata, kes itu adalah yang pertama kerana sejak ia ditubuhkan pada 2007, Mediu menghasilkan 2,011 graduan tanpa sebarang rekod jenayah.

“Semua silibus kita diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Mediu tidak pernah sesekali mengamalkan atau mengajar sebarang bentuk ekstremisme dan ajaran sesat kepada penuntut, pentadbiran, pensyarah selain tiada rekod jenayah.

????????????????????????????????????

“Malah, aktiviti penuntut dalam kampus juga sering diberi perhatian penuh oleh kakitangan dan pensyarah. Penahanan dua penuntut Mediu ini tidak dijangka kerana menurut pensyarah mereka, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang perilaku mencurigakan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dua penuntut antarabangsa yang ditahan itu masing-masing adalah penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Fekah dan Unsur Fekah) dan tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Al-Quran.

Katanya, keluarga dua penuntut lelaki itu dimaklumkan mengenai penahanan mereka pada 3 November lalu oleh pihak berkuasa, malahan Mediu difahamkan mereka juga dihantar pulang ke negara masing-masing.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata, pihaknya kini menambah baik saringan kemasukan penuntut baharu dengan meminta mereka memaklumkan di dalam borang permohonan maklumat mengenai penaja pengajian, tempat dilawati tiga bulan sebelum mendaftar selain perlu mengakui sama ada pernah terlibat dalam sebarang kumpulan keganasan.

“Kami amat teliti dalam memilih penuntut tidak kira antarabangsa atau tempatan. Setakat ini, 1,280 penuntut dalam kampus di sini terdiri daripada 43 negara yang kebanyakannya warga Nigeria, Bangladesh dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diberikan pemohon baru ketika mendaftar akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya penipuan selain mereka perlu menandatangani surat aku janji untuk patuh kepada undang-undang Malaysia dan Mediu.

Pada 20 Disember lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan tujuh lelaki termasuk empat warga asing yang disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan ditahan di beberapa lokasi dalam negara antara 3 November hingga 16 Disember lalu.

Katanya, semua yang ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas dalam operasi di sekitar Johor, Sabah, Melaka dan Selangor berumur antara 20 hingga 35 tahun dan dua daripadanya penuntut Mediu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Polis kerah 107 anggota buru suspek kes samun di Kajang

KAJANG, 27 MEI: Polis mengerahkan sejumlah 107 pegawai dan anggota bagi memburu seorang penjenayah yang melarikan diri selepas empat rakannya daripada satu kumpulan samun ditembak mati berhampiran Plaza Tol Sungai Long, awal Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Othman Nanyan, berkata pihaknya menggunakan pelbagai elemen penyiasatan bagi mengesan suspek terbabit yang dipercayai mengalami kecederaan akibat terkena tembakan.

POLIS“Pagi tadi lima individu cuba melakukan samun di sebuah rumah di sini, namun gagal sebelum empat daripada mereka ditembak mati di Sungai Sekamat berhampiran Plaza Tol Sungai Long, Kajang.

“Seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri ketika insiden tembakan berlaku dan ketika ini kita sedang mengesan suspek berkenaan yang mengalami kecederaan,” katanya dipetik BERNAMA.

Katanya, ekoran kecederaan parah akibat tembakan, beliau percaya suspek tidak mampu melarikan diri jauh dan akan dikesan dalam masa terdekat.

Othman berkata setakat ini pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti empat suspek yang ditembak mati tersebut berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai bergerak aktif melakukan kegiatan jenayah samun berkumpulan dan bersenjata sekitar daerah ini sejak awal tahun ini.

“Setakat ini 20 kes samun pecah rumah di sekitar Kajang dilaporkan iaitu sebanyak 14 kes di Kajang, Beranang (3), Semenyih (2) dan satu kes di Batu 9.

“Kalau dilihat keseluruhan pada lima bulan pertama tahun ini kes samun pecah rumah di kawasan ini meningkat berbanding sebelum ini,” katanya sambil menambah polis telah mengenal pasti kawasan ‘panas’ yang mungkin menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, terdapat 15 kawasan ‘panas’ yang kini diberi perhatian polis antaranya kawasan perumahan baharu di Bandar Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Saujana Impian dan Country Height.

Othman berkata modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan rumah-rumah tertentu yang telah dikenal pasti dan akan bertindak bermula pada lewat tengah malam.

“Suspek akan masuk secara paksaan iaitu dengan mengumpil besi jeriji pintu dan menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu rumah mangsa dan bertindak mengikat penghuni rumah sebelum menggeledah rumah terbabit,” katanya.

Bagi mengekang jenayah itu, Othman meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada polis jika ada sebarang pergerakan yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam.

EZY

Categories
SELANGOR

Polis tembak mati dua lelaki di Rawang

SHAH ALAM 15 MEI: Dua lelaki mati ditembak pasukan polis dalam kejadian tembak-menembak di Jalan Lagong, Rawang awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, pasukan D9 yang melakukan rondaan cegah jenayah di tapak Pasar Malam Kundang terserempak dengan kereta jenis Waja dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

jenayah tembak“Polis mengekori suspek sejauh kira-kira dua kilometer dan mengepung kereta suspek bagi memberhentikan suspek namun secara tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah kereta itu yang terbabas di selekoh jalan.

“Sebaik turun dari kenderaan mereka, kedua-dua suspek sekali lagi melepaskan beberapa tembakan ke arah pasukan polis, menyebabkan polis turut melepaskan tembakan balas ke arah dua suspek berusia 40 dan 41 tahun itu,” katanya dipetik BERNAMA.

Mohd Adnan berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kepong dan Sungai Buloh itu terkena tembakan dan mati di tempat kejadian.

Mohd Adnan berkata seorang daripada suspek dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan mencuri dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dipandu suspek mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Sungai Jarum pada tahun 2014.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan dua pucuk pistol, lima butir peluru, sebilah parang, dua bilah pisau, sarung tangan, topeng muka serta satu papan nombor plat kereta dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, katanya.
Mohd Adnan berkata polis juga tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Beliau berkata kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

EZY