Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keluarga bersyukur Jais segera kebumi jenazah bapa secara percuma

SHAH ALAM, 17 OGOS: Sebuah keluarga bersyukur apabila pengebumian jenazah bapa mereka diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kurang 14 jam selepas meninggal dunia tanpa bayaran.

Wakil keluarga Muhammad Shah Waliyullah Ruslan berkata bapanya, Ruslan Yaacob, seorang ustaz di sebuah madrasah di Seksyen 13 di sini maut akibat Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kira-kira jam 2.15 pagi, 13 Ogos lalu.

Menurut penjawat awam berusia 24 tahun itu jenazah bapanya diuruskan pasukan pengurusan jenazah Jais bermula dari tayamum hingga ke liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.

Ruslan Yaacob (depan kanan) meninggal dunia akibat Covid-19 pada 13 Ogos lalu selepas 10 hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Jenazahnya dikebumikan Jabatan Agama Islam Selangor pada hari yang sama. Foto ehsan Muhammad Shah Waliyullah Ruslan

“Alhamdulillah pengebumian selesai kira-kira jam 4 petang, semuanya percuma kecuali bayaran pengurusan tanah perkuburan berjumlah RM150.

“Pengebumian jenazah Covid-19 secara percuma oleh Jais sangat baik terutama pada saat sukar kini, mungkin ada waris tidak bersedia berdepan situasi seperti itu,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Shah Waliyullah berkata keluarganya juga memuji penjelasan baik oleh wakil Jais berhubung pengurusan jenazah yang dapat mengelakkan salah faham.

3 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar dilaporkan berkata langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat memendekkan urusan pengebumian mayat umat Islam tidak melebihi 24 jam.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari pengurusan jenazah oleh Jais itu dapat dilancarkan dengan menjadikan tiga hospital sebagai tempat pengurusan jenazah bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Tiga hospital berkenaan adalah Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan HTAR.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais sedia tanggung kos pengebumian jika waris tidak mampu

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersedia menampung kos pengebumian mangsa Covid-19 sekiranya waris tidak berkemampuan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihak hospital boleh berhubung dengan Jais jika berlaku kes sedemikian ketika menguruskan jenazah.

“Namun, setakat ini kita lihat rata-ratanya waris masih mampu untuk bayar tetapi jika ada, pihak hospital boleh hubungi saya dan kita akan bantu,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Pengurusan Jenazah Covid-19 di Selangor yang disiarkan di YouTube SelangorTV malam tadi.

Pada 2 Ogos, Jais memaklumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Mohd Shahzihan berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.

Sementara itu, beliau turut meminta masyarakat agar tidak menyelar agensi terbabit yang didakwa lewat dalam menguruskan jenazah mangsa Covid-19.

“Kita hanya akan mengurus jenazah yang telah dilepaskan hospital kepada kita dan Jais juga hanya mengurus jenazah secara harian dan bukan lambakan,” jelasnya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais tambah khidmat NGO-i bantu urus jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersedia menambah khidmat pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) bagi mempercepat pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pertubuhan tersebut perlu mematuhi syarat dan kod etika ditetapkan bagi mengelak keraguan dan fitnah terhadap agensi Islam itu.

“Setakat ini kita ada kira-kira lapan NGO-i dan sedang dalam pertimbangan untuk menambah lagi empat ke lima lagi bagi membantu mengurus jenazah dengan lebih cepat dan sistematik,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Pengurusan Jenazah Covid-19 di Selangor yang disiarkan di SelangorTV malam tadi.

Sementara itu, Mohd Shahzihan menegaskan tiada caj dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan antaranya kos keranda jika perlu.

“Bayaran pengurusan oleh NGO telah wujud sebelum pandemik, terpulang kepada waris untuk buat pilihan,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nadma: Pengurusan mayat pesakit Covid-19 di ibu negara teratur

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pengendalian mayat pesakit Covid-19 di sekitar ibu negara ketika ini adalah teratur dan terurus, tidak seperti dakwaan sesetengah pihak di media sosial yang menyatakan sebaliknya.

Beliau berkata Pusat Sehenti Sementara (Pusara), yang berfungsi menguruskan mayat pesakit Covid-19 Islam dan bukan Islam serta terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) diwujudkan bagi memastikan perkara itu.

Aminuddin berkata terdapat lima kontena yang boleh memuatkan 225 mayat pada satu-satu masa di Pusara ketika ini diuruskan kira-kira 70 petugas dan sukarelawan.

“Dalam satu hari, kita boleh keluarkan dalam 50 mayat untuk diproses serta dituntut keluarga dan setiap hari, kita dapat memastikan bahawa data dapat dikumpul, mayat dapat diuruskan dengan lebih teratur serta bersepadu,” katanya selepas meninjau urusan pengebumian 18 jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Lebuhraya KL-Karak, Taman Selaseh hari ini.

Beliau berkata Pusara, yang mula beroperasi pada akhir Julai lepas, merupakan inisiatif bersama pelbagai agensi seperti Nadma, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, HKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Aminuddin berkata Pusara turut menyediakan kemudahan permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 NADMA sekali beri sehingga RM5,000 kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan virus itu.

Beliau turut mengulas komen negatif sesetengah pihak berhubung penggunaan pengorek kaut dalam urusan penggalian kubur bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Bagi yang meninggal akibat Covid-19, kalau boleh kita tidak mahu jenazah terdedah dalam masa yang lama di luar, sebab itu kita pastikan apabila sampai di kawasan ini (kubur), dalam masa tiga minit ia sudah berada di dalam liang lahad dan ditutup, itu tatacara operasi piawai,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin menyampaikan bantuan makanan kepada beberapa penggali kubur dan menyatakan bahawa pihaknya juga mendapatkan input daripada Jawi berhubung keperluan serta kebajikan petugas yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19 untuk disampaikan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Ketika ini, terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang merangkumi 74 kakitangan Jawi, 21 kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan 18 kakitangan Kor Agama Angkatan Tentera.

Petugas sukarelawan pula terdiri daripada 37 penggali kubur dan 54 pemandu kenderaan yang membawa jenazah.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Langkah Jais urus jenazah pesakit Covid-19 selaras keputusan negeri

SHAH ALAM, 5 OGOS: Langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menetapkan semula pelaksanaan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri.

EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan jabatan itu perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak sebagai langkah kerajaan dalam menghadapi peningkatan kematian akibat wabak.

“Tindakan Jais membuat beberapa ketetapan semula dalam mengurus kematian akibat Covid-19 di Selangor juga selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 14 Julai.

“Jais melaksanakan pengurusan kematian berkuat kuasa pada 28 Julai lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zawawi menjelaskan jabatan itu juga berperanan mengetuai dan menyelaras tindakan bersama agensi lain dan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan praktikal.

Pada 2 Ogos lalu, Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris jenazah Covid-19 yang diuruskan pihaknya.

Pengarah Dato’ Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan pengurusan tanah perkuburan meliputi kos membuat keranda jika perlu dan pembayaran dibuat terus keluarga atau waris.

Selain itu, Jais turut mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) dalam mengurus jenazah Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat: Urusan jenazah percuma tetapi waris diperdaya bayar RM700

SHAH ALAM, 4 OGOS: Meskipun pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Selangor percuma, namun ada pihak dikesan mengenakan caj RM700 kepada waris hanya untuk tayamum dan solat.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kegiatan itu berlaku ketika waris dalam kesedihan kerana tidak dapat melihat, menyentuh mahupun menguruskan sendiri jenazah ahli keluarga mereka.

“Semasa inilah kartel jenazah akan mengambil kesempatan menyantuni waris di hospital kerana dalam fikiran waris sedang bersedih dan hanya mahu memastikan jenazah yang disayangi dikebumikan segera.

“Mohon Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) siasat,” kata Azmizam Zaman Huri di Facebooknya hari ini.

Beliau turut memperincikan kos sebenar pengurusan mayat pesakit Covid-19 iaitu RM15 bagi sebotol debu tayamum manakala sut perlindungan diri dan beg mayat diberi percuma oleh hospital.

Selain itu, katanya, solat jenazah perlu dibuat secara ikhlas selain proses nyahkuman dilakukan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 2 Ogos, Jais mengumumkan tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi setiap pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan termasuk kos membuat keranda jika perlu.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Urusan kebumi jenazah pesakit Covid-19 maksimum 24 jam

SHAH ALAM, 3 OGOS: Langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bulan lalu memendekkan urusan pengebumian mayat umat Islam tidak melebihi 24 jam.

Menurut Dato’ Menteri Besar pengurusan jenazah dapat dilancarkan dengan menjadikan tiga hospital sebagai tempat pengurusan jenazah bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Tiga hospital berkenaan adalah Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri juga dalam proses membantu mengurangkan waktu pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bukan Islam yang kini mengambil masa tiga hingga empat hari.

“Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang bertemu pengendali jenazah bukan Islam supaya kita boleh percepatkan proses itu (pengebumian).

“Kes limpahan mayat di HTAR telah ditangani dengan format kita buat,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

17 Julai lalu, Amirudin mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bagi mengatasi masalah kesesakan bilik mayat.

Menerusi langkah itu, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan HTAR dijadikan tempat pengurusan hal ehwal berkaitan mangsa sama ada Islam atau bukan Islam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais teliti semula penglibatan NGO Islam urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 3 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil keputusan untuk meneliti, menilai dan menstruktur semula peranan serta penglibatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) dalam mengurus jenazah Covid-19 susulan beberapa isu melibatkan pertubuhan itu dan kes lambakan jenazah di beberapa hospital di Selangor.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jais komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mengetepikan kepentingan umum dan mengeksploitasi keadaan genting ini untuk kepentingan yang lain.

Beliau berkata dakwaan dan tuduhan dari sesetengah pihak atau NGOi tertentu bahawa Jais menghalang mana-mana NGOi dari terlibat dalam pengurusan jenazah Covid-19 adalah tidak berasas sama sekali.

Jais menjalin kerjasama berterusan dengan lebih lapan NGOi dengan kekuatan lebih 130 sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan 2,071 jenazah Covid-19 sejak Januari tahun ini.

“Perlu diingat, sebarang ketetapan dan pendekatan yang diambil dan dilaksanakan oleh Jais adalah untuk kepentingan umat Islam seluruhnya.

“Dalam konteks ini, ia dibuat bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuk pihak hospital, para petugas, sukarelawan, keluarga atau waris, agensi dan pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata pihaknya mempelawa mana-mana NGOi yang berhasrat untuk menyertai Jais dan rakan NGOi lain sedia ada untuk bersama menunaikan tuntutan fardhu kifayah dengan syarat sanggup mematuhi syarat-syarat dan kod etika yang ditentukan oleh pihak Jais.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanah perkuburan Cyberjaya jadi lokasi pengebumian jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 30 JULAI: Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi’ di Cyberjaya akan dijadikan sebagai salah satu lokasi pengebumian jenazah Covid-19 dari Hospital Serdang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain berkata perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika lawatan rasminya ke Hospital Serdang baru-baru ini.

“Perkhidmatan pengurusan yang disediakan di tanah perkuburan ini adalah menerima permohonan pengebumian, pengurusan jenazah, pengawasan dan penyelenggaraan tanah perkuburan.

“Waktu operasi pengebumian pula bermula dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. Pengebumian di luar waktu operasi hanya dijalankan berdasarkan kes tertentu dengan kebenaran pihak pengurusan MPSepang,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang Bil 7/2021 hari ini.

Beliau juga berharap tanah perkuburan di bawah Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat itu dapat mengurangkan masa pengurusan mayat selain mengelak kesesakan di Jabatan Forensik di Hospital Serdang.

“Tanah perkuburan seluas 4.67 ekar dengan sembilan zon mampu memuatkan lebih 1,500 unit kubur termasuk untuk dewasa, kanak-kanak dan kubur anggota badan,” katanya.

Pada 17 Julai, Kerajaan Selangor bersetuju Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19 bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Selain itu, tanah perkuburan bagi jenazah mangsa Covid-19 beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Manakala jenazah mangsa bukan Islam pula akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan urusan krematorium bersesuaian.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Amal Valley peruntuk RM50,000 sediakan PPE urus jenazah Covid-19

AMPANG, 25 JULAI: Pertubuhan Amal Valley (AVO) memperuntuk RM50,000 dalam penyediakan sut pelindung diri (PPE) bagi pengurusan jenazah Covid-19 dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Sukarelawan, Hadri Aizat Hamzah, 33, berkata peruntukan yang tinggi itu disebabkan kadar kematian di Lembah Klang meningkat mendadak berbanding kebiasaan seiring peningkatan kes harian.

Hadri Aizat Hamzah

“Setiap PPE berharga antara RM40 hingga RM45. Jika sehari kes dikendalikan adalah 10, kita darab dengan dua sukarelawan yang pergi di situ 20 PPE kita gunakan, pernah juga sampai 30 kes maka 60 PPE kita gunakan untuk sehari itu sahaja.

“Jumlah itu tidak termasuk PPE yang kita sediakan kepada waris yang ingin turut serta membantu dengan diberikan secara percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pengunaan PPE juga bertambah mengikut situasi, sebagai contoh sekiranya hospital tidak menguruskan proses tayammum dan solat, maka pihaknya akan menguruskan proses berkenaan.

Jelasnya, jika kariah tanah perkuburan tidak mahu menguruskan pengebumian juga akan meningkatkan penggunaan PPE di mana pihaknya perlu menghantar pasukan lain bagi proses pengebumian.

Waris memberi penghormatan terakhir dari jauh kepada jenazah pesakit Covid-19 semasa urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 21 Julai, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM50,000 kepada AVO bagi menyediakan alat pengurusan jenazah pesakit Covid-19 meliputi beg mayat dan PPE.

Pertubuhan itu merupakan organisasi lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menguruskan jenazah membabitkan hospital di Selangor.

Pengerusinya Dr Azfar Hussin berkata sejak April tahun lalu, pihaknya menguruskan hampir 2,000 jasad bermula dari bilik mayat hingga ke liang lahad secara percuma di sekitar Lembah Klang.

Katanya, aktiviti sukarelawan itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Klinik As-Salam yang memiliki 11 cawangan selain turut menerima sumbangan pelbagai pihak termasuk waris jenazah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Skuad urus jenazah Covid-19 kongsi pengalaman sayu di tanah perkuburan

MELAKA, 9 JULAI: Minggu ini menjadi minggu yang amat mencabar dan melelahkan buat lima anggota skuad pengurusan jenazah Covid-19 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berikutan peningkatan jumlah kematian akibat virus pembunuh tersebut di negeri berkenaan.

Tempoh urusan pengebumian yang mengambil masa sekitar 30 minit hingga satu jam itu cukup menguji keupayaan mental, emosi dan fizikal anggota Sukarelawan Tetap Pejabat Bahagian Sekretariat, Operasi dan Bencana APM Daerah Melaka Tengah Leftenan Muda (PA) Faza Astria Mohamed Rashid.

Walaupun tidak turun ke liang lahat dan hanya tertumpu kepada mengurus serta membuat laporan mengenai tugasan pengurusan pengebumian jenazah Covid-19, anggota wanita berusia 28 tahun itu menjelaskan cabarannya tetap sama kerana perlu berada bersama pasukan di setiap lokasi tanah kubur yang ditetapkan.

“Kita sama-sama tunggu jenazah tiba dari hospital dan bersiap mengenakan kelengkapan alat perlindungan peribadi (PPE). Sampai sahaja jenazah, kita akan uruskan dari awal hingga akhir seperti memasukkan jenazah dalam liang lahat, mengebumikannya dan bacaan doa.

“Nampak mudah tapi apabila menguruskan jenazah dengan memakai PPE dan melihat wajah hiba waris yang tidak dapat bersama jenazah, ia sangat berat pada hati kami,” katanya ketika ditemui Bernama.

Faza Astria, wanita pertama ditugaskan di unit yang ditubuhkan pada awal Jun lepas berkata cabaran menguruskan jenazah dengan berat mencecah 160 kg menjadi pengalaman paling bermakna buat dirinya.

“Memang ambil sedikit masa untuk uruskan jenazah tersebut namun ia berjaya disempurnakan. Selain itu, menguruskan pengebumian pada waktu malam juga sangat mencabar kerana kekangan pencahayaan lampu. Susah hendak gali liang dan masukkan jenazah,” katanya, sambil memaklumkan kebanyakan kes diterima tidak mengira masa.

Beliau berkata setakat semalam, sebanyak 57 pengebumian jenazah diuruskan unit berkenaan meliputi daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Seorang lagi rakan sepasukan Faza Astria, Sarjan (PA) Shahrul Fitri Daud berkata urusan pengebumian bukan sekadar mengambus tanah dengan memakai PPE tetapi memerlukan kekuatan melawan emosi tatkala berdepan ahli keluarga yang tidak dapat menguruskan jenazah.

“Walaupun bukan kena pada diri sendiri, hati memang sedih sangat sebab lihat mereka hanya mampu lihat dari luar pagar. Paling dekat pun dalam jarak tiga meter dari liang lahat,” katanya.

Sementara itu, penolong penyelaras pengurusan jenazah Covid-19 Majlis Agama Islam Melaka (JAIM) Muhammad Khidir Bahrin berkata sikap waris dan ahli keluarga yang semakin terbuka terhadap proses pengebumian jenazah Covid-19 memudahkan pihaknya serta APM melaksanakan tugasan.

“Pengalaman saya menjadi antara yang terawal menguruskan jenazah Covid-19 di Melaka, pada mulanya agak sukar kerana terikat dengan peraturan unit forensik Hospital Melaka, yang hanya membenarkan seorang waris masuk dan membantu menguruskan jenazah. Tapi hari demi hari peraturan itu ditambah baik dengan mengambil kira emosi dan perasaan waris,” katanya.

Meskipun begitu, masih ada pegawai di tanah kubur yang terpaksa menenangkan perasaan waris kerana ada antaranya meninggal dunia pada muda dan meninggalkan anak-anak yang masih kecil.

“Jadi ini semua kena ambil kira, emosi mereka kita kena prihatin kerana tidak mahu waris ni terus bersedih. Selain membenarkan waris yang dipilih membantu menguruskan jenazah, kami juga cuba penuhi hasrat jika ada waris minta van jenazah melalui depan rumah mereka,” katanya.

-BERNAMA