Categories
AGENDA NASIONAL

Bot bomba bawa jenazah warga emas ke tanah perkuburan

TUMPAT, 2 MAC: Jenazah seorang warga emas dari Kampung Kajang Sebidang di sini terpaksa dibawa menggunakan bot hampir dua kilometer dari rumahnya untuk dikebumikan petang tadi, berikutan kawasan penempatan itu dilanda masih dilanda banjir sejak Ahad lepas.

Shahril Mohd Othman, 19, berkata datuknya Sulong Ahmad, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 10 pagi tadi dan jenazah dibawa keluar dari kampung itu pada 2 petang menggunakan bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor.

Shahril berkata perancangan awal untuk mengebumikan datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang juga terpaksa ditukar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik disebabkan kawasan itu digenangi air.

“Kami menghubungi pihak berkuasa sekitar 12 tengah hari tadi untuk meminta bantuan bot bagi membawa keluar jenazah dari kediaman kami menuju ke Kampung Jejulok kerana van jenazah menunggu di sana,” katanya kepada pemberita di Kampung Jejulok di sini hari ini.

Jenazah yang tiba kira-kira 3.45 petang itu kemudian turut diusung oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kebetulan hadir untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Pengkalan Kubor Raja Arisansahseni Raja Semail berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.20 tengah hari tadi daripada ahli keluarga Allahyarham Sulong untuk memohon bantuan bot.

“Pihak kami terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menghantar dua anggota dengan sebuah bot bagi membawa jenazah.

“Operasi ini memang menjadi tugas khas kami terutama ketika banjir seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jais bantu urus 776 jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menguruskan 776 jenazah pesakit Covid-19 setakat 10 Ogos lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebanyak 357 jenazah, Hospital Ampang (142), Hospital Serdang (73) dan Hospital Kajang (71) dan Hospital Banting (44).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan manakala Hospital Shah Alam (13), Hospital Tanjung Karang (8), hospital di Sabak Bernam (37), hospital di Hulu Selangor (11) serta hospital swasta dan lain-lain (20).

“Jais memberi khidmat pengurusan jenazah Covid-19 secara percuma melainkan kos melibatkan tanah perkuburan sahaja perlu dibayar oleh waris mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya di bawah seliaan PBT, kos yang perlu dibayar antara RM120 hingga RM300 manakala kos kubur kariah pula tidak melebihi RM500,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung pengurusan jenazah Covid-19 pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Amirudin seramai 189 sukarelawan yang dianggotai lapan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) dan beberapa individu serta orang perseorangan yang bekerjasama dengan Jais untuk pengendalian jenazah Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mufti: Jenazah pesakit Covid-19 berisiko tidak perlu dimandi, tayamum

SHAH ALAM, 18 OGOS: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan jenazah pesakit Covid-19 tidak perlu dimandi dan ditayamum sekiranya terdapat risiko jangkitan.

Mufti Datuk Dr Anhar Ophir berkata fatwa baharu mengenai pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 7 Ogos lalu, lapor Sinar Harian.

“Sekiranya terdapat kebimbangan memandikan atau tayamum membawa kepada penyebaran penyakit, maka gugur kewajipan (memandi atau tayamum) ke atas jenazah, sebaliknya jenazah terus sahaja dikafankan, disembahyang dan dikebumikan,.

“Bagaimanapun segala keputusan berhubung pengurusan jenazah Covid-19 itu perlu mendapat nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan sumbangan 7,000 set sut pelindung diri (PPE) bernilai RM385,000 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada petugas pengurusan jenazah Covid-19 di Masjid Jamek Al-Rahimiah, Klang, hari ini.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pancaroba urus jenazah, berlapar, tahan hajat berjam-jam

Bersama air mata, jenazah bayi perempuan berusia lima bulan di pangkunya kemas. Perjalanan dari bilik mayat Hospital Ampang ke tanah perkuburan Islam Sungai Ramal Luar, Kajang terasa begitu jauh.

Walau berpuluh-puluh jenazah pesakit Covid-19 diuruskan Zulkepli Gembor sejak Januari, kali ini sukarelawan berusia 51 tahun tidak mampu menampung hiba.

Sukarelawan Amal Valley Zulkepli Gembor, 51, memangku jenazah bayi yang meninggal dalam kandungan ketika berusia lima bulan – Foto AMAL VALLEY

Walau tiada pertalian darah, hatinya tersayat dengan peristiwa 3 Ogos itu. Pemergian bayi tersebut, mati dalam kandungan ketika ibunya ditidurkan akibat Covid-19, benar-benar menghimpit emosinya.

Kehadiran bayi itu telah sekian lama dinanti-nantikan bapanya. Sebelum ini, empat kali isterinya keguguran. Bayi itu dikeluarkan pada 2 Ogos melalui pembedahan ketika ibunya ditidurkan sehari sebelumnya.

Jenazah Ain Shuhada diuruskannya dari tayamum hingga ke liang lahad. Walau wajahnya tidak pernah ditatap, beliau selalu terkenang bayi tersebut.

“Rasa Ain macam cucu saya. Allahuakbar, tidak tahu mahu cakap macam mana. Sedih memang sedih, saya istighfar tetapi memang tidak boleh. Sukar hendak digambarkan perasaan ini,” kata juruteknik lif yang menjadi sukarelawan Pertubuhan Lembah Amal (Amal Valley) kepada Selangorkini.

Memang bukan mudah mengurus jenazah pesakit Covid-19. Selain kepiluan bukan kepalang, seperti yang dirasai Zulkepli, banyak cabaran lain yang harus didepani.

Tahan hajat

Risiko sentiasa berlegar sekeliling mereka. Justeru, pemakaian sut pelindungan diri (PPE) wajib demi mengelak dari dijangkiti. Namun, ia bukan sesuatu yang menyenangkan.

Sukarelawan Amal Valley membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jangan kata menahan lapar dan dahaga, hendak membuang hajat pun terpaksa ditahan-tahankan. Begitu lumrah kehidupan sukarelawan urusan jenazah pesakit Covid-19.

Pernah sekali Aminuddin Ahmad Nasir, 33, bermandi peluh hampir setengah hari ketika membawa jenazah dari Lembah Klang ke Johor.

“Dengan pelitup muka, agak susah bernafas. Hendak buat apa pun terbatas. Sebaik pakai PPE, makan minum pun tidak boleh. Hendak buang air kecil pun tidak boleh. Bukan sebab tiada masa tetapi memang tidak boleh,” katanya.

Kegetiran itu begitu terasa apabila mereka membuat perjalanan jauh merentas negeri. Mereka juga sama sekali dilarang keluar kenderaan sebaik sahaja membawa jenazah dari bilik mayat.

Sukarelawan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Untuk mengisi minyak terutama kes pengebumian di luar Selangor, pun dilarang. Mereka lazimnya meminta bantuan waris yang mengikuti kenderaan dalam perjalanan.

“Bukan itu sahaja, hendak isi minyak pun tidak boleh. Jadi, kami minta waris ikut dari belakang (kenderaan) dan beri duit minyak awal-awal untuk mereka tolong isikan.

“Sampai ke kubur, barulah boleh tanggal PPE. Itu pun jika ada kariah yang membantu. Jika tiada, kami sendiri kebumikan jenazah kemudian barulah boleh tanggal PPE,” kata penjawat awam itu.

Beliau yang dua tahun berpengalaman mengurus jenazah mengakui proses pengebumian pesakit Covid-19 jauh lebih mencabar berbanding kematian biasa.

Kuota kubur

Amran Selamat, 43, pula menganggap penolakan kariah daripada pengebumian jenazah di sesebuah tanah perkuburan tambah menyukarkan tugas mereka.

Penggali kubur dan sukarelawan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara 5 Julai hingga 21 Julai, lima daripada 180 jenazah yang diuruskan mereka ditolak kariah tertentu. Lazimnya mereka memberi alasan alamat si mati bukan dalam kawasan kariah mereka.

Meskipun masalah itu masih ada tetapi mereka menganggap situasi tersebut jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Itupun selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat teguran kepada ahli jawatankuasa masjid tertentu.

“Sebelum ini, kalau ada 100 jenazah, 15 daripadanya ditolak terutama pada Februari dan Mac, ketika kes kematian meningkat akibat pandemik,” katanya.

Sanitasi dilakukan kepada jenazah pesakit Covid-19 sebelum proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penolakan jenazah pesakit Covid-19 berlaku ketika itu berikutan isu kuota. Kariah lebih mengutamakan tapak kubur untuk penduduk tetap. Sebaliknya, si mati pula selama hayatnya berpindah dari negeri lain ke kawasan tersebut.

Selain itu, ada juga permintaan waris untuk membawa jenazah ke negeri asal mereka. Sepanjang Julai lalu, enam jenazah dihantar ke Kedah, Johor, Kelantan dan Melaka.

“Dalam tempoh dua, tiga bulan ini sahaja kes kebumi ke luar Lembah Klang. Sebelum ini, ia tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA ubah suai lori bawa jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengubah suai sebuah lori untuk dijadikan kenderaan membawa jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Bahagian Korporatnya berkata usaha itu bagi membantu mempercepat pengurusan jenazah untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21 di sini.

“Lori yang diubah suai ini boleh membawa 12 jenazah dalam satu-satu masa dari hospital yang ditetapkan. Proses pengebumian kelmarin melibatkan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kita berharap kenderaan ini dapat membantu mempercepat proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dan memudahkan urusan semua pihak,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Malaysia mencatatkan angka korban tertinggi semalam sebanyak 360 kes dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 221 kes.

Sebanyak 41 kes kematian turut direkodkan di Kuala Lumpur, Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15), Johor (14) dan Kedah (tujuh).

Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing mencatatkan enam kes, lima di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya serta satu di Kelantan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jais: Tiada bayaran urus jenazah wabak, tetapkan tanah perkuburan

SHAH ALAM, 2 OGOS:  Tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris jenazah Covid-19 yang diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan pengurusan tanah perkuburan meliputi kos membuat keranda jika perlu dan pembayaran dibuat terus keluarga atau waris.

Beliau menjelaskan Jais hanya menguruskan jenazah yang dilepaskan hospital manakala pemakluman kematian serta kehadiran waris juga di bawah urusan pihak berkenaan.

“Jais juga telah menetapkan tanah perkuburan sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahzihan berkata Jais juga membuat pertimbangan khas untuk membuat perubahan sesuai dengan kepentingan umum khususnya umat Islam bagi situasi tertentu.

Beliau turut menasihati waris jenazah Covid-19 supaya terus menyalur  aduan kepada Jais atau pihak berwajib jika timbul sebarang masalah untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang urus 38 jenazah pesakit Covid-19 semalam

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menguruskan 38 jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam dan bukan Islam semalam.

Jabatan perubatan forensik hospital memaklumkan urusan pengebumian 12 jenazah beragama Islam dibuat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

“Sebanyak 10 jenazah selamat diurus dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala dua jenazah lagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Kerjasama ini adalah penting dalam usaha menyelesaikan fardu kifayah bagi jenazah Covid-19 di HTAR supaya ia berjalan lancar,” menurut kenyataan di Facebook HTAR.

Jabatan tersebut turut merakamkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa selain mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian ini.

“Semoga Allahyarham atau Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosa mereka,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sumbang RM50,000 urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 21 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang RM50,000 bagi menyediakan alat pengurusan jenazah pesakit Covid-19 meliputi beg mayat dan sut pelindung diri (PPE).

Setiausahanya berkata bantuan kepada Pertubuhan Amal Valley, organisasi lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk menguruskan jenazah membabitkan hospital di Selangor.

Dr Ahmad Shahir Makhtar menjelaskan bantuan itu juga mempercepat pengebumian dan melancarkan pengurusan jenazah pesakit wabak yang berbeza dengan mayat biasa.

“Kami difahamkan setiap kematian berpunca dari Covid-19 memerlukan kos minimum RM940.50, satu beg mayat dan tujuh set PPE selain diuruskan pasukan terlatih serta berpengalaman.

“Oleh itu, sebagai kebersamaan Mais dan Jais dalam urusan melibatkan maslahah ummah, sumbangan disalurkan melalui Pertubuhan Amal Valley bagi melancarkan urusan pengebumian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pengerusi Pertubuhan Amal Valley berterima kasih atas sumbangan terbabit berikutan keperluan PPE yang semakin meruncing akibat peningkatan jenazah selain kekurangan dana.

“Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan kerana bilangan sukarelawan yang ‘berani ‘ menguruskan jenazah Covid-19 tidak seramai pengurusan jenazah biasa, maka kewajipan persatuan untuk memastikan keselamatan mereka.

“Terima kasih kepada Mais dan Jais atas keprihatinan, semoga kerjasama ini dapat merancakkan nilai dan semangat kesukarelawanan di kalangan rakyat Malaysia,” kata Dr Azfar Hussin.

Categories
SELANGOR

Deretan van jenazah, pemandangan pilu di tanah perkuburan Seksyen 21

SHAH ALAM, 16 JULAI: Keadaan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, dekat sini tidak seperti hari biasa apabila deretan van jenazah dilihat keluar masuk ke kawasan tersebut bagi proses pengebumian dipercayai melibatkan jenazah pesakit Covid-19.

Suasana pilu dirasai di luar kawasan tanah perkuburan tersebut dengan kedengaran tangisan serta alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh waris-waris jenazah yang setia menunggu sejak 4.30 petang tadi.

Deretan enam buah van jenazah yang dipandu petugas kesihatan lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) diiringi anggota polis dilihat tiba di pintu pagar utama tanah perkuburan itu pada 7.40 malam, disusuli ketibaan enam lagi jenazah dibawa oleh pasukan sama pada 9.20 malam.

Media difahamkan (dari seorang daripada penggali kubur di tanah perkuburan itu), sejak pagi hingga 5 petang tadi sebanyak 14 jenazah pesakit Covid-19 telah selesai dikebumikan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Para wartawan dan jurugambar yang telah menunggu sejak petang tadi juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanah perkuburan tersebut.

Sementara itu, seorang anak kepada jenazah yang dikebumikan, Irwan Tukiman, 39, berasa terkilan kerana tidak dapat menyempurnakan pengebumian bapanya Tukiman Roslan, 75, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 7.52 pagi, Rabu lepas.

“Arwah bapa saya dimasukkan ke hospital sejak 4 Julai lepas akibat komplikasi pernafasan dan kurang tenaga kerana tiada selera makan. Arwah juga mempunyai kencing manis, darah tinggi serta kanser kelenjar air liur tetapi tidak menjalani kimoterapi.

“Saya hanya sempat membuat panggilan video dengan arwah sehari sebelum arwah meninggal dan ketika itu bapa boleh duduk dan tidak menunjukkan apa-apa tanda yang dia akan pergi selamanya” katanya kepada pemberita.

Irwan berkata 12 ahli keluarganya, termasuk arwah bapanya yang berasal dari Batu 10, Kebun Baru, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, dijangkiti Covid-19 dan sebahagian daripada mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang manakala arwah ditempatkan di HTAR.

Sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 12,541 kes positif harian direkodkan seluruh negara hari ini di mana Selangor masih mencatatkan kes tertinggi sebanyak 5,512 kes.

Sebanyak 53 kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,264 kes kematian di Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Hadiah’ terakhir penggali kubur kepada jenazah mangsa Covid-19

PUTRAJAYA, 25 JUN: Bacaan Al-Fatihah serta doa menjadi ‘hadiah’ terakhir daripada kami buat jenazah pesakit Covid-19, hanya itu sahajalah yang sentiasa dibaca di dalam hati ketika mengusung jenazah sehingga menurunkannya ke liang lahad, demikian kongsi seorang penggali kubur, Yazrul Ekhzan.

Menurut kakitangan Unit Kecil Perkuburan dan Krematorium Perbadanan Putrajaya (PPj) berusia 42 tahun ini, menguruskan jenazah pesakit Covid-19 menjadi ‘terlalu sunyi’, apabila tiada waris dibenarkan berada di tanah perkuburan, untuk bersama-sama mengiringi perjalanan terakhir si mati.

“Memang rasa ralat apabila lihat waris mangsa Covid-19 tidak dapat menyentuh, menatap, mencium jenazah, buat kali terakhir. Ada ahli keluarga datang mengiringi van jenazah, tetapi tidak boleh datang dekat di kawasan perkuburan, kerana tatacara operasi piawai (SOP) dalam membendung risiko jangkitan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Walaupun berat tugas yang dipikul, selain kurang diambil perhatian masyarakat, namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangat Yazrul bersama enam lagi rakan sekerja, yang menjalankan tugas sebagai penggali kubur.

“Biarlah ‘jasa tidak didendang’ asalkan, ‘rumah terakhir’ arwah dapat diuruskan dengan sebaiknya,” kata Yazrul yang hampir enam bulan bertugas sebagai penggali kubur.

Jelas bapa kepada empat cahaya mata ini, kes kematian akibat virus maut itu dilihat semakin meningkat awal tahun ini di seluruh negara, termasuk daerah kecil seperti Putrajaya, yang sekali gus menunjukkan virus Covid-19 semakin mengganas.

Mengakui sebelum menerima suntikan vaksin sebelum ini, timbul juga rasa bimbang ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19, namun terpaksa membuang perasaan itu demi tanggungjawab yang diamanahkan.

“Hampir setiap hari pihaknya menerima panggilan telefon dari Hospital Putrajaya untuk menggali kubur, kerana akan ada jenazah yang akan dihantar ke Taman Selatan di Presint 20, yang menggabungkan tanah perkuburan orang beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian,” katanya.

Sebaik menerima tugasan yang diamanahkan, beliau bersama enam rakan lain akan terus ke tanah perkuburan untuk kerja penggalian, bagi membolehkan jenazah diuruskan dengan segera bagi mengelakkan risiko penularan virus.

“Kerja berpasukan amat penting, terutama dalam memberi sokongan mental kerana kami terpaksa menghadapi cuaca yang tidak menentu, terutamanya ketika panas terik atau hujan yang terlalu lebat.

“Namun dalam apa jua keadaan, semuanya harus diuruskan dengan pantas, kerana kita tidak boleh terlalu lama dengan jenazah. Apa yang boleh kami lakukan ketika itu adalah, sentiasa berdoa semoga urusan jenazah dapat dipermudahkan dan dikebumikan segera,” katanya.

Melihat situasi pendemik yang masih lagi kritikal dengan kes kematian yang tinggi, menyebabkan beliau sedih apabila ada segelintir masyarakat masih tidak nampak bahaya Covid-19, seterusnya mengambil mudah penularan wabak dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, hanya mereka yang kehilangan ahli keluarga atau orang yang disayangi akan sedar semua ini adalah benar dan sekiranya masyarakat masih mengambil mudah, tidak mustahil mungkin suatu hari nanti sama ada kita atau keluarga pula yang akan melalui situasi sama.

Sementara itu, rakan setugas Yazrul, Zulkhurnain Abu Samah, 50, pula menyifatkan kerja penggali kubur walaupun bukan seperti petugas barisan hadapan lain yang menyelamatkan nyawa atau menjaga keselamatan awam, namun tetap memainkan peranan penting terutamanya ketika ‘perang’ pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

“Ini adalah amanah dan kita perlu melaksanakannya dengan penuh dedikasi walaupun susah. Semasa Covid-19 mula-mula melanda negara, memang (kami) khuatir untuk menguruskan jenazah, kerana ketika itu tidak banyak maklumat mengenai penyebaran virus, sifat virus, dan tahap bahayanya.

“Apabila kes harian semakin tinggi dan angka kematian juga meningkat, kami perlu menghadapi tugas dan situasi ini dengan reda,” katanya.

Seorang lagi rakan setugas mereka Mohd Rizal Othman, 41, turut senada dengan sahabatnya bahawa tugas mereka sentiasa terdedah kepada risiko, namun amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan baik dalam apa situasi sekali pun.

“Alhamdulillah…Sehingga hari ini, kami tujuh sahabat selamat dan tiada siapa pun yang dijangkiti atau dikuarantin kerana Covid-19. Ini kerana, (berkat) doa yang tidak pernah putus supaya segala urusan dipermudahkan.

“Selain itu sebagai pelindung, kami sentiasa memastikan SOP pengurusan jenazah dan pengebumian yang diberikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dipatuhi, terutamanya membabitkan tunjuk ajar dalam pemakaian PPE yang betul, selain memantau kerja kami agar semuanya selamat,” katanya.

Walaupun kadang kala merasa tertekan dengan tugas yang memenatkan, namun beliau dan rakan-rakan tidak pernah berputus asa, dan yakin penularan wabak ini akan berakhir sekiranya seluruh masyarakat bekerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengikut nasihat KKM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong beri penghormatan terakhir Allahyarham Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 15 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, malam ini.

Baginda yang tiba di perkarangan masjid berkenaan bersama pegawai pengiring kira-kira pukul 8.00 malam, meluangkan sedikit masa bersama dengan keluarga Allahyarham Ungku Abdul Aziz.

Turut kelihatan di masjid berkenaan adalah anak perempuan Allahyarham, Tan Sri Dr Zeti Akhtar, yang merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.00 petang tadi, dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam ini.

Allahyarham dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Pengasas Harakah Subky Latif meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bekas Pengasas Harakah dan Pengerusi Veteran Pas, Subky Abdul Latif, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak dekat sini 11.05 pagi.

Berita pemergian Subky dikongsikan dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya hari ini dan disahkan oleh anak sulungnya, Dang Fatiha Subky.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin,” menurut hantaran itu.

Ketika dihubungi Bernama, Dang Fatiha berkata, pada saat akhir hayat Allahyarham dikelilingi isteri, Naznah Taha dan lima anaknya.

“Allahyarham meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) pre-leukimia yang ada kaitan dengan darah,” katanya.

Menurut Dang Fatiha, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah selepas Zohor, dekat sini, untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.

-BERNAMA