Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Fasa peralihan monsun berterusan hingga pertengahan Mei

PUTRAJAYA, 19 MAC: Fasa peralihan monsun dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei tahun ini dengan kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 yang dipengerusikannya di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini.

“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Fenomena ini adalah normal, berlaku sekitar Feb hingga April setiap tahun dan tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata jumlah hujan bulanan terendah pada Februari tahun ini adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lepas.

Sementara itu menurutnya 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Mac tahun ini, dan 29 kes kebakaran berskala besar telah dilaporkan, yang melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 saman, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram, di samping menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan serta belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan meningkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.

Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1997 dan bermesyuarat secara dwi tahunan, bertanggungjawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara.

Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Kesihatan, JAS dan MetMalaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembakaran terbuka dalam cuaca panas punca jerebu

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini merupakan ‘jerebu tempatan’ yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan yang kurang dan aktiviti pembakaran terbuka menyumbang kepada indeks pencemaran udara yang tidak sihat seterusnya menyebabkan jerebu.

“Memang ada kena-mengena (cuaca panas), kita tidak banyak menanam (tumbuhan), sebaliknya banyak aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihkan kebun dan sebagainya, maka ia menyebabkan jerebu tempatan,” katanya kepada Bernama hari ini, sambil menafikan ia berpunca daripada pencemaran dari negara jiran.

Beliau berkata menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat juga kebakaran di kawasan hutan simpan pada ketika ini.

Justeru, katanya MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.

Sebelum ini MetMalaysia memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.

Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di utara Semenanjung.

Bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi tadi, tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183 diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141)

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Malaysia dalam fasa peralihan ke monsun barat daya – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Cuaca negara kini dalam fasa peralihan iaitu daripada monsun Timur Laut kepada monsun Barat Daya, yang dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon.

Beliau berkata, pada peralihan monsun diramalkan berlaku hujan lebat dan ribut petir, bagaimanapun cuaca agak panas di sebelah pagi.

“Sekarang peralihan monsun bermula pada Mac dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, jadi bila monsun Barat Daya, hujan dan ribut petir akan mula berkurangan nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, sekitar bulan Ogos dan September pula dikhuatiri berlaku jerebu rentas sempadan, berikutan angin dari arah Barat Daya.

Ditanya sama ada negara kini berdepan dengan cuaca panas melampau atau El Nino, beliau menafikan perkara berkenaan.

“Keadaan panas sekarang ini bukan luar biasa, setiap tahun macam ini, El Nino pada 2016 cuaca sampai 39 darjah Celsius, tapi untuk tahun ini paling tinggi sekitar 37 darjah Celsius, dan hampir kepada 38 darjah Celsius iaitu hanya di Kedah dan Perlis,” kata Jailan.

Kelmarin, suhu hanya mencatatkan 34 darjah Celcius dan hanya sesetengah tempat menunjukkan bacaan 35 darjah Celsius, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jerebu selubungi Bangkok

BANGKOK, 12 DIS: Suasana jerebu menyelubungi persekitaran ibu negara Thailand semasa kualiti udaranya jatuh ke tahap “tidak sihat” di berapa bahagian kota.

Sehingga 8 malam tadi, bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) di Bangkok berada antara 101 dan 175, yang merupakan bacaan tidak sihat.

Sementara itu partikel udara pula mencatatkan angka 2.5 mikron dengan diameter kurang dari (PM2.5) antara 34 ke 80 microgramme setiap meter padu, yang merupakan bacaan tidak sihat.

Samut Sakhon di tengah Thailand mencatatkan kualiti udara paling buruk di mana bacaan AQI berada pada 202, dan PM2.5 dengan 92 microgramme setiap meter padu pada 8 malam tadi (waktu tempatan).

Sementara itu Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand hari ini menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memakai topeng muka semada berada di luar rumah, terutama kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Ia juga menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Menurutnya ia akan terus memantau keadaan dan menyelaras tugas bersama agensi lain yang berkaitan untuk menangani masalah jerebu dan kesannya kepada orang ramai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jerebu: Malaysia-Singapura kerjasama kaji penyelesaian

SINGAPURA, 21 NOV: Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Persetujuan itu dicapai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) Yeo Bee Yin dan rakan sejawatannya dari Singapura Masagos Zulkifli, sewaktu program Pertukaran Lawatan Tahunan (AEV) yang berlangsung dua hari berakhir 15 Nov lalu.

Singapura menjadi tuan rumah kepada AEV tahun ini, yang merupakan satu saluran bagi Kementerian Alam Sekitar kedua-dua negara membincangkan dan menangani isu alam sekitar.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan MESTECC, Yeo dan Masagos melahirkan kebimbangan mengenai jerebu rentas sempadan daripada kebakaran tanah dan hutan di rantau ini, yang menjejaskan rakyat Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua menteri mengambil maklum mengenai perkembangan dilakukan Negara Anggota ASEAN dalam menangani pencemaran jerubu rentas sempadan, dan mengesa semua pihak untuk memperbaharui komitmen mereka dalam melaksanakan Perjanjian ASEAN berhubung Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Selain Yeo, delegasi Malaysia disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) MESTECC, Dr Nagulendran Kangayatkarasu, pegawai kanan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi kerajaan yang lain.

Singapura disertai Setiausaha Tetap Albert Chua dan pegawai kanan dari Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura dan agensi kerajaan lain.

Sejak 1979, AEV memudahkan perhubungan dan kerjasama antara kedua Kementerian berkaitan isu alam sekitar, melalui komitmen jangka panjang dan penyelarasan tindakan.

Kedua-dua menteri juga berbincang mengenai bidang kerjasama baharu seperti perubahan iklim, pengurusan sisa termasuk plastik dan pembungkusan, ekonomi sekitar semula, pencemaran industri dan keselamatan radiasi serta bidang kerjasama lain yang bersesuaian.

Ketika AEV itu, menteri terbabit turut melihat semula kemajuan dicapai Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) yang bermesyuarat pada 14 November 2019.
 
Antara lain, mereka juga bertukar pandangan berkaitan kawalan pelepasan emisi kenderaan.

Menteri terbabit maklum mengenai kerjasama bilateral bagi mengurangkan pelepasan emisi merbahaya kenderaan, bagi mencapai tahap kualiti udara lebih baik di kedua-dua negara.

Mereka mengalakkan kedua-dua negara untuk terus bertukar informasi berkaitan polisi dan mengenalpasti amalan terbaik dalam mengawalnya.

Yeo turut melawat Pusat Penyelidikan Iklim Singapura yang menjalankan kajian kepelbagaian iklim tropika dan perubahannya dan sistem cuaca yang berkaitan di Singapura dan rantau ASEAN.
AEV tahun 2020 akan diadakan di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM30 juta tangani jerebu dari Indonesia

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan dan pencemaran di negara ini dizahirkan melalui peruntukan sebanyak RM30 juta kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia bagi menangani isu itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan dan kapasiti kedua-dua agensi tersebut.

Katanya, usaha itu juga untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar setelah negara dikejutkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dan masalah jerebu rentas sempadan baru-baru ini sehingga menjejaskan kesihatan rakyat negara ini.

Bagi mengurangkan insiden banjir kilat, Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM443.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir manakala RM150 juta bagi menyelenggara pengurusan kolam takungan banjir sedia ada.

“Selain itu, untuk membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta untuk menyediakan pinjaman pada kadar faedah empat peratus,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2020 bertemakan ‘Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’, Guan Eng berkata kerajaan juga komited dalam memulihara keaslian hutan dan biodiversiti semula jadi dengan memperuntukkan RM48 juta bagi tujuan tersebut.

“Sejumlah RM10 juta akan dikhususkan kepada sektor swasta melalui geran padanan. Usaha ini termasuklah menyokong inisiatif Central Forest Spine dan Heart of Borneo selain memulihara hutan terosot,” katanya.

Kerajaan juga katanya, menyokong segala usaha melindungi haiwan terancam termasuk spesies Harimau Malaya dan orang utan dengan menyediakan RM15 juta kepada Perikatan Pemuliharaan Malaysia bagi Harimau (MYCAT), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, dianggarkan terdapat kurang daripada 200 Harimau Malaya dan 11,000 orang utan yang menghuni hutan.

Untuk tujuan sama, Guan Eng berkata sejumlah RM20 juta disediakan bagi melantik renjer daripada kalangan askar bersara dan masyarakat Orang Asli setempat untuk melindungi flora dan fauna dengan baik.

Mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), katanya kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk dana padanan bersama SDG antara Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membiayai inisiatif SDG.

“Sebagai tambahan, kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta untuk Jawatankuasa Pilihan Khas dan aktiviti berkaitan SDG di peringkat akar umbi membabitkan Ahli Parlimen dan masyarakat setempat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Pelajar Malaysia dipindah ke Jakarta kembali ke Riau

JAKARTA, 30 SEPT: Pelajar Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindahkan ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, kembali ke provinsi itu hari ini berikutan keadaan jerebu telah kembali pulih.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, ia berikutan penamatan darurat jerebu di provinsi itu yang bermula hari ini.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas jam 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964 manakala kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas jam 5.05 petang ini dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500, telah menurun ke bacaan bawah 150 sejak dua hari lepas.

“Semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall itu, pulang hari ini ke Jambi dan Pekanbaru,” katanya pada majlis perpisahan bersama pelajar berkenaan di Malaysia Hall, hari ini.

Mereka dipindahkan pada 25 September (kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 September lepas (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabenor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 September lepas berikutan IPU telah melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak beberapa hari lepas, dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar mengumumkan status itu ditamatkan hari ini.

Pelajar terbabit dipindahkan ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindahkan atau pulang ke Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik tengah hari ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan penurunan dengan hanya 14 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat berbanding 25 kawasan pada 7 pagi tadi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), empat kawasan di Selangor masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang merekodkan bacaan paling tinggi iaitu (170), Banting (122), Klang (116) dan Shah Alam (103).

Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di tiga stesen di Negeri Sembilan iaitu Nilai (136), Seremban (106) dan Port Dickson selain Segamat, Johor (110); Temerloh, Pahang (133) ; Kemaman, Terengganu (103); Tanah Merah, Kelantan (103); Putrajaya (122) serta dua kawasan di Perak iaitu Tasek Ipoh (123) dan Seri Manjung (131).

Sementara 51 kawasan lagi merekodkan bacaan IPU sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas dijangka bertambah baik berikutan fasa peralihan monsun akan bermula pada 24 Sept sehingga awal November ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Jerebu semakin pulih, tiga kawasan catat peralihan bacaan IPU

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Tiga kawasan di Sarawak, Pulau Pinang dan Johor mencatatkan penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada tahap tidak sihat kepada tahap sederhana, lewat malam tadi.

Sehingga pukul 11 malam tadi, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kawasan yang mencatatkan penurunan bacaan IPU itu ialah Sri Aman di Sarawak dengan bacaan IPU 91, Balik Pulau di Pulau Pinang (99) dan Batu Pahat di Johor (96).

Selain itu, jumlah kawasan yang merekod bacaan IPU tidak sihat juga menurun kepada 30 berbanding 33 setakat pukul 7.00 malam tadi.

Kawasan Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat paling tinggi iaitu 159, diikuti Johan Setia di Selangor dengan bacaan 158.

Beberapa kawasan yang masih mengekalkan bacaan IPU tidak sihat adalah Tasek Ipoh (128), Pegoh Ipoh (109) Seri Manjung (149) di Perak; Batu Muda (124), Cheras (120) di ibu negara; Putrajaya (144); Kuala Selangor (128), Petaling Jaya (124), Shah Alam (124), Klang (124) dan Banting (140) di Selangor.

Di Negeri Sembilan, dua kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu di Seremban (133) dan Port Dickson (144); manakala di Melaka, Alor Gajah (119), Bukit Rambai (125) dan Bandaraya Melaka (123); dan di Johor, Segamat (146) serta Tangkak (113).

Di Pahang, turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Rompin (119), Temerloh (155), Jerantut (110), Indera Mahkota (133) dan Balok Baru (133); manakala di Terengganu ialah Kemaman (144), Paka (121) dan Kuala Terengganu (121); selain Tanah Merah (113) dan Kota Bharu (114) di Kelantan.

Sebanyak 37 kawasan pula merekod kategori sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: Pesakit terima rawatan meningkat kepada 40 peratus

LABUAN, 22 SEPT: Jumlah pesakit mendapatkan rawatan akibat konjunktivitis, asma dan ruam di kulit meningkat kepada 40 peratus susulan jerebu yang berpanjangan pada masa ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan dalam penyakit bawaan jerebu ini dicatatkan di seluruh negara setakat ini.

“Peningkatan dalam jumlah kes berkenaan berbeza-beza di stesen yang berbeza. Stesen yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (API) yang lebih tinggi menyaksikan jumlah kes yang lebih banyak bagi jangkitan pernafasan, mata merah (konjunktivitis), dan ruam kulit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pencapaian cemerlang Jabatan Kesihatan Labuan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar duduk di rumah dan kurangkan aktiviti fizikal di luar semasa jerebu ini.

“Gunalah topeng mulut dan hidung jika berada di luar dan kerap basuh muka dan bahagian tubuh lain yang terdedah kepada jerebu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) memakaikan topeng kepada seorang kanak-kanak berikutan keadaan jerebu yang melanda di negara ini di ruang legar KL Sentral pada 19 September 2019. Foto BERNAMA

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari menyatakan bahawa pulau ini mencatatkan kurang lima peratus bagi penyakit akibat jerebu, yang dianggap tidak begitu serius.

“Setakat ini API di Labuan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan antara 70 and 80.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

57 sekolah di Selangor ditutup esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT : Sebanyak 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan 30 sekolah di Kuala Langat dan 27 sekolah di Klang.

Penutupan sekolah terbabit membabitkan 68,025 pelajar dan murid.

“Penutupan dilakukan hasil laporan Jabatan Pendidikan Selangor berhubung bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia Klang melebihi 200 pada jam 2 petang, hari ini.

“Sementara sekolah-sekolah yang tidak disenaraikan akan kembali beroperasi seperti biasa pada hari esok, 23 September.

“Bagi sekolah yang merujuk bacaan IPU lebih 100 diingatkan supaya menghentikan kesemua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid. Aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan hendaklah ditangguhkan.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa kesemasa dan pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid dan guru,” kata kenyataan itu.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

IPU Johan Setia kembali sangat tidak sihat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 SEPT : Tahap kualiti udara di Selangor kembali sangat tidak sihat apabila Johan Setia, Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 207 setakat jam 4 petang, hari ini.

Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) juga menunjukkan IPU tidak sihat berlaku di Kuala Selangor (162), Petaling Jaya (138), Shah Alam (143), Klang (138) dan Banting (123).

Sementara Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Johor turut mencatatkan IPU tidak sihat.

Antara lokasi terlibat ialah Sri Aman (125), Kemaman (151), Kuala Terengganu (144), Segamat (130), Ipoh (183), Balik Pulau (170) dan Seberang Perai (113).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).