Categories
NASIONAL

PKR kecam tindakan 2 ADUN Sabah lompat parti

Tian Chua parlimen 01SHAH ALAM 8 NOV : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika dua pemimpin PKR dari Sabah yang bertindak meninggalkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata tindakan dua pemimpin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan besar kepada rakyat Malaysia, khusunya Sabah.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu juga jelas mengkhianati amanah yang diberikan rakyat Sabah ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kenyataan bahawa mereka berdua sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanya satu helah dan alasan biasa bagi membenarkan langkah pengkhianatan mereka ini.

“Tindakan ADUN lompat parti ini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan,” katanya.

Justeru katanya, PKR menggesa rakyat Sabah supaya bersatu padu dan tidak membiarkan taktik kotor BN untuk memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi PR.

Desas-desus berkenaan hasrat ADUN Matunggong, Jailani Hamdan dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad @ Malazah untuk keluar parti menjadi perhatian selepas mereka didapati tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Jeremy dalam satu kenyataan menegaskan tindakannya keluar PKR dan menyokong BN adalah bagi membolehkan kawasan diwakilinya menikmati pembangunan.

Beliau yang mengumumkan keputusan menjadi wakil rakyat bebas turut meletak jawatan Ketua Penerangan PKR negeri, berkuatkuasa serta-merta, baru-baru ini.

-NFN