Categories
AGENDA SUKANKINI

Tim Heubach perkukuh bentang pertahanan Selangor FC

SHAH ALAM, 12 DIS: Selangor FC mengikat pemain dari Jerman Tim Heubach untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Februari tahun depan.

Selangor FC mengesahkan mengikat pemain berasal dari Neuss, Jerman yang mempunyai ketinggian 192 sentimeter (cm) serta pernah beraksi bersama pasukan Ligat Ha’AI Maccabi Netanya itu dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Pemain berkenaan membuat 82 penampilan dan menjaringkan lima gol untuk kelab tersebut, menurut kenyataan itu.

Foto: FA Selangor

Menurut kenyataan itu, Selangor FC adalah kelab Asia pertama disertai Heubach setelah berkelana lama di Timur Tengah selain pernah bermain untuk Borrussia M’glabach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baharu di sini sebelum pulang ke Jerman satu hari nanti.

“Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan The Red Giants di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain bersama pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Heubach berkata beliau juga dimaklumkan mengenai penyertaan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan pernah bertemu dengan jurulatih berkenaan di Jerman pada Oktober lepas.

“Ia adalah pertemuan pertama kami. Saya tidak pernah bekerjasama dengan Neitzel sebelum ini tapi kami pernah menjadi lawan pada satu ketika dulu.

“Semasa bertemu kami berbincang mengenai cabaran baharu untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan harapan beliau terhadap saya,” katanya.

Heubach adalah pemain terbaharu kedua diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan penyerang kebangsaan Shahrel Fikri sebagai penyerang baharu The Red Giants minggu lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pengeluar perabot, peruncit perlu rebut peluang eksport

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Penggiat industri perabot Malaysia perlu bersedia untuk peluang mengeksport pelbagai jenis perabot ke Amerika Syarikat (AS), selepas Covid-19.

Thomas Russell, editor kanan akhbar harian dalam talian AS, Furniture Today, berkata pengeluar dan peruncit di Malaysia perlu mengekalkan kerjasama yang kukuh dengan pelanggan mereka di AS serta memantau perkembangan dan situasi terkini di AS.

“Beberapa negeri di AS akan dibuka semula bermula 1 Mei, dan pesanan dihantar semula.

“Memandangkan Malaysia mempunyai barisan produk yang kukuh untuk kategori seperti pejabat di rumah, ruang tamu dan ruang makan, ini merupakan peluang untuk berkembang,” katanya dalam sesi webinar, ‘Post COVID-19: The Change in Global Furniture Landscape: What is Ahead?’, anjuran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF).

Russell juga berkata penting untuk pengeluar dan peruncit untuk mengekalkan tenaga kerja yang kukuh.

“Terus memberi tumpuan kepada kekuatan anda dan mengurangkan kelemahan. Memahami bagaimana rekaan baharu dapat membantu orang lain bekerja dengan lebih baik dan bersedia untuk pasaran kembali,” katanya.

Sementara itu, Wang Ming Liang, Pengasas dan Pengarah Shanghai Sinoexpo Informa Markets International Exhibition Co. Ltd berkata susulan persekitaran ekonomi China mula pulih, bekalan bahan mentah turut dijangka disambung semula.

Bagaimanapun, Wang berkata perniagaan yang lebih besar dan lebih mampan akan dapat terus berkembang, tetapi kos buruh yang lebih tinggi dijangka menyebabkan perniagaan yang lebih kecil ditutup.

“Trend kini ialah dalam talian. Misalnya, IKEA China, yang melancarkan platform jualan dalam talian pada Mac, menyaksikan jualan dalam taliannya meningkat dua kali ganda daripada jualan luar talian; ini menunjukkan membeli-belah dalam talian menjadi lebih popular, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Selain itu, ramai penganjur turut mengadakan pameran dalam talian menggunakan pelbagai platform, termasuk aplikasi mudah alih seperti WeChat yang sesuai untuk perniagaan, profesional dan pengguna,” kata Wang.

Dalam perkembangan lain, Helmut Max Merkel, Ketua Pengarang portal berita untuk industri perabot Jerman, MÖBELMARKT, berkata situasi industri perabot di Eropah, terutamanya di Jerman, masih tidak pasti.

Beliau berkata kebanyakan perniagaan masih tidak dibenarkan untuk beroperasi dan sukar untuk menjangka keadaan Covid-19.

“Susulan pakar mengunjurkan kemerosotan dalam pertumbuhan ekonomi, banyak pekerjaan, terutamanya dalam industri pelancongan dan hospitaliti, akan terjejas, dan ini akan memberi impak kepada permintaan terhadap perabot.

“Harapan kami ialah penduduk tempatan dapat berbelanja lebih banyak untuk keperluan domestik, termasuk perabot, dan pembinaan perumahan akan menjadi stabil yang dapat membantu industri,” kata Merkel.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jerman perlu 260,000 pendatang baharu setiap tahun penuhi keperluan tenaga kerja

BERLIN, 13 FEB: Jerman memerlukan sekurang-kurangnya 260,000 pendatang baharu setiap tahun sehingga 2060 bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja yang disebabkan oleh kemerosotan demografi, lapor agensi berita China, Xinhua memetik satu kajian terbitan Yayasan Bertelsmann pada Selasa.

Daripada jumlah itu, kira-kira 146,000 orang akan berhijrah dari negara di luar Kesatuan Eropah, menurut laporan kajian terbabit.

Kajian itu turut mengambil kira potensi penduduk tempatan.

Penyelidik menganggap akan terdapat kadar kelahiran yang lebih tinggi pada masa depan selain lebih ramai golongan wanita dan orang tua dalam pasaran buruh.

Bagaimanapun, keperluan tenaga kerja mahir tidak dapat dipenuhi secara domestik.

Ia juga melihat bagaimana digitalisasi akan menjejaskan keperluan imigrasi.

Pasaran buruh yang semakin didigitalkan memerlukan pekerja yang tidak ramai sebaliknya lebih ramai pekerja mahir dengan kelayakan yang tinggi seperti juruteknik dan ahli akademik.

Jorg Drager, Pengerusi Yayasan Bertelsmann, menyatakan dalam penerbitan kajian itu “Migrasi adalah kunci kejayaan masa depan. Jerman memerlukan pekerja mahir termasuk mereka yang berasal dari wilayah di luar Eropah.”

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ukraine mohon bantuan ketenteraan NATO

KIEV 30 NOV: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membantu menghantar kapal tentera ke Laut Azov berikutan pertembungan dengan Russia yang kini makin tegang.

Beliau memberitahu akhbar Bild dari Jerman bahawa pihaknya berharap kehadiran kapal berkenaan dapat ditempatkan bagi tujuan membantu membekalkan keselamatan kepada Ukraine.

“Jerman adalah sekutu kita paling rapat, kami berharap negara ahli NATO bersedia untuk menempatkan sejumlah kapal tentera laut di Laut Azov untuk membantu Ukraine dan memberikan keselamatan,” katanya.

Namun, Presiden Russia, Vladimir Putin pula memberi pandangan sinis terhadap apa yang mahu dilakukan rakan sejawatannya dari negara jiran itu.

Dalam perhubungan yang makin bertambah buruk ketika ini, beliau mendakwa Poroshenko mahu mencipta satu provokasi semata-mata untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya 2019.

Apa pun, kerajaan negara Barat tampak menyebelahi Kiev dan menuduh Moscow menyekat akses ke Laut Azov secara haram yang digunakan kedua-dua negara serta menggunakan kekerasan tanpa sebab munasabah.

Ahad lalu, Russia merampas tiga kapal milik Ukraine serta menahan kru mereka di Selat Kerch di antara Laut Hitam dan Laut Azov.

NATO pula menyuarakan sokongan penuh kepada Ukraine ketika negara berkenaan bukan anggota pertubuhan itu.

Di Moscow, Putin menegaskan tindakan Russia tempoh hari adalah tepat, namun Presiden Donald Trump menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Moscow itu membabitkan sekutu Amerika Syarikat (AS).

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Jerman rayu EU bantu tambah dana Palestin

VIENNA 1 SEPT: Jerman akan menyediakan dana tambahan untuk agensi pelarian Palestin dan merayu negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain turut berbuat demikian susulan pemotongan bantuan Amerika Syarikat, kata Kementerian Luar negara itu hari ini.

UNRWA bergelut dengan kekurangan bantuan sejak AS mengumumkan Januari lalu ia akan mengurangkan dana tahunan sebanyak AS$300 juta (RM1.21 bilion).

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, berkata dalam surat kepada negara anggota EU bahawa agensi itu adalah faktor utama kestabilan di Asia Barat.

Maas tidak menyebut jumlah yang akan disumbang Jerman sebagai tambahan kepada 81 juta euro (RM387 juta) setakat ini pada 2018, tetapi merayu EU turut membantu agensi berkenaan mengatasi defisit.

Kementerian luar mengesahkan kandungan surat berkenaan.

Pengarah UNRWA, Pierre Krahenbuhl, berkata semalam agensi berkenaan memerlukan AS$200 juta (RM823 juta) untuk meneruskan tugas sehingga akhir tahun ini.

Agensi berkenaan membantu lima juta pelarian Palestin berdaftar dan menyediakan persekolahan kepada 526,000 kanak-kanak di Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan.

UNRWA, baru-baru ini memberi amaran dananya cuma cukup memastikan 711 sekolah dibuka bulan depan.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

WC2018: Kroos hidupkan peluang Jerman

SOCHI, Russia 24 JUN: Jaringan dramatik Toni Kroos pada lewat permainan memberi kemenangan 2-1 Jerman ke atas Sweden untuk menghidupkan harapan mereka layak ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2018.

Kroos melakukan sepakan lencong yang menarik untuk memberi tiga mata berharga buat juara dunia empat kali yang kini berkongsi mata bersama Sweden dalam Kumpulan F, tiga mata di belakang Mexico yang mengumpul enam mata.

Sweden mendahului pada minit ke-32 hasil jaringan Ola Toivonen yang mengambil kesempatan daripada kesilapan Kroos yang terlepas bola di bahagian tengah.

Marco Reus bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-48 selepas menyudahkan hantaran lintang Timo Werner.

Jerman terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jerome Boateng diperintah keluar padang pada minit ke-82, namun tetap berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Kroos pada masa kecederaan.

SUMBER: REUTERS

Categories
SUKANKINI

Osorio dedah rahsia kemenangan Mexico, bermain untuk menang

MOSCOW 18 JUN: Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendedahkan kejayaan anak buahnya menewaskan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam aksi sulung Piala Dunia adalah hasil daripada perancangan yang dilakukan selama enam bulan.

Selain itu, dia turut memberitahu pemainnya agar menerapkan mentaliti bermain untuk menang berbanding takut untuk kalah.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu, kami dapat menukar beberapa bahagian disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Hirving Lozano (penjaring gol kemenangan) kerana dia adalah pemain yang pantas. Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” kata Osorio.

Pengendali dari Colombia itu memuji kesungguhan ditunjukkan pemainnya dan turut memberitahu kepada media beliau sanggup bertanggungjawab di atas semua kritikan dilemparkan.

Osorio berkata beliau cuba untuk melindungi pemainnya daripada kritikan bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

“Kata-kata semangat digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah. Saya cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

“Mereka bersaing dengan baik dan mereka bertahan seperti menyelamatkan hidup mereka. Jika kami menang, kredit perlu diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya…itulah dunia bola sepak,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

WC2018: Mexico buat kejutan tumbangkan Jerman

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 17 JUN: Mexico mempamerkan aksi luar biasa apabila menewaskan juara Piala Dunia 2014, Jerman 0-1 hasil jaringan tunggal Hirving Lozano pada aksi pertama Kumpulan F awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Carlos Osorio terlebih dahulu menguji pertahanan Jerman menerusi Hirving Lozano pada minit kedua tetapi rembatannya berjaya dihalang Jerome Boateng.

Seminit kemudian, Timo Werner turut mencuba menerusi rembatan kencang namun melintasi gawang gol Mexico.

Jerman kembali menerusi gerakan Mats Humells tetapi rembatannya didakap kemas penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa pada minit kelapan.

Hector Herrera turut mencuba memecah kebuntuan di minit ke-11 tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.

Neuer sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan tandukan Hector Moreno hasil sepakan percuma Miguel Layun pada minit ke-15.

Werner turut mencuba buat kali kedua di minit ke-19 dan disusuli rembatan kaki kiri Toni Kross selang tiga minit kemudian namun ia tepat ke dakapan Ochoa di gawang Mexico.

Corak permainan pantas yang dipamerkan Mexico akhirnya berjaya memerangkap pertahanan Jerman apabila Lozano membuka tirai jaringan 0-1 pada minit ke-35.

Berpunca daripada tolakan Javier Hernandez, Lozano yang melakukan larian di sebelah kiri memperdaya pertahanan Jerman sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Neuer.

Jerman hampir menyamakan kedudukan di minit ke-39 menerusi sepakan percuma Kross tetapi berjaya ditampan Ochoa lalu singgah ke palang gol.

Bersambung babak kedua Jerman menggandakan asakan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-58 menerusi rembatan Thomas Muller yang berjaya ditepis Ochoa tetapi beliau terlebih dahulu didapati offside.

Joshua Kimmich melakukan sepakan gunting menarik pada minit ke-65 hasil hantaran Boateng tetapi sekadar melewati gawang gol Mexico.

Pemain gantian, Marco Reus turut mencuba pada minit ke-71 tetapi sepakannya gagal menepati sasaran.

Kross mencuba sekali lagi di minit ke-75 tetapi sekadar singgah disisi gawang Mexico.

Mexico yang sekali sekala menyerang hampir mengancam kubu Jerman tetapi percubaan Layun melambung tinggi di minit ke-77.

Layun sekali lagi menghampakan Mexico di minit ke-81 apabila gagal melepaskan rembatan tepat menerusi satu serangan balas pantas.

Ochoa terus mempamerkan kecemerlangan apabila muda mengawal rembatan Kross di minit ke-84 bagi kedudukan semasa kekal 0-1.

Mario Gomez yang masuk menggantikan Werner juga gagal menemui penyudah apabila gagal menanduk tepat di minit ke-88.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
GLOBAL

Jerman dakwa Russia dalang serangan siber

BERLIN 16 APR: Kerajaan Jerman terpaksa merumuskan, serangan siber ke atas Kementerian Luarnya berpunca daripada Russia, kata Menteri Luarnya Heiko Maas memaklumkan penyiar ZDF semalam.

Maas sebelum itu menyenaraikan siri apa yang digelarnya tindakan bermasalah oleh Moscow, termasuk ketiadaan perkembangan dalam melaksanakan gencatan senjata di timur Ukraine, serangan gas beracun di Britain, sokongannya terhadap kerajaan Syria, usaha negara itu untuk mempengaruhi pilihan raya di Barat dan serangan siber.

“Kami berhadapan serangan ke atas Kementerian Luar di mana kita terpaksa beranggapan ia berpunca daripada Russia.

“Saya fikir ia bukan hanya satu alasan namun perlu untuk merumuskan serangan itu bukan satu sumbangan yang membina,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
NASIONAL

Euro 2016: Jerman, Poland kekal rekod tanpa kalah

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 22 JUN: Jerman dan Poland masing-masing mencatatkan kemenangan dalam aksi ketiga Kumpulan C dengan keputusan 1-0.

Jerman yang bertemu Ireland membuka tirai jaringan pada minit ke-30 hasil tolakan Mario Gomez selepas menerima umpanan ke belakang Thomas Mueller.

Bersambung babak kedua, Die Mannschaf melancarkan serangan bertali arus menerusi gerakan dimulakan pemain tengah, Mesut Ozil namun pujian harus diberikan kepada penjaga gol Ireland, Michael McGovern yang berjaya menghalang hampir 10 percubaan.

EURO 2016Perlawanan yang berlangsung tanpa sebarang layangan kad itu dikuasai hampir 70 peratus oleh Jerman.

Sementara Poland yang mengiringi Jerman selaku naib juara kumpulan layak selepas menewaskan Ukraine hasil jaringan tunggal Jakub Blaszczykowski.

Tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama, The White Eagle terpaksa menanti hingga ke minit 54 untuk memecah kebuntuan hasil rembatan kaki kiri Blaszczykowski selepas menerima hantaran ke dalam kotak penalti Arkadiusz Milik.

Ukraine yang menguasai hampir 64 peratus perlawanan gagal menjaringkan sebarang gol dalam edisi Euro 2016.

Berakhir tiga perlawanan, Jerman selaku juara kumpulan berkongsi mata bersama Poland di tempat kedua dan hanya dipisahkan dengan perbezaan gol.

Sementara Ireland Utara yang mengutip tiga mata hasil satu kemenangan masih berpeluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir menerusi slot empat slot tempat ketiga manakala Ukraine pulang hampa tanpa sebarang mata.

Dalam pusingan kalah mati, Poland diundi bertemu naib juara Kumpulan A, Switzerland sementara Jerman menanti pasukan tempat ketiga terbaik dari Kumpulan A, B atau F.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Mario Gotze wira Jerman, Messi dinobat pemain terbaik

Susunan Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jerman terus konsisten dan cemerlang dalam aksi Piala Dunia kali ini apabila muncul juara awal pagi tadi dalam pusingan akhir menentang wakil Amerika Selatan, Argentina, apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan tujuh minit sebelum masa tambahan berakhir melalui Mario Gotze.

Gol itu menjadikan Jerman sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol dengan 17 gol termasuk tujuh ketika memalukan tuan rumah Brazil dalam pusingan separuh akhir sebelum ini.

Perlawanan akhir itu dilihat begitu rancak dan sengit apabila kedua-dua pasukan saling membalas serangan terutama pada separuh masa pertama di hadapan lebih 74,000 penonton di Stadium Macarena.

germnay-getty1605-630 Pemain Argentina dilihat melepaskan beberapa peluang mencipta gol walaupun Jerman menguasai 63 peratus bola.

Antaranya, penyerang Gonzalo Higuain hampir meletakkan pasukannya di hadapan dua kali apabila cubaan pertamanya tersasar selain hantaran cantik Lionel Messi yang disudahkannya, namun ditolak pengadil kerana offsaid.

Perlawanan kali ini juga turut menyaksikan beberapa pemain bertembung dan tercedera di bahagian kepala.

Antara yang paling teruk tercedera adalah pemain Jerman, Christoph Kramer yang berlaga bahu dengan pemain Argentina, Ezequel Garay pada minit ke 17 hingga terpaksa dikeluarkan 14 minit kemudian.

Pemain tengah Jerman, Bastian Schweinsteiger pula mengakhiri permainan dengan muka penuh darah hasil pertembungan tiga penjuru merebut bola.

germany-world-cup-2014_14040140581Kemenangan Jerman pada perlawanan akhir itu melengkapan hatrik pasukan Eropah berkenaan mengingkirkan lawannya tiga kali berturut-turut dalam pusingan kalah mati.

Perlawanan itu juga adalah kali ketiga Jerman menundukkan Argentina, namun sebelum ini melalui peringkat suku akhir pada tahun 2006 dan 2010, menjadikan kemenangan kali ini lebih daripada sekadar bernasib baik.

Penutup edisi kali ini menyaksikan penjaga gol Jerman, Nueuer mendapat anugerah sarung tangan emas selaku penjaga gawang terbaik selain penyerang veterannya, Miroslav Klose, 36, diiktiraf penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 16 gol dalam empat edisi.

Argentina juga tidak perlu terlalu hampa apabila penyerangnya yang juga pemain terbaik FIFA, Lionel Messi dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sementara itu, pemain Colombia, James Rodriguez, mendapat anugerah kasut emas apabila berjaya menjaringkan enam gol dan pemain Perancis, Paul Pogba, pula mendapat anugerah pemain muda terbaik.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Brazil teruk dibelasah Jerman, doa rakyat tertindas termakbul?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JULAI: Tentangan dari segelintir rakyat Brazil terhadap penganjuran Piala Dunia 2014 di negara itu yang disifatkan ‘tidak mempedulikan rakyat’ dilihat sebagai balasan apabila pasukan terbabit dibelasah teruk Jerman dalam perlawanan separuh akhir awal pagi tadi.

Rakyat Brazil sebelum ini bertindak mengadakan bantahan ekoran tidak bersetuju dengan penganjuran terbabit kerana dikatakan sebagai pembaziran dan salah tumpuan pengurusan.

Beberapa hari menjelang Piala Dunia, beberapa rakyat Brazil dizalimi dan diusir oleh pemimpin negara itu.

brazilMereka yang tidak mempedulikan penganjuran perlawanan terbabit menuntut pemerintah menyediakan kemudahan perubatan dan pendidikan yang lebih baik daripada penganjuran Piala Dunia itu.

Brazil dianggar membelanjakan AS$11 bilion (RM34.8 bilion) untuk pesta bola sepak yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu..

Ekoran kekalahan itu juga, peminat bolasepak Brazil meneriakkan kata kesat kepada Presiden, Dilma Rousseff, selepas pasukan Jerman mendahului 5-0 sebelum tamat babak pertama perlawanan separuh akhir itu.

Rousseff bagaimanapun tidak ada di stadium menyaksikan perlawanan berkenaan dan tindakan penonton itu mengulangi apa yang terjadi ketika upacara pembukaan Piala Dunia, tiga minggu lalu.

Selepas tamat 90 minit permainan, Brazil dimalukan Jerman 7-1 dalam perlawanan yang pasti akan meninggalkan parut besar kepada negara bola sepak itu kerana ia adalah kekalahan paling teruk Brazil dalam sejarah Piala Dunia.

photo 1Pasukan itu bermain tanpa arah dengan ketiadaan tonggak utamanya, penyerang Neymar Jr yang retak tulang belakang ketika perlawanan suku akhir menentang Colombia, minggu lalu.

Dalam reaksi laman mikro Twitter pula menyaksikan beberapa pemimpin politik, artis dan orang ramai menyindir pasukan yang sering menyertai Piala Dunia itu.

Antaranya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kekalahan teruk pasukan itu dibelasah Jerman.

“Malang tidak berbau, tetapi pantang berpaling tadah. Kalau mesyuarat Exco pagi ini, ‘instead’ pakai suit, pakai jersey Jerman la,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

photo 4Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula menyifatkannya sebagai sejarah tercipta, kenduri gol pada separuh akhir amat memalukan Brazil.

Manakala, artis juga tidak ketinggalan untuk memberi komen mereka berkenaan perlawanan awal pagi tadi termasuk Datuk Siti Nurhaliza yang ingin Jerman terus mencapai lapan gol.

“Ingatkan kat Malaysia aje boleh masukan gol banyak-banyak dalam satu game rupanya World Cup pun boleh!,” kata Pengarah Filem dan Drama, Michael Ang.

-NFN-