Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA RENCANA

Gubah potongan kertas jadi karya seni, harap tuah lorekan harimau

Pesara guru tekun melukis gabungan bentuk harimau dan jenis bunga yang sesuai bagi memastikan ia membawa makna.

Melukis pada hamparan kertas merah, Lim Cheng Hock, 64, sedar kerja itu perlu teliti. Imaginasi mesti utuh. Barulah corak menarik terhasil.

Memang rumit. Terherot sedikit, lain jadinya. Jika tersilap, beliau perlu kembali kepada proses awal. Hanya setelah berpuas hati, barulah kertas itu dilipat beberapa kali sebelum dipotong menggunakan gunting atau pisau.

Peringkat itu memakan masa, bergantung kepada saiz kertas. Makin besar, makin panjang waktu ditagih. Ada kalanya tiga hingga empat jam sehari hanya untuk melakar satu corak.

Corak gabungan harimau dengan bunga teratai siap selepas empat hari Cheng Hock bertungkus-lumus pada Oktober tahun lalu lagi.

Seni potongan kertas tradisional Cina atau jianzhi itu dijadikan hiasan rumah sempena Tahun Baharu Cina.

Lim Cheng Hock, 64, menunjukkan sebahagian karya seni lorekan kertas atau dikenali jianzhi di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengikut kalendar kaum Cina berdasarkan 12 haiwan zodiak, Tahun Baharu Cina 2022 adalah giliran untuk simbol harimau dengan unsur air.

Setiap haiwan zodiak terbahagi kepada lima unsur iaitu emas, air, kayu, tanah dan api. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, harimau air dianggap mempengaruhi perjalanan manusia tahun ini.

Bekas guru sekolah Cina itu mengabdikan diri di ruang khas rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang sejak 16 tahun lalu untuk menyiapkan jianzhi beberapa bulan sebelum perayaan.

Lim Cheng Hock, 64, menggunting kertas mengikut lakaran zodiak haiwan seperti harimau bagi menghasilkan karya lukisan jianzhi sempena Tahun Baru Cina 2022 di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagi tahun ini, beliau hanya menghasilkan kira-kira 70 rekaan berunsur harimau air, zodiak dalam kalendar Cina. Berbeza tahun-tahun sebelumnya, Cheng Hock menghasilkan hampir 300 rekaan.

Bagaimanapun, faktor usia membataskan kudratnya. Kesungguhannya bukan demi wang ringgit. Sebaliknya semata-mata kecintaan kepada tradisi yang dikatakan bermula sejak Dinasti Han, kira-kira 1,000 tahun lalu.

Simbol tuah

Jianzhi lazimnya ditampal pada pintu atau tingkap rumah sebagai simbol tuah dan kebahagiaan. Ia juga dijadikan hadiah kepada keluarga dan rakan taulan.

“Kalau jual mungkin boleh mencecah sehingga RM1,000 setiap satu kerana dihasilkan secara tradisional. Yang banyak di pasaran banyak jenis bercetak dan murah.

“Saya hadiahkan sahaja dan kongsi tuah. Tetapi, penerimanya pun saya pilih. Hanya yang mereka benar-benar menghargainya sahaja,” kata bekas guru yang bersara pada 2006.

Beliau juga ada menghadiahkan hiasan itu kepada rakannya yang menghidap penyakit kronik bagi memberi semangat untuk melawan kesakitan.

Malah, Cheng Hock menghasilkan jianzhi yang menggabungkan corak jururawat dan doktor, Jalur Gemilang selain diselitkan kata-kata semangat. Semua itu sebagai menghargai peranan petugas barisan hadapan ketika berdepan penularan Covid-19.

Namun, karya yang dihasilkan ketika perintah kawalan dikuat kuasa hanya tersimpan di rumah. Beliau berharap benar rekaannya itu digantung di premis Kementerian Kesihatan.

Lim Cheng Hock, 64, memotong lorekan kertas menggunakan pisau dengan teliti bagi menghasilkan lukisan mengikut lakaran zodiak haiwan sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mula mengenali seni itu sejak berusia 15 tahun, Cheng Hock ketika menginjak ke alam pekerjaan pada 1984 baharulah beliau mengembangkan bakatnya.

Pada tahun itu, beliau tertarik dengan keunikan pelbagai jenis jianzhi di sebuah premis ketika mengunjungi Taipei, ibu negeri Taiwan. Di situ, beliau bertemu seorang wanita yang pakar menghasilkan jianzhi. Beliau juga sempat berguru walau sekadar beberapa hari.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berlatih sendirian hingga mahir. Pada masa sama, Cheng Hock cuba memupuk minat dalam kalangan anak muridnya supaya tradisi itu tidak pupus ditelan zaman.

Menjangkau usia 64 tahun, Cheng Hock yang berasal dari Kulim, Kedah belum mahu berhenti sebaliknya gigih menghasilkan jianzhi dan berusaha memupuk minat generasi muda.