Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Daerah Sepang catat dua kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 21 JUN: Hanya daerah Sepang merekodkan pertambahan dua kes baharu Covid-19 menerusi penularan bukan warganegara daripada keseluruhan empat di Selangor, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor.

Agensi terbabit memaklumkan kedua-dua kes tempatan itu merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,513 daripada kluster syarikat pembersihan.

“Bakinya adalah dua kes import iaitu kes pengembara dari Sydney, Australia dan Surabaya, Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini terdapat 123 kes import dilaporkan di Selangor dengan jumlah tertinggi 23 kes masing-masing dari Mesir dan Indonesia.

JKN Selangor menjelaskan pertambahan dua kes sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif di Sepang adalah 151 kes dan keseluruhan 2,025 di negeri ini.

Secara keseluruhan Hulu Langat kekal mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 630 kes diikuti Petaling (436), Gombak (257), Klang (189), Hulu Selangor (76), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 16 kes baharu direkodkan hari ini dengan 13 daripadanya adalah penularan tempatan membabitkan sembilan bukan warganegara dan empat warganegara serta tiga kes import.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat tahfiz rekod tujuh kes baharu Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 20 JUN: Tujuh pusat tahfiz di Selangor masing-masing merekodkan satu kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor memaklumkan, kes dikesan menerusi saringan di Sepang iaitu tiga kes diikuti Klang (dua) serta masing-masing satu di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Kes di Sepang membabitkan Maahad Tahfiz Al-Ansori, Pusat Tahfiz Al-Quran Al-Ulum dan Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz manakala Klang iaitu Pusat Tahfiz Al-Amin dan Pusat Tahfiz Jeram.

“Bagi Kuala Selangor pula kes saringan di Pondok Motivasi Hamlatul Quran selain Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah di Hulu Selangor,” kata agensi berkenaan dalam kenyataan.

Selain kluster pusat tahfiz, Sepang dan Kuala Selangor turut mencatatkan kes positif membabitkan kontak rapat.

JKN Selangor memaklumkan satu kes membabitkan petugas hadapan bukan pegawai kesihatan dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Kuala Langat.

Sebanyak 12 daripada 21 kes Covid-19 di seluruh negara hari ini dicatatkan di Selangor dengan dua daripadanya kes import membabitkan warga Malaysia dan bukan warganegara iaitu permastautin tetap yang pulang daripada Surabaya, Indonesia.

Secara keseluruhan Hulu Langat mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 630 kes diikuti Petaling (436), Gombak (257), Klang (189), Hulu Selangor (76), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

Categories
AGENSI SELANGOR

JKN Selangor rampas produk makanan, 16 premis disita

SHAH ALAM, 22 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas sebanyak 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai RM20,560.50 dalam ‘Ops Khas Akuan Kesihatan’ yang diadakan di seluruh negeri pada 17 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, operasi dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu turut menyita 16 premis jualan kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Objektif operasi ini adalah untuk mengenalpasti kepatuhan akuan yang dibenarkan pada pelabelan produk makanan dan minuman kesihatan yang berada di premis jualan dengan menyasarkan premis jualan seperti farmasi, kedai jamu dan kedai jualan runcit

“Antara kesalahan yang paling ketara dikenalpasti adalah terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu.

“Di samping itu, perihal penandaan tarikh juga dititikberatkan penjualan atau mengimport produk makanan yang telah tamat tarikh adalah tidak dibenarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 14(9)(b) PPM 1985.

“Selain itu, perkara lain yang turut diperiksa bagi semua label makanan adalah berkenaan nama dan alamat pengilang yang perlu dinyatakan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Peraturan 11(1)(j) PPM 1985 iaitu bagi produk makanan yang dikeluarkan, disediakan atau dibungkus di Malaysia, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi produk makanan yang diimport, label makanan perlu menyatakan nama dan alamat pengilang di luar negara serta nama dan alamat syarikat pengimport di Malaysia.

Dalam operasi sama, sebanyak 10 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM30,000.

Categories
AGENSI SELANGOR

JKN Selangor rampas produk beralkohol RM11,695

SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor merampas 831 produk minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai RM11,695 dalam ‘Ops Minuman Beralkohol’, pada 19 September lalu.

Pengarahnya, Dato’ Dr Khalid Ibrami berkata, jumlah itu adalah hasil pemeriksaan di 92 premis penjualan di seluruh negeri kerana tidak mematuhi keperluan pelabelan produk minuman beralkohol yang dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Objektif operasi ini adalah bagi memastikan semua produk minuman beralkohol yang tersenarai di bawah Peraturan 362 sehingga Peraturan 386 PPM 1985 merangkumi produk seperti wain, sider, bir, brandi, rum, wiski, vodka dan lain-lain yang dijual di pasaran mematuhi peruntukan berkaitan produk minuman beralkohol,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi sama, sebanyak 15 notis kompaun bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan nilai RM52,500.

“Kesalahan boleh dikompaun yang banyak ditemui adalah kegagalan penjual untuk mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh membayakan Kesihatan’ di hadapan premis jualan minuman beralkohol dan tanda larangan jualan kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter.

“Selain itu, terdapat premis tidak menyediakan kabinet atau rak yang berasingan bagi mempamerkan minuman beralkohol dengan makanan lain untuk jualan,” katanya.

Katanya, JKN Selangor sentiasa peka terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan atau penipuan dalam pengilangan serta penjualan produk makanan selain mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini terkawal.