Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Mesyuarat minggu depan bincang kes Covid-19, tindakan lanjut

PETALING JAYA, 13 FEB: Kerajaan Negeri akan bermesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) minggu depan bagi mendapat gambaran tepat berhubung kes Covid-19.

Perbincangan juga meliputi isu kluster, dos penggalak dan persediaan negeri serta agensi berkaitan untuk mencegah penularan wabak, kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

“JKNS sebahagian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan jumlah pesakit ada pada mereka. Mereka akan terangkan kepada kita dan kemudian boleh ambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata penerima vaksin Sinovac bawah program Vaksin Selangor (Selvax) akan dihubungi segera untuk mengambil dos penggalak bagi mencegah jangkitan wabak.

“Kerajaan Negeri ada data penerima dan pasukan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan lihat siapa belum ambil dos penggalak. Ini adalah langkah mencegah penularan wabak,” katanya.

Jangkitan harian Covid-19 turun 1,730 kes kepada 21,072 dengan jumlah pesakit serius masih rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata 99.59 peratus atau 20,986 orang dalam kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) manakala baki kategori 3, 4 dan 5.

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

JKNS kongsi panduan kesihatan ketika hadapi banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkongsi panduan kesihatan ketika menghadapi banjir untuk rujukan orang ramai.

Jabatan menyenaraikan infografik persiapan sebelum, semasa dan selepas dilanda banjir selain sembilan langkah bagi mengelak penyakit bawaan air.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

273 premis makanan di Selangor dapat sijil bersih, selamat dan sihat

SHAH ALAM, 24 NOV: Sebanyak 273 premis makanan di Selangor memperoleh sijil pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah itu merangkumi restoran, kafeteria, medan selera, kantin sekolah, kantin hospital dan kendera saji.

“Tahniah kepada kesemua premis kerana komited menjaga kualiti kebersihan dan keselamatan makanan dengan mempamerkan tag kalori makanan serta berjaya memperoleh markah lebih 86 peratus.

“Semoga usaha ini terus dikekalkan di samping menjadi ikutan kepada pengusaha premis makanan lain di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan tahap kebersihan masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, dengan pengiktirafan BeSS itu juga ia diyakini mampu mengurangkan risiko pencemaran makanan dan memberi maklumat terperinci kepada pelanggan berhubung pemakanan sihat.

Dr Sha’ari turut berkongsi kriteria permohonan sijil BeSS iaitu pengusaha perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau agensi berkaitan, berdaftar dengan KKM melalui Pendaftaran Premis Makanan dan premis perlu mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Antara premis makanan tidak layak memohon pengiktirafan itu adalah yang menjual satu pilihan makanan sahaja dan tinggi kalori, gula, garam atau lemak; beroperasi bermusim seperti bazar Ramadan serta hanya menjual minuman alkohol.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesakit taun sembuh, JKNS tetap bersedia jika ada jangkitan baharu

SHAH ALAM, 15 NOV: Warga tempatan yang dijangkiti taun atau kolera di Petaling bulan lalu sudah sembuh, menurut EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjalankan usaha mencari punca jangkitan melibatkan semua kontak penyedia makanan namun belum menemui punca sebenar.

“Kes dikesan 21 Oktober. Siasatan mendapati semua (penyedia makanan) bebas daripada kuman. Walaupun tak dapat kesan punca, JKNS tetap mengambil langkah bersedia sekiranya ada lagi kes ini.

“Peniaga makanan diminta lebih teliti menjaga kebersihan jualan. Orang awam yang mengalami cirit-birit, muntah dan loya diminta segera mendapatkan rawatan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Minum air yang dididihkan atau terawat. Jika ada simptom kolera terus dapatkan rawatan,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter mengesahkan berlakunya jangkitan berkenaan.

Sebagai langkah pencegahan, JKNS meminta semua pengamal perubatan melaporkan kes wabak yang disahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui sistem e-notifikasi dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, mereka juga diminta mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi kes yang disyaki kolera.

Sementara itu, PKD turut diminta mempertingkatkan pemantauan ‘acute gastroenteritis’ (AGE) di semua klinik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JKNS kesan kes kolera, orang awam dinasihat elak makanan mentah

SHAH ALAM, 14 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan satu kes jangkitan kolera di Petaling, menurut menteri kesihatan.

“Orang awam dinasihati hanya minum air dirawat atau dididihkan, jaga kebersihan kendiri, jangan makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna,” tulis Khairy Jamaluddin di Twitter.

Kolera merupakan penyakit ‘enteric akut’ disebabkan bakteria ‘vibrio cholerae’ yang mana gejala awal adalah cirit-birit tanpa sakit, loya serta muntah dan boleh membawa kepada dehidrasi serta kematian.

Sebagai langkah pencegahan, JKNS meminta semua pengamal perubatan melaporkan kes wabak yang disahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui sistem e-notifikasi dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, mereka juga diminta mengambil sampel najis bagi ujian kultur dan sensitiviti bagi kes yang disyaki kolera.

Sementara itu, PKD turut diminta mempertingkatkan pemantauan ‘acute gastroenteritis’ (AGE) di semua klinik.

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS: Ketua jururawat maut akibat Covid-19, bukan disebabkan vaksin

SHAH ALAM, 29 OKT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) hari ini mengesahkan kematian seorang ketua jururawat di negeri itu adalah disebabkan Covid-19 dan bukan kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

“Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin Covid-19 pada 17 Feb lepas namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Dr Sha’ari berkata ketua jururawat itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lepas dan mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

“Beliau mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah Kesihatan Negeri individu awal terima suntikan dos penggalak

SHAH ALAM, 14 OKT: Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman menjadi individu terawal di negeri ini menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan pemberian dos penggalak itu bagi memastikan perlindungan yang lebih optimum kepada penduduk terutama golongan berisiko tinggi.

Menyusuli Dr Shaari, seramai 29 petugas kesihatan lain di Hospital Shah Alam pula menerima suntikan penggalak tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman menunjukkan isyarat bagus ketika menerima suntikan penggalak vaksin Covid-19 hari ini. Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan kementerian akan memulakan dos penggalak bagi warga emas dan anggota barisan hadapan yang telah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya selepas enam bulan.

Khairy berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pemberian dos penggalak membabitkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dahulu dan individu terbabit akan menerima vaksin yang sama (Comirnaty).

Categories
AGENSI SELANGOR

Jabatan Kesihatan luang 30 minit nasihati kakitangan agama tolak vaksin

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) meluangkan masa hampir setengah jam semalam untuk memberi konsultasi kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Nooraini Ahmad Zaki yang ditugaskan di stesen kaunseling dalam Program Vaksinasi Khas Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kebanyakan kumpulan itu tidak bersedia menerima vaksin.

“Selain itu, ada juga sebahagian daripada mereka mahukan vaksin jenis lain berbanding yang diberikan Pfizer. Bagaimanapun kita tetap mendengar keluhan mereka dan akan membantu sebaik mungkin supaya mereka dapat vaksin.

“Secara peribadinya, saya agak sedih dan kecewa kerana tindakan ini memberi risiko kepada pelajar tetapi pada masa sama gembira kerana ada juga guru yang menerima penerangan dan bersetuju divaksin,” katanya ketika ditemui di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sementara itu, wanita dikenali sebagai Aminah pula memaklumkan dia memutuskan untuk menerima vaksin kerana akur dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Saya mendapat surat dan akur dengan titah Tuanku dan satu sekolah akur dengan arahan diberikan. Saya menolak mengambil vaksin kerana risau dengan keselamatan jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zaleha  enggan menerima vaksin kerana takut melihat kesan suntikan yang dialami adik-beradiknya.

“Saya khuatir kerana adik-adik menerima alahan teruk selepas divaksin. Selain itu saya juga masih menyusukan anak kecil berusia setahun,” katanya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JKNS sedia anjur semula program vaksin guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah

SHAH ALAM, 23 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedia menganjur semula program pelalian untuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya memahami kumpulan terbabit tidak mendapat input yang betul tentang vaksin.

“Mungkin apabila melihat kawan-kawan yang mengambil vaksin boleh mengajar dan terpanggil untuk mengambil suntikan kita akan cuba berikan.

“Kita akan mengadakan program vaksinasi sama seperti ini dan mereka boleh hadir walaupun tanpa janji temu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Terdahulu, seramai 872 guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah diarah hadir menerima suntikan menerusi program yang dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Bagaimanapun Mohd Shahzihan memaklumkan setakat jam 11 pagi semalam seramai 146 telah hadir tetapi 80 peratus daripadanya menolak terima vaksin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 negeri dijangka terus menurun, capai paras minimum

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kes Covid-19 di Selangor dijangka terus menurun pada minggu akan datang berdasarkan corak jangkitan beberapa hari kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata kes harian dan mingguan di negeri ini juga dijangka mencapai tahap minimum yang disebut sebagai paras endemik.

“Mengikut trend kes harian dan mingguan terkini yang terus menunjukkan penurunan, dapat dijangkakan bahawa akan terdapat penurunan berterusan pada minggu-minggu mendatang.

“Penurunan perlu dikekalkan atau ditambah baik dengan meningkatkan lagi program imunisasi Covid-19 di Selangor terutama membabitkan golongan sasar seperti pekerja tempatan dan asing serta remaja yang bakal kembali ke sekolah tidak lama lagi,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, beliau berkata saringan kepada individu bergejala perlu terus ditumpukan sebagai strategi mengawal penularan wabak di negeri ini.

“Mereka yang bergejala digalak mendapatkan rawatan segera tanpa berlengah kerana langkah ini akan memberikan impak positif dalam mengawal pandemik di Selangor,” katanya.

Selangor mencatatkan jangkitan paras 2,000 tiga hari berturut-turut mulai Isnin. Sebanyak 2,989 kes direkodkan semalam, 2,107 kelmarin manakala 2,126 kes pada Isnin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengarah kesihatan sebak, petugas hadapan ‘takkan mengalah’ perangi wabak (VIDEO)

SHAH ALAM, 7 OGOS: Semangat kira-kira 30,000 petugas kesihatan di negeri ini dalam memerangi wabak Covid-19 jelas terpancar dalam video terbitan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Di sebalik paras kes harian peringkat kebangsaan mahupun negeri masih tinggi, rakaman tiga minit 49 saat yang dimuatkan ke Youtube sejak semalam memperlihat tekad mereka untuk membendungnya.

Sebahagian memakai sut perlindungan diri (PPE), kumpulan petugas tersebut secara berasingan dilihat mengacung tangan sambil tegas melaungkan ungkapan “kita takkan mengalah”.

Mereka antaranya kakitangan hospital, pusat kesihatan daerah, klinik kesihatan, skuad vaksin bergerak, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan unit kawalan penyakit di serata negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman pula kelihatan sebak ketika mengajak seluruh rakyat bersama-sama bergandingan dalam membendung virus tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut merakam ucapan tahniah dan terima kasih atas atas ketahanan, ketabahan dan kecekalan yang ditampilkan mereka sepanjang pandemik.

“Sejarah akan melihat jasa barisan hadapan sebagai wira sebenar negara kita dalam memerangi wabak Covid-19. Terima kasih dan salut kepada anda,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pula menyifatkan petugas barisan hadapan telah melakukan yang terbaik sekalipun berdepan pelbagai bentuk kesukaran.

“Segala usaha, keringat, air mata dan pengorbanan anda dalam perjuangan ini akan dikenang dalam lipatan sejarah negara,” katanya lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tambah katil hospital antara usaha JKNS tangani kenaikan kes Covid-19

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penambahan kapasiti katil hospital merupakan antara usaha Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam menangani kenaikan kes wabak.

Pengarah Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ia sebagai persediaan empat hospital yang dijadikan pusat rawatan Covid-19 sepenuhnya menerima lebih ramai pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

“Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti daripada 1,311 kepada 1,602 katil meliputi wad dan juga unit rawatan rapi (ICU), manakala Hospital Ampang mempunyai 640 katil untuk pesakit Covid-19.

“Hospital Selayang mempunyai 900 katil diperuntukkan bagi pesakit Covid-19 selain 658 katil Hospital Serdang diperuntukkan bagi tujuan sama,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Selain itu, katil Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Banting serta Hospital Kajang turut ditambah kepada 10 hingga 20 peratus.

Dr Sha’ri menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang yang awalnya hanya menerima pesakit kategori satu, dua dan tiga kini turut menerima kategori empat.

“Perkhidmatan ambulan untuk mengambil pesakit ke hospital juga ditambah melalui ambulan standby sewaan ambulan swasta.

“Semua hospital diberi tambahan silinder oksigen yang mana 3,000 tangka oksigen dibekalkan ke PKRC MAEPS,” katanya.

Jelasnya, terdapat 27 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di negeri ini yang mana setiap daerah mampunyai sekurang-kurangnya satu pusat yang dilengkapi peralatan untuk menangani kes kecemasan.