Categories
SELANGOR

JKP Zon 20, PeBT 18, Menang Anugerah Terbaik MPSJ

MB JKP MPSJ 01

SERDANG 21 DIS: Atas kegigihan mereka dalam mengadakan program kebersihan kommuniti sepanjang tahun, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 20 memenangi anugerah Anugerah JKP Terbaik Keseluruhan bagi Subang Jaya,

JKP MPSJ 01Pengerusi JKP Zon 20 Sufari Tinnin, 40, berkata beliau tidak menjangka untuk mendapat anugerah tersebut daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Katanya, pada tahun ini JKP Zon 20 telah menganjurkan pelbagai program seperti gotong royong pembasmian tikus di kawasan Seri Serdang, kempen keselamatan dan cegah demam denggi serta bengkel menjahit khusus kepada wanita.

“Saya tidak pernah menyangka untuk diberi pengiktirafan atas usaha yang dilakukan.

Termasuk mengadakan program-program untuk penduduk dan membawa permasalahan penduduk kepada pihak atasan,” katanya yang memenangi wang tunai RM 1,000 dan sijil penghargaan.

JKP Zon 20 turut mendapat johan bagi kategori program kemasyarakatan terbaik, tempat ketiga bagi pengurusan kewangan terbaik dan kepimpinan JKP terbaik.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan malam tadi.

Mereka diiringi Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi serta Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi.

Sementara itu, Anugerah PeBT Terbaik 2012 dimenangi oleh PeBT Zon 18 yang juda mendapat RM,1000 serta sijil penghargaan.

Mereka turut mendapat johan bagi Anugerah Kepimpinan PeBT Terbaik serta tempat kedua bagi Anugerah Program Sukan Terbaik.

PBET MPSJ 01Pengerusinya Mohd Fitri Jamaludin, 29, berkata, sokongan daripada segenap masyarakat termasuk belia diperlukan dalam menggerakkan program PeBT.

Abdul Khalid di dalam ucapan perasmiannya berkata, kecemerlangan yang disumbangkan oleh setiap JKP dan PeBT diharap dapat diteruskan dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

“Kejayaan kerajaan tempatan ini adalah kejayaan bersama kerana mempunyai suatu kumpulan yang bekerjasama dengan baik dalam memelihara kesejahteraan semua masyarakat di sesebuah kawasan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Saguhati Bagi Pengadu Kepada Talian Khidmat Pelanggan

MB Batik Merah Speech 01

SERDANG 21 DIS: Kerajaan Selangor akan memberikan saguhati kepada individu-individu yang melaporkan tiga permasalahan utama kepada pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan mulai tahun hadapan.

Pusat talian khidmat pelanggan yang bakal dilancarkan pada 15 Januari 2013 itu akan mengumpul aduan tentang tentang masalah kutipan sampah, bekalan air terawat dan keadaan jalanraya di kawasan mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif akan diberikan kepada setiap pengadu sebagai usaha Kerajaan Negeri menghargai setiap aduan sebagai maklumbalas bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, setiap permasalahan akan direkodkan dan dari masa ke semasa individu terbabit akan dihubungi untuk mengetahui jika ada permasalahan baru di kawasan mereka untuk diadukan pada masa akan datang.

“Ini adalah cara masyarakat di setiap komuniti untuk melibatkan diri bersama-sama Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku,” katanya.

Abdul Khalid ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Hotel Palace of The Golden Horses, Sri Kembangan malam tadi.

Dalam pada itu, pusat khidmat pelanggan ini akan membantu semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita ada pasukan khas yang akan menjalankan pusat talian khidmat pelanggan ini dan bukannya dilakukan oleh kerajaan tempatan.

“Bila perkara ini mula dijalankan, dan permasalahan mula diajukan kepada kita, kita akan minta bantuan daripada pihak PBT yang terlibat untuk membantu menyelesaikan masalah seperti sampah dan jalan rosak,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PBT Perlu Pantau Akaun Kutipan Tapak Pasar

PANDAN INDAH, 7 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor disaran membuat pemantauan secara berkala terhadap akaun kutipan tapak pasar pagi dan pasar malam di kawasan masing-masing bagi memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai PBT (JPK-PBT), Haniza Talha semasa mengadakan pendengaran tertutup bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) di Menara MPAJ, semalam.

Menurut Haniza, PBT bertanggungjawab memaklumkan kepada JPK-PBT berkaitan pengurusan kedua-dua pasar serta menerangkan bagaimana pengagihan kutipan bagi setiap tapak pasar dibelanjakan.

Seperti MPAJ, katanya, peniaga dikenakan bayaran RM4 untuk setiap petak di mana RM1 diberikan kepada Majlis manakala selebihnya kepada JKP untuk kerja-kerja pembersihan, keselamatan serta program kemasyarakatan.

“Tujuan kami membuat pendengaran tertutup ini adalah untuk memastikan sama ada pengambil alihan pengurusan pasar malam dan pasar pagi dijalankan atau tidak. Kedua untuk melihat bagaimana akaun kutipan itu dibuat.

“Berdasarkan laporan yang diterima, hanya sembilan daripada 18 JKP menghantar laporan akaun kepada pihak Majlis untuk disemak. Oleh itu, kita tegaskan dalam minggu ini mereka perlu serahkan kesemua laporan atau kebenaran menguruskan pasar akan ditarik semula,” katanya.

Hadir sama, Adun Teratai, Jenice Lee, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Difahamkan, MPAJ di bawah pengurusan JKP mengendalikan 30 lokasi pasar malam di sekitar kawasan itu, manakala 10 petak pasar pagi diuruskan oleh persatuan peniaga.

Dalam sidang media sama, Haniza turut mengingatkan MPAJ supaya mengambil alih sepenuhnya pengurusan pasar pagi di kawasan itu selewat-lewatnya awal tahun depan.

Katanya, ia bagi memastikan supaya peniaga tidak dikenakan caj melampau ke atas sewaan petak.

“Tanggungjawab mengurus pasar pagi perlu diuruskan oleh PBT. Setakat ini, pihak persatuan agak keberatan untuk menyerahkannya semula kepada PBT kerana mereka menerima pendapatan lumayan.

“Persatuan tidak berhak untuk kutip sewa tapak. PBT perlu ambil alih semua tapak itu selewat-lewatnya tahun depan. Arahan ini dikeluarkan Exco dalam Mesyuarat Tertinggi Exco Selangor (MTES) pada Mei lalu,” katanya lagi.