Categories
SELANGOR

JMB/MC perlu ambil insurans elak kejadian luar jangka

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 18 NOV: Badan Pengurusan Bersama (JMB/MC) pangsapuri disarankan supaya mengambil skim perlindungan insuran bagi menghadapi kejadian luar jangka akibat bencana.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan sesuai pada kadar munasabah.

“Saya ingin tekankan supaya JMB/MC mengambil insurans kerana apabila berlaku bencana alam, kemalangan dan vandalisme, mereka sudah ada perlindungan kecemasan luar jangka.

“Kerajaan Negeri sudah mengambil inisiatif bagi membolehkan pengambilan insuran oleh JMB/MC secara berpusat.

“Ini bertujuan supaya insuran diambil semua JMB/MC seragam, nilai kompetitif dan mendapat perlindungan komprehensif supaya tidak berdepan masalah kewangan jika berhadapan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Perdana JMB/MC Pangsapuri Negeri Selangor Tahun 2018 di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Nazmi Osman.

Menurutnya, bentuk caruman insurans itu masih dikaji tetapi beliau mencadangkan supaya ia dimasukkan dalam bayaran penyelenggaraan pada kadar munasabah buat penduduk.

Selangor mempunyai lebih 1,300 pangsapuri kos rendah dan Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan RM145.3 juta untuk membaik pulih kemudahan fizikal seperti lif, bumbung, tangki atau paip air serta mengecat semula bangunan.

Dalam majlis sama, Haniza turut kagum melihat kesungguhan beberapa JMB/MC yang berjaya mewujudkan beberapa siri inovasi bagi meningkatkan pendapatan serta menjimatkan kos penyelenggaraan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMB/MC perlu berintegriti urus sumber kewangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUL: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) perlu berintegriti dalam mengendalikan sumber kewangan bagi melancarkan pengurusan sesebuah pemajuan berstrata.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, hal itu kerana sumber kewangan adalah nadi bagi memastikan ianya tidak menjejaskan operasi, penyelenggaraan fasiliti dan bangunan.

“Ilmu pengurusan kewangan membabitkan pelbagai aspek dan situasi antaranya integriti. Amanah ini ditakrifkan sebagai berintegriti, akauntabiliti dan Kebolehpercayaan.

“Pihak ini perlu diberi kefahaman dan kekuatan ilmu supaya mereka boleh melaksanakan tugas sekali gus, mengurangkan permasalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Seminar Pengurusan JMB/MC Selangor Siri 1/2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Haniza berkata, selain itu, pihak JMB/MC juga perlu adil dalam menyalurkan perbelanjaan supaya tidak menimbulkan perselisihan faham antara pengurusan dan penduduk.

“Ada kes JMB/MC banyak kumpul duit, namun tidak digunakan untuk perkara memanfaatkan pemilik. Ini menimbulkan pergaduhan dan menyebabkan pemilik tidak mahu lagi membayar caj bulanan semasa.

“Selain itu, pihak pengurusan juga perlu memahami aspek merancang perbelanjaan dan aspek teknikal serta pelaksanaan yang perlu dipelajari,” katanya.

Pada masa sama, Haniza turut mahu aspek pendidikan komuniti tidak diabaikan semua pihak.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kesedaran secara berterusan kepada pemilik berstrata supaya mereka mendisiplinkan dan menjelaskan bayaran.

“Kerajaan Negeri menyediakan platform kepada semua JMB/MC supaya mereka berkongsi pengalaman.

“Tidak semua gagal dalam melaksanakan kutipan tetapi boleh diikuti dan mempelajari sesama mereka yang mendapat kutipan melebihi 60 peratus,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemilik Pangsapuri Kos Rendah Terima Potongan Cukai 25%

SHAH ALAM, 28 NOV -:Pemilik pangsapuri kos rendah boleh mendapat potongan 25 peratus cukai pintu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) walaupun tidak wujud Badan Pengurusan Bersama(JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) di pangsapuri mereka.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, potongan diberikan terus kepada pemilik ketika membuat bayaran cukai pintu di PBT bersama borang khas.

Katanya, potongan tidak hanya diberikan jika keseluruhan pemilik di suatu pangsapuri membuat permohonan.

“Walaupun seorang pemilik membuat permohonan, beliau akan mendapat potongan 25 peratus.

“Setiap permohonan mestilah disertakan bersama borang khas yang disahkan oleh pengerusi JMC atau MC, Pesuruhjaya Bangunan (COB) PBT atau Ahli Majlis PBT,” katanya.

Beliau menambah, potongan juga hanya untuk pangsapuri-pangsapuri yang didiami oleh pemilik atau waris pemilik.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri masih belum ada bilangan pemilik yang diberikan potongan kerana polisi ini baru sahaja dikuatkuasakan pada bulan September lepas.

“Data-data ini akan diperolehi daripada PBT-PBT pada akhir tahun ini.

“Dari data ini, satu kajian juga akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menentukan sama ada dengan potongan cukai maka lebih ramai pemilik membayar yuran penyelenggaraan pangsapuri mereka,” ujar beliau lagi.