Categories
NASIONAL

KL, Jakarta perhalusi inisiatif bagi buka sempadan kedua-dua negara

JAKARTA, 10 NOV: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan pengurusan koridor perjalanan melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane berikutan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menteri-menteri berkaitan akan memperhalusi inisiatif itu supaya sempadan kedua-dua negara dapat dibuka membabitkan laluan Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Bali-Kuala Lumpur.

“Jika dipercepatkan urusan untuk butirannya, pernyataan bersama akan dibuat bagi mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau yang bermula Selasa.

Mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, perdana menteri memberi jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Ismail Sabri berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah diluluskan pindaannya tahun lepas, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja bagi rakyat tempatan dan rakyat asing termasuk dari Indonesia.

Perdana Menteri turut memberi jaminan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata warga Indonesia boleh memanfaatkan program pemutihan yang dilanjutkan oleh kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini sama ada pulang secara sukarela atau bekerja secara sah.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan juga akan dipertingkat melalui penyenaraian bersama ke UNESCO beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama,” kata beliau.

Berhubung sempadan maritim kedua-dua negara, Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan perkara itu.

“Ada empat isu yang berkaitan, dua isu telah selesai dan boleh ditandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dan Jokowi bersependapat isu Myanmar perlu ditangani dengan baik kerana kesan daripada masalah di negara itu memberi impak besar kepada Malaysia daripada segi kedatangan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia yang sekarang berjumlah lebih 200,000 orang.

Pada akhir sidang akhbar itu Ismail Sabri menjemput Jokowi melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Jokowi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak dua kali sejak memegang jawatan presiden negara itu.

Terdahulu Ismail Sabri dan Jokowi menyaksikan dua MoU ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan kastam.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jokowi harap Malaysia lindungi pekerja migran Indonesia

JAKARTA, 5 FEB: Presiden Joko Widodo berharap Malaysia dan Indonesia melaksanakan satu memorandum persefahaman yang baharu, bagi melindungi pekerja Indonesia di Malaysia agar pekerja dari negara itu tidak menjadi mangsa dalam perdagangan manusia.

“Saya menyampaikan apresiasi, penghargaan atas kerja sama perlindungan WNI (warga negara Indonesia) di Malaysia, terutama selama pandemik (Covid-19),” kata Jokowi dalam penyataan bersama selepas mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Merdeka, Jakarta, hari ini.

Menurut Jokowi, kedua-dua negara perlu membangunkan satu saluran atau sistem khusus berkaitan penempatan dan pengambilan tenaga kerja, dari Indonesia.

“(Saluran atau sistem khusus itu) Untuk mencegah terjadinya para pekerja menjadi korban perdagangan manusia,” katanya.

Pada penyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin juga sependapat dalam isu mengenai Myanmar, isu kelapa sawit, Laut China Selatan dan usaha meningkatkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jokowi individu pertama terima suntikan vaksin Covid-19 di Indonesia

JAKARTA, 13 JAN: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di republik itu bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan.

Majlis “Suntikan Perdana” di Istana Presiden di Bogor itu, disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden, hari ini.

Jokowi diberikan suntikan vaksin Sinovac pada jam 9.40 pagi waktu Indonesia barat, sebelum diikuti beberapa menteri kabinetnya serta Ketua Polis Indonesia, Idham Azis dan Panglima Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto.

Proses vaksinasi itu akan diteruskan ke provinsi-provinsi lain secara serentak mulai esok, dengan keutamaan diberikan kepada petugas kesihatan, pemimpin setempat dan seterusnya, rakyat Indonesia.

Pada 11 Januari lepas, Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dari China bagi membolehkan proses suntikan vaksin di republik itu, bermula hari ini.

Pada 16 Disember lepas, Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 itu akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan dengan menyasarkan suntikan kepada 182 juta penduduk daripada jumlah penduduk Indonesia yang hampir 290 juta.

Suntikan tidak termasuk kanak-kanak dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta golongan berisiko seperti ibu mengandung dan sebagainya.

Sebelum itu, pada 6 Disember lepas, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China dan sebanyak 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lepas, manakala 15 juta lagi vaksin diterima semalam.

Kerajaan Indonesia juga telah memeterai perjanjian membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer dan Novovax.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PM ucap takziah kepada keluarga Jokowi

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan keluarga berikutan kematian ibunya hari ini.

“Saya baru sahaja menerima khabar dukacita bahawa Ibu Sujiatmi Notomiharjo (Ibunda kepada Bapak Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia) telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

“Justeru, saya dan seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan takziah dan turut berdukacita di atas pemergian Almarhumah yang sudah tentu merupakan kehilangan besar kepada Bapak Presiden dan seluruh rakyat Indonesia,” katanya dalam catatan di Facebook dan Twitter beliau, malam ini.

Muhyiddin seterusnya berharap semoga Presiden Indonesia itu dan keluarga diberi ketabahan dan kesabaran oleh Allah atas dugaan yang besar ini.

“Saya berdoa semoga roh Almarhumah diterima segala amal ibadahnya, diampuni segala dosa-dosa, dan ditempatkan di kalangan roh hamba-hamba Allah yang soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Menurut media dan siaran televisyen tempatan di Indonesia, Allahyarham Sujiatmi, 77, meninggal dunia di Solo, Jawa Tengah, pada 4.45 petang waktu Indonesia Barat dan punca kematiannya belum diketahui.

Allahyarham Sujiatmi dilahirkan pada 15 Februari 1943 di Surakarta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jokowi angkat sumpah Presiden Indonesia bagi penggal kedua

JAKARTA, 20 OKT: Presiden Joko Widodo (Jokowi) hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, pada majlis pelantikannya di bangunan Parlimen Indonesia, yang turut dihadiri pemimpin luar, termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik- baiknya dan seadil- adilnya, memegang teguh Undang-undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang peraturannya dengan selurus-lurusnya serta berbakti kepada nusa dan bangsa,” lafaz Jokowi semasa pelantikan itu pada jam 4.04 petang waktu Indonesia Barat (5.04 petang waktu Malaysia)

Tun Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, antara 17 pemimpin dan ketua negara yang hadir pada majlis pelantikan Jokowi dan naib presiden Indonesia, Ma’aruf Amin.

Selain Tun Dr Mahathir, antara pemimpin dan ketua negara yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Jokowi kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal keduanya selepas memenangi pilihan raya Presiden 2019 pada 17 April lepas.

Jokowi bergandingan dengan Naib Presiden yang baharu, Ma’aruf Amin, 76, selepas pasangan itu menang pada Pilihan raya Presiden 2019, menewaskan pencabar mereka, pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Kehadiran Tun Dr Mahathir itu adalah manifestasi kepada kekukuhan hubungan akrab kedua-dua pemimpin dan negara, dan pelantikan Jokowi untuk penggal kedua ini, akan membawa lembaran baru dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.

Keakraban hubungan dua hala terserlah menerusi keakraban dua pemimpin itu apabila Tun Dr Mahathir menjadikan Indonesia negara pertama Asean yang dilawatinya (pada Jun 2018) selepas memenangi pilihan raya umum 2018.

Manakala Jokowi menjadikan Malaysia negara pertama dilawatinya pada 8 Ogos lepas, selepas menang pilihan Presiden Indonesia 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jokowi angkat sumpah esok, Jakarta tingkat kawalan keselamatan

JAKARTA, 19 OKT: Isu keselamatan menjadi perhatian utama semasa majlis pelantikan Presiden ndonesia esok, apatah lagi bila majlis itu turut dihadiri pemimpin luar negara termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Joko Widodo, 57, akan mengangkat sumpah pelantikannya di bangunan parlimen Indonesia jam 2 petang esok, selepas memenangi pilihan raya Presiden 2019 pada 17 April lalu.

Tempoh pentadbirannya bagi penggal pertama (2014-2019) tamat hari ini (19 Okt 2019).

Perdana Menteri Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta, jam 11.15 pagi waktu Indonesia Barat, untuk menghadiri majlis pelantikan itu.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata kehadiran Tun Dr Mahathir itu adalah manifestasi tentang keakraban hubungan kedua-kedua pemimpin itu, dan keutuhan hubungan Malaysia dan Indonesia.

Tun Dr Mahathir akan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Teras hubungan Malaysia dan Indonesia adalah kedekatan kedua dua pemimpin, (majlis pelantikan Jokowi) membuka lembaran baru persahabatan dalam penggal kedua pemerintahan Jokowi agar terus kukuh,” kata Zainal Abidin.

Kota Jakarta kini “dikawal ketat” polis dan tentera Indonesia, bagi memastikan majlis pelantikan Presiden dan Naib Presiden yang baharu, Ma’ruf Amin berjalan lancar.

Isu keselamatan menjadi fokus pihak berkuasa Indonesia, berikutan beberapa kejadian rusuhan dan demonstrasi, isu berkaitan etnik di Papua dan Kalimantan, isu pindaan rang undang-undang berkaitan jenayah dan rasuah serta kejadian seorang menteri Indonesia ditikam baru-baru ini.

Lebih 30,000 anggota polis dan tentera ditugaskan menjaga keamanan di ibu kota Jakarta, terutamanya di kawasan parlimen Indonesia, Istana Merdeka dan kawasan-kawasan strategik di Jakarta.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama Joko Widodo semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi Presiden Indonesia ke Malaysiapada 8 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Anggota tentera dan polis jelas kelihatan berkawal di setiap kawasan strategik di kota Jakarta, manakala di bangunan parlimen Indonesia, anggota polis dan tentera melakukan kawalan ketat di kawasan dalam dan luar bangunan itu.

Jalan sekeliling bangunan parlimen – Jalan Gatot Soebraoto, Jalan Gelora dan Jalan Parlimen, Jalan Palmera dan Jalan Gelora, ditutup kepada lalu lintas.

Menurut Polis Indonesia memetik laporan agensi berita Antara, sebanyak 22 orang ditahan sejak September lepas kerana dipercayai mahu merencana tindakan keganasan dan rusuhan menjelang pelantikan Presiden itu.

Polis turut merampas bom buatan sendiri dan molotov koktel yang dipercayai akan digunakan untuk memcetuskan hura-hara.

Zainal Abidin berkata kedutaan Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan langkah-langkah dan kawalan keselamatan terjamin semasa kehadiran Perdana Menteri Malaysia.

Menurut Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, sebanyak 17 pemimpin dan ketua negara luar akan turut hadir pada majlis pelantikan presiden itu.

Selain Tun Dr Mahathir, antara ketua negara lain yang dijadualkan hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Seorang penganalisis politik ketika ditanya Bernama berkata majlis pelantikan itu seharusnya menjadi acara yang “disukai rakyat” kerana Jokowi adalah pilihan rakyat, dengan majoriti undi yang diperolehinya hampir 17 juta undi.

Pada 21 Mei lepas, Komisi Pemilihan Umum mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

“Tapi pelantikan (angkat sumpah presiden) kali ini seperti Jakarta sedang “darurat”, polis dan tentera berkawal di mana- mana, tidak seperti tahun 2014 (sewaktu lantikan Jokowi sebagai presiden penggal pertamanya).

“Suasana “tegang” ini mungkin disebabkan demosntrasi dan rusuhan kebelakangan ini di Jakarta, selain isu yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berkaitan pindaan rang undang-undang rasuah dan jenayah, selain ketegangan kaum yang berlaku di Papua, serta mungkin keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi,” kata penganalisis itu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Jokowi kongsi keterujaan naik proton dipandu Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) hari ini berkongsi keterujaan beliau menaiki kereta yang dipandu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan dua harinya ke Malaysia, yang berakhir, pada 9 ogos lalu.

Dr Mahathir pada Jumaat membawa Jokowi ke majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau di Seri Perdana menaiki Proton Persona.

“Bapak Tun Mahathir sungguh pemimpin senior yang enerjik dan pekerja keras. Bukan hanya soal urusan negara, mobil pun beliau setir sendiri.

“Bisa ngebut juga. Ini kali kedua saya menumpang di mobil yang dikemudikan Bapak Tun Mahathir,” tulis beliau melalui perkongsian video di laman Twitter rasminya, semalam.

Dr Mahathir memandu Persona berwarna merah dengan nombor pendaftaran B 2367 A diikuti kenderaan yang membawa delegasi lain dari Indonesia.

Ia adalah kali kedua-dua pemimpin itu berkongsi kereta dipandu Dr Mahathir selepas kali pertama, pada Februari 2015 apabila Dr Mahathir memandu uji Proton Iriz di litar uji Sepang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jokowi tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari

SEPANG, 8 OGOS: Presiden Indonesia, Joko Widodo, tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi dua hari di Malaysia.

Pesawat khas dari Bali yang membawa Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi, bersama isterinya Iriana Joko Widodo, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 7.50 malam.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyambut ketibaan Jokowi di Kompleks Bunga Raya, yang turut disertai Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana.

Jokowi dan isteri kelihatan segak dengan pakaian tradisional Bali berwarna merah manggis.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Jokowi selepas dilantik semula bagi penggal kedua pada Pilihanraya Presiden, pada 17 April lalu.

Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Acara sambutan rasmi akan berlangsung pagi esok di Dataran Perdana, disusuli mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama dua hala, di samping bertukar pandangan berhubung isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM ucap tahniah kepada Jokowi

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2019 untuk kekal memerintah negara itu bagi tempoh 2019-2024.

“Saya ucap tahniah kepada Bapak @jokowi atas kemenangan secara rasmi sebagai Presiden Republik Indonesia.

“Saya berharap kerjasama antara dua negara akan semakin erat selepas ini,” kata Dr Mahathir menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau hari ini.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 1.46 pagi Selasa (waktu Indonesia Barat) mengumumkan keputusan Pilpres 2019, sehari lebih awal selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.

Pilpres 2019 diadakan pada 17 April lalu.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperoleh 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya bagi jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, meraih 68,650,239 undi.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Jokowi menang Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019

JAKARTA, 21 Mei: Presiden Joko Widodo (Jokowi) diumumkan memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019, untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada pukul 1.46 pagi ini (waktu Indonesia Barat) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019), sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Majoriti 16.95 juta yang diperolehi Jokowi itu lebih tinggi berbanding Pilpres 2014 iaitu 6.4 juta undi.

Jokowi memenangi Pilpres 2014, ketika itu berpasangan dengan Jusuf Kalla mengalahkan Prabowo yang berpasangan dengan Hatta Rajasa.

Ketua KPU Arief Budiman meminta pihak yang tidak berpuas hati agar memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi.

“Perlu difailkan dalam tempoh tiga hari selepas pengumuman ini, jika tiada, kami akan mengumumkan kemenangan mutlak kepada calon yang menang ini.

“Jika ada, kami perlu menunggu proses pengadilan Mahkamah Konstitusi selesai. Majlis mengangkat sumpah Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadual pada 20 Okt 2019,” katanya.

KPU sebelum ini menjangkakan proses pengiraan undi di 34 provinsi itu selesai pada Rabu ini.

Pilpres 2019 diadakan pada 17 April lepas. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

PILPRES 2019: Jokowi semakin selesa mendahului

JAKARTA, 15 MEI: Proses pengiraan kertas undi bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia kini melebihi 80 peratus, dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) selesa mendahului pencabarnya, Prabowo Subianto.

Prabowo, yang sebelum ini menolak hasil keputusan ‘quick count’ atau hitung cepat oleh badan-badan bebas yang turut memenangkan Jokowi, kini bertindak pula memboikot proses pengiraan undi rasmi oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), yang didakwanya berlaku unsur penipuan.

Mengikut pengiraan undi menerusi laman web rasmi KPU setakat tengah hari ini, pengiraan undi itu membabitkan 669,846 daripada 813,350 Tempat Pembuangan Suara (TPS) atau pusat pengundian.

Jokowi yang mempertahankan jawatannya, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ ruf Amin memperoleh 71,029,379 undi, manakala Prabowo dan pasangannya Sandiaga Uno meraih 55,282,221 undi.

Pada 17 April lalu, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu 2019).

Proses pengiraan undi Pemilu 2019 dijangka selesai 22 Mei ini.

Pemerhati politik melihat tindakan Prabowo yang mencetuskan polemik baharu dengan menolak proses pengiraan undi oleh KPU itu sebagai tindakan yang tidak jelas dan tidak berdasarkan fakta.

“Curangnya (penipuannya) di mana? Siapa yang melakukan? Bagaimana modelnya dan modusnya? Tidak ada informasi soal hal-hal tersebut disampaikan.

“Penolakan (boikot) itu tidak dibangun atas data dan fakta,” kata penganalisis berkenaan.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

1,500 sukarelawan Indonesia hadir kempen Jokowi

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Kira-kira 1,500 sukarelawan Indonesia di negara ini, penyokong calon Presiden Joko Widodo diseru berusaha keras menjadikan Malaysia negara penyumbang “gol pertama” memenangkan Jokowi sebagai Presiden bagi penggal kedua dalam pilihan raya republik itu 14 April ini.

Seruan itu dibuat pasukan kempen Jokowi diketuai Sidarto Danusubroto dalam Program Temu Akhbar Relawan Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Berucap di hadapan para sukarelawan terdiri daripada rakyat Indonesia yang bekerja dan tinggal di Malaysia, anggota pasukan itu meminta para sukarelawan bekerja keras memastikan kira-kira 1.2 juta pengundi yang mendaftar keluar mengundi memilih gandingan Jokowi dan calon Timbalan Presiden Ma’aruf Amin.

Pengundi2 luar negara akan mengundi pada Ahad depan.

Malaysia merupakan pengundi luar Indonesia yang paling ramai.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Pasukan Kempen Nasional, Laksamana Dr Marsetio dalam ucapannya menyenaraikan pencapaian Jokowi terutama dalam meningkatkan infrastruktur di negara itu termasuk jalan raya serta projek MRT di Jakarta dan LRT di Palembang sebagai bukti kepimpinan beliau dalam membangunkan sosio-ekonomi republik berkenaan.

Bertemakan Radikalisme Sebagai Ancaman Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) Pancasila, program hari ini turut disertai Menteri Koordinator Maritim, Jen Luhut Binsar Pandjaitan yang menyampaikan amanat menerusi sidang video. -BERNAMA