Categories
ADN SELANGOR

400 warga DUN Batang Kali dapat baucar beli-belah Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 26 JAN: Sebanyak 400 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Batang Kali pada Sabtu lalu sempena perayaan itu bulan depan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Saifuddin Shafi Muhammad berkata bantuan diutamakan untuk penduduk berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai ramai tanggungan.

“Sumbangan ini diharap meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan raya. Kita turut menyerahkan limau kepada mereka,” katanya menambah serahan dibuat di pejabat pusat khidmat DUN.

Selain agihan baucar, Saifuddin berkata pihaknya turut mendaftarkan penduduk dengan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membolehkan mereka mendapat bantuan sesuai.

Selangor memperkenalkan Jom Shopping Raya yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Baucar beli-belah Tahun Baharu Cina manfaatkan 350 warga Sungai Tua 

GOMBAK, 23 JAN: Sebanyak 350 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena perayaan itu bulan depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baucar tersebut boleh ditebus di pasar raya untuk membuat persiapan dan membeli barang keperluan bernilai RM100.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua selepas menyerahkan baucar berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima Ooi Chip Keong, 49, mahu menggunakan baucar terbabit untuk membeli kuih kapit dan limau yang sinonim dengan perayaan tersebut.

“Tahun ini mungkin lebih meriah kerana kerajaan beri banyak kelonggaran, jadi saya buat persediaan beli kuih kapit dan limau untuk makan bersama keluarga nanti,” katanya dari Kampung Laksamana.

Bagi Hon Ah Kiew, 62, pula pemberian itu dapat meringankan beban keluarganya menyediakan keperluan perayaan di sebalik kenaikan harga barang ketika ini.

“Sekarang banyak barang semakin mahal, jadi baucar ini dapat tampung perbelanjaan,” katanya.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Baucar Jom Shopping ringan beban sedia keperluan Tahun Baharu Cina

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Sebanyak 450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sempena perayaan itu bulan depan.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata bantuan RM100 yang boleh digunakan di pasar raya Lotus Kuala Selangor dapat meringankan beban penerima menyediakan keperluan raya.

Jelasnya, baucar khusus buat penduduk berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal sah digunakan mulai semalam hingga hujung bulan ini.

“Penerima juga diberikan buah limau sebagai simbolik perayaan. Kita harap semua menjaga tatacara operasi piawai (SOP) ketika raya nanti bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Juwairiya yang ditemui selepas menyerahkan baucar berkenaan semalam turut mengagihkan bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor sebanyak RM100 kepada 30 penerima.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
ADN SELANGOR

600 penduduk Meru dapat baucar beli-belah sempena Tahun Baharu Cina

KLANG, 19 JAN: Sebanyak 600 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina disediakan untuk penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru sempena perayaan itu bulan depan.

Wakil rakyatnya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata baucar membeli-belah bernilai RM100 diagihkan mulai minggu depan berserta keperluan harian daripada pusat khidmatnya.

Beliau berkata penduduk juga akan menerima bantuan tunai RM100 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima khususnya mangsa banjir yang terkesan,” katanya ditemui selepas meninjau serahan Bantuan Selangor Bangkit di sini hari ini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Agihan baucar Jom Shopping Deepavali buat B40 hampir selesai

KLANG, 2 NOV: Hampir semua masyarakat India memerlukan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima baucar beli-belah Jom Shopping RM100 sempena Deepavali.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap DUN menerima antara 400 hingga 600 baucar bagi membantu golongan berkenaan membeli barang keperluan di pasar raya terpilih.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif yang diperkenal sejak 2010 dibuat setiap tahun termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

“Sekarang (agihan) sedang berjalan dan difahamkan hampir selesai dengan DUN Sentosa merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu lebih 600 orang,” katanya selepas meninjau Little India Klang di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan menggantikan baucar beli-belah kepada wang tunai akan dipertimbang dalam Belanjawan Selangor yang dibentangkan pada 26 November ini.

“Itu semua mungkin boleh dipertimbang dalam belanjawan nanti. Saya ada masa untuk melihat secara menyeluruh bagaimana bantuan dan sokongan yang ingin disampaikan,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat mengikut komponen utama kaum dan perayaan masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100,000 individu terima manfaat baucar Jom Shopping, bantuan khairat

SHAH ALAM, 21 SEPT: Lebih RM10 juta disalur Kerajaan Negeri menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dari Januari 2021 hingga setakat ini.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata jumlah itu merangkumi RM9,963,200 bagi Jom Shopping dan RM734,000 bagi khairat kematian.

“Lebih 100,000 individu menerima manfaat dari kedua-dua program ini yang mana 99,632 warga emas serta orang kelainan upaya (OKU) menerima baucar Jom Shopping RM100 pada bulan kelahiran mereka.

“Manakala 1,468 waris bagi warga emas serta OKU yang meninggal dunia menerima RM500 menerusi khairat kematian,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

Sejumlah RM7.5 juta juga disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yawas menerima bantuan RM500.

Orang ramai boleh melayari laman portal e-mesra.yawas.my untuk memohon bantuan skim berkenaan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 500 warga emas DUN Permatang dapat baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 17 NOV: Seramai 508 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kelahiran Oktober dan November menerima baucar Jom Shopping dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Agihan baucar dilaksanakan secara berperingkat berikutan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak penularan Covid-19.

“Semalam, kita mengedarkan kepada 77 ahli. Penerima perlu mengambil baucar di Pusat Khidmat Dun Permatang pada masa dan hari yang ditetapkan sebelum membeli-belah di Pasaraya Mustafa, Pasir Penambang,” kata Ahli Dewan Negerinya Rozana Zainal Abidin di Facebook.

Ahli SMUE itu terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan orang kelainan upaya. Mereka menerima baucar membeli-belah bernilai RM100 daripada Kerajaan Negeri mengikut bulan kelahiran masing-masing.

Untuk semakan status ahli boleh layari http://mesra.yawas.my/smue/. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan Jom Shopping SMUE Dun Permatang, boleh hubungi Hafiz 011-3335 6746 atau Faten 010-557 3736.

Categories
SELANGOR

Jom Shopping: RM7 juta setahun dibelanja sebagai tanda kasih

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 25 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukan lebih RM7 juta setiap tahun bagi membiayai program Jom Shopping, di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat itu adalah salah satu tanda kasih Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor.

“Program ini mula diadakan sejak 2008 lagi sebagai satu tanda kasih dan perkongsian antara Kerajaan Negeri dengan rakyat,” katanya pada Program Jom Shopping Sempena Aidilfitri Peringkat DUN Sungai Tua di Pasaraya Giant Batu Caves, di sini hari ini.

Amirudin berkata, dianggarkan antara 500 hingga 600 orang terbabit dalam program Jom Shopping di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap perayaan.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada populasi DUN terbabit.

Categories
SELANGOR

600 penduduk raih manfaat Jom Shopping Perayaan

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 20 MEI: Seramai 600 penerima baucar bantuan Jom Shopping Perayaan (JSP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya diraikan di Pasaraya Giant Spectrum, Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Haniza Talha berkata, setiap daripada mereka menerima kadar insentif sumbangan baucar bernilai RM100.

Katanya, ia adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan di bawah RM1,500 membeli barangan persiapan Aidilfitri.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima manfaat supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Pada awal Jun ini juga, kita akan mengadakan jualan barangan basah pada harga yang rendah khas untuk penduduk Ampang yang saya akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkesempatan turun padang menemani penerima baucar membeli barangan keperluan selain beramah mesra bersama pengunjung pasaraya terbabit.

Haniza yang juga EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar memaklumkan, penerima manfaat berkenaan berbaris seawal 9 pagi bagi mendapatkan baucar membeli belah itu.

“Antara barangan yang dibeli adalah minyak masak, beras, tepung, gula, dan ketupat mini. Malah, ada juga di antara penerima yang membeli pakaian untuk digayakan pada pagi raya nanti.

“Inisiatif ini turut diadakan pada setiap musim perayaan yang lain, seperti Tahun Baru Cina dan juga hari Deepavali,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penduduk gembira terima baucer Jom Shopping

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Pemberian sumbangan RM100 menerusi program Jom Shopping walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ia amat bermakna bagi golongan kurang berkemampuan.

Bagi Zurhaida Selamat, 39, berkata, dengan sumbangan itu beliau dapat membeli barangan keperluan untuk menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi sumbangan kepada kami.

“Ini kali ke tiga saya terima baucar Jom Shopping ini. Saya berharap inisiatif yang sangat membantu kami ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Mohd Ramli Kasbullah, 67, menyifatkan pemberian berkenaan sangat bermakna untuk warga emas.

“Saya gembira kerana masih dipilih menerima sumbangan ini. Untuk pesara seperti saya, ia sedikit sebanyak membantu membeli barang dapur,” katanya yang tinggal bersama isterinya di Seksyen 20, di sini.

Hasnah Husin, 53, berkata, beliau sudah empat tahun berturut menerima Jom Shopping itu.

Katanya, sumbangan itu adalah bantuan yang diidamkan oleh warga emas.

“Saya bersyukur ini memang bagus untuk warga emas, sekurang-kurangnya mengembirakan hati mereka untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Mereka antara 920 penerima Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menerima bantuan baucer Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri, di sebuah pasaraya, di sini hari ini.

Program berkenaan dihadiri EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baucar Jom Shopping hargai warga emas ketika hidup

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 26 APR: Sejajar hasrat menjaga kebajikan warga emas, Kerajaan Negeri bakal memberikan baucar Jom Shopping kepada peserta bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bermula Oktober.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pemberian baucar RM100 itu diberikan pada setiap musim perayaan sebagai ganti pembayaran khairat kematian kepada waris peserta SMUE.

Katanya, program yang memperuntukkan RM20 juta setahun itu akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 warga emas semasa mereka masih hidup berbanding manfaat diterima mereka sebelum ini.

“Program ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri ketika mereka masih hidup.

“Baucar Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas dalam membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media selepas Sesi Town Hall Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Dewan Raja Lumu, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, sejajar dengan penjajaran semula yang dibuat itu, tiada lagi sebarang pembayaran wang khairat kematian kepada waris bagi warga emas dalam SMUE yang meninggal dunia selepas 30 April.

“Tempoh tuntutan khairat kematian boleh dibuat tetapi selewat-lewatnya sebelum 31 Mei 2019,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak RM 256 juta sudah dibelanjakan bagi membayar wang khairat kematian bernilai RM2,500 kepada waris, sejak permulaan skim itu pada 1 Oktober 2008 membabitkan 103,320 warga emas meninggal dunia.

Categories
SELANGOR

Selangor tambah baik kriteria penerima baucar RM100

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.4 juta untuk program Jom Shopping dengan sasaran tahunan seramai 84,000 penerima, kata V Ganabatirau.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu berkata, beberapa penambahbaikan kriteria penerima program itu juga dilakukan sejak 2013 hingga 2018 bagi memastikan manfaat bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

“Dengan kekangan kewangan yang terhad, peruntukan sedia ada perlu dibahagi dengan adil dan saksama.

“Setiap DUN menerima sejumlah baucar Jom Shopping antara 300 hingga 800 unit mengikut kepadatan pengundi di sesuatu DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut yang dikemukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Wong Siew Ki di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Antara kriteria ditekankan adalah pemenerima bantuan dalam kalangan yang menyambut perayaan, pendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah, pengundi berdaftar DUN berkenaan, satu penerima setiap keluarga dan bukan penerima manfaat di bawah program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Menerusi Jom Shopping, setiap penerima layak menerima baucar pembelian barang keperluan RM100 di pasar raya terpilih bersempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Beliau berkata, setiap Pejabat DUN menentukan kelayakan pemohon sebelum terpilih menerima baucar membeli belah RM100.

Mengulas mengenai cadangan supaya jumlah RM100 ditingkatkan, Ganabatirau menjelaskan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan perkara itu kerana ia melibatkan jumlah peruntukan besar serta membabitkan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang lain.