Categories
NASIONAL

Penjawat awam palsu slip gaji bakal disiasat

SHAH ALAM, 4 MEI: Penjawat awam yang disyaki menggunakan slip gaji palsu untuk mendapat pinjaman kewangan bakal berdepan siasatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikesan menerusi cetakan slip gaji daripada Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, penjawat awam biasanya mendapatkan pinjaman perumahan, kenderaan dan simpanan, namun perlu memastikan ia tidak lebih 60 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.

“Institusi pinjaman kewangan akan memberi pinjaman tanpa penjamin dengan dokumen mencukupi, namun ada segelintir penjawat awam bertindak di luar jangkaan,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berhubung lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis ekoran kegagalan menguruskan pinjaman.

Azih berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan  melebihi kemampuan gaji mereka.

Categories
KENYATAAN MEDIA

AMK gesa biasiswa JPA dikaji semula

OLEH JESTIN RAJ SAVARIMUTHU

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Kerajaan Persekutuan jangan bersikap membuta tuli dengan membuat keputusan berkenaan Pemberian Biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Keputusan yang dibuat ialah Pemberian Biasiswa JPA yang penuh hanya bagi pelajar lepasan SPM yang mendapat Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa jika seseorang pelajar berkenaan walaupun mengambil 10 mata pelajaran dan hanya mendapat keputusan Gred 10A atau Gred 10A-, pelajar tersebut tidak layak mendapat biasiswa manakala jika seorang pelajar mengambil 9 mata pelajaran dan mendapat Gred 9A+ layak mendapat biasiswa walaupun kurang mata pelajaran yang diambil.

Bukan sekadar dengan itu, pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran tambahan seperti bahasa ibunda mereka iaitu Bahasa Tamil, Cina mahupun Arab juga akan terlibat dalam isu ini.

Tindakan ini akan meranapkan harapan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dan mereka yang daripada keluarga kurang berada serta bergantung untuk mendapat biasiswa mengikut kriteria yang ditetapkan oleh JPA sebelum ini.

WhatsApp Image 2017-03-20 at 10.28.11 AMSudah cukup dengan pemotongan bajet bagi universiti-universiti tempatan, sekarang isu ini pula timbul. Kerajaan perlu mengelakan pembaziran dalam projek yang tidak menguntungkan dan lebih fokus terhadap pembangunan modal insan.

Kerajaan Persekutuan haruslah mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dimana melalui Universiti Selangor (UNISEL), Skim Dermasiswa Pengajian Percuma Tahun Asas UNISEL ditawarkan kepada semua pelajar yang tidak yang layak tidak mendapat keputusan cemerlang seperti mereka yang memasuki matrikulasi.

Ini adalah satu usaha untuk merakyatkan dan mendemokrasikan pendidikan di negeri Selangor.

Oleh yang demikian, Angkatan Muda Keadilan mendesak pihak Kerajaan Persekutuan serta Bahagian Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengkaji semula keputusan ini.

*Jestin Raj Savarimuthu adalah Exco AMK Malaysia dan Ketua AMK Selangor

Categories
NASIONAL

ABIM: Kembalikan biasiswa JPA, bantu pelajar ekoran kejatuhan ringgit

SHAH ALAM 23 JAN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan pemberhentian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dilaporkan menerusi media massa.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pemberhentian biasiswa itu menjejaskan pelajar terbabit dan bakal mengakibatkan kerugian potensi dan sumber tenaga manusia golongan terpelajar untuk negara.

ABIM RAIMIKatanya, dalam keadaan ekonomi semakin gawat dan pelbagai skandal membabitkan kemuncupan nilai ringgit, pentadbiran kewangan serta integriti kepimpinan negara, seharusnya sektor pendidikan tidak dikorbankan bagi menampung pengurusan kewangan negara yang lemah.

“ABIM mendesak agar pemberian biasiswa dikembalikan serta merta sebagai tanda komitmen pemerintah terhadap keutamaan pendidikan sebagai teras pembinaan negara dan tamadun,” kata Raimi dalam kenyataan media.

Katanya, ABIM turut ingin menyatakan keprihatinan ke atas kebajikan pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara yang terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit.

Bahkan ia juga turut meliputi pelajar yang tidak menerima sebarang bantuan pembiayaan biasiswa baik dari JPA mahupun MARA.

Pelajar Malaysia merentas benua Asia Barat seperti Jordan dan Mesir atau di benua Eropah seperti United Kingdom ternyata begitu terkesan dengan kesan tukaran wang asing dan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

“ABIM menggesa kebajikan mereka hendaklah diberi perhatian sepenuhnya.

“Jangan gadaikan masa depan putera-puteri terbaik yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dengan menafikan hak dan kebajikan mereka,” kata Raimi.

EZY

Categories
NASIONAL

Kesilapan pemimpin BN, pelajar jadi mangsa

SHAH ALAM 21 JAN: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengkaji semula cadangan menggantung biasiswa untuk kursus ijazah dan bursari bagi pra-universiti gara-gara kejatuhan pendapatan negara.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata pelajar tidak patut menjadi mangsa sedangkan mereka belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan smendapat biasiswa, bukan pinjaman.

graduation“Kenapa pelajar menjadi mangsa? Kenapa soal pendidikan menjadi mangsa? Apakah kita sanggup korban pelaburan jangka panjang mengenai modal insan negara kita,” kata Idris dalam kenyataan media.

Beliau berkata ia membabitkan 700 pelajar untuk ke universiti tempatan dan seberang laut yang mengambil jurusan kritikal dan diperlukan negara pada masa akan datang.

“Kesilapan kerajaan BN yang tidak berhemah sewaktu pendapatan negara melimpah ruah, akhirnya pelajar menjadi mangsa.

“Itu pun masih rasa tidak bersalah atas apa yang berlaku. Sebaliknya beban ini dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Pendidikan anak Melayu jadi korban kepincangan pentadbiran negara

SHAH ALAM 21 JAN: Kerajaan Umno-BN mengkhianati anak Melayu, malah membunuh masa depan mereka apabila bertindak mahu membekukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM), Fahmi Zainol, berkata majoriti penerima biasiswa JPA, biasiswa My Brain serta MARA rata-ratanya anak Melayu.

graduationKatanya, tindakan itu mematikan peluang anak Melayu mendapatkan pendidikan sepatutnya ekoran ketidakcekapan pentadbiran negara.

“Krisis ekonomi juga pernah melanda negara kita pada 1998 tetapi kerajaan pada waktu itu hanya meminta penerima biasiswa JPA yang berada di luar negara pulang, malah pinjaman MARA tetap diteruskan.

“Ini sangat berbeza dengan keadaan sekarang,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai anak Melayu serta pemegang biasiswa JPA beliau kesal dengan tindakan kerajaan itu.

“Mohon disebarkan seluasnya, supaya orang tahu pemimpin Melayu sedang menindas anak Melayu,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

PM digesa arah 1MDB bayar RM1.1 bilion, cukup untuk biasiswa JPA

SHAH ALAM 21 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa mengarahkan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) untuk membayar kembali geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.1 bilion.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata dana itu diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naik taraf pengkalan tentera bersabit Bandar Malaysia.

Katanya jumlah RM1.1 bilion itu lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dibekukan Kerajaan Persekutuan.

logo_jpa“Rakyat hanya tahu pemberhentian biasiswa pendidikan JPA bagi 700 pelajar untuk ijazah pertama dari petikan berita disiarkan akhbar berbahasa Cina.

“Maknanya, Najib Razak tidak berani berdepan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan beliau menekan rakyat seperti itu,” kata Rafizi dalam kenyataan media.

Katanya, masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru.

“Hakikatnya, sebelum pun isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA ditolak.

“Sehingga kini, difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya,” katanya.

Rafizi berkata beliau dimaklumkan MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil.

Dalam Bajet 2016, Najib Razak memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

“Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar JPA seramai 700 yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Jangan mangsakan pelajar terbaik negara

SHAH ALAM 21 JAN: Perdana Menteri dituntut menunjukkan kepimpinan yang baik dengan mengurangkan menteri kabinet dan peruntukan bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum memangsakan pelajar cemerlang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata KEADILAN membantah keputusan Kerajaan Persekutuan itu kerana banyak tempat lagi yang boleh dipotong umpamanya Jemaah Menteri dan peruntukan raksasa Jabatan Perdana Menteri setinggi RM20.3 bilion.

graduationKatanya, mengikut jawapan parlimen diterima, kos penajaan seorang pelajar dalam negeri adalah di antara RM10,350 hingga RM12,690.

Manakala anggaran kos penajaan bagi seorang pelajar tajaan luar negara adalah antara RM38,115 hingga RM363,844 setahun.

Kalau diambil purata yang lebih tinggi, purata kos penajaan seorang pelajar adalah RM200,975.50 (dengan mengambil kira kos tajaan luar negara sahaja).

“Jika didarabkan dengan 700 pelajar, maka ia memakan belanja RM141 juta sahaja. Jadi perbelanjaan untuk tajaan 700 pelajar baru untuk 2016 adalah hanya RM141 juta,” kata Tze Tzin dalam kenyataan media.

Beliau berkata memandangkan pelajar yang layak mendapat biasiswa adalah pelajar mendapat keputusan 9A+ dalam SPM mereka adalah ‘terbaik daripada terbaik’ dalam negara kita.

“Maka melaburkan RM141 juta ke atas pelajar ini adalah berbaloi kerana negara memerlukan bakat mereka melonjakkan negara ke negara maju,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Kecilkan saiz kabinet bukan beku biasiswa JPA

SHAH ALAM 21 JAN: Kerajaan Persekutuan semestinya mengecilkan saiz kabinet pentadbirannnya dahulu sebelum membekukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata beliau menggesa supaya Kerajaan Persekutuan mengelakkan melantik menteri menggunakan ‘pintu belakang’ dan penasihat.

“Lagi empat tahun kita hendak capai Wawasan 2020 tetapi lihatlah negara kita sekarang. Nilai ringgit menurun, biasiswa JPA dihentikan,” tulis Hannah ditwitternya.

logo_jpaMengikut laporan media yang dipetik dari Sin Chew Daily, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong mengesahkan bahawa Kabinet dalam mesyuarat memutuskan memberhentikan tajaan biasiswa JPA untuk pelajar program siswazah dan bursari pelajar program pra-universiti

Laporan itu menyatakan pemberhentian biasiswa berkenaan bakal menjejaskan 700 pelajar dalam dan luar negara untuk tahun ini.

Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa untuk segera membatalkan keputusan itu.

Katanya, walaupun kejatuhan mendadak harga minyak dunia yang secara langsung memberi kesan negatif terhadap sumber kewangan negara adalah di luar kawalan kerajaan.

Namun langkah penjimatan dan keutamaan dari segi perbelanjaan adalah keputusan yang boleh ditentukan oleh Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan.

“Sekiranya ada peruntukan perlu dipotong atau dikurangkan, Perdana Menteri perlu menunjukkan teladan dengan mengurangkan peruntukan “perbelanjaan mengikut budi bicaranya” dan perbelanjaan tanpa program khusus yang boleh ditangguhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Jangan korbankan pendidikan akibat kegagalan “Najibnomics”

SHAH ALAM 21 JAN: Peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) patut dipertingkatkan dan bukannya digantung sehingga boleh menjejaskan masa depan pelajar cemerlang belajar di universiti terpilih.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata keputusan penggantungan biasiwa itu bakal memberi kesan kepada 700 pelajar dalam dan luar negara.

Katanya, jika benar kekangan kewangan alasan utama bagi keputusan itu, ia membuktikan kegagalan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

graduationMenurut laporan berita, tajaan biasiswa JPA untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari untuk pelajar program pra-universiti bagi 2016 bakal digantung akibat pengurangan pendapatan negara.

“Justeru, daripada memangsakan mahasiswa dan mahasiswi, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mengatasi ketirisan dan salah tadbir merugikan negara,” kata Zairil dalam kenyataan media.

Beliau berkata Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2016 yang dibentang pada Oktober 2015, kerajaan dapat menjimatkan RM30 bilion melalui pelan penyusunan semula dan langkah pembasmian rasuah.

Katanya, antara langkah disyorkan adalah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang melampau serta pemansuhan program tidak diperlukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara.

Tambahan pula, bilangan menteri berjumlah hampir 70 orang juga harus dikurangkan dan dirasionalisasikan.

Pada masa sama, berbilion-bilion ringgit lagi wang kerajaan dapat dijimat melalui pelaksanaan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan.

“Jumlah diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Belanjawan 2016 tidak banyak – hanya RM1.65 bilion, itu pun setelah dikurangkan daripada RM1.93 bilion bagi tahun 2015,” katanya.

Zairil menggesa agar peruntukan kritikal seperti tajaan pendidikan tidak diusikkerajaan dalam usaha penjimatan.

“Sebaliknya, kerajaan sepatutnya menangani segala ketirisan, rasuah dan salah tadbir terlebih dahulu.

“Jika pengurangan perbelanjaan diperlukan sekalipun, biarlah dipotong program tidak membuahkan hasil daripada mengorbankan masa depan modal insan negara,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor prihatin beri sumbangan kepada Sugumaran – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 16102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga C Sugumaran yang meninggal dunia semasa di tahan polis.

2. PKR menuntut penjelasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didakwa menghalang mahasiswa Australia daripada menghadiri program berkaitan demokrasi dan perbezaan pendapat bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3. Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, walaupun beliau menerima tawaran untuk menyertai operasi bersama pasukan polis, ia bukan jalan penyelesaian terhadap kritikannya kepada agensi penguatkuasa itu.

Categories
SELANGOR

MB : Datuk Bandar MBPJ Baru Diumumkan Hujung Tahun

SHAH ALAM, 3 DIS : Kerajaan Negeri akan mengumumkan Datuk Bandar Petaling Jaya baru bagi menggantikan kedudukan Datuk Mohamad Roslan Sakiman selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah menerima beberapa cadangan calon yang masih dalam penelitian Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan mula menentukan siapakah calon yang layak untuk menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum hujung tahun ini.

?Menteri Besar telah diberi beberapa cadangan yang masih dalam pemerhatian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 di Dewan Jubli Perak, SUK pagi tadi.

Mohamad Roslan sebelum ini diarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bertukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pusat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Okt lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan Mohamad Roslan dikekalkan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menegaskan Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru.

Menurut beliau, ini kerana Ehsan Mukri selaku Pemangku telah menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua walaupun pelantikannya masih belum diputuskan JPA.

“Kita masih mengekalkan pelantikan Ehsan kerana pelantikan beliau itu mengambil kira statusnya sebagai Yang Dipertua Majlis.

?Walaupun dari segi penjawat awam, status dia tidak sampai ke tahap itu, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pembiayaan tambahan dari segi gaji dan kemudahan seperti Yang Dipertua.

“Namun, apabila JPA telah menaikkan pangkatnya, dia bukan lagi Pemangku, tetapi bertukar sebagai Yang Dipertua,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Ahli MBPJ Cadang Fail Saman KSN

PETALING JAYA, 31 OKT : Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memfailkan saman terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa kerana mengeluarkan arahan pertukaran Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman secara mengejut baru-baru ini.

Menurut ahli majlis MBPJ, Derek Fernandez, walaupun arahan pertukaran sera-merta yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah tidak sah, namun ia menimbulkan tanggapan buruk terhadap Mohamad Roslan.

Beliau berkata, arahan itu juga bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan.

“Datuk Bandar diberi arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam melalui surat daripada JPA bertarikh 27 September lepas tanpa mengemukakan sebarang sebab dan alasan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau (Mohamad Roslan) membuat satu kesilapan besar atau tidak membuat kerja,” katanya dalam satu Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

Sehubungan itu, katanya Ahli Majlis akan merujuk kepada Unit Perundangan MBPJ bagi mendapatkan khidmat guaman profesional untuk memfailkan saman tersebut.

“Kita akan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara ini. Segala prosedur kita serahkan kepada pihak peguam,” katanya lagi.

Mohamad Roslan sebelum ini menerima arahan pertukaran daripada JPA sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan mengekalkan Mohamad Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.