Categories
NASIONAL SELANGOR

Rosmah Mansor Didakwa Ada Tunggakan Saman AES

rosmah saman aes

SHAH ALAM, 24 APR : PKR hari ini mendakwa isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sendiri mempunyai tunggakan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pengarah Strategi, Rafizi Ramli mendakwa tunggakan tersebut menunjukkan Kerajaan Persekutuan Umno-BN mengamalkan dwi-standard dalam penguatkuasaan sistem itu yang ditentang oleh Pakatan Rakyat.

Menurut Rafizi, bukti tersebut diperoleh melalui semakan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Hasil semakan itu menunjukkan sebuah kereta bernombor XIASEAN360 yang didaftarkan di atas nama dan kad pengenalan Rosmah mempunyai tunggakan saman.

Semakan yang sama juga menunjukkan bahawa Rosmah masih tidak membayar dua saman AES iaitu pada 30 Januari 2013 dan 13 Mac 2013.

“Perkara ini dilihat sebagai satu prinsip dwi standard apabila keluarga Perdana Menteri sendiri tidak mengendahkan saman AES.

?Sedangkan beliau (Perdana Menteri) beriya-iya mempertahankan satu sistem yang ditentang oleh rakyat,” kata Rafizi di dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat telah membuat ketetapan bahawa AES akan dihentikan dan semua samannya dibatalkan sekirangan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya selepas PRU-13 ini.

Dalam pembentangan manifestonya baru-baru ini, Barisan Nasional juga tidak menyentuh mengenai AES walaupun pelaksanaannya masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

“Saya beranggapan bahawa kegagalan Manifesto Barisan Nasional membuat ketetapan mengenai AES membayangkan hasrat Dato? Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan pelaksanaan AES sekiranya Barisan Nasional terus berkuasa.”

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Kabinet Lindungi Kepentingan Kroni AES

aes

KUALA LUMPUR, 27 DIS : Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Kabinet yang meneruskan proses pengeluaran saman AES meskipun Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menangguhkan prosiding mahkamah.

Menurutnya, tindakan ini dilihat sebagai usaha menjaga kepentingan kroni yang mempunyai pegangan di dalam syarikat konsesi yang mengendalikan sistem penguatkuasaan automatik (AES).

“Apakah kerajaan begitu bimbang menagguhkan operasi AES ini bagi menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Apakah kerajaan ingin menjaga kepentingan Tan Sri Azman Yahya iaitu menganggotai beberapa GLC kerajaan termasuk Khazanah Nasional.

“Saya menyebut perkara berkenaan kerana ATES Sdn Bhd (sebuah syarikat yang mengendalikan AES), adalah dimiliki oleh satu syarikat yang bernama Angsana Tiara Sdn Bhd sebanyak 67.74 peratus.

“Angsana ini dimiliki oleh Tan Sri Azman Yahya sebanyak 66.60 peratus pemegang saham,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Poko Sena, syarikat tersebut mempunyai kerugian terkumpul berjumlah RM 781 juta.

Mahfuz mendakwa pemberian kontrak AES adalah usaha membaik pulih syarikat tersebut.

Tegas Mahfuz, selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya menghentikan pengeluaran saman baru AES dan memulangkan saman yang telah dibayar.

“Saya bersedia berdebat, dengan seorang bertaraf menteri tentang pelaksanaan AES,” cabar Mahfuz.

Semalam, dilaporkan bahawa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengatakan saman AES akan tetap dikeluarkan walaupun prosiding mahkamah telah ditangguhkan.

Cho Ha turut mengakui saman AES bermasalah dari sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

Setakat ini hampir 300,000 saman telah dikeluarkan sejak AES mula dilaksanakan 23 September lalu.

Mahfuz : Minta Penjelasan Menteri Syarikat Konsesi AES Menyamar JPJ

KUALA LUMPUR, 31 OKT – Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kejadian penyamaran sebagai pihak berkuasa oleh syarikat konsesi Sistem Kamera Automatik (AES).

Penasihat Undang-undang KASE, Zulhazmi Shariff berkata, berdasarkan sumber yang diperolehi, Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd mewarnakan kenderaan mereka seakan-akan pacuan empat roda Toyota Fortuner milik JPJ.

“Apa yang berlaku sekarang, maklumat yang kami terima, ATES dan Beta Tegap mewarnakan kenderaan milik syarikat sebagai warna seakan-akan warna JPJ.

“Letak logo JPJ, nama ‘Automated Enforcement System’ sedangkan kenderaan tersebut bukan kenderaan JPJ. Ini apa cerita?” katanya di lobi Parlimen.

Tegasnya, penyamaran sebagai pihak berkuasa ini merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam sidang media sama, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua penerima saman AES agar tidak membuat bayaran kompaun sebaliknya hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Ini kerana KASE akan menyediakan peguam kepada mereka selain penggunaan peruntukkan undang-undang yang salah seperti dinyatakan dalam surat saman.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya membatalkan semua saman yang mula dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan penangguhkan perlaksanaan AES seperti yang didesak sebelum ini.

“Kalau kerajaan masih tidak menarik balik saman ini, KASE menyeru kepada semua penerima saman ini agar tidak membayar kompaun.

“Sebaliknya ikut arahan ini (dalam surat saman) ke mahkamah. Kami bersedia menyediakan beberapa peguam bagi membantu mereka yang bersedia ke mahkamah.

“Peguam ini hanya untuk saman AES dan bukannya saman trafik,” katanya.

Surat saman AES yang dikeluarkan menyatakan kesalahan melanggar had kelajuan berada di bawah Seksyen 79 (2).

Seksyen berkenaan sebenarnya bukan berkaitan perlanggaran had kelajuan sebaliknya merujuk pada perlanggaran kepada mengabaikan terhadap arahan dan isyarat lalu lintas.

Dari segi hukuman pula, tidak ada kompaun minimum RM300 sebaliknya tidak melebihi RM 500.

“Undang-undang disini (dalam surat saman) yang digunakan pun pelik. Dia (surat saman) kata miinta kita hadir ke mahkamah sendiri atau diwakil peguam.

“Mana boleh pertuduhan yang ingin disebut di mahkamah diwakili peguam,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, kesalahan AES ini tidak akan melibatkan kesan disenarai hitam sebaliknya penerima boleh membuat saman balas seandainya mereka dikenakan tindakan sedemikian.

Beliau menambah, langkah penyelesaian di mahkamah ini dapat mengurangkan peluang kepada syarikat konsesi memperoleh keuntungan RM16 dari setiap saman yang dikeluarkan.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Prosedur Kompaun AES Kelirukan Rakyat

SHAH ALAM, 6 OKT : Kerajaan Pusat diminta memperkenalkan satu mekanisme baru berkenaan notis kompaun pesalah trafik Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini supaya tidak membebankan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar berkata, prosedur yang jelas mengenainya perlu ada agar tidak timbul kekeliruan di kalangan orang ramai.

“Bila rakaman imej itu diperolehi, kerajaan kata akan terus keluarkan notis saman sedangkan notis itu sebenarnya adalah notis bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta kepastian samaada betul atau tidak betul imej yang dirakam itu adalah pesalah yang sebenar.

“Maka kerajaan tidak boleh terus mengatakan bahawa individu itu mesti ditawarkan kompaun. Tidak boleh begitu, ia mestilah selepas ada pengesahan bahawa seseorang itu mengaku itu imejnya barulah individu terlibat boleh ditawarkan untuk bayaran kompaun atau didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri bahawa AES sudah merakamkan 63,558 imej pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat di 14 lokasi panas dari 23 September hingga 30 September lalu.

Abd Rahim juga menjelaskan semua imej tersebut sedang dalam proses semakan dan pengesahan JPJ sebelum saman dikeluarkan.

Mahfuz berkata, persoalan mengenai pelaksanaan AES itu sudah dibangkitkan banyak kali terhadap kerajaan di Parlimen namun sehingga kini ia belum diperjelaskan.

Katanya, pengguna kebiasaan menghadapi masalah ketika waktu puncak di mana anggota polis mengawal lalu lintas serta persimpangan lampu merah.

“AES yang dipasang di simpang lampu merah, bagaimana pada waktu puncak dan ada empat simpang serta polis akan datang untuk mengawal laluan. Lampu tidak digunakan dan pengguna jalan raya perlu mengikut arahan polis.

“Pada waktu itu ada lampu yang berwarna merah, kalau kita langgar lampu merah bermakna kita melakukan kesalahan. Kalau polis suruh jalan waktu lampu warna merah dan kita tidak ikut arahan polis, kita juga dianggap salah. Ini satu penganiayaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan juga diminta menjelaskan berhubung status AES tersebut dan pihak mana yang mengelola atau mengawalnya.

Tambahnya, kerajaan menetapkan Kementerian Pengangkutan dan JPJ adalah sebagai pemilik maka ia melibatkan penggunaan wang ringgit sedangkan sebelum ini kerajaan mengatakan tidak mengeluarkan satu sen pun sebaliknya ia dilakukan secara penswastaan kepada dua syarikat.

“Sehingga hari ini kita masih belum mendapat kepastian tentang dua syarikat tersebut maka kerajaan harus beritahu secara jelas apa kedudukan sebenarnya mengenainya. Jika ia dibangunkan oleh dua syarikat in maka sudah tentu ada satu perjanjian antara kerajaan dengan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Larangan Kenderaan Berat akan di Warta Elak Kesesakan

 

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif mewartakan Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Kenderaan Berat) bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di Persiaran Kewajipan dan Persiaran Tujuan.

Inisiatif ini diambil mengikut Seksyen 70 (2) di bawah Seksyen 67 Akta Pengangkutan Jalan di mana pihak majlis mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana jalan ditutup atau dihadkan penggunaan bagi kelas-kelas kenderaan tertentu.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata tindakan kompaun boleh dikenakan sekiranya terdapat pihak masih berdegil menggunakan laluan tersebut di waktu puncak.

“Ini tidak terkecuali kepada mana-mana kenderaan berat termasuk kenderaan mengangkut sampah.

“Bukan sepanjang hari, ada waktu-waktunya jadi mereka perlulah menyusun waktu perjalanan mereka dan akur dengan keputusan kita,” ujarnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar cukai tengah hari tadi.

Tempoh larangan tersebut dikenakan kepada kenderaan berat dengan muatan melebihi 10, 000 kilogram bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Jika terdapat pihak ingkar arahan berkenaan, denda maksimum RM 300 oleh pihak MPSJ, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah juga, mereka boleh didenda tidak melebihi RM 1, 000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri, Agensi Agih 100 Ribu Ole-ole Balik Kampung

SHAH ALAM, 17 OGOS: Lebih 100 ribu beg ‘Ole-ole Balik Kampung’ dari Kerajaan Selangor dan beberapa agensi keselamatan telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui beberapa tol di negeri Selangor sebelum menjelang raya.

Semalam, lebih seribu beg buah tangan berjaya diserahkan kepada pengguna jalanraya yang melalui Tol Sungai Rasah.

Program itu melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Majlis Perbandaran Klang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Ianya diadakan sempena perayaan Hari Raya Puasa yang dijangka jatuh pada Ahad ini dijalankan untuk mengingatkan pengguna jalanraya agar mementingkan keselamatan ketika memandu pulang ke kampung.

Antara isi kandungan beg ole-ole tersebut adalah minuman kotak dan beberapa jenis kuih tradisional.

Selain itu beberapa bahan bacaan turut diselitkan bagi memberi penerangan tentang dasar dan program Kerajaan Negeri, penjelasan beberapa isu semasa berkaitan Kerajaan Negeri dan isu keselamatan orang ramai.

Menuruh, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, program tersebut telah mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

“Alhamdullilah, kita dapat lihat sambutan pengguna jalan raya amat baik sekali dan kita jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan agensi lain juga sangat baik.

“Insyaallah program ini saya harap program ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Ketika memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakyat Selangor, Rodziah juga berharap agar pemandu memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan jalanraya negara ini.

Selain itu, beliau juga berharap agar maklumat mengenai pentadbiran negeri Pakatan Rakyat dapat disalurkan kepada masyarakat di dalam dan luar negeri Selangor.

Selain Rodziah, turut kelihatan dalam program sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihathin, Dr Xavier Jayakumar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Tuan Mislan Tugiu dan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, ACP Mohd Shukor Sulong.

ACP Mohd Shukor ketika ditemui TVS turut menasihati orang ramai memandu dengan lebih berhati-hati agar tidak menjadi sebahagian dari statistik kemalangan dalam Ops Selamat yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia di musim perayaan kali ini.

“Saya berharap sangat agar orang ramai memandu dengan menggunakan akal, bukan hati dan ingat keselamatan orang-orang tersayang yang kita bawa dan mereka yang menanti ketibaan kita hidup-hidup, bukan menanti jenazah.

“Sebelum memulakan perjalanan pastikan keselamatan rumah dan harta benda lain yang ditinggalkan dan jangan lupa maklumkan kepada balai berdekatan.

“Akhir sekali, kami warga Polis DiRaja Malaysia sentiasa mendoakan semuga perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula nanti berakhir selamat, selamat hari raya,” kata Mohd Shukor.