Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan semakin baik apabila terdapat penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat malam ini.

Di Terengganu, mangsa banjir terus berkurangan kepada 5,170 orang daripada 1,288 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 10,204 orang daripada 2,596 keluarga pada 2 petang tadi.

Ketika ini, hanya tiga daerah masih terjejas banjir dengan 25 PPS beroperasi iaitu 19 di Hulu Terengganu, Dungun (empat) dan Kuala Nerus (dua).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Hulu Terengganu iaitu 4,846 orang diikuti Dungun (308) dan Kuala Nerus (16).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada lagi sungai yang melepasi paras bahaya setakat ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila 4,809 orang daripada 1,525 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat setakat 8 malam ini, berbanding 6,341 orang daripada 2,095 keluarga petang tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan iaitu Air Bol, di Jeli, berada pada paras waspada dengan merekodkan bacaan 71.3 meter (m).

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat gesa kaji sistem perparitan Pelabuhan Klang, elak banjir berulang

SHAH ALAM, 7 JAN: Agensi bertanggungjawab diminta mengkaji semula sistem perparitan sedia ada sekitar Pelabuhan Klang bagi mengelak banjir teruk berulang.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) harus mengambil iktibar bencana pada 18 Disember tahun lalu.

“Hujan lebat selama 18 jam menghasilkan taburan air sebanyak 380 milimeter selain bertembung dengan fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya berharap MPK dan JPS lebih peka. Mereka perlu kaji semula sistem perparitan di Telok Gong, Kampung Tradisi Pulau Indah serta keseluruhan kawasan di Pelabuhan Klang,” katanya kepada Selangorkini.

Azmizam menjelaskan setiap pembangunan dirancang dan diluluskan perlu mengambil kira faktor kemampuan sistem saliran serta perparitan selain perubahan iklim negara.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan sebelah pihak pemaju sahaja, tetapi pada masa sama rakyat pula menanggung rugi dan kemusnahan harta benda.

“Malah, ada yang kehilangan nyawa akibat bencana disebabkan kegagalan, kecuaian serta kelemahan pihak berkaitan dalam merangka perancangan jangka pendek dan panjang,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

JPS digesa baik pulih pintu kunci air, ban Kampung Lombong

SHAH ALAM, 6 JAN: Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) diminta segera membaik pulih pintu kunci air dan ban di Kampung Lombong yang rosak akibat banjir.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata tindakan itu bagi memastikan banjir besar seperti bulan lalu tidak lagi berulang.

“Kita meminta JPS mengukuhkan struktur ban dan baiki pintu air di Kampung Lombong ini dengan segera kerana bimbang musim tengkujuh berlanjutan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mangsa banjir mendaftar kehadiran sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis agihan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Pada masa sama, EXCO Kerajaan Negeri itu mencadangkan agar siren amaran banjir dipasang di beberapa lokaliti terjejas supaya penduduk dapat bersiap sedia lebih awal apabila bencana itu tiba.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aras air sungai lima negeri tahap bahaya, penduduk dinasihat waspada

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan penduduk di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka untuk berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air sungai di beberapa kawasan berada pada tahap bahaya.

JPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Pahang, aras air Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan berada pada tahap bahaya dengan trend menaik manakala di Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera juga di tahap bahaya namun pada trend air menurun.

Sementara itu, di Selangor, Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam juga berada pada aras bahaya dengan trend air meningkat.

JPS turut memaklumkan di Johor, aras air Sungai Lenik di Ladang Chaah serta Sungai Segamat di Bandar Segamat, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada pada aras bahaya dengan trend aras air menurun.

Bagi Negeri Sembilan, trend aras air Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol menurun namun tetap berada pada aras bahaya.

Pada masa sama, di Melaka, Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin berada pada aras bahaya namun tiada perubahan trend manakala Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah pula berada pada paras bahaya dengan trend air menaik.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar diramal berlaku tiga kali sepanjang Januari hingga Februari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Tiga fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan ini hingga awal bulan depan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata ia bermula pada 2 hingga 5 Jan, diikuti 18 hingga 21 Jan dan 31 Jan hingga 3 Feb.

Beliau berkata paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlakunya banjir air pasang besar.

“(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan-kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya dalam program wawancara Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata antara perlindungan yang biasa dilakukan adalah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan pesisiran pantai.

“Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat, jadi air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Terdahulu, JPS melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Paras sungai tahap bahaya, penduduk lima negeri termasuk Selangor perlu waspada

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Penduduk di lima negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan paras air di beberapa sungai di negeri-negeri tersebut masih di tahap bahaya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di Pahang, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera, Stesen Paya Gintong di Jerantut dan Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh berada pada tahap bahaya dengan trend menaik.

Sungai lain iaitu Sungai Pukin di Rompin, Stesen Jambatan Chegar Perah di Lipis dan Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran juga masih berada tahap bahaya namun dengan trend menurun.

Menurut JPS, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, juga berada pada tahap bahaya tetapi dengan trend menurun.

Di Johor, dua sungai di Segamat iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

JPS memaklumkan di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol dan Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah berada dalam trend menurun walaupun masih tahap bahaya.

Di Melaka, Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, sungai sama di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.

Jabatan Mineral dan Geosains turut memaklumkan terdapat penambahan kawasan tanah runtuh hari ini melibatkan tujuh kawasan di Sabah, enam di Negeri Sembilan dan satu di Johor menjadikan jumlah kumulatif setakat hari ini sebanyak 243 kejadian di sembilan negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Kawasan baharu berlaku tanah runtuh di Sabah ialah Kampung Sagaliud Seberang di Jalan Sagaliud dan Kampung Warisan di Jalan Bukit Garam; Jalan Bongkud, Jalan Stadium, Jalan Tambunan-Ranau dan Jalan Timbau-Melinsau, Ranau serta Jalan Nangoh Paitan di Kanibongan.

Di Negeri Sembilan, tanah runtuh berlaku di Jalan Seremban-Port Dickson, Jalan Karak-Tampin dan Jalan Talang Ulu, Kampung Lubuk Kadam, Tanjung Ipoh serta tiga kawasan perumahan di Taman Desa Permai dan Kampung Jeram di Tampin dan Gemas.

Kawasan berlaku tanah runtuh di Johor pula ialah Taman Bukit Pelali di Pengerang yang menjejaskan kawasan perumahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan berterusan: JPS ramal beberapa daerah di Pahang, Johor alami banjir

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir secara berperingkat akan berlaku di 10 daerah di Pahang mulai 1 pagi ini (31 Dis), susulan amaran hujan berterusan peringkat bahaya (merah) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

JPS menerusi hantaran di Twitter memaklumkan 10 daerah berkenaan meliputi Kuantan, Rompin, Pekan, Bera, Maran, Jerantut, Temerloh, Lipis, Raub dan Bentong.

Di Kuantan, kawasan yang dijangka terjejas adalah Bandar Sungai Lembing, Kampung (Kg) Melayu, Kg Sungai Rimau, Kg Panching, Kg Pasir Kemudi, Kg Sungai Pinang, Bandar Kuantan, Sungai Isap dan kawasan rendah di sekitarnya.

Di Rompin membabitkan Kg Ganoh, Kg Kemomoi, Kg Leban Condong, Kg Gading, Kg Bangkong, Kg Kerpal, Kg Tebu Hitam, Kg Merlak, Kg Sepayang, Kg Simpang Sepayang, Kg Desa Murni, Kg Kemendul, Kg Perepat, Kg Sepakat, Kg Batu 8, Kg Janglau, Kg Bukit Lepas, Kg Setajam, Kg Selancur, Kg Kurnia, Kg Garong, Kg Mentelong dan Kg Denai.

Turut diramal terjejas adalah RPS Runchang, Kg Batu 7 Sg Miang, Kg Kelat Rendang, Kg Permatang Cicar di Pekan; Kg Lubuk Perah dan Kg Lubuk Tiang (Bera); Kg Lubuk Paku, Kg Kuala Wau, Kg Serengkam, Kg Berkat, Kg Paya Chedong, Kg Ulu Luit dan Kg Jara (Maran); Kg Kuala Tahan, Kg Padang, Kg Gol, Kg Bantal Seberang dan Kg Gusai di Jerantut.

Di Temerloh, ia membabitkan Kg Bangau Parit dan Kg Teluk Ira; Kg Chegar Perah dan Kg Kuala Medang (Lipis); Kg Batu Malim, Kg Peruas, Kg Ulu Sungai dan Kg Ulu Gali (Raub) serta Kg Repas Baru, Kg Chegar Medang, Kg Ketari, Kg Cheringin dan Kg Semerting di Bentong.

Ramalan sama turut dikeluarkan JPS ke atas lima daerah di Johor membabitkan Mersing, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru, yang diramal akan mengalami banjir mulai 2 petang esok, susulan amaran hujan berterusan peringkat waspada.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramalan banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Disember manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Januari.

PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my , daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.

Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.

Selain itu, banjir juga diramal di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah-daerah berkenaan.

“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.

Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my , media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar: Situasi di Kuala Langat terkawal meski berlaku limpahan air

SHAH ALAM, 6 NOV: Situasi di Kuala Langat terkawal meskipun beberapa kawasan mengalami hakisan kecil susulan fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga.

Perkembangan itu hasil pemantauan dijalankan di beberapa kawasan bermula jam 6.10 hingga 7.30 pagi, lapor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat.

Lokasi meliputi Pantai Kelanang, Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Pesisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, ban Kampung Kundang, pekan Tanjung Sepat dan Rumah Peranginan Persekutuan Morib.

“Limpahan berlaku di ban Batu 7, Batu 8 dan Sijangkang serta kesan hakisan di beberapa tempat, namun ban dalam keadaan terkawal.

“Limpahan air dan kesan hakisan turut berlaku di beberapa kawasan Pantai Pulau Carey dengan kerja pembaikan sedang berjalan,” maklum jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

JPS melaporkan terdapat limpahan air pada tebing ban Pantai Kelanang, namun dalam keadaan baik dan limpahan air memenuhi parit Dataran Kelanang itu memasuki ‘borrow pit’.

Menurutnya, situasi sama berlaku di Taman Harmoni dan kawasan parit pekan Tanjung Sepat, tetapi ban serta struktur saliran dalam keadaan baik.

“Terdapat juga limpahan di hadapan Istana Pantai Bahagia, ban Jalan Bandar, ban Sungai Ingat dan sekitar jeti Permatang Pasir,” tambah jabatan itu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB akan nasihati EXCO, tangani isu dengan kakitangan JPS

KLANG,25 OKT: Insiden antara EXCO kebajikan masyarakat dan kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) akan ditangani dengan baik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pihaknya akan memberi nasihat kepada mereka yang terlibat.

“Saya percaya semua ingin bekerja bersungguh-sungguh dan perlu diharmonikan satu sama lain. Perkara penting ialah kita ke arah penyelesaian masalah banjir bukan menuding jari satu sama lain.

“Isu diketengahkan patut diteliti kerana penduduk sering bertanya tentang langkah yang diambil. Namun, kaedah dan cara harus diperbaiki dan saya akan sampaikan nasihat kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, V Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JPS yang tular di media sosial.

Malah, beliau turut mengakui kesilapan yang dilakukan ketika melakukan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda di Klang.

Sabtu lalu, Ganabatirau memuat naik video di Facebooknya memaparkan beliau meninjau dan memantau isu banjir dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh JPS.

Susulan kejadian, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) mendesak ADN Kota Kemuning itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam terutama kakitangan JPS.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganabatirau mohon maaf singgung perasaan kakitangan JPS

SHAH ALAM, 25 OKT: Wakil rakyat Kota Kemuning memohon maaf secara terbuka atas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  kelmarin.

V. Ganabatirau mengakui kesilapan itu selepas video beliau tular di laman sosial hingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.

“Mungkin saya gagal mengawal kemarahan dan sepatutnya tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan. Dengan itu saya minta maaf secara tulus hati kepada pihak terlibat.

“Saya bukan mahu menunjukkan kuasa atau menjadi hero, namun hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kawasan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkilan dengan tindakan EXCO pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin yang disifatkan tidak profesional.

Presiden kesatuan terbabit menyifatkan tindakan itu keterlaluan dan seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas.

Ganabatirau turut menjelaskan bahawa beliau tekad menyelesaikan isu banjir di kawasan terbabit selepas menerima aduan daripada penduduk.

“Bayangkan banjir yang melanda kawasan Bukit Naga dan Bukit Rimau Rabu lalu mencapai paras pinggang manakala Taman Sri Muda serta Taman Desa Kemuning pada tahap lutut.

“Situasi ini sudah tentu menambah kebimbangan saya, apatah lagi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 29 Oktober ini,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Sistem parit dinaik taraf, atasi isu banjir kilat di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 25 OKT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju menaik taraf longkang dan sistem perparitan bagi mengatasi isu banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini sekali gus melegakan lebih 16,000 penduduk.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning V Ganabatirau memaklumkan projek tambah baik berkenaan dijangka bermula tahun depan, namun kos belum diperincikan.

“Kita nampak bahawa punca utama banjir di kawasan berkenaan disebabkan masalah sistem perparitan yang lemah. Jadi, saya percaya mereka (JPS) akan memulakan kerja berkaitan tahun depan.

“Saya berharap masalah ini tidak lagi berlarutan dan dapat diselesaikan semua pihak termasuk JKR (Jabatan Kerja Raya) yang juga perlu main peranan,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, EXCO pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga merancang membina kolam takungan di sebuah padang sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, rancangan tersebut dipersetujui Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor selepas diusulkan dua minggu lalu.

“Terdapat kira-kira enam padang besar di Seksyen 25, salah satu akan ada di situ (kolam takungan). Jadi, beliau (Datuk Zamani) akan uruskan perkara dengan segera,” katanya lagi.