Categories
NASIONAL SELANGOR

LUAS : Baiki Ban Pecah, Jamin Bekalan Air Tidak Terjejas

SHAH ALAM,10 OKT : Penurunan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam (BRH) yang menempatkan loji pembersihan Sungai Sireh disebabkan oleh ban sungai yang pecah berhampiran Jambatan Sungai Bernam SKC.

Ban sungai yang pecah ini menyebabkan aliran Sungai Bernam tidak sepenuhnya melalui Ibu Ampangan Sungai Bernam.

Ia menjadi antara punca penurunan paras air untuk loji pembersihan Sungai Sireh yang membekalkan air bersih dan kegunaan sawah padi di sekitar Tanjong Karang dan Sekinchan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat berkata, ekoran kejadian itu pihak Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut akan mempercepatkan pembaikan ban sungai tersebut.

Katanya, dalam masa yang sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menggunakan pam bagi diagihkan ke kawasan penanaman padi yang mengalami masalah kekurangan air.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bekalan air bersih ke kawasan di Sekinchan dan Tanjong Karang yang melibatkan kira-kira 30,000 pengguna tidak akan akan terjejas.

“Susunan pengagihan dari loji lain akan dilaksanakan untuk menampung kekurangan bekalan air di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menjelaskan, rekod aliran air Sungai Bernam pada 10 Oktober melalui pemantauan aliran air di Jambatan Sungai Bernam SKC masih lagi tinggi pada jumlah 24.11 meter padu sesaat.

Malahan bacaan paras air di Ibu Ampangan Sungai Bernam juga masih tinggi iaitu pada paras 9.38 meter berbanding 9.6 meter paras bekalan penuh.

Katanya, Sungai Bernam yang menjadi garis sempadan di antara Negeri Selangor dan Perak merupakan sumber bekalan air bagi pengairan padi dan juga sebagai sumber bekalan air bersih melalui loji pembersihan air (LPA) Sungai Sireh.

“Operasi biasa Loji Pembersihan Air Sungai Sireh memproses 21 juta liter sehari (JLH) air bersih dan mampu untuk memproses sehingga 27 JLH.

“Ini adalah kali pertama kes sebegini berlaku. Kesemua enam pintu air di Ibu Ampangan Sungai Bernam dibuka untuk kemasukan air bagi meningkatkan paras air di terusan bekalan (feeder canal),” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat ‘Potong’ Bajet JPS Punca Gagal Selenggara Kolam Tadahan Seri Serdang

SERI SERDANG, 25 SEPT : Tindakan Kerajaan Pusat memotong peruntukan Jabatan Pengairan Selangor (JPS) sejak 2008 antara punca agensi berkenaan gagal menyelenggara serta menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di kolam tadahan Taman Seri Serdang dan Sungai Kuyoh bagi mengelak insiden banjir kilat di kawasan itu terus berulang.

Menurut Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, kolam takungan itu berada di bawah pemantauan JPS yang juga merupakan salah satu agensi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sejak 2008, JPS gagal meneyelenggara kolam tadahan dengan baik selain tidak melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kuyoh.

Sejak 2008 juga peruntukan kepada negeri Selangor juga dikurangkan sehingga mengakibatkan JPS mengalami kesukaran untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Masalah banjir di kawasan ini berlaku sejak lebih 20 tahun lalu, tetapi kali ini lebih serius kerana jumlah air hujan mencatatkan peningkatan tiga kali ganda daripada jumlah hujan biasa.

“Sungai Kuyoh tidak mampu menampung air yang banyak. Sebab itu kita mahu Kerajaan Pusat memberi peruntukan kepada JPS supaya mereka boleh menambahbaik sungai itu.

“Kerajaan Negeri memang ada memberi peruntukan setiap tahun kepada JPS tetapi tanggungjawab utama adalah daripada Kerajaan Pusat,” katanya yang juga Adun Seri Kembangan.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Adun Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman yang mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak mempedulikan isu pembangunan di kawasan itu sejak memerintah negeri ini sehingga menyebabkan banjir besar di situ baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ean menyifatkan dakwaan Satim itu dibuat untuk menutup kelemahan pentadbiran Umno-BN sebelum ini dan melepaskan tanggungjawab Kerajaan Pusat.

“Ini sepatutnya tanggungjawab Kerajaan Pusat. Dia (Satim) melepaskan tanggungjawabnya sebagai ahli komponen parti BN. Dia sengaja berbuat demikian dan meletakkan tanggungjawab itu ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

SELCAT Puas Hati Berhubung Pendengaran Isu Banjir

SHAH ALAM, 16 APR : Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berpuas hati terhadap penerangan kesemua agensi peringkat negeri yang dipanggil berhubung isu banjir di Hulu Langat, Kajang, Ampang, dan Klang.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Datuk Teng Chang Kim menyifatkan sesi pendengaran awam yang pertama kali melibatkan bencana alam ini berjaya dilaksanakan walaupun jangkamasa yang diberikan kepada agensi berkenaan untuk membuatkan persiapan adalah singkat.

Sementara itu, Teng turut memuji langkah yang dibuat oleh JPS kerana berjaya menyediakan laporan lengkap mengenai perangkaan Rancangan Malaysia Ke Lapan hingga ke 10 berhubung projek-projek tebatan banjir yang dilaksanakan.

” Kesemua jabatan yang dipanggil, Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi masa yang suntuk untuk menyiapkan maklumat dan kesemuanya berjaya menyediakannya,” katanya di sidang media sejurus selesai sesi hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai keberkesanan pendengaran awam berhubung isu bencana alam kerana ia berguna kepada kerajaan negeri untuk mendapat maklumat secara terus mengenai proses dan kaedah yang diambil agensi berkaitan.

Jesteru itu, beliau menyarankan supaya sesi pendengaran awam ini diteruskan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Dalam sidang media sama, Teng turut melahirkan kebimbangan terhadap peruntukan kerajaan pusat yang semakin berkurangan menerusi RMK-10 berjumlah RM1.9 juta.

“Kerajaan Pusat perlu mengkaji semula peruntukan projek fizikal untuk menambahbaik projek tebatan banjir di Selangor dengan segera kerana isu bencana alam berada ditahap membimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, menerusi RMK-9 Kerajaan Pusat memperuntukkan RM57 juta dan ia berkurangan dalam RMK-10 kepada RM1.9 juta bagi projek fizikal tebatan banjir.

Categories
SELANGOR

Azmin: Pelan Pembangunan Terancang Perlu di Utama

SHAH ALAM, 16 APR : Semua agensi di peringkat negeri termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memberi keutamaan kepada pelan pembangunan untuk mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Perkara itu dinyatakan panel Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Selangor (SELCAT), Azmin Ali dalam sesi pendengaran awam berhubung isu banjir di Kajang, Ampang, Hulu Langat dan Klang di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat Azmin sebagai menegur sikap agensi kerajaan negeri yang dilihat lebih mengutamakan hal remeh-temeh dalam Mesyuarat Pembangunan dan Tindakan Daerah yang diadakan kira-kira dua bulan sekali.

“Berdasarkan laporan minit mesyuarat yang diadakan pada 8 Januari lalu, saya mendapati banyak perkara remeh yang dibincangkan seperti majlis keramaian, kenaikan pangkat pekerja dan lain-lain.

Kalau dilihat, perbincangan yang menjurus ke arah pembangunan itu diletakkan di muka surat terakhir, seolah-olah ia tidak penting,” katanya.

Azmin turut menegur agensi kerajaan berkenaan supaya tidak menuding jari di antara satu sama lain berhubung tanggungjawab ke atas pelaksanaan pembangunan di kesemua kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah JPS, Abdul Qahar Osman mengesahkan, setiap agensi kerajaan di negeri ini akan mengadakan mesyuarat antara satu atau dua bulan sekali bergantung kepada kepentingan.

Beliau turut menyambut baik saranan panel SELCAT untuk memperkemaskan perbincangan mesyuarat supaya ia lebih menumpukan kepada pembangunan di neger

Categories
SELANGOR

Dalamkan Sungai,Elak Banjir di Ampang

SHAH ALAM, 16 APR : Kesemua sungai utama di sekitar Ampang perlu didalamkan semula sebagai alternatif jangka masa panjang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat dari terus berulang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Mohammad Yacob, pendalaman kesemua 12 sungai di kawasan itu kali terakhir dilakukan pada 2005 dengan peruntukan melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan taburan hujan di Ampang adalah tidak menentu yang ada kalanya melebihi paras normal, 70 milimeter (mm).

Jelasnya, penurunan hujan yang direkodkan pada 7 Mac lalu adalah 164mm, di mana melebihi paras maksimum sistem perparitan (longkang) yang dibina.

“Sejak 2006, sistem perparitan dan longkang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Peruntukan ini kebiasaannya didahulukan PBT dan kemudiannya dibayar semula oleh kerajaan negeri.

Untuk jangka masa pendek, MPAJ telah membaiki kebanyakan longkang di Ampang dengan kos melebihi RM27 juta. Kita tidak mampu untuk membaiki kesemua sistem perparitan secara serentak kerana ia menelan belanja tinggi. Bagaimanapun, kita akan terus membaiki serta menambah sistem saliran supaya dapat menampung hujan yang turun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung usaha MPAJ untuk mengelak banjir di kawasan berkenaan.

Tambahnya, pihak MPAJ turut mengenakan syarat ketat kepada pemaju untuk membina sistem perparitan teratur terutama di kawasan perumahan baru.

Ia merujuk kepada konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenalkan pihak Jabatan PJPS  sebagai garis panduan kepada setiap pembinaan perumahan baru.

“Pada tahun 2000, JPS memperkenalkan kaedah ini yang perlu digunapakai oleh setiap pemaju di Selangor. Saya juga meminta pihak JPS untuk melihat keadaan sungai di Selangor dan mencadangkan supaya kolam takungan dibina dengan lebih banyak,” jelasnya.

Pada 7 Mac lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang antaranya Kampung Lembah Jaya Utara, Kampung Melayu Ampang serta Kampung Pinggir Tiga ditenggelami air akibat hujan lebat tanpa henti selama empat jam.

Hujan lebat itu turut mengakibatkan banjir teruk di beberapa kawasan lain di Kuala Lumpur seperti Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Tun Razak dan Bukit Bintang.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Taburan Hujan lebih 60mm Punca Banjir

SHAH ALAM, 16 APR : Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) diberitahu punca kejadian banjir di Hulu Langat pada 7 Mac lalu adalah disebabkan taburan hujan  melebihi paras normal, 60mm.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim mengesahkan kadar penurunan hujan yang dicatatkan semasa hari kejadian adalah melebihi 200mm sehingga mengakibatkan banjir kilat.

Beliau turut menyifatkan bencana banjir yang melibatkan kira-kira di 15 buah kampung di situ adalah sebagai kejadian terburuk yang pernah dialami penduduk Hulu Langat sejak tahun 1980-an.

“Sebelum ini pernah juga berlaku banjir di beberapa kawasan di sini. Tetapi kebiasaannya tidak melebihi 1 meter. Kejadian banjir bulan lalu dilihat sebagai luar biasa,” katanya.

Selain itu menurutnya, faktor topografi (keadaan rupa bumi sesuatu kawasan) di kebanyakan kawasan di Hulu Langat juga adalah  di bawah paras sungai.

Bagaimanapun jelas Haris, pihaknya akan membuat penyelenggaraan di kawasan terlibat dengan membina kolam takungan dan membaiki sistem saliran air.

“Kita telah minta taklimat dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Kita juga telah menulis surat kepada kerajaan negeri untuk meminta peruntukan bagi pembinaan kolam takungan.

Namun, projek ini akan memakan sedikit masa kerana melibatkan kos yang tinggi dan  pejabat daerah perlu menguruskan pengambil alihan semula tanah di beberapa kawasan serta merangka pelan terbaik untuk pembinaan kolam tersebut,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Sampaikan Bantuan RM2J Untuk Mangsa Banjir Di Klang

KLANG, 8 APRIL : Mangsa banjir yang berlaku di Klang melahirkan rasa syukur diatas keperihatinan kerajaan negeri yang sudi menghulurkan bantuan berjumlah RM500 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta ringgit untuk sumbangan banjir ini dan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Kilat Fasa I Daerah Klang sebentar tadi.

Menceritakan detik kejadian Mohd Khalid Asmari dari Kampung Delik Kiri berkata, beliau menyedari rumahnya mula dinaiki air pada jam 5.00 pagi ketika ingin bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Mula-mula bangun saya tidak sedar bagaimana rumah dinaiki air kerana berpunca daripada bilik air. Saya sedar air masuk sedikit demi sedikit sehingga ke dalam rumah. Air masuk secara mendadak jadi saya tidak berjaya menyelamatkan beberapa barangan seperti almari memnadang saya

“Kerugian yang dialami tidak banyak tapi hampir RM500 juga. Saya berterima kasih dan bersyukur diatas sumbangan yang diberikan oleh kerajan negeri,” katanya.

Sementara itu, Saraswathy Subramaniam berkata, beliau menyedari air masuk ke dalam rumah pada jam 3.00 pagi sehingga paras betis.

Dianggarkan kerugian yang dialami berjumlah RM6,000 termasuk kerosakkan perabot dan barangan keperluan lain.

Mohd Firdaus Harun bersyukur ketika kejadian beliau mendapat bantuan daripada keluarga memandangkan mengalami kesukaran untuk bergerak akibat kecederaan kemalangan yang dialami.

“Saya sedang tidur lena, kemudian dikejutkan oleh isteri saya. Saya sedar jam 4.00 pagi tilam saya dinaiki air. Masa itu nak bergerak agak susah memandangkan besi di kaki saya ketika itu masih belum dibuka. Adik-beradik saya tolong angkatkan barang,” katanya.

Kejadian banjir yang berlaku pada 30 Mac lalu mengakibatkan hampir 10 buah sekolah ditutup selain kemusnahan harta benda.

Seramai 1,381 mangsa banjir menerima sumbangan untuk fasa pertama yang melibatkan Kampung Delik, Kampung Raja Uda, Kampung Sungai Udang dan sebahagian Taman Sentosa.

Semua mangsa yang belum mendaftar untuk menerima bantuan banjir diberikan tempoh sehingga 13 April untuk berbuat demikian melalui pejabat pusat khidmat dun dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

Mereka perlu membawa bersama laporan polis dan dokumen pengesahan daripada JKKK bagi mengelakkan sebarang penipuan sekaligus menafikan hak mangsa lain yang layak.

Dalam pada itu Tan Sri Abdul Khalid menjelaskan peruntukkan untuk Jabatan Pengaliran Saliran adalah daripada kerajaan persekutuan dan bukannya daripada kerajaan negeri.

“Saya diberikan penerangan oleh pihak JPS yang mengemukakan permintaan peruntukkan ysng melebihi RM1 billion untuk Klang kerana kawasan ini memrlukan program mengatasi banjir.

“Dalam empat tahun di bawah Pakatan Rakyat, peruntukkan untuk Klang bukan menjadi keutamaan. Saya diberitahu mereka meletakkan keutamaan kita di tahap ketiga,” katanya.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan JPS untuk menulis surat kepada Unit Perancangan Ekonomi Negara bagi memaklumkan menyatakan kerugian dan kesan sekiranya kerap berlakunya banjir.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah berbincang untuk mengatasi masalah banjir ini dengan meletakkan taraf jika berlaku banjir sekalipun hanya sekali dalam tempoh 50 tahun.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM5 juta bagi membina kolam tadahan air bagi menampung lebihan air hujan selain kerja-kerja pembersihan longkang-longkang di kawasan Klang.

Categories
NASIONAL

Pusat Sekat Peruntukan Atasi Masalah Banjir Di Selangor

SHAH ALAM, 2 APRIL: Banjir kilat yang melanda Klang baru-baru ini dijadikan isu politik apabila Datuk Seri Noh Omar menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor  tetapi tidak memberi sebarang idea untuk penambahbaikan dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Ronnie Liu dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan negeri sudah berbincang dengan Jabatan Parit Saliran(JPS) dan dimaklumkan JPS telah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir ini termasuk menjalankan kerja-kerja pengurusan, pembersihan dan penyelenggaraan sungai.

Tetapi walaupun permohonan sudah  dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10(RMK-10)  tetapi tidak dianggap penting oleh Kerajaan Pusat malah dikategorikan tahap ketiga.

“Lebih malang lagi, meskipun ada seorang menteri dari Selangor iaitu Noh Omar tetapi beliau gagal menekankan kepentingan dana RM1 billion diturunkan ke Negeri Selangor. Beliau bukan sahaja gagal memastikan peruntukan disalurkan malah  beliau cuba menyalahkan pegawai dan kakitangan profesional JPS,” katanya yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri.

Persoalaannya, bagaimana JPS mampu melaksanakan tugas dengan baik  jika Kerajaan Pusat  menyekat peruntukan ini dan Noh Omar pula tidak melihat peruntukan ini penting kepada rakyat Selangor khususnya di daerah Klang.

Malangnya, apabila berlaku musibah seperti bencana alam seperti ini,  pemimpin BN tanpa usul periksa menyalahkan kakitangan kerajaan.

Bagi Ronnie, sikap memperkecilkan kakitangan JPS bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah banjir. Sebaliknya beliau perlu jujur membantu rakyat dengan mendesak peruntukan RM1 bilion disegerakan.

“Noh Omar tidak jauh beza dengan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang menuduh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) menyerahkan konsesi air kepada Puncak Niaga sedangkan seluruh negara tahu keputusan ini dibuat oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ketika itu,” kata Adun Pandamaran itu.

Di Selangor, JPS di bawah Kerajaan Pusat bertanggungjawab menyelesaikan masalah banjir. Oleh itu, dana dan peruntukan pengurusan dan pembangunan adalah datangnya dari Kerajaan Pusat.

Ini bermakna semua urusan pembangunan dan pengurusan sungai adalah tanggungjawab kerajaan pusat termasuk kerja-kerja tebatan banjir.

Walaubagaimanapun, menyedari masalah banjir adalah besar maka Kerajaan Negeri Sejak 2008, telah menguatkuasakan peraturan bahawa sebarang projek pembangunan perlu dibuat mengikut kejadian dataran banjir 50 tahun.

Ini berbeza  dengan amalan  pentadbiran negeri terdahulu yang tidak mengikut dataran banjir 50 tahun.