Categories
AGENDA JENAYAH

Bekalan elektrik 12 premis judi dalam talian dipotong, elak kegiatan berleluasa

SHAH ALAM, 11 MAC: Bekalan elektrik 12 premis menjalankan kegiatan judi dalam talian sekitar Kapar, Klang diputuskan dalam operasi yang diadakan selama dua hari bermula Selasa.

Ketua Polis Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata operasi bersama Tenaga Nasional Berhad Klang itu bertujuan mencegah kegiatan berkenaan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Pihak polis akan meneruskan risikan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan judi dalam talian lumpuh sepenuhnya.

“Pemilik premis juga diminta tidak menyewakan aset kepada sindiket ini. Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini menjalankan operasi sama pada 2020 melibatkan 32 premis manakala tahun lalu sebanyak 26 premis.

“Semua premis ini dikenakan tindakan serta dituduh di mahkamah. Namun masih ada yang degil dan kembali beroperasi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Polis tangkap 14 individu terbabit aktiviti judi dalam talian di Klang

SHAH ALAM, 1 FEB: Seramai 14 individu ditahan bahagian maksiat, judi dan kongsi gelap (D7) Bukit Aman selepas terbabit aktiviti judi dalam talian di Batu Tiga Lama, Klang, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek terdiri daripada 11 lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 50 tahun.

“Dalam serbuan jam 6.45 petang itu polis turut merampas satu unit komputer riba kawalan utama, 13 unit komputer riba, satu unit modem dan wang tunai RM1,598,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Noor berkata pihaknya juga turut melakukan serbuan di satu lagi lokasi judi dalam talian di sebuah premis di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

“Seramai tiga lelaki warga tempatan berumur lingkungan 21 hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10.45 malam itu.

“Polis merampas empat unit komputer riba, dua unit tablet, satu unit telefon bimbit, satu unit router, satu unit modem dan wang tunai RM205,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Categories
AGENDA NASIONAL

Judi dalam talian, dadah punca anggota ATM bertindak luar kawalan

KOTA SAMARAHAN, 22 JAN: Ketagihan berjudi dalam talian antara punca anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak di luar kawalan sehingga ada yang mengorbankan nyawa, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.

“Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet Palapes Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat),” katanya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.

Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.

Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor tahan tujuh lelaki terlibat judi dalam talian

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Persiaran Anggerik Vanilla, Kota Kemuning petang semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor DSP Zuhairee Mohamad Rashid berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 30-an itu ditahan dalam serbuan Ops Calling Centre pada pukul 5.30 petang, semasa sedang mempromosikan permainan judi dalam talian.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis peralatan elektronik antaranya 28 unit telefon bimbit, empat unit pem­prosesan pusat (CPU), lapan unit monitor komputer, sebuah komputer riba dan dua unit modem dalam serbuan itu.

Katanya sindiket itu mempunyai sekitar 1,000 pelanggan dengan anggaran transaksi urus niaga perjudian RM30,000 hingga RM40,000 sehari, dan siasatan lanjut turut mendapati kondominium mewah yang disewa itu dijadikan pusat mempromosi serta menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasarkan pelanggan tempatan.

“Mereka menggunakan laman web ‘www Club66’ bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti jenis Kissme, mega888 dan rolex menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram dan WeChat.

“Kaedah transaksi juga dibuat secara dalam talian menerusi beberapa akaun disyaki akaun keldai yang dijadikan tempat memasukkan dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu judi dalam talian antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan langkah serta tindakan undang-undang bagi membendung perjudian dalam talian.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Noorita Sual (PH-Tenom) kepada Menteri Dalam Negeri.

Selain itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai perancangan untuk melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha merealisasikan cadangan pembinaan sekolah sukan khusus bagi pelajar kurang upaya.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan dasar dan program yang perlu diadakan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu di samping mengekalkan pekerjaan sedia ada di Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari kesembilan hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt telah dibahaskan 42 Ahli Parlimen minggu lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan sehingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 Nov.

Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tumpas sindiket judi dalam talian libatkan remaja bawah umur

SERDANG, 26 JUN: Sindiket perjudian dalam talian dan pertaruhan bola sepak UEFA EURO 2020, yang dipercayai baharu tiga hari beroperasi, tumpas selepas polis menyerbu sebuah pangsapuri di Seri Kembangan pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A Anbalagan berkata dalam serbuan pada kira-kira 9 malam itu, sembilan individu ditahan termasuk tiga remaja bawah umur dan seorang lelaki warga China yang visa pelawatnya tamat tempoh.

Beliau berkata sindiket itu mempromosi perjudian menerusi aplikasi Line dan beberapa laman sesawang dengan menawarkan pertaruhan bermula RM50 hingga RM10,000 serta keuntungan boleh mencecah RM100,000 sehari.

“Siasatan awal mendapati mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 29 tahun ini dibayar RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan mendapat pekerjaan melalui laman sosial,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Katanya tiga remaja terbabit iaitu seorang perempuan dan dua lelaki dibebaskan hari ini dengan jaminan polis manakala yang lain direman enam hari sehingga Ahad ini.

Anbalagan berkata semakan mendapati dua suspek yang ditahan juga mempunyai rekod jenayah termasuk dadah.

Dalam perkembangan lain, empat lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun ditahan dalam dua serbuan di Petaling Jaya pada Ahad selepas disyaki terbabit dalam enam kes samun melibatkan kedai 24 jam di sekitar Serdang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata kesemua suspek, yang merupakan anggota ‘Geng Apoi’ dipercayai aktif melakukan aktiviti jenayah samun sejak enam bulan lepas.

“Mereka menggunakan modus operandi sebagai pembeli dan apabila melihat keadaan dirasakan sesuai, mereka akan melakukan samun secara berkumpulan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja terpedaya tawaran gaji lumayan sindiket judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Empat remaja bawah umur merupakan antara 20 individu yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian dan pelaburan tidak wujud ketika serbuan polis di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Razak malam tadi.

Keempat-empat remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun itu ditawarkan gaji lumayan iaitu RM3,500 sebulan dan tempat tinggal di Kuala Lumpur menerusi aplikasi WeChat untuk bekerja di pusat khidmat pelanggan.

Difahamkan, mereka dibawa oleh pemandu yang diupah sindiket dari selatan tanah air dengan menaiki van atau kereta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Nasri Mansor berkata sindiket itu menjalankan operasi di sebuah kondominum yang disewa dengan harga RM10,000.

Beliau berkata dalam serbuan pada kira-kira 9.30 malam, 20 individu terdiri daripada 16 lelaki termasuk seorang warga China dan empat wanita termasuk seorang warga Vietnam yang berperanan sebagai pembantu rumah ditahan.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri dan merebus nombor akaun dipercayai milik mangsa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan malam ini.

Nasri berkata mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Judi dalam talian: Empat lelaki warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Polis menahan empat lelaki warga China disyaki menjalankan sindiket pusat panggilan perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan saham, di sebuah unit kondominium di Mont Kiara, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata kesemua suspek berumur 26 hingga 32 tahun itu yang ditahan pada 6.35 petang didapati menyasarkan mangsa dari China bagi mengaut keuntungan.

Beliau berkata mereka yang menjalankan kegiatan terbabit didapati telah menyewa premis berkenaan sejak lima bulan lepas dengan kadar sewa RM8,000 sebulan.

“Suspek juga menerima bayaran gaji sebanyak RM6,500 sebulan berikutan penglibatan mereka dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata hasil serbuan antaranya turut merampas sembilan komputer riba, 26 buah telefon bimbit, satu unit modem selain wang tunai tempatan RM95,550 dan wang tunai asing dengan nilai rampasan kesemuanya berjumlah RM180,000.

“Susulan itu, kesemua suspek ini direman hari ini bagi meneruskan siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi terbuka dan Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan lain, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun selepas pemeriksaan di dalam kenderaannya di kawasan perumahan flat kos rendah di Jalan Seri Sentosa menemukan sepucuk pistol tiruan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata penahanan dibuat ke atas suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan pada 2.40 pagi susulan rondaan pihak polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan juga menemukan sebutir peluru yang diletakkan di dalam pistol terbabit selain satu kad penama bertulis ASP Ng Thean Leng serta kasut berwarna hitam dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki sepucuk pistol tiruan dan barangan yang disyaki digunakan untuk tujuan melakukan jenayah dan suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 14 Mei untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Dua lagi individu terbabit video promosi judi dalam talian ditahan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Polis menahan dua individu yang disyaki berperanan sebagai ‘pembayar upah’ kepada pelakon yang terbabit dalam dua video mempromosi iklan perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kedua-dua lelaki berumur 31 dan 34 tahun itu ditahan di Puchong dan Cheras dalam operasi bermula 12 tengah malam dan 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata kedua-dua individu itu bertindak sebagai pembayar upah kepada pelakon video dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat hari ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti produksi terbabit susulan kedua-dua video berkenaan dihasilkan oleh dua produksi berbeza,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya semalam telah menahan tiga individu termasuk dua wanita yang berperanan sebagai pelakon dan direman tiga hari hingga esok untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga individu yang ditahan berperanan sebagai pelakon dan menerima bayaran RM200.

Setakat ini, polis menahan 25 individu termasuk penerbit, pelakon dan kru produksi bagi membantu siasatan pembikinan empat video mempromosikan judi dalam talian yang tular menerusi laman sosial sejak minggu lepas.

Mohamad Zainal berkata daripada jumlah itu, 12 individu masih direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis kesan dua lagi video baharu promosi judi, tiga individu ditahan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Tiga termasuk dua wanita ditahan berhubung pembikinan dua lagi video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua suspek rakyat tempatan berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota selepas polis mengesan dua video baharu masing-masing berdurasi 30 saat dan 48 saat yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, semalam.

Setakat ini, katanya polis telah menerima dua laporan berhubung perkara itu.

“Kesemua suspek akan direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan pembikinan video itu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut malah perbuatan sedemikian bukan sahaja salah mengikut undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Dua puluh individu termasuk sembilan warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di enam premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata kesemua suspek berusia 48 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 11 warga tempatan serta sembilan warga Myanmar dan Bangladesh.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan jam 5.30 petang, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM5,060, 11 telefon, 50 keping kertas bercetak, sekeping kertas bertulis, 10 pencetak mudah alih dan dua batang pencil.

“Hasil siasatan awal mendapati premis kedai tersebut telah beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.

Premis tersebut telah menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen. Seorang daripada suspek iaitu seorang wanita pernah ditahan sebanyak tiga kali termasuk semalam kerana kes yang sama,” katanya di lokasi serbuan di Taman Perindustrian Puchong Utama.

Abd Khalid berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat judi dalam talian di sebalik ‘pintu pejabat’ diserbu di Serdang

SERDANG, 22 NOV: Taktik berselindung di sebalik ‘pintu pejabat’ sebuah pusat snuker di Seri Kembangan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian terbongkar dalam serbuan Op Noda Khas ke atas premis itu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata dalam serbuan bermula pukul 9 malam, seramai sembilan individu warga tempatan berumur 27 hingga 51 tahun ditahan termasuk penjaga premis berkenaan.

“Seramai lapan orang termasuk tiga wanita yang rata-rata merupakan pelanggan tetap di situ didapati sedang leka bermain judi dalam talian, di dalam bilik yang tertulis pintu pejabat dan kononnya hanya kakitangan dibenarkan masuk.

“Siasatan mendapati hanya pelanggan tetap dan penjaga premis mengetahui cara membuka pintu itu. Kamera litar tertutup (CCTV) yang banyak dipasang di premis itu mendatangkan keraguan ketika risikan dilakukan sebelum ini sebelum bilik rahsia ini ditemukan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan itu.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya memecah pintu masuk ke premis terbabit kerana penjaga premis enggan membuka pintu.

Katanya, siasatan awal mendapati premis judi itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lepas dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat snuker dan hanya beroperasi selama tiga jam dari pukul 6 petang hingga 9 malam.

“Kita turut merampas 13 komputer riba, tetikus dan wang tunai berjumlah RM443,” katanya.

Razali berkata kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Serdang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-BERNAMA