Categories
AGENDA GLOBAL

Korban Covid-19 seluruh dunia lepasi satu juta

MOSCOW, 29 SEPT: Jumlah kematian global akibat Covid-19 sudah melepasi sejuta orang, lapor agensi berita Sputnik.

Menurut Johns Hopkins University, korban di seluruh dunia sehingga kini seramai 1,000,555, dengan 33,273,720 kes disahkan dan 23,056,480 kes pulih.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac.

Menurut badan kesihatan global itu jumlah kematian di seluruh dunia sudah melebihi 996,000 orang, dengan bilangan kes 33,034,598.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Beirut: Angka korban meningkat kepada 135, darurat dua minggu

BEIRUT, 6 OGOS: Kabinet Lubnan pada Rabu mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu, sementara jumlah kematian akibat letupan di pelabuhan Beirut meningkat 135 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Pelabuhan Beirut dikejutkan dengan dua letupan besar sekitar jam 6.10 petang (waktu tempatan) Selasa, turut menggegarkan bangunan serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu kota Lubnan itu.

Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan setakat ini, 135 orang terbunuh dan 5,000 yang lain cedera.

Darurat berada di bawah pengawasan tentera Lubnan yang juga bertanggungjawab menjaga keselamatan di bandar raya itu.

Maklumat awal mendapati ammonium nitrat yang disimpan sejak tahun 2014 di gudang No. 12 di pelabuhan itu mungkin menyebabkan letupan.

Kabinet memutuskan untuk menahan pegawai pelabuhan yang terlibat dalam penyimpanan 2,700 tan ammonium nitrat itu.

Di samping itu, kabinet juga menggesa Kementerian Pekerjaan Awam untuk menjalankan aktiviti import dan eksport melalui Pelabuhan Tripoli.

Suruhanjaya Bantuan Kemanusiaan akan berusaha menjadikan sekolah dan hotel bagi menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Siasatan terhadap bencana itu masih berjalan dan Majlis Pertahanan Tertinggi berjanji akan mendedahkan beberapa hasil siasatan dalam masa lima hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 4.8 juta penduduk dunia kini dijangkiti Covid-19

ANKARA, 19 MEI: Lebih 4.8 juta orang di seluruh dunia kini dijangkiti Covid-19 memetik data Johns Hopkins University pada Isnin.

Menurut laporan agensi berita Anadolu, angka korban kini mencecah 318,465 orang dengan jumlah pesakit yang sembuh melebihi 1.78 juta.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk dilanda wabak, menyaksikan lebih 1.5 juta kes disahkan dan 90,340 pesakit maut, disusuli United Kingdom (UK) 34,876 kematian dan Itali 32,007 orang meninggal dunia.

Di Perancis pula seramai 28,242 orang maut diikuti Sepanyol 27,709.

Kes kedua tertinggi dilaporkan di Rusia mencecah 291,000 diikuti Brazil, UK, Sepanyol dan Itali.

China, negara pertama wabak itu dikesan mencatatkan 84,063 kes dan jumlah kematian setakat ini kekal sebanyak 4,638.

Secara keseluruhan, virus maut itu sudah merebak ke 188 negara dan wilayah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Australia catat kematian pertama

MELBOURNE, 1 MAC: Australia mengesahkan negara itu mencatat kes kematian pertama akibat COVID-19, kata ketua pegawai kesihatan Andrew Robertson lapor agensi berita Anadolu.

Lelaki berusia 78 tahun itu dijangkiti virus tersebut ketika berada dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth. Isterinya juga disahkan dijangkiti penyakit itu tetapi keadaannya dilaporkan stabil.

Australia membawa pulang 164 rakyatnya yang merupakan penumpang kapal persiaran itu, sembilan didapati positif dan telah dikuarantin.

Sehingga kini terdapat 26 kes disahkan di Australia.

Angka korban di seluruh dunia mencecah 2,837 orang dengan kadar kematian tertinggi dicatatkan di China dan sebanyak 79,250 kes disahkan.

-BERNAMA