Categories
SELANGOR

Tiga pelajar senior madrasah Hulu Langat mengaku salah cederakan junior

KAJANG, 29 NOV: Tiga remaja yang juga pelajar senior sebuah madrasah di Hulu Langat hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan dua pelajar junior di madrasah yang sama bulan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh adalah pesalah juvana berusia antara 16 dan 17 tahun, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Dis ini untuk pendengaran laporan akhlak, bagi kesemua tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Di mahkamah sama, seorang lagi pelajar senior madrasah tersebut Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa dan mahkamah turut menetapkan tarikh sama (29 Dis) untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kedua-dua pelajar itu, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun di bilik asrama sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat, di sini pada 7.30 petang, 31 Okt lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pesalah juvana itu, manakala RM5,000 bagi Muhammad Muaz.

Namun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tiga pesalah juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang, manakala Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500, masing-masing dengan seorang penjamin.

-BERNAMA