Wakil Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar, Kuala Selangor pada 10 Februari 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
SHAH ALAM, 11 FEB: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyumbangkan 50 ekor ayam bagi membantu warga Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar, Kuala Selangor yang dikuarantin.
Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya juga menyumbang pelitup muka, kit ujian kendiri, sut pelindung diri (PPE) dan pensanitasi, semalam.
“Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) juga menyumbangkan ubat-ubatan untuk pelajar tahfiz yang akan dihantar dalam masa terdekat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau memaklumkan setakat ini seramai 83 warga pusat pengajian itu termasuk tiga guru didapati positif Covid-19.
“Sama-sama kita doakan semoga semua pelajar diberikan kesembuhan segera dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyampaikan bantuan kewangan Pekawanis ketika penyerahan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina DUN Bukit Melawati di Sasaran, Sungai Buloh pada 22 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
KUALA SELANGOR, 23 JAN: Sebanyak 450 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sempena perayaan itu bulan depan.
Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata bantuan RM100 yang boleh digunakan di pasar raya Lotus Kuala Selangor dapat meringankan beban penerima menyediakan keperluan raya.
Jelasnya, baucar khusus buat penduduk berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal sah digunakan mulai semalam hingga hujung bulan ini.
“Penerima juga diberikan buah limau sebagai simbolik perayaan. Kita harap semua menjaga tatacara operasi piawai (SOP) ketika raya nanti bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Juwairiya yang ditemui selepas menyerahkan baucar berkenaan semalam turut mengagihkan bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor sebanyak RM100 kepada 30 penerima.
Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.
Pemantauan udara situasi banjir di sekitar Unisel dan sebahagian pekan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 20 Disember 2021. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Selangor sudah menyediakan pelan perancangan banjir beberapa bulan sebelum bencana pada Disember walaupun tiada ramalan ancaman hujan luar biasa.
“Jika berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Selangor tidak diramalkan mengalami bencana besar. Pun begitu, Kerajaan Negeri tetap buat persiapan bencana hujung tahun seperi biasa,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.
Menjawab dakwaan perdana menteri di Twitter, beliau yang juga setiausaha politik Dato’ Menteri Besar menjelaskan perancangan awal itu dibuat sejak September dan Oktober lagi.
Difahamkan mesyuarat pertama pengurusan bencana peringkat negeri dibuat pada 6 September lalu diikuti latihan simulasi menghadapi monsun Timur Laut pada keesokannya.
Mesyuarat penyelarasan monsun Timur Laut dan fenomena air laut pasang besar diadakan pada 22 Oktober, sementara kenyataan Unit Pengurusan Bencana Negeri dikeluarkan pada 17 November.
Bagaimanapun persiapan yang dibuat hanya pada tahap biasa, jelas Juwairiya ketika menjawab ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini.
“Tahap kesiapsiagaan negeri pada waktu tempoh bencana tahap biasa dari aspek bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemindahan 5,000 mangsa dengan (bekalan makanan dan kelengkapan asas) dalam tempoh 10 hari sahaja.
Usaha menyelamat mangsa banjir dijalankan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
“Namun, bencana besar pada Disember lalu menyaksikan lebih 70,000 rakyat Selangor terjejas dalam tempoh yang singkat,” katanya lagi.
Beliau juga memuatkan tangkap layar ramalan MetMalaysia pada 17 Disember yang tidak membayangkan ancaman hujan tetapi hanya dikeluarkan pada jam 2 petang 18 Disember.
“Hanya pada petang 18 Disember, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan tahap bahaya bagi negeri Selangor walaupun hujan lebat berterusan sejak 17 Disember,” katanya lagi di Twitter.
Dalam ucapannya, perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.
Beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.
“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.
“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”
Susulan itu, Juwairiya mengkritik perdana menteri yang turut mendakwa “amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana” hingga perlu campur tangan kerajaan persekutuan.
“Ini bukan saat menuding jari kepada pihak lain! Menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (yang diketuai perdana menteri) untuk menjaga seluruh negara yang dilanda bencana,” katanya.
Jika berdasarkan Jabatan Meteorologi, Selangor tidak diramalkan mengalami bencana besar. Punbegitu, K. Negeri tetap buat persiapan bencana hjg thn yg disifatkan normal & bukan tahap bencana besar, again berdasarkan ramalan Jbtn sejak bulan Sept, Okt peringkat negeri dan Daerah. pic.twitter.com/WT0IrFfvJO
ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (kiri) menyampaikan bantuan dapur masak kepada seorang mangsa banjir di Stadium Kuala Selangor, Kuala Selangor pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Juwairiya
SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 100 keluarga mangsa banjir di Kampung Asahan memperoleh bantuan kelengkapan rumah hasil sumbangan pelbagai pihak kelmarin, menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.
Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan dapur masak, periuk nasi dan keperluan asas diagihkan pada 30 Disember lalu diharap meringankan beban mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana dua minggu lalu.
“Ini semua hasil bantuan orang ramai yang dikumpulkan pusat khidmat masyarakat (PKM) Bukit Melawati untuk diedar kepada penduduk terjejas.
“Malah, (pada 31 Disember) kita terima tambahan 30 unit dapur masak dari badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu untuk disampaikan kepada penduduk di kampung lain dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.
ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berucap sempena program penyampaian bantuan kepada keluarga mangsa banjir di Stadium Kuala Selangor, Kuala Selangor pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Juwairiya
Sementara itu, Juwairiya berkata semua mangsa sekitar Kuala Selangor ditempatkan di PPS telah kembali ke kediaman masing-masing dan giat melaksanakan kerja pembersihan pascabanjir.
“Saya berterima kasih kepada sukarelawan dari luar, Sukarelawan Selangor (SERVE), Team Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak putus-putus membantu proses pembersihan rumah mangsa,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli bercakap kepada media selepas sesi pembentangan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 27 NOV: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati beranggapan pembentangan Belanjawan #Selangor2022 bagi pembangunan koridor utara adalah langkah berani Kerajaan Negeri.
Juwairiya Zulkifli berkata ini kerana peruntukan besar disediakan untuk pembangunan di Sabak Bernam yang mungkin tiada pihak yang bersedia melakukannya.
“Pembangunan ini akan membantu ekonomi dan juga kesejahteraan penduduk di kawasan luar bandar kerana ia melibatkan sektor pelancongan dan agro iaitu aset luar bandar yang harus diangkat.
“Mungkin selama ini tidak diberi perhatian dan dengan keberanian Kerajaan Negeri untuk memberi fokus memajukan kawasan itu yang akhirnya rakyat luar bandar menikmati pembangunan yang sama atau lebih baik berbanding dulu,” katanya selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.
Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri memaklumkan beberapa inisiatif baharu akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di daerah Sabak Bernam secara lebih holistik dan terancang.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara inisiatif penting yang dikenal pasti adalah pembangunan industri hiliran.
Antara pembangunan itu adalah
– Membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan seluas 450 ekar melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta
– Pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekindi dengan peruntukkan RM15 juta
– Pembinaan Kilang Minyak Sawit di Jelutong Jati dengan peruntukan RM50 juta
– Pusat Logistik dan Perdagangan di Sungai Lang dan Hentian di Air Manis seluas 36 ekar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta
Juwairiya beramah mesra dengan pencari kerja pada program Jelajah Selangor Bekerja di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di Kuala Selangor pada 30 Oktober 2021. Foto Amin Ridzuan Ishak
KUALA SELANGOR, 30 OKT: Jelajah Selangor Bekerja membantu golongan muda di luar bandar mendapat pekerjaan lebih baik dan meningkatkan potensi diri, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.
Juwairiya Zulkifli berkata selain tawaran gaji berpatutan majikan terbabit dalam program itu turut menyediakan faedah serta kemudahan seperti tempat tinggal, pengangkutan dan latihan.
Menurutnya tawaran itu satu peluang baik perlu direbut anak muda luar bandar berbanding hanya menunggu menyebabkan mereka terus berada di takuk sama.
“Kerja itu mampu mengenal pasti potensi mereka untuk dikembangkan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan.
“Akhirnya mereka dapat bantu keluarga di kampung bagi menikmati kehidupan lebih baik,” katanya selepas meninjau program Jejalah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.
Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.
Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.
Tarikh dan lokasi jelajah siri berikutnya adalah seperti berikut:
6 November: Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu
13 November: Dewan Demesne, Hulu Langat
20 November: Dewan Meranti Bandar Baru Sungai Buloh
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli
Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak RM2,000 dibelanjakan untuk membaik pulih bumbung gerai milik anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.
Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu diharap memberi keselesaan kepada tiga peniaga di Bandar Baru Kuala Selangor yang hanya menggunakan kain kanvas di gerai itu terutama ketika musim hujan.
“Sebelum ini mereka hanya memasang kanvas bagi menggantikan bumbung, adakalanya bahan itu selalu terkoyak dan terbang jika berlaku angin kuat atau hujan lebat.
“Kasihan dengan nasib menimpa anak muda ini dan kita mengambil inisiatif untuk menaja kos baik pulih bumbung gerai tersebut,” katanya kepada SelangorKini.
Juwairiya berkata, seramai tiga peniaga terdiri daripada anak muda menjalankan aktiviti perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
“Saya harap selepas ini mereka dapat berniaga dengan lebih selamat dan selesa walaupun ketika cuaca hujan. Pada masa sama, semoga lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan pada masa akan datang,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli
Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves.
Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli memaklumkan sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali ketika pentadbiran Barisan Nasional.
Menurutnya tapak Batu Caves seluas 329.75 ekar telah diwartakan sebagai tanah rizab bagi tujuan rekreasi awam pada 17 Jun 1930.
“Sebahagian tapak Batu Caves tersebut dibatalkan pewartaannya sebanyak tiga kali iaitu seluas 28.719 ekar pada 26 Ogos 1954, 17.45 ekar dan 77.475 ekar pada 30 April 1959 serta 29.78 ekar pada 3 Januari 2008.
“Oleh demikian baki lot rizab Batu Caves adalah seluas 242.326 ekar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata semenjak 13 Mac 2018, Kerajaan PAKATAN tidak pernah memberi sebarang kelulusan pelupusan secara pemberimilikan di atas tanah rizab Batu Caves tersebut.
“Ini jelas bahawa pertimbangan dan keputusan yang dilakukan adalah ketika pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan portal freemalaysiatoday.com ‘Explain land grants within Batu Caves Reserves, NGO’s tell Selangor’ pada 10 September lalu berkenaan tanah rizab di Batu Caves yang dibatalkan pewartaan menjadi hak milik tanah persendirian.
Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan kepada bekas atlet olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari dalam program lawatan dan sumbangan CSR MBI di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor pada 10 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari yang bekerja di stesen minyak akan ditawarkan pekerjaan bersesuaian, kata setiausaha politik Dato’ Menteri Besar.
Juwairiya Zulkifli berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneliti keadaan Mohd Raduan terlebih dahulu supaya tidak mendatangkan kemudataran kepada bekas pelari pecut itu.
“Sekarang pendapatan Raduan kurang untuk dia bantu diri dan keluarga, dalam pertemuan tadi dia ada luahkan pasal isu pekerjaan.
“Menerusi kerjasama dengan Perkeso, kita cuba bantu dapatkan kerja sesuai sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.
Beliau ditemui selepas melawat dan menyerah bantuan kepada Mohd Raduan bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan wakil Kementerian Belia dan Sukan Selangor.
Terdahulu kisah atlet berusia 39 tahun yang kini bekerja di stesen minyak di Kuala Selangor tular di media sosial.
Mohd Raduan yang juga bekas atlet negeri ini mewakili Malaysia di temasya Sukan Para ASEAN Filipina pada 2005, Korat (2007), Solo (2011), Naypyitaw (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).
Beliau juga beraksi pada Sukan Para Asia Guangzhou (2010) dan Incheon (2014) selain Paralimpik Beijing (2008).
Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata Kerajaan Selangor akan membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara sebagai menghargai jasa mereka.
“Selangor merupakan kerajaan prihatin untuk semua golongan rakyat, justeru individu berdepan kesusahan akan dibantu,” katanya.
Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli
Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 27 OGOS : Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif subsidi terapi bagi menangani isu kesihatan mental.
Juwairiya Zulkifli berkata perkara itu wajar dipertimbangkan kerana kos menjalani sesi terapi dan perubatan agak mahal sekaligus menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan tersebut.
“Saya mencadangkan agar inisiatif subsidi terapi dapat dipertimbangkan pada masa akan datang, usaha ini untuk menjamin kesejahteraan serta kesihatan rakyat Selangor,” katanya.
Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Dalam perbahasannya, Juwairiya berkata menyambut baik inisiatif mewujudkan Selangor Mental Sihat (Sehat) yang dapat membantu individu melakukan saringan mental secara kendiri.
“Sehat adalah sebuah fungsi dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membolehkan pengguna melakukan ujian saringan awal secara kendiri untuk tahu tahap kesihatan mental masing-masing,” katanya.
Pada 15 Ogos, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan program Sehat bakal dilancar pada 30 Ogos ini.
Program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.
Juwairiya Zulkifli membantu orang ramai mendaftar bagi mendapatkan vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Sebanyak 1,000 bakul makanan telah diedar kepada individu yang dikuarantin di Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.
Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmatnya banyak menerima permohonan daripada golongan berkaitan di mana hampir 10 keluarga memohon dalam masa sehari.
“Sebelum ini kita buka kepada semua tetapi kali ini khusus kepada mereka yang dikuarantin.
“Sejurus menerima laporan, bantuan bakul makanan akan terus dihantar pada hari yang sama,” kata Juwairiya Zulkifli ketika ditemui pada Porgram Vaksin Selangor (Selvax) di Dewan Bandar Baru di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu, pihaknya juga menerima permohonan bantuan peranti dalam kalangan pelajar sekolah serta universiti dengan 15 komputer riba telah diagihkan bagi membantu mereka mengikuti kelas secara dalam talian.
Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan jumlah peruntukan kepada wakil rakyat bagi menjayakan program Mesra Rakyat ditambah kepada RM100,000 tanpa mengira fahaman politik.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan RM50,000 diberi kepada mereka bagi mengagih bantuan makanan kepada penduduk terjejas.
Kerajaan Negeri juga menyalur RM30,000 kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang tidak menerima peruntukan peringkat Persekutuan bagi memudahkan mereka membantu rakyat.
Juwairiya Zulkifli, beramah mesra dan memberi penerangan kepada penduduk yang membuat pendaftaran vaksin ketika Program Kaunter Bergerak Pendaftaran Vaksin anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Jeram, Kuala Selangor pada 18 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SHAH ALAM, 23 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati menyasar mendaftar 750 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dalam program pendaftaran vaksin bergerak Covid-19 di kawasan itu.
Juwairiya Zulkifli berkata program bermula 18 Jun lalu itu akan menjelajah perkampungan di 15 lokaliti bagi membantu golongan terbabit.
“Kita sasar mendaftar 50 orang di setiap lokaliti dan yakin boleh dicapai berdasarkan sambutan baik pada hari pertama program dengan sebanyak 70 pendaftaran.
“Sebenarnya ramai warga emas ingin mendapatkan vaksin tetapi mereka mengalami masalah seperti tiada telefon pintar dan tidak tahu bagaimana hendak mendaftar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pendaftaran vaksin bergerak Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati adalah sebahagian Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) dilancarkan 4 April lalu.
Program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.