Categories
AGENSI SELANGOR

Tidak tahu teknologi punca warga emas tidak daftar vaksin

KUALA SELANGOR, 18 JUN: Ramai warga emas tidak mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 susulan kurang kemahiran dan pengetahuan berhubung aspek teknologi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata golongan itu sebolehnya mahu menerima suntikan imunisasi lebih awal bagi melindungi diri namun terhalang kerana kekangan terbabit.

“Melalui program pendaftaran bergerak hari ini, majoriti yang hadir maklumkan mahu disuntik tetapi disebabkan tidak tahu menggunakan telefon pintar, tidak reti menulis dan membaca mereka tidak daftar.

“Jadi saya harap warga emas bermasalah memanfaatkan peluang yang ada. Mereka perlu ambil vaksin kerana merupakan golongan berisiko,” kata Juwairiya Zulkifli ketika melawat program pendaftaran vaksin bergerak di Jalan Senangin, Jajaran Kuala Selangor hari ini.

Beliau berkata program menyasarkan warga emas dan orang kelainan upaya itu akan diteruskan ke semua kawasan terutama kampung tradisi, kampung bagan dan komuniti India.

“Kita jangka sesi jelajah ini selesai dalam tiga minggu. Ini sebagai langkah membentuk imuniti kelompok serta mengurangkan jangkitan wabak dalam kalangan penduduk Selangor,” katanya.

Pada 4 April, Dato’ Menteri Besar melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Melawati jelajah kampung daftar vaksin warga emas

SHAH ALAM, 16 JUN: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati akan menjelajah kampung bagi memperhebat kempen pendaftaran vaksin Covid-19 mulai minggu ini.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata fokus meliputi warga emas yang mencatatkan angka pendaftaran rendah kerana tidak mempunyai peranti dan tidak mengetahui kaedahnya.

“Kita akan memberikan kad sebagai pemberitahuan tarikh janji temu suntikan dan ketua kampung boleh memantau apabila tiba masanya bagi memastikan golongan terbabit dibawa ke pusat pemberian vaksin.

“Pendaftaran ini juga membolehkan golongan tidak mempunyai kenderaan dikenal pasti dan kita bantu sediakannya nanti,” katanya pada forum dalam talian yang disiarkan secara langsung di Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor hari ini.

Forum bertajuk Vaksinasi: Warga emas selamat? turut menampilkan Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar sebagai panel.

Juwairiya berkata Kerajaan Negeri turut membabitkan sukarelawan muda seperti Team Selangor dan Penggerak Belia Selangor untuk meningkatkan kadar pendaftaran vaksin.

“Mereka sudah diminta bantu pusat kesihatan daerah dan turun padang memastikan penduduk di kawasan masing-masing berdaftar,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di Facebook, Juwairiya memaklumkan program pendaftaran vaksin akan dimulakan di Sasaran Sungai Buloh pada Jumaat ini, mulai jam 8.30 pagi.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Dato’ Seri Amirudin menjelaskan pusat khidmat DUN dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
Categories
AGENSI SELANGOR

Jenaka rogol: Team Selangor bakal laksana program pendidikan

SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan Negeri melalui Team Selangor akan melaksanakan program pendidikan dan kesedaran dalam kalangan pelajar berhubung hak keselamatan peribadi bagi mengelak menjadi mangsa salah laku jenayah.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar berkata banyak isu berkaitan buli siber, pedofil, gangguan seksual dan mengejek fizikal yang selama ini berlaku dengan pelajar sekolah menjadi sasaran.

“Team Selangor diwujudkan untuk memperkasa belia dan menjalankan aktiviti kesukarelawan, maka mereka bersetuju bekerjasama dengan adik Ain Husniza Saiful Nizam (pelajar perempuan yang membuat pendedahan berhubung kes seorang guru lelaki didakwa membuat jenaka berbaur lucah).

“Kita bawa program ini supaya lebih ramai anak muda mengetahui hak mereka untuk melindungi diri dan bersuara mencegah isu berkaitan kerana mangsa bukan hanya perempuan sebaliknya boleh berlaku kepada lelaki,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Wakil rakyat Bukit Melawati menambah pihaknya akan meneliti bentuk pelaksanaan program mengikut kesesuaian sama ada secara fizikal, forum dalam talian atau bicarawara.

Jumaat lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menziarahi Ain di kediamannya di Puncak Alam selain menghadiahkan tiga naskah buku Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Pada 24 April, pelajar 17 tahun itu menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka lucah semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan seolah-olah menggalak jenayah rogol selain memaklum pelajar lelaki patut menyasarkan orang berusia 18 tahun sekiranya mahu berbuat demikian.

Antara kritikan paling banyak diterima adalah dia terlalu emosi dan wajar menyelesaikannya secara dalaman dengan pihak sekolah namun rata-rata mengecam tindakan keterlaluan guru berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jenaka rogol bukti kegagalan sistem pendidikan negara

SHAH ALAM, 2 MEI: Isu jenaka berbaur lucah seorang guru lelaki di hadapan pelajar semasa sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor membuktikan kelemahan sistem pendidikan negara.

Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar berkata Kementerian Pendidikan perlu memandang serius isu terbabit dan bertindak sewajarnya terhadap guru berkenaan yang menyampaikan mesej salah kepada pelajar secara terbuka.

“Keadaan ini menggambarkan sistem pendidikan kita gagal mengawal pendidik sepatutnya memberi pengajaran yang benar. Ia membahayakan pemikiran anak-anak kerana mereka akan keluar sebagai seorang dewasa.

“Justeru, tindakan segera harus diambil, saya dimaklumkan guru tersebut masih berkhidmat selain dalam siasatan polis atas dakwaan tersebut,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Jumaat lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menziarahi pelajar perempuan berusia 17 tahun yang membuat pendedahan berhubung perkara berkenaan sehingga mengundang perdebatan warga maya.

Dalam lawatan di kediaman Ain Husniza Saiful Nizam di Puncak Alam, mereka turut menghadiahkan tiga naskhah buku daripada Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Sementara itu, Juwairiya mengakui kagum dengan semangat dan keyakinan pelajar terbabit dalam menyuarakan isu berkenaan meskipun terpaksa berdepan kritikan ramai.

“Keberanian beliau mengingatkan saya kepada pejuang pendidikan bagi anak-anak gadis di Pakistan yang masih muda iaitu Malala Yousafzai. Di sini kita ada figura Ain Husniza yang ingin membuka mata dan mengubah pemikiran orang ramai,” katanya.

Pada 24 April lalu, Ain menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka lucah semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan seolah-olah menggalakkan jenayah rogol selain memaklum pelajar lelaki patut menyasarkan orang berusia 18 tahun sekiranya mahu berbuat demikian.

Antara kritikan paling banyak diterima adalah dia terlalu emosi dan seharusnya menyelesaikannya secara dalaman dengan pihak sekolah namun rata-rata mengecam tindakan keterlaluan guru berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat cadang suruhanjaya bebas siasat kes kematian dalam lokap

SHAH ALAM, 1 MEI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mencadangkan suruhanjaya bebas menyiasat secara terperinci kes kematian tahanan di dalam lokap.

Juwairiya Zulkifli berkata kaedah berkenaan membolehkan mereka yang melakukan perbuatan kejam dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, berita kematian A Ganapathy pada 20 April yang didakwa dipukul semasa dalam tahanan mencemarkan imej dan nama baik pihak berkuasa.

“Saya menyeru polis supaya mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) semasa melakukan siasatan dan penahanan terhadap tahanan dibawa atas perintah mahkamah.

“Seseorang yang ditahan mempunyai hak dan ini wajar diberikan kepadanya. Namun wujud beberapa soalan, adakah hak tersebut diberikan kepada mendiang Ganapathy?” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, tindakan demikian memberi reaksi negatif dan rakyat akan kehilangan kepercayaan terhadap polis.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

150 keluarga B40 Kuala Selangor terima bantuan makanan asas

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyumbang bekalan makanan asas kepada 150 keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan beban sepanjang Ramadan.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan beras, tepung dan minyak masak diagih secara berperingkat bermula Jumaat lalu kepada penerima terdiri daripada petani, nelayan serta penternak.

Menurutnya, mereka adalah penduduk di Kampung Sepakat, Kampung Bukit Kuching, Kampung Sungai Buloh, Kampung Api-Api, Kampung Assam Jawa, Kampung Kuantan, Kampung Tanjong Siam, Kampung Asahan dan Kampung Pasir Tuntung.

“Kita memang sentiasa menggerakkan program sumbangan makanan malah bulan lepas sudah agih kepada 200 keluarga susah termasuk 100 nelayan. Kebetulan bulan Ramadan, jadi kita beri pula kepada warga tani.

“Dalam tempoh pandemik banyak kekangan perlu dihadapi golongan terbabit dan ada yang hilang pekerjaan, justeru bantuan ini diharap mengurangkan kesusahan mereka,” kata Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi.

Beliau menambah agihan bantuan makanan akan diteruskan menjelang Aidilfitri dengan menyasar golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk ibu tunggal dan anak yatim.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Melawati agih bantuan makanan, OKU antara penerima

SHAH ALAM, 24 FEB: Seramai 1,400 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bakal menerima bantuan makanan bagi mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Wakil rakyatnya berkata bantuan secara berfasa meliputi keluarga berpendapatan rendah, orang kelainan upaya dan warga emas yang terjejas susulan Covid-19.

Menurut Juwairiya Zulkifli, sumbangan diagih mengikut keperluan merangkumi beras, minyak masak, kicap, kopi, sardin dan ayam segar serta pelitup muka.

“Seramai 750 penduduk sudah menerima sumbangan dan baki akan diselesai secara berperingkat. Kita harap bantuan ini meringankan beban mereka sepanjang PKP,” katanya ketika dihubungi.

Pada 20 Januari, Kerajaan Negeri memperuntuk RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 untuk ahli parlimen negeri ini bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Program sebahagian Pakej Kita Selangor meliputi perolehan bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan makanan dalam tin boleh dilaksanakan secara terus.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bukit Melawati angkat sumpah setiausaha politik MB hari ini

SHAH ALAM, 10 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati akan mengangkat sumpah hari ini sebagai setiausaha politik Dato’ Menteri Besar yang baharu.

Juwairiya Zulkifli yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Wanita KEADILAN itu berkata beliau menerima surat pelantikan pada Isnin dan akan mula bertugas hari ini.

“Terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari atas kepercayaan kepada saya yang juga mewakili kaum wanita untuk menggalas tanggungjawab berat ini.

“Walaupun ia cabaran baharu, namun tekad saya adalah untuk memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar seterusnya memperkukuhkan pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, jawatan itu dipegang ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah yang melepaskannya apabila dilantik sebagai EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: 200 pelajar terima baucar kembali ke sekolah

SHAH ALAM, 6 FEB: Seramai 200 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati terima baucar kembali ke sekolah bernilai RM100.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan itu bagi menampung perbelanjaan ibu bapa membuat persiapan sekolah anak mereka.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga tersebut dalam situasi pandemik, dan pada masa sama menambah keceriaan anak-anak memulakan sesi persekolahan tahun ini,” katanya di Facebook.

Pada majlis yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati itu, Juwairiya turut menyumbangkan seekor ayam segar kepada setiap penerima.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pemerbananan Menteri Besar (MBI) dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

Categories
ADN SELANGOR

Pelan tindakan atasi pencemaran sungai di Jeram

SHAH ALAM, 30 JAN: Isu pencemaran sungai Kampung Bagan Sungai Buloh, Jeram bakal ditangani melalui pelan tindakan oleh Lembaga Urus Air Selangor.

Wakil rakyat Bukit Melawati memaklumkan projek Pelan Tindakan Sungai Buloh dijangka mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk terutama nelayan.

“Saya amat berharap pihak bertanggungjawab memantau isu ini dengan lebih kerap kerana nelayan mengadu benih kerang tidak mendatangkan hasil, malah burung migrasi juga tidak lagi singgah berikutan pencemaran,” kata Juwairiya Zulkifli.

Beliau menjelaskan insiden sejak 2018 berpunca daripada bahan tercemar dilepaskan kilang berhampiran turut dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelum ini, media melaporkan sungai di kawasan tersebut bertukar kehitaman dan berbuih seakan sisa minyak selain berbau bangkai sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan di situ.

Categories
ADN SELANGOR

Keluarga terjejas banjir terima bantuan wang tunai, pek makanan

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 30 keluarga dari tiga kampung di Kuala Selangor yang terkesan dengan bencana banjir menerima sumbangan wang tunai dan pek makanan kelmarin.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata wang tunai berjumlah RM100 berserta makanan seperti biskut, minuman, kekacang dan roti diagih kepada mangsa dari Kampung Ijok, Kampung Sri Aman serta Kampung Sentosa.

“Kesemua mereka yang mendapat bantuan tersebut kini ditempatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok.

“Sumbangan ini diharap dapat memudahkan urusan mangsa dan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung mereka akibat bencana itu,” kata Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi semalam.

Beliau juga menasihatkan mangsa terlibat supaya bersabar atas musibah yang menimpa mereka dan sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) demi keselamatan.

“Didoakan buat mereka untuk terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak 20 November lalu menyebabkan tiga kampung terbabit dilanda banjir kilat dan dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Setakat semalam, dua daripada tiga PPS masih dibuka di daerah itu membabitkan seramai 90 mangsa banjir daripada 60 keluarga.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah kerjaya di Kuala Selangor tawar hampir 3,000 peluang pekerjaan

KUALA SELANGOR, 16 NOV: Sebanyak 2,888 jawatan kosong pelbagai bidang ditawarkan dalam Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata program sehari tersebut membantu rakyat khususnya belia tempatan yang hilang pekerjaan atau mahu mencuba kerjaya baharu menghadiri temu duga.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi pada tahun depan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Program ini juga menggambarkan usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam pelbagai cara sama ada menerusi penganjuran program kerjaya atau program perniagaan dalam talian,” kata Juwairiya Zulkifli.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman membuat lawatan Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sesi temu duga Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.

Lebih 90 syarikat menyertai jelajah di lima lokasi bermula di Kuala Selangor semalam, diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November), Hulu Langat (29 Disember) dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran, operator panggilan pemandu traktor terminal dan penjaga stor.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi http://nfdot.com/ereg/views/jobfair atau Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor atau Instagram Jobs Malaysia Selangor atau di talian 03-55247740 dan 03-55231309.