Categories
SELANGOR

Juwairiya fokus perkasa sektor pelancongan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli bertekad untuk memperkasa sektor pelancongan dalam usaha mengembangkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan rakyat, di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu secara tidak langsung akan menterjemahkan aspirasi dan komitmen Kerajaan Negeri yang mahu memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan.

Katanya, kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semulajadi harus dimaksimumkan secara lebih efektif.

“Ia suatu kelebihan kerana kita ada keunikan tersendiri, terutama di beberapa daerah utama membabitkan Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

“Kerajaan Negeri malah memfokuskan ketiga lokasi ini yang dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Justeru, menjadi tanggunjawab saya sebagai wakil rakyat untuk menyemarakkan agro-pelancongan dengan mengajak pelancong supaya datang ke negeri ini, khususnya Kuala Selangor yang indah dan bersejarah,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat DUN Bukit Melawati, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, perkembangan mapan sektor pelancongan di kawasan berkenaan akan membawa kepada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Memandangkan isu pekerjaan adalah aspek yang diberi penekanan serius, jadi fokus saya terarah kepada anak muda tempatan dalam menyediakan peluang pekerjaan terbaik kepada mereka.

“Mereka tidak perlu berhijrah ke luar daerah semata-mata mencari pekerjaan, sebaliknya dapat menyumbang semula kepada ekonomi mikro dalam negeri dan daerah,” katanya.

Categories
SELANGOR

266 penagih dadah dalam pengawasan AADK Kuala Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Seramai 266 penagih dadah berada dalam kelompok Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, daripada jumlah berkenaan, 260 adalah lelaki dan selebihnya wanita.

Katanya, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada penagih berusia antara 30 hingga 40 tahun, di Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

“Saya dimaklumkan AADK Kuala Selangor, ada sebahagian kecil OKP terdiri daripada pelajar, justeru saya amat berharap ibu bapa khasnya memantau aktiviti anak mereka tidak kira masa.

“Sebagai ADN, saya menyeru orang ramai dan anak muda khususnya supaya tidak terjebak dengan najis dadah. Jangan sesekali mencuba kerana apabila sudah cuba, pasti rasa ketagih itu akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran AADK daerah Kuala Selangor.

Juwairiya berkata, sokongan dan kata semangat dilihat mampu membantu golongan OKP berdepan masalah ketagihan dan kembali memulakan kehidupan lebih baik.

“Masyarakat atau keluarga sama sekali tidak boleh meminggirkan golongan ini kerana situasi itu akan menyebabkan OKP kembali terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Mereka ini perlu diberi bantuan, ruang dan peluang oleh masyarakat serta anggota keluarga untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tingkat hasil pertanian guna teknologi moden

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak RM107,750 diperuntukkan melalui Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap (Malaysia Goods Agricultural Practices) kepada petani sekitar Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ia bagi menggalakkan petani menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan hasil pertanian.

“Diharap bantuan peralatan dan insentif yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan pendapatan petani terbabit.

“Melalui insentif ini juga, ia menggalakkan amalan pertanian supaya persekitaran kita terpelihara dan hasil meningkat menggunakan teknologi moden,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Raya Jabatan Pertanian di Kompleks Jabatan Pertanian Daerah Kuala Selangor dan penyerahan Program Penyampaian Insentif Penerima Sijil MyGap kepada 90 petani.

Juwairiya berkata, MyGap adalah penjenamaan semula Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“MyGAP adalah skim pensijilan komprehensif untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan.

“Persijilan itu penting supaya produk pertanian dihasilkan diiktiraf sebagai selamat untuk dimakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ribut kencang, ADN minta penduduk adu penghulu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menasihatkan penduduk supaya memaklumkan penghulu kawasan jika mengalami kerosakan rumah ekoran ribut.

Katanya, penduduk perlu berjaga kerana musim hujan lebat dan angin kencang sejak kebelakangan ini.

“Saya menggesa anda menjaga keselamatan diri dan keluarga. Jika ada sebarang kerosakan, maklumkan segera kepada saya mahupun penghulu kawasan untuk bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum itu, Juwairiya memaklumkan beliau turut menyerahkan sumbangan kilat kepada penduduk yang mengalami kerosakan bumbung ekoran ribut, petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, bumbung rumah milik seorang penduduk di Kampung Api-Api diterbangkan angin kencang.

Ketua Kampung Api-Api, Shamsul Ambia Bahrom, 47, berkata pihaknya tidak menyangka musibah angin kencang melanda satu-satunya rumah penduduk sehingga menerbangkan keseluruhan bumbung dapur.

“Ini adalah kejadian kali pertama, mungkin angin pusing lalu kawasan ini semasa kejadian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Juwairiya siap sedia bantu selesai masalah rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 14 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bersiap sedia turun padang bagi menyelesaikan permasalahan rakyat, di kawasan itu.

ADNnya, Juwairiya Zulkifli berkata, walaupun masih muda beliau tetap mempunyai hasrat membantu rakyat supaya dapat hidup dalam keadaan selesa.

“Selepas menang di DUN Bukit Melawati, saya sedar ini tanggungjawab yang perlu digalas sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kuala Selangor dan memberi keselesaan, kesenangan serta keselamatan kepada mereka.

“Perkara pertama yang akan saya buat adalah turun padang bertemu ketua masyarakat seperti ketua kampung dan pemimpin setempat di semua 14 daerah mengundi di bawah DUN Bukit Melawati untuk saya mengenal pasti masalah dihadapi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat DUN Bukit Melawati, di Padang Awam Bandar Baru, malam tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan ADN Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Categories
SELANGOR

3,000 rakyat rai kemenangan Juwairiya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 14 MEI: Kira-kira 3,000 pengunjung hadir membanjiri Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bagi meraikan kemenangan Juwairiya Zulkifli.

Majlis yang bermula jam 8 malam itu disambut penuh meriah oleh penduduk setempat berserta laungan reformasi menyambut ketibaan Juwairiya, di Padang Awam Bandar Baru, di sini, malam tadi.

Juwairiya menzahirkan rasa gembira atas kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) di kawasan itu, sekali gus membawa angin baru di Putrajaya.

“Saya yakin dengan terbentuknya kerajaan di bawah pimpinan PAKATAN dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita akan dapat melaksanakan transformasi kepada negara yang selama ini diinginkan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada majlis sama, Juwairiya turut meraikan kaum wanita sempena sambutan Hari Ibu.

Terdahulu, kerusi Parlimen Kuala Selangor dan tiga kerusi DUN dimenangi KEADILAN, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia menyaksikan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim kepada Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dengan majoriti 8,498 undi.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Bukit Melawati dari BN, Jakiran Jacomah tewas kepada Juwairiya dengan majoriti 2,695 undi.

Manakala kerusi DUN Jeram dimenangi Mohd Shaid Rosli yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan Mohd Nor Mohd Shahar (PAS) (4,326).

Categories
SELANGOR

Juwairiya fokus isu kemiskinan di Bukit Melawati

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 7 MEI: Calon DUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat bagi menangai isu kemiskinan di kawasannya jika diberikan mandat, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, ia susulan ramai penduduk di kawasan itu dari golongan asnaf yang memerlukan perhatian dan bantuan.

“Sebagai bekas pegawai penasihat Exco Kerajaan Negeri, saya memang mengambil berat isu ini dan menjadi fokus saya membantu masyarakat.

“Dengan kedudukan saya pada ketika itu juga, saya bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membincangkan perkara berkenaan dan ini memudahkan proses jika saya dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Selangor kini.

Juwairiya berkata, ketua kampung dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengenali beliau ketika turun padang bersama Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi dan kini menyatan sokongan terhadapnya.

“Kita dapat aduan dan maklumat daripada ketua kampung berkenaan permasalahan rarkyat dan apabila saya calon di sini, mereka kelihatan senang kerana urusan lebih mudah walaupun dahulunya mereka adalah lantikan PAS.

“Sebab itu, saya akan membela nasib mereka dengan memperkenalkan program Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) jika diberi mandat pada PRU14 nanti, sekali gus membawa pembaharuan untuk semua kaum,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengalaman 10 tahun mematangkan Juwairiya dalam politik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Strategi Pakatan Harapan (PAKATAN) meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan parti itu menghargai kewibawaan calon muda sebagai pelapis kepimpinan negara.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pemilihan dirinya sebagai calon adalah satu penghargaan daripada parti setelah hampir 10 tahun beliau membabitkan diri dalam politik.

“Walaupun dicalonkan pada saat akhir, ia bukan halangan untuk mendekati pengundi kerana saya sudah mula turun padang sejak dua tahun lalu.

“Malahan saya diamanahkan Presiden KEADILAN untuk bertanding dan memikul tanggungjawab memenangi kerusi N.10,” katanya kepada Selangor Kini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sistem UKM itu yakin dengan pengalamanya selama 10 tahun berkhidmat dengan pemimpin-pemimpin besar dalam PAKATAN mematangkan dirinya.

Katanya lagi, meletakkan calon muda juga mampu memberikan impak positif terhadap transformasi politik negara.

“Pada 2008, saya adalah pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan selepas itu saya juga pernah berkhidmat sebagai pembantu dan penyelidik kepada Dato’ Seri Mohammad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

“Proses selama 10 tahun itu juga mematangkan saya walau kini baru berumur 33 tahun, namun PAKATAN telah memberi peluang kepada ahli politik muda untuk meneruskan perjuangan mereka,” katanya.

Selain Juwairiya, calon muda yang turut bertanding adalah di Najwan Halimi (Kota Anggerik), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Hilman Idham (Gombak Setia), Michelle Eng (Subang Jaya) dan ramai lagi.

Categories
SELANGOR

Juwairiya optimis selami hati pengundi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli optimis bekerja keras untuk memenangi hati pengundi di kawasannya.

Bekas Pegawai Penasihat Dasar Exco Kesihatan, Kebajikan, Hak Ehwal Wanita dan Keluarga itu yakin masyarakat lebih bijak memilih calon yang mampu melaksanakan tugas lebih baik sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Sepanjang lapan hari berkempen, penerima di sini amat positif dan rata-rata mereka menyambut baik kedatangan saya.

“Saya juga yakin penduduk di Kuala Selangor inginkan wakil rakyat yang boleh bekerja untuk mereka dan bukan sekadar baik atau hanya dalam kalangan orang berpengaruh,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika aktivit ‘walkabout’ bertemu orang ramai di Kolam Pancing Ikan Tanjung Keramat, Kuala Selangor, di sini, pagi tadi.

Calon muda berusia 33 itu turut menyatakan beliau akan terus bekerja keras menyakian pengundi seperti mana yang telah dilakukannya sejak dua tahun lalu.

“Saya sudah mula turun padang sejak dua tahun lalu dan bekerja lebih keras sebagai jaminan saya akan membawa perubahan kepada rakyat di Kuala Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bukit Melawati lubuk tuah Juwairiya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Calon N.10 Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli tidak menyangka dirinya terpilih sebagai salah seorang penyandang kerusi kawasan berkenaan.

Memetik laporan MalaysiaKini, Juwairiya, 33, tidak sangka apabila secara tidak sengaja menjadi calon KEADILAN, pada saat akhir selepas pendaftaran calon asal parti itu, G Sivamalar ditolak pegawai pengurus pilihan raya (RO) bertugas.

Pencalonan Sivamalar ditolak kerana alamat rasmi tidak sepadan dengan alamat di negeri berkenaan.

Mykad Sivamalar mencatatkan alamatnya di Pahang, sedangkan beliau mahu bertanding di Bukit Melawati, Selangor.

Juwairiya berkata, beliau hadir ke pusat penamaan calon pagi itu dengan niat mahu menyokong Sivamalar, namun tidak menyangka keadaan menjadi sebaliknya.

“Pagi itu, saya datang agak lewat ke pusat penamaan calon, kira-kira jam 9.30 pagi (untuk menyokong Sivamalar).

“Tiba-tiba Sivamalar meluru keluar, pangil-pangil pun (dia) tak dengar. Semua orang tertanya-tanya apa yang berlaku.

“Kemudian saya dapat panggilan telefon (daripada) Presiden KEADILAN (Dr Wan Azizah Wan Ismail), dia kata, ‘Ju, pergi sekarang di dewan (penamaan calon) dan ganti Sivamalar, ini rezeki kamu’. Saya kata okay,” katanya.

Juwairiya mengakui keadaan sedikit kelam kabut, malah beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan termasuk tidak mempunyai surat watikah daripada parti dan wang deposit RM8,000 seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk calon bertanding kerusi DUN.

“Kawan-kawan di luar semua kumpul, mereka yang bantu. Siapa boleh keluarkan duit RM8,000 untuk deposit hulur.

“Wang itu berjaya dikumpulkan beberapa minit sebelum tempoh pendaftaran berakhir,” katanya.

Malah, Juwairiya lega apabila surat watikah pelantikannya yang ditaip dan dihantar melalui e-mel, pada minit-minit terakhir diterima RO.

DUN Bukit Malawati menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Juwairiya dengan calon Barisan Nasional, Jakiran Jacomah dan calon PAS, Muhammad Rashid Muhammad Kassim.

 

Categories
NASIONAL

Serang Pejabat PKR, Bukti Dakwaan Mahathir Umno ‘Syaitan’ Betul, Kata Tian Chua

 

SHAH ALAM 5 SEPT : Tindakan sekumpulan samseng memakai baju Umno-BN yang menyerang Ibu Pejabat PKR tengah hari tadi membuktikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu ‘syaitan’ adalah betul, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

“Rupa-rupanya dakwaan itu membuktikan seolah-olah mereka(Umno) itu syaitan yang dikenali. Umno-BN ini sudah di hujung jalan, oleh kerana itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk membolehkan mereka mengekalkan kedudukan mereka.

“Kita akan berhati-hati selepas ini dan akan mempertingkatkan keselamatan supaya insiden seperti yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata rakyat di negara ini boleh melihat dan putuskan sama ada mahu terus menyokong kerajaan samseng seperti yang sedia ada ataupun memilih Pakatan Rakyat(PR).

Sementara itu, Setiausaha Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli berkata tindakan biadap dan keterlaluan oleh samseng Umno-BN itu menunjukkan sikap tidak hormat kepada parti politik lain.

“Sikap tidak hormat mereka itu juga tidak menggambarkan negara demokrasi seperti yang dilaungkan. Sepatutnya mereka menghormati parti politik lain sekiranya mereka berpolitik secara matang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari tadi, sekumpulan 30 samseng Umno-BN mengadakan demonstrasi dan cuba bertindak ganas menyerang Ibu Pejabat PKR.

Kumpulan itu memakai kameja T Umno-BN bertindak ganas sambil memegang kain rentang sambil menjerit kata-kata kesat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika kejadian itu Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di pejabat di tingkat atas.

Bagaimanapun, ia dapat dileraikan sepuluh minit kemudian dengan bantuan polis seramai 20 anggota yang terpaksa membuat sekatan di hadapan pejabat.

Kejadian ini merupakan insiden terbaru samseng Umno-BN selepas serangan ke atas Anwar di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah, Ahad lalu.

Selain itu, bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan sehari sebelumnya.