Categories
AGENDA NASIONAL

Belanja mencurigakan ditemui dalam transaksi kad kredit korporat Mara

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat Mara Corporation (Mara Corp).

Berikutan itu, sumber SPRM berkata pihak pengurusan Mara Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.

“Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat Mara Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Disember tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.

Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi Mara Corp.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.

“Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 5 Februari lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Pada 7 Februari pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak muflis, orang muda digesa tidak buat pinjaman peribadi, kad kredit

SHAH ALAM, 18 JUN: Kajian menunjukkan antara faktor kebankrapan terutama dalam kalangan anak muda adalah disebabkan pinjaman peribadi, kereta dan memiliki kad kredit.

Perunding Kewangan Firdaus Pay berkata keadaan itu berlaku kerana golongan terbabit hidup di luar kemampuan sehingga menjurus kepada kegawatan peribadi.

“Individu berumur 20 hingga 30 tahun paling berisiko muflis kerana ketika ini mereka baru bekerja, ada pendapatan dan mahu kenal dunia dengan merasa ada duit sendiri.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Masa inilah mahu cuba semua, nak beli semua dan memuaskan nafsu berbelanja. Kita sepatutnya hidup di bawah kemampuan dan elak hidup bermewah,” katanya menerusi temu bual secara langsung di Facebook Media Selangor pada Rabu.

Beliau menjelaskan dua bentuk pinjaman tersebut membebankan peminjam kerana mereka terpaksa menggunakan pendapatan sekarang untuk membayar hutang selain menjejaskan gaji bulanan.

“Contoh paling ketara ialah pinjaman peribadi, jika seseorang buat pinjaman RM50,000 selama 10 tahun. Kita dah guna wang tersebut untuk perbelanjaan tidak berfaedah tetapi kita masih membayar pinjaman selama 10 tahun.

“Begitu juga penggunaan kad kredit tanpa had. Contoh bank bagi had perbelajaan RM10,000 walaupun pendapatan kita tidak sampai jumlah tersebut,” katanya.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan individu berdepan krisis kewangan menggunakan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai langkah terakhir.

“AKPK akan membantu kita untuk urus kewangan dan dia akan berhubung dengan pihak bank untuk merendahkan komitmen bulanan kita.

“Bila kita sudah meminta pertolongan AKPK bermakna kita sudah gagal mengawal kewangan. Jika ada alternatif lain yang boleh kurangkan perbelanjaan, itu lebih baik,” katanya.