Categories
AGENDA NASIONAL

1,047 ditangkap kes dokumen pengenalan diri palsu

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2013 hingga 30 September 2019, sebanyak 1,047 tangkapan melibatkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 2,100 operasi penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain yang dijalankan dalam tempoh tersebut.

“Perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu ini dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara yang salah.

“Justeru, kuasa penuh diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang didapati bersalah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik penipuan sindiket MyKad sejak 2013.

Mengulas lanjut, Mohd Azis memberitahu berhubung penambahbaikan JPN, satu Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian JPN yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri diadakan pada 18 September 2019.

“(Jawatankuasa itu) memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada JPN,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Che Abdullah mengenai bentuk penguatkuasaan komprehensif yang akan dilakukan KDN bagi mengatasi masalah sindiket itu, Mohd Azis berkata bukan mudah untuk dalang terbabit mendapatkan dokumen pengenalan diri.

“Ia (proses mendapatkan pengenalan diri) bukan soal bahasa sahaja, seksyen lain juga ada. Setiap seksyen, pegawai yang terlibat juga adalah berlainan, bukan ‘one-man show’ (dikelolakan sendirian).

“Tetapi pada masa ini, kerajaan mempertimbangkan untuk memastikan ada satu mekanisme untuk memastikan bahawa bayi yang lahir itu mempunyai pertalian secara langsung kepada sijil lahir yang dikeluarkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.4 juta tiada MyKad walaupun usia lebih 12 tahun

PUTRAJAYA, 16 OKT: Kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 12 tahun dan memiliki sijil kelahiran didapati masih tidak memiliki kad pengenalan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka tidak memiliki MyKad walaupun sepatutnya memilikinya kerana sudah berusia lebih 12 tahun. Saya menyeru sesiapa (warganegara Malaysia) yang tidak ada kad pengenalan untuk memilikinya secepat mungkin kerana ia merupakan satu dokumen yang penting,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), daripada jumlah 1.4 juta itu, 45,588 orang adalah mereka yang berusia 13-17 tahun, 970,377 (18-80 tahun), 110 537 (81-90 tahun) dan 302,694 (91 tahun ke atas).

“Mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan kerana pelbagai faktor antaranya tinggal di kawasan pedalaman, lupa dan ibu bapa tidak arif,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pendaftaran Negara di JPN di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, terdapat 22 juta pemegang MyKad pada masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh dalam ucapannya pada majlis itu berkata beberapa proses permohonan secara dalam talian bagi urusan-urusan utama akan bermula tahun depan.

Ia seperti permohonan pendaftaran kelahiran, cabutan sijil kelahiran, permohonan MyKad kali pertama 12 tahun, cabutan rekod kad pengenalan oleh individu dan agensi luar, dan permohonan perkahwinan bagi pemohon bukan Islam, katanya.

“Bagi urusan ini, pemohon hanya perlu hadir untuk mengemukakan bukti dokumen-dokumen asal sebelum membuat kutipan,” katanya.

Bermula tahun ini, katanya JPN telah melaksanakan pendaftaran kematian secara dalam talian melalui integrasi dengan sistem Polis Diraja Malaysia di mana setiap kematian yang dilaporkan di balai polis Semenanjung Malaysia secara automatik akan direkodkan dalam sistem kematian JPN.

“Permohonan gantian MyKad juga kini boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu hadir di pejabat JPN. Pemohon hanya perlu hadir di pejabat JPN untuk membuat kutipan MyKad,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya sebelum itu berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN telah membentuk Jawatankuasa Petugas Khas bagi memastikan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2021 berjalan lancar.

Beliau menyarankan SPR dan JPN mengadakan kempen besar-besaran terutama berkaitan pengemaskinian atau pindaan alamat kepada warganegara yang telah bertukar tempat bermastautin.

“Ini akan membolehkan mereka yang mencapai umur 18 tahun dan layak mengundi didaftarkan dalam daerah mengundi secara automatik berdasarkan alamat terakhir dalam pangkalan data JPN,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual kad pengenalan, sijil lahir pengkhianatan besar kepada negara

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Tindakan menjual kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada warga asing adalah satu pengkhianatan besar kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam perkara ini.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Datuk Ruslin Jusoh) memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan yang membabitkan kes berkenaan atau kes seumpama ini.

“Kementerian bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Justeru, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba mendapatkan sebarang jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah boleh menyalurkannya kepada PDRM.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas penahanan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) secara penipuan baru-baru ini.

Pada Khamis, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gagal tunjuk MyKad, boleh didenda hingga RM20,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 OKT: Orang ramai boleh didenda sehingga RM20,000 sekiranya gagal menunjukkan kad pengenalan diri (MyKad) apabila diminta pihak berkuasa.

Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman facebooknya mengingatkan supaya orang ramai membawa MyKad ketika bersiar-siar.

“Di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Pindaan 2001), sesiapa yang gagal menunjukkan MyKad boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

PDRM turut memberitahu, MyKad adalah dokumen penting dan wajib dibawa ke mana sahaja.

“Ia adalah bukti yang menunjukkan diri anda sebagai warganegara Malaysia, selain sebagai pengenalan diri, ia juga mengandungi nama, alamat, gambar, nombor kad pengenalan serta jantina yang terpapar di kad.

“Simpan MyKad anda dengan baik dan sentiasa bawa bersama ke mana sahaja anda pergi,” katanya.