Categories
AGENDA NASIONAL

Kembar tertukar 20 tahun dapat kad pengenalan baharu

KOTA BHARU, 16 NOV: Atirah Iwani Ibeni Yanin dan Adryana Iwani Husin, yang kisah mereka menggemparkan negara apabila mereka tertukar 20 tahun lalu, menerima perkhabaran gembira selepas impian mereka membetulkan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan diri terlaksana.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan permohonan pembetulan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan Atirah Iwani (nama lama Noratirah Binti Husin) dan Adryana Iwani (nama lama Adryana Iwani Binti Ibeni Yanin) berdasarkan keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bercakap kepada Bernama, Atirah Iwani berkata tiada kata yang mampu diucapkan selain bersyukur ke hadrat Ilahi kerana permohonan dibuat dua bulan lepas bagi membetulkan maklumat dalam sijil kelahiran selepas ujian DNA disahkan Oktober lepas, diluluskan oleh JPN pada 1 November.

Menurut Atirah Iwani dengan dokumen pengenalan diri yang baharu ini identiti sebenar beliau tidak lagi menjadi tanda tanya masyarakat, yang sebelum ini sering mempersoalkan rupa paras beliau tidak sama dengan ‘keluarganya’.

“Nama saya dalam kad pengenalan ada sedikit perubahan, namun saya masih mengekalkan nama Atirah kerana ia pemberian arwah ‘ayah’ Husin Omar.

“Kad pengenalan diri dengan maklumat baharu ini bukan sahaja memudahkan saya melakukan urusan penting, malah memberi keyakinan kepada saya untuk membawa identiti sebenar selepas 20 tahun bersama keluarga yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Wisma Persekutuan negeri, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Saadon Othman.

Bernama pada Jun lepas melaporkan tentang dua keluarga yang mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar, tertukar selepas dilahirkan 20 tahun lepas dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Atirah berkata walaupun memilih untuk tinggal bersama ‘keluarganya’ di Pantai Kundor, di sini, hubungan kekeluargaan bersama keluarga kandung tidak pernah putus dan diabaikan.

“Memandangkan saya masih belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kota Bharu, jadi hanya apabila ada waktu lapang sahaja saya pulang menjenguk ibu kandung, Siti Aminah Mohd Ismail dan kembar saya, Adryani Iwani.

“Apabila berjumpa, banyak perkara yang kami lakukan bersama selain berkongsi cerita kisah hidup masing-masing selama 20 tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, bagi Adryani Iwani beliau tidak pernah menganggap Adryana Iwani sebagai ‘orang luar’ walaupun kini mengetahui mereka tiada pertalian darah, malah hubungan masih berjalan seperti biasa.

“Kami tidak pernah sisihkan Adryana dan hubungan ini akan kekal selama-lamanya. Ibu saya juga sudah anggap beliau seperti anak sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPN Datuk Saadon Othman berkata permohonan pembetulan maklumat pada sijil kelahiran dengan memasukkan maklumat ibu dan bapa kandung telah diluluskan oleh JPN Kelantan berdasarkan keputusan DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia.

“Kes seumpama ini amat terpencil dan jarang berlaku di negara ini, namun saya menyeru kepada orang awam supaya melaporkan segera kepada JPN sekiranya berlaku pemalsuan sijil kelahiran kerana tindakan memalsu dan mengubah suai sijil kelahiran menyalahi Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna kad pengenalan palsu, lapan warga asing dipenjara 18 bulan

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Lapan pengawal keselamatan warga Filipina dipenjarakan antara dua dan 18 bulan masing-masing oleh lima Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain dua hari lepas.

Mereka ialah Romi Jakira, Rijan Esnael, Razmie Alim, Sababon Insalon, Ambitun Absarun, Buyong Akalol, Askun Nahilun dan Asmarun Kilong yang masing-masing berumur 23 hingga 58 tahun.

Pertuduhan terhadap lapan lelaki itu dikemukakan di lima mahkamah berasingan iaitu di hadapan Majistret S. Mageswary, Tawfiq Affandi Chin, Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Wong Chai Sia dan Aina Azahra Arifin.

Ketika menjatuhkan hukuman, kesemua majistret turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 April lepas.

Bagi pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri, Rijan didakwa telah melakukan perbuatan itu di Stadium Merdeka, Jalan Stadium di sini pada 12.15 pagi, 21 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi tujuh lagi tertuduh, mereka didakwa telah menggunakan kad pengenalan palsu sementara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Stadium Negara di sini antara 1.20 pagi dan 5 petang, 21 April lepas mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu Mohd Zakuan Zakaria, Mohd Supian Abdullah dan Mohamad Riduawan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata berdasarkan maklumat risikan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan jabatannya telah menjalankan Operasi Terancang Pemeriksaan Kad Pengenalan di Stadium Merdeka di sini pada Selasa lepas.

“Hasil pemeriksaan itu seramai lapan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pondok pengawal Stadium Merdeka telah ditahan dan mengaku mereka berasal dari Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN: 76 ditangkap atas kesalahan babit kad pengenalan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Sebanyak 76 orang ditangkap tahun ini kerana kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan orang lain, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

Tangkapan itu dilakukan dalam beberapa operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, JPN sentiasa memastikan bahawa dokumen yang dibawa rakyat negara ini adalah yang dikeluarkan jabatan itu.

“Kad pengenalan palsu terlalu rendah kualitinya dan boleh dikesan dengan mudah saja. Bagi pihak kita, kita ada ‘card reader’ untuk mengesahkan kandungan dalam kad itu,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.

Mengulas pindaan Perlembagaan Persekutuan yang kini membenarkan warganegara berumur 18 tahun layak mengundi dan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik, Ruslin berkata, JPN bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan pendaftaran mereka sebagai pemilih berdaftar.

Beliau berkata, JPN akan berkongsi data yang ada di jabatan itu bagi memperkemaskan data pada SPR.

Ini akan dilakukan melalui perbincangan antara kedua-dua pihak bagi memudahkan SPR mengakses data berkenaan, katanya.

“Apabila SPR menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, maka kita salurkan maklumat secara berkala kepada SPR.

“Penurunan had umur mengundi menyebabkan jumlah pengundi bertambah. Daripada situ kita ada jawatankuasa khusus di peringkat JPN untuk sentiasa berbincang supaya SPR dapat akses,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mulai Mei, tukar alamat mykad perlu dokumen sokongan

PUTRAJAYA, 22 MAC: Bermula 2 Mei ini, permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas ada kes ’50 hingga 100 orang’ menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

“Ada permohonan alamat tetapi kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Kita tidak mahu perkara itu berulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2018, di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, penggunaan alamat yang tidak sahih menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan daftar mengundi dan juga pengesanan individu dalam siasatan polis.

Mohd Azis berkata bagi yang menyewa, mereka perlu menyertakan dokumen perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah serta dokumen lain bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

“Sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen sokongan, mereka hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada penghulu, ketua kampung, tuan rumah, anggota Parlimen dan majikan untuk menyokong permohonan penukaran alamat pemohon,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata sebanyak 10,828 individu dilucutkan status kewarganegaraan sejak 1960 hingga sekarang atas pelbagai kesalahan menurut Perkara 24, 25, 26 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan mengambil tindakan pelucutan kewarganegaraan selepas mendapat bukti yang kukuh terhadap individu-individu tersebut,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Segera beri kad pengenalan dan surat beranak kepada Orang Asal Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Orang Asal Sarawak mengemukakan memorandum menuntut hak permohonan kad pengenalan dan surat beranak dipermudahkan khususnya penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Wakil Orang Asal, Mujan Jok dari Baram, berkata pemberian kad pengenalan dan surat beranak itu sudah dijanjikan sejak sekian lama dan menjadi modal kempen pilihan raya namun sehingga kini belum terlaksana.

“Memorandum ini merupakan desakan seluruh Orang Asal Sarawak supaya isu hak kewarganegaraan dan proses pemberian surat beranak serta kad pengenalan diberikan perhatian serius serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar perkarangan Bangunan Parlimen.

Dalam memorandum itu mereka mengemukakan tiga tuntutan antaranya pemberian kad pengenalan dan surat beranak perlu dilakukan segera.

Kedua, proses pemberian itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada kerajaan terutama dalam proses memudahkan urusan pemberian serta mengenepikan segala birokrasi.

Selain itu, keciciran dokumen dan kelewatan permohonan wajib dipertimbangkan selepas mengambil kira cara hidup Orang Asal yang berbeza dengan penduduk bandar.

Memorandum ini turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh akan mewakili kumpulan Orang Asal Sarawak untuk menyerahkan memorandum sama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammad Najib Tun Razak.

Dianggarkan lebih 10,000 penduduk di kawasan Baram masih tidak mempunyai surat beranak dan kad pengenalan.

EZY