Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

RAM Ratings jangka Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 5 MEI: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan berlangsung pada 6 Mei ini.

Agensi penarafan kredit itu berkata permintaan eksport kukuh, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan dan pelbagai dasar fiskal serta monetari yang menyokong akan membantu dalam pemulihan ekonomi ketika ini.

“Paras kadar faedah sekarang adalah mencukupi untuk mengekalkan momentum pemulihan semasa,” kata RAM Ratings dalam satu kenyataan semalam.

Data terkini menunjukkan pemulihan yang lebih baik daripada yang dijangkakan untuk eksport.

RAM Ratings berkata keseluruhan indeks pengeluaran industri meningkat 1.5 peratus pada Februari berbanding secara purata sebanyak 2.8 peratus antara tahun 2018 dan 2019, disokong oleh sektor pembuatan.

“Ketika keadaan domestik Malaysia masih tidak berubah, kebangkitan global telah mendorong permintaan untuk barang-barang buatan kita, ia akan meningkatkan pengeluaran pembuatan Malaysia,” katanya.

Eksport melonjak 31 peratus pada bulan Mac dari 17.6 peratus pada bulan Februari, peningkatan itu adalah daripada segmen pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan 35.8 peratus berbanding 20.9 peratus pada bulan Februari.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga lemah 4.0630/0675 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Ringgit terus lemah berbanding dolar AS ketika dibuka pagi Jumaat ini, didorong oleh minat belian ke atas dolar AS berikutan kadar pemvaksinan Covid-19 yang tinggi serta kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah oleh People’s Bank of China (PBoC), kata seorang peniaga.

Unit tempatan menyusut kepada 4.0630/0675 berbanding dolar AS daripada 4.0570/0600 ketika ditutup pada petang Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata para pelabur terus yakin terhadap pertumbuhan ekonomi AS dan terdapat kemungkinan berlakunya aliran keluar pelaburan dari pasaran Asia.

“Namun, kadar faedah China yang lebih tinggi oleh PBoC akan menjejaskan kredit dan memperlahankan pertumbuhan dan pastinya akan merugikan rakan dagang tempatan seperti ringgit,” kata Innes.

Bagaimanapun, harga minyak yang lebih baik akan mengurangkan kesan penurunan ringgit kerana harga minyak telah bersedia untuk mengatasi sentimen pasaran pada suku pertama tahun ini, ujar beliau.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0378/0423 daripada 3.0374/0410 pada petang Khamis tetapi lebih tinggi berbanding yen kepada 3.8515/8562 daripada 3.8850/8582 sebelumnya.

Ringgit juga rendah berbanding pound Britain pada 5.5614/5680 daripada 5.5106/5163 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.8618/8688 daripada 4.8623/8671 pada petang Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0440/0480 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Ringgit dibuka rendah susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pentadbiran negara itu mencadangkan pakej bantuan bernilai US$1.9 trilion.

Unit tempatan susut kepada 4.0440/0480 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0460 ketika ditutup pada Selasa.

Penganalisis berkata kesan terhadap ringgit, bagaimanapun, dikurangkan oleh kenaikan harga minyak mentah yang lebih baik.

Beliau berkata ia sekali gus mengekalkan unjuran meningkat selepas penanda aras minyak mentah global optimis mengenai pemulihan ekonomi AS dan paras pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang kurang meningkat berbanding jangkaan bagi Januari.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata terdapat kemungkinan pelabur mengalihkan tumpuan daripada mata wang negara Asia berikutan wujud kebimbangan mengenai pembuat dasar China yang dijangka menaikkan kadar faedah untuk meredakan kenaikan harga saham dan pasaran hartanah.

“Ketika pelaksanaan program suntikan vaksin AS nampaknya dipercepat, pelabur akan terus memantau rapat data aliran keluar pasaran modal minggu ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0374/0416 daripada 3.0371/0400 ketika ditutup pada Selasa namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8522/8571 daripada 3.8530/8563.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5261/5332 daripada 5.5332/5382 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.8706/8770 daripada 4.8787/8827.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19 dan penyelesaian sukar kadar faedah

Oleh Aishah Afandi

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Kadar faedah memainkan peranan penting dalam sistem kewangan. Sebagai faktor utama dalam menentukan daya tarikan aset di seluruh dunia, ia dipantau dengan rapat oleh penganalisis, ahli ekonomi serta pelabur.

Bagaimanapun, ketika pandemik Covid-19 menjejaskan dengan teruk ekonomi global dan menyebabkan negara-negara jatuh ke dalam kemelesetan, bank-bank pusat di seluruh dunia telah mengambil langkah menurunkan kadar faedah untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna dan mudah tunai kewangan.

Jadi, bagaimanakah sebenarnya cara ia berfungsi?

Kita ambil contoh pinjaman perumahan. Biasanya, kadar faedah ke atas gadai janji berada antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus, bergantung kepada bank, tetapi apabila bank pusat menurunkan kadar, pinjaman menjadi murah dan dengan itu lebih berpatutan.

Sehubungan itu, pengguna akan mempunyai wang tambahan yang membolehkan mereka membelanjakannya dan seterusnya membantu menyokong pertumbuhan ekonomi.

Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa penurunan kadar faedah hanya berfungsi sebagai langkah tambahan oleh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi.

Memandangkan pandemik itu telah menjadi krisis global, kerajaan di seluruh dunia telah menyuntik bertrilion dolar ke dalam ekonomi masing-masing dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kerajaan, subsidi upah, pemotongan cukai dan moratorium.

Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsang Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM35 bilion bagi menjana semula ekonomi tempatan.

Langkah-Langkah Global

Amerika Syarikat: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menurunkan kadar faedahnya kepada hampir sifar susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan aktiviti perniagaan terbantut.

Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata kadar faedah rendah itu dijangka kekal sehingga 2022 sehingga ekonomi pulih daripada pandemik tersebut.

England: Bank of England mengekalkan kadar faedahnya pada 0.1 peratus bulan ini selepas menurunkannya pada Mac. Terdapat ura-ura dalam kalangan ahli ekonomi yang kuasa besar ekonomi itu dijangka mengambil pendekatan kadar faedah negatif.

Bank pusat itu juga mengumumkan pakej rangsangan bernilai £100 bilion bagi membantu ekonomi United Kingdom mendepani impak Covid-19.

Eropah: Bank Pusat Eropah menurunkan kadar faedahnya kepada 0.5 peratus pada April apabila pandemik tersebut menjejaskan ekonomi rantau itu.

Bank pusat itu meminjamkan 1.3 trilion euro kepada bank-bank zon Eropah pada kadar faedah negatif sehingga serendah -1.0 peratus, dengan syarat bank-bank terus memberi pinjaman kepada perniagaan.

Rusia: Rusia mengurangkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 100 mata asas kepada 4.50 peratus pada Jumaat — paras terendah sejak era pra-Soviet apabila bank pusatnya merasakan keperluan untuk menurunkan perbelanjaan berian kredit berikutan penguncupan ekonominya.

Indonesia: Bank pusat republik itu mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 4.25 peratus minggu lepas selepas mengekalkannya pada 4.5 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas sejajar dengan kadar inflasi terendah negara itu dalam tempoh hampir dua dekad.

Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo berkata penurunan kadar itu menyediakan rangsangan yang amat diperlukan bagi pemulihan ekonomi di tengah-tengah penularan pandemik tersebut.

Thailand: Bank pusat negara itu memperkenalkan langkah-langkah bantuan hutang tambahan termasuk penurunan kadar faedah sebanyak dua hingga empat mata peratusan bagi kad kredit dan pinjaman peribadi semasa penularan pandemik itu.

Sudut Pandangan Malaysia

Ketua Ahli Ekonomi Ambank Group Dr Anthony Dass berkata terdapat kemungkinan besar Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan 50 mata asas lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai depan.

“Pengurangan itu akan memberi lonjakan yang diperlukan bagi pemulihan ekonomi berikutan penularan Covid-19.

“Ini akan membantu menstabilkan ekonomi negara selain mendorong kejayaan pakej rangsangan ekonomi termasuk pelan Pemulihan Ekonomi Negara,” katanya.

Dass yang juga anggota Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, juga menyifatkan tindakan mengurangkan OPR itu sebagai bertepatan ketika kerajaan menyasarkan untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM35 bilion menerusi pinjaman dalam negara bagi membiayai peningkatan defisit.

“Mudah tunai dalam pasaran pinjaman tempatan adalah mencukupi ketika ini. Selain itu, tiada sebarang tekanan inflasi pada masa ini,” katanya.

Langkah pengurangan 50 mata asas kepada 2.0 peratus pada Mei lepas telah menjadikan OPR Malaysia yang terendah sejak Krisis Kewangan Global pada 2008-2009.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat keempatnya pada 7 Julai depan.

Seorang lagi penganalisis berkata langkah pengurangan OPR yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut juga dijangka dapat merangsang mudah tunai kewangan dalam suku akan datang berikutan kadar pengangguran yang kian meningkat akibat impak Covid-19.

“Sejajar dengan jangkaan Bank Dunia dan BNM mengenai kemelesetan pada tahun ini akibat pandemik global itu, adalah penting untuk memastikan pengguna mempunyai mudah tunai mencukupi bagi mengelak kuasa beli mereka terjejas selain membolehkan perniagaan terus beroperasi,” katanya.

Menurutnya, kadar faedah yang rendah pada masa ini mungkin memberi kesan terhadap simpanan deposit tetap namun ia lebih bersifat jangka pendek kerana ekonomi diunjur pulih pada tahun depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini walaupun Wall Street susut semalaman ketika pelabur menilai kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah rendah, semalam, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.29 mata kepada 1,580.56 daripada 1,575.27 pada Rabu.

Sewaktu dibuka, indeks utama itu naik 2.38 mata kepada 1,577.65.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 108 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,225 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 722.78 juta unit bernilai RM213.40 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata pasaran ekuiti dijangka tidak banyak berubah susulan langkah Fed mengekalkan kadar faedah semasa yang sememangnya dijangkakan pasaran, sekali gus membayangkan prospek ekonomi lebih suram.

“Di peringkat tempatan, sentimen sebaliknya akan terus dipacu oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi yang dapat menjana semula pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

“Bagaimana pun, kami berpendapat aspek (mengambil) keuntungan turut menjadi tumpuan ketika aktiviti perdagangan terus meningkat dalam beberapa hari ini,” katanya.

Sementara itu Rakuten Trade Sdn Bhd berkata aktiviti pengambilan untung itu ketara di Wall Street walaupun Fed terus memberi jaminan bahawa kadar faedah itu kekal rendah.

“Kami menjangkakan pasaran serantau akan terus melakukan pembetulan teknikal hari ini di tengah-tengah kehadiran mudah tunai yang ketara.

“Bagi pasaran tempatan, kami melihat FBM KLCI kekal bertenaga dipacu oleh sokongan daripada kedua-dua institusi dan peruncit tempatan. Berikutan itu, indeks penanda aras itu dijangka dalam lingkungan 1,570 hingga 1,580 pada hari ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM8.16 dan RM17.30 manakala Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.89.

Tenaga naik dua sen kepada RM11.98 dan IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM5.65.

Bagi saham aktif, Pegasus naik setengah sen kepada 1.5 sen, AT Systematization meningkat lima sen kepada 17.5 sen, Lust Industries dan waran AT Systematization masing-masing menambah tiga sen kepada 13 sen dan 9.5 sen manakala waran Pegasus sebaliknya tidak berubah pada setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 35.36 mata kepada 11,138.88 dan Indeks FBMT 100 bertambah 34.32 mata kepada 10,985.57 manakala FBM 70 menokok 63.60 mata kepada 13,766.33.

Indeks FBM Emas Shariah pula meningkat 61.08 mata kepada 12,573.64 dan FBM ACE naik 32.59 mata kepada 6,028.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.40 mata kepada 142.29, Indeks Perladangan menokok 29.67 mata kepada 6,866.33 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.66 mata kepada 13.836.70.

-BERNAMA