Categories
AGENDA NASIONAL

27,500 jangkitan harian direkodkan semalam, kekal bawah 30,000 kes

SHAH ALAM, 3 MAC: Angka jangkitan Covid-19 melonjak 1,646 kepada 27,500 kes berbanding 25,854 semalam.

Daripada jumlah itu, 27,072 adalah kes tempatan, manakala baki 428 adalah kes import.

Kadar jangkitan kekal di bawah paras 30,000 sejak 26 Februari lalu.

Seramai 1,841 pesakit dimasukkan ke hospital semalam dengan 36.8 peratus atau 677 kes daripada kategori 3, 4 dan 5. Kategori 1 dan 2 pula seramai 1,164 pesakit.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 9,292 kes (33.79 peratus)
Kategori 2 : 18,019 kes (65.52 peratus)
Kategori 3 : 71 kes (0.26 peratus)
Kategori 4 : 38 kes (0.14 peratus)
Kategori 5 : 80 kes (0.29 peratus)

Daripada 189 kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 yang direkodkan semalam sebanyak 114 kes atau 60.32 peratus membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak. Sebanyak 38 kes atau 20.11 peratus pula individu yang sudah menerima dos penggalak.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“KKM menasihatkan individu ini segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19.

“Bagi individu positif Covid-19 kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, mereka dikehendaki hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, angka kematian mencatatkan rekod 115 termasuk 36 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,591 kes.

Jumlah kes terkumpul setakat semalam adalah 3,496,090.