Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Kafa-i bantu keluarga susah tampung yuran anak

HULU SELANGOR, 8 DIS : Inisiatif Selangor memberi subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) sedikit sebanyak membantu keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19.

Abd Halim Hamzah

Ketua Guru Sekolah Kafa-i Kampung Serigala Abd Halim Hamzah berkata bantuan RM30 sebulan besar maknanya kepada golongan susah terutama dalam keadaan kos sara hidup makin tinggi.

“Peningkatan kos sara hidup menyebabkan ada segelintir ibu bapa terpaksa tangguh bayar yuran sekolah anak.

“Kami faham kesusahan mereka ditambah pula dalam situasi pandemik. Apabila Kerajaan Selangor umum perkara ini, saya rasa ia merupakan khabar gembira kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Komputer Kepada Sekolah Kafa-i oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu di sini.

Siti Zabedah Muklas

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Agama Hulu Selangor Murni Muhammad berkata pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor yang sentiasa cakna terhadap nasib rakyat.

“Dengan subsidi ini saya percaya mungkin selepas ini lebih ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah Kafa-i.

“Namun, saya berharap masyarakat menggunakan insentif diberikan Kerajaan Selangor ini sebaiknya,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga B40

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan sekolah Kafa-i dapat komputer sumbangan MBI

HULU SELANGOR, 7 DIS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 24 unit komputer kepada lapan sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) di Hulu Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap sekolah menerima tiga unit komputer bernilai RM2,500 setiap satu dengan kos keseluruhan RM60,000.

“Sumbangan ini bagi memudahkan pengurusan sekolah mendidik murid di samping menyokong usaha Kerajaan Selangor ke arah pendigitalan,” katanya selepas menyerahkan peranti terbabit di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sekolah yang menerima sumbangan ialah Kafa-i Seri Kledang, Kafa-i Kampung Serigala, Kafa-i Sungai Tengi Selatan dan Kafa-i Intifaqiah Lembah Beringin.

Turut mendapat bantuan termasuk Kafa-i Kampung Kuantan, Kafa-i Ar Raudhah, Kafa-i Bukit Sentosa Fasa 3 dan Kafa Kampung Batu 30.

Mengulas perancangan tahun depan, Norita berkata pihaknya bercadang menjelajah ke sekolah Kafa-i di setiap daerah untuk mengagihkan bantuan sama.

Sebelum ini, MBI pernah memberi sumbangan baik pulih sekolah dan program Ihya Ramadhan kepada sekolah Kafa-i di negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Subsidi Kafa-i RM5 juta sokong pendidikan rakyat

SHAH ALAM, 3 DIS: Pemberian subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) sebanyak RM30 sebulan tahun depan mampu menyokong sektor pendidikan rakyat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bantuan melibatkan peruntukan RM5 juta itu turut meringankan beban ibu bapa serta penjaga yang berdepan masalah ekonomi susulan Covid-19.

“Dalam keadaan biasa (sebelum penularan Covid-19) ada kes pelajar gagal buat bayaran penuh apatah lagi ketika pandemik ini.

“Saya lihat peruntukan ini sangat membantu rakyat yang susah dalam meneruskan pembelajaran agama anak-anak. Terima kasih Kerajaan Selangor yang memberi peruntukan tinggi ini,” kata Dato’ Shahzihan Ahmad.

Jumaat lalu ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 Dato’ Menteri Besar mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan (B40)

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan Agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.