Categories
AGENDA NASIONAL

Guru Kafa ambil cuti bersalin dapat elaun penuh mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari diberi kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zakaria Othman berkata kemudahan itu akan diberi sekali sahaja sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata kemudahan itu diberi selaras dengan penambahbaikan Peraturan KAFA Tahun 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari.

“Sehubungan itu, Jakim telah memaklumkan perkara ini kepada semua agensi pelaksana KAFA di negeri-negeri melalui surat siaran bertarikh 9 Feb 2022,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sumbangan komputer lancarkan pembelajaran sekolah Kafa-i

HULU SELANGOR, 8 DIS: Pemberian komputer memudahkan pihak sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) menjalankan sesi pembelajaran dalam talian.

Wakil guru Kafa-i Kampung Batu 30 Haslinda Sapian berkata sumbangan tiga unit komputer melegakan pihak sekolah memandangkan kemudahan sedia ada semakin usang.

“Terima kasih oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berikan tiga unit komputer.

Guru Kafa Integrasi Kampung Batu 30, Haslinda Sapian

“Insya-Allah sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan guru dan murid dalam pendidikan,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini pada Majlis Penyerahan Komputer Kepada Sekolah Kafa-i di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu di sini semalam.

Ketua Guru Kafa-i Sungai Tengi Selatan Siti Zabedah Muklas pula berharap program dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih banyak sekolah menerima bantuan.

“Meskipun pembelajaran Kafa lebih menumpukan kepada al-Quran tetapi melalui komputer juga kita boleh menerapkan ilmu pendigitalan dalam kalangan murid,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Kafa-i bantu pendidikan murid B40, kurang isu yuran tertunggak

SHAH ALAM, 3 DIS: Keputusan Kerajaan Selangor memberi subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) meringankan beban murid keluarga berpendapatan rendah (B40).

Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata bantuan RM30 sebulan memberi manfaat besar kepada golongan susah.

“Keluarga B40 perlukan bantuan. Apa yang Kerajaan Negeri mampu berikan, hulurkanlah. Jangan kedekut.

“Ini dapat bantu kurangkan kesempitan rakyat. Wabak ini pun kita tak tahu sampai bila. Selagi mampu berilah. Ini masa untuk kita bantu semua,” kata Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.

Sementara itu pengajar Maahad Tahfiz Sains Dan Teknologi Darul Ehsan berkata subsidi terbabit dapat melancarkan urusan pembelajaran pelajar.

Berkongsi pengalaman, Aiman Fitri Zulkifli berkata beliau pernah melihat ibu bapa yang terpaksa memindahkan anak ke sekolah lain hanya disebabkan tidak mampu melangsaikan yuran tertunggak.

Aiman Fitri Zulkifli

“Perkara ini menyedihkan. Mahu anak timba ilmu tetapi tak mampu. Bantuan ini dapat menyelesaikan masalah keluarga susah, bantu pendidikan mereka.

“Cuma harap peruntukan itu tidak mengurangkan bayaran para guru yang mengajar. Semoga usaha ini memudahkan banyak pihak,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga B40

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

14,000 murid Kafa dapat subsidi yuran RM30

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 14,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan (B40) akan menerima manfaat subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) berjumlah RM30 sebulan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Menyedari akan kepentingan institusi Pendidikan Kafa di Selangor, buat julung kalinya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta secara one-off untuk meringankan beban ibu bapa dengan pemberian subsidi yuran Kafa berjumlah RM30 sebulan.

“Ini akan memberi manfaat kepada 14,000 murid B40 di 296 institusi Kafa seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, inisiatif itu juga sebagai galakan kepada masyarakat dalam menyediakan pendidikan Agama Islam bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan menyempurnakan pembinaan tiga masjid pada tahun depan iaitu Masjid Kota Damansara 2 (Seksyen 9) dalam daerah Petaling, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda (Klang) dan Masjid Kampung Sungai Serai 13 (Hulu Langat).

Menurutnya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan membina sekolah pendidikan Islam baru di Selangor bagi meningkatkan keselesaan pelajar.

“Sebanyak empat sekolah baru akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning, Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra, Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor.

“Manakala, dua sekolah akan dinaik taraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

130 guru Kafa enggan vaksin dibawa jumpa pakar agama

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 130 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor yang enggan mengambil vaksin akan dibawa bertemu pakar agama termasuk mufti dalam masa terdekat.

Pertemuan kali kedua bagi memberi kesedaran kepada guru terbabit untuk menerima suntikan pelalian, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Perjumpaan pertama di masjid negeri sebelum ini mereka tidak ditemukan dengan pakar dan hanya di peringkat pentadbiran, namun ada dua guru Kafa yang sedar untuk mengambil vaksin.

“Kita melihat kebajikan mereka ini (guru Kafa), sebab itu pihak mempunyai bidang kuasa seperti jabatan mufti dan bahagian dakwah dijemput untuk memberikan penjelasan kepada mereka (berkaitan vaksin),” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menggesa guru Kafa yang belum berbuat demikian supaya membuat pertimbangan sewajarnya demi keselamatan bersama.

“Dengan keadaan wabak ketika ini, nyawa menjadi keutamaan. Jangan kerana sikap kita itu menyebabkan diri sendiri, keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga menjadi mangsa,” katanya.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

485 guru Kafa, pegawai masjid, jurunikah divaksin 22 September

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 485 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah akan menerima suntikan vaksin pada Rabu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata program vaksinasi khas tersebut diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Negeri.

“Kita arahkan semua mereka hadir dan paling penting Jais hendak menyelesaikan masalah kerana perkara ini melibatkan masyarakat umum.

“Mereka yang tidak mahu divaksin pasti mempunyai alasan tersendiri, namun jika tidak diterima mereka berdepan tindakan susulan sehinggalah langkah terakhir dikenakan tatatertib,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Shahzihan memaklumkan Jais memberi peluang sewajarnya kepada semua individu itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Jais sentiasa cuba untuk mengatur langkah-langkah bersesuaian dan bukan bersifat kejam namun akan memberi masa dan sedia menerima penjelasan serta jika didapati tidak munasabah akan ambil tindakan,” katanya

Pada 2 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mereka sepatutnya sedar akan risiko jangkitan dan vaksin dapat mengelakkan kesan lebih buruk termasuk kematian.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Guru Kafa Selangor dapat banyak manfaat banding negeri lain

SHAH ALAM, 15 DIS: Guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) Selangor memiliki 19 kelebihan berbanding negeri lain meliputi kenaikan elaun dan kelonggaran menyambung pengajian.

Timbalan pengarah operasi Jabatan Agama Islam Selangor berkata pengajar yang berkhidmat lebih 15 tahun menerima elaun RM1,700, manakala bawah lima tahun antara RM1,350 hingga RM1,550.

Salwana Ahmad Dahlan menjelaskan jumlah itu jauh mengatasi negeri lain yang kebanyakan menerima elaun RM1,000 sebulan.

“Mereka juga terima bantuan tambahan daripada Lembaga Zakat Selangor yang tiada di tempat lain,” kata Salwana Ahmad Dahlan pada program bual bicara anjuran Media Selangor malam tadi.

Beliau memaklumkan Selangor memiliki 7,000 guru Kafa setakat ini, termasuk 2,800 orang dibiayai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM1.1 juta bagi membayar caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 guru Kafa negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sebuah surau di Shah Alam tutup, ada kontak rapat kluster Sivagangga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Surau Al Jannah di Seksyen 23 di sini diarahkan tutup serta-merta susulan seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sekolah KAFA Integrasi Al-Jannah di lokasi yang sama turut ditutup.

Katanya, penutupan surau itu menyebabkan semua aktiviti termasuk solat Jumaat, fardu berjemaah dan program pengimarahan tidak dibenarkan.

“Namun, solat fardu di surau berkenaan hanya dibenarkan dilakukan tiga orang ahli jawatankuasa (AJK) surau sahaja. Proses nyahkuman juga perlu dilakukan serta-merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan AJK surau memantau rapat isu tersebut serta meningkatkan langkah keselamatan.

“Surau terbabit hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh Jais,” katanya.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 30 kes positif Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster Sivagangga.

Sehingga kini 2,351 individu yang disaring dengan 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sekolah Kafa dibuka semula mulai 2 dan 3 Ogos

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) bagi sekolah di negeri dalam kumpulan A, merangkumi Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan dibuka kembali bermula 2 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata kelas Kafa bagi negeri-negeri dalam kumpulan B pula iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan bermula pada 3 Ogos.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil kira kepentingan semua pihak dan persediaan sepenuhnya 5,619 premis Kafa serta pengurusan tadbir urus sekolah kebangsaan.

“Berdasarkan perbezaan tempoh masa pembukaan semula Kafa dengan pembukaan sekolah rendah, saya berharap urusannya berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata pihak pentadbir premis Kafa mesti memastikan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Kafa, Jakim dipatuhi oleh semua pihak.

“Saya berharap dengan persediaan yang rapi oleh semua pihak, pembukaan semula Kafa akan dapat berjalan dengan lancar dan anak-anak kita dapat bersekolah dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Pada 1 Julai lepas, Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi murid tahun lima dan enam akan bermula pada 15 Julai ini manakala bagi murid tahun satu hingga empat akan bermula pada 22 Julai.

Zulkifli berkata selaras dengan keputusan KPM sebelum ini, Jakim menyedari bahawa pemilihan model sekolah bagi sekolah kebangsaan akan memberi kesan kepada pengoperasian Kafa di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya penyelarasan perlu dibuat di antara agensi pelaksana negeri dengan jabatan pendidikan negeri (JPN) bagi memastikan Kafa dapat dilaksanakan dengan baik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan – menteri

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.

Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).

“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Usaha serap guru KAFA di peringkat akhir

KUANTAN, 13 JULAI: Usaha menyerap guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke skim perjawatan tetap, kini berada di peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Katanya kertas kerja cadangan mengenainya telahpun disiapkan dan pihaknya kini sedang dalam usaha mendapatkan maklum balas, selain berunding dengan mereka yang berkepentingan dalam isu tersebut.

“Rundingan membabitkan aspek pelaksanaan dan pada Isnin ini, kita juga akan berbincang dengan ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan Pameran Malaysia Baharu bersempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 anjuran Jabatan Penerangan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa.

Media sebelum ini melaporkan cadangan lantikan guru KAFA ke skim perjawatan tetap itu dijangka dibentangkan ke Kabinet pada Julai, dengan jangkaan akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.

Sementara itu Fuziah berkata pertandingan pengisahan kenegaraan yang membabitkan generasi muda khususnya pelajar sekolah dapat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam diri mereka.

“Peserta juga berpeluang menjelaskan nilai positif dalam menghargai pengorbanan tokoh negara kepada masyarakat, dan mengambil teladan daripada sejarah untuk sama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, itu turut memberi peluang kepada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka ruang pameran bagi mendekati masyarakat dan golongan sasar.

Kumpulan Pewaris Bangsa dari Lipis dinobatkan sebagai juaran pertandingan pengisahan kenegaraan peringkat Pahang tahun ini, dan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala iringan selain akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Mereka menewaskan 10 kumpulan lain, dengan tempat kedua dimenangi pasukan Anak Warisan Timur dari Raub, manakala kumpulan Kirana Jauhari yang mewakili Pekan menduduki tempat ketiga.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadangan jawatan tetap guru KAFA akan dibentangkan ke Kabinet

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Cadangan lantikan guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke dalam skim perjawatan tetap dijangka akan dibentangkan ke Kabinet sebelum Julai ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Semalam saya telah meneliti perkembangan kertas Kabinet tersebut dan saya ada beri lagi input selain perlu mengemaskini beberapa perkara… harap ia dapat dibentangkan sebelum Julai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Waqaf Al-Quds di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Fuziah berharap perkara ini dapat diselesaikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Dianggarkan terdapat 31,460 orang guru KAFA bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis KAFA seluruh negara ketika ini.

Mengenai Program Waqaf Al-Quds yang bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin sekaligus mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa, Fuziah berkata tabung waqaf akan diwujudkan di 100 masjid sekitar Wilayah Persekutuan dengan sasaran kutipan kira-kira RM6,000 bagi setiap masjid.

“Hasil kutipan sumbangan tersebut akan digunakan untuk tujuan sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa. -BERNAMA