Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

SHAH ALAM, 28 FEB: Dana tambahan disalurkan Kerajaan Selangor kepada jawatankuasa khas perubahan iklim bakal digunakan untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan.

Hee Loy Sian yang dipertanggungjawab memegang portfolio baharu itu berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan saintis dan pakar dari universiti untuk membuat kajian menyeluruh berhubung perubahan iklim.

Beliau menjelaskan kajian itu termasuk faktor Selangor dilanda hujan lebat luar biasa pada akhir Disember tahun lepas meskipun moratorium pembalakan sudah berkuat kuasa sejak 2010 untuk tempoh 25 tahun.

“Sekarang tiada pembalakan, jadi mengapa perubahan iklim kita (Selangor) luar biasa? Kemungkinan disebabkan pertambahan kenderaan berat dan pembebasan karbon dari kilang serta bangunan.

“Jadi, kajian-kajian seperti ini akan dibuat kerana dengan penjenamaan (portfolio), kita ada pertambahan peruntukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Sementara itu, Loy Sian mengakui perubahan iklim bukan isu mudah untuk ditangani selain memerlukan perancangan jangka panjang sehingga hingga 30 tahun.

“Memang perlukan masa kerana ia merupakan perbincangan polisi jangka panjang. Kita kena kaji kenaikan paras laut setiap tahun dan (kajian) ini sangat penting.

“Biasanya kadar taburan hujan lebih kurang 70 hingga 90 milimeter(mm), tetapi kali ini (Disember 2021) mencecah sehingga 200mm. Keadaan ini agak aneh kerana tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan tambahan portfolio baharu perubahan iklim yang diketuai Loy Sian.

Penambahbaikan portfolio itu menjadikan jawatan disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kajian: KDNK diunjur sekitar -5.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 9 FEB: AmBank Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada sekitar -5.5 peratus pada 2020 daripada 4.3 peratus pada 2019 berikutan petunjuk ekonomi yang lemah susulan krisis pandemik Covid-19.

Ia turut menganggarkan KDNK Malaysia mungkin berlegar antara -3.2 peratus dan -3.5 peratus pada suku keempat 2020 (Q4 2020) disebabkan oleh pengeluaran perindustrian dan eksport yang lemah serta kadar pengangguran yang tinggi dalam tempoh suku berkenaan.

Untuk suku keempat 2020, pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia masing-masing pada -0.3 peratus dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran pada 4.8 peratus.

“Ini (KDNK Q4 2020) diunjurkan lebih lemah daripada -2.7 peratus yang dilaporkan pada Q3 2020, sebahagiannya disebabkan oleh langkah-langkah sekatan berpilih yang dikuatkuasakan pada suku keempat ketika jumlah kes Covid-19 baharu meningkat,” kata AmBank Research dalam satu nota penyelidikannya hari ini.

Ia menambah prestasi perindustrian bercampur-campur sepanjang tahun 2020, dengan data menunjukkan pertumbuhan tahunan enam bulan yang negatif terutamanya disebabkan oleh impak daripada pandemik Covid-19 dan langkah-langkah sekatan yang diambil untuk membendung penularan virus seperti sekatan pergerakan.

“Langkah-langkah sekatan ini telah menyebabkan gangguan kepada rantaian penawaran global, permintaan dan pekerjaan. Dengan demikian, untuk tahun penuh 2020, IP menguncup sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

“Kegiatan pembuatan terus menyokong indeks pengeluaran perindustrian, meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun pada Disember, menjadikan purata suku keempat 2020 kepada 2.8 peratus tahun ke tahun.

“Perdagangan luaran yang semakin pulih dan peningkatan secara beransur-ansur dalam beberapa bidang kegiatan domestik telah menyokong aktiviti pembuatan,” kata AmBank Research.

Sementara itu, langkah-langkah sekatan dalam suku keempat 2020 menyaksikan jumlah pengangguran meningkat kepada 772,900 berbanding kepada 737,500 pada akhir suku ketiga 2020.

“Ini terus menjadi kebimbangan walaupun 22,300 pekerjaan telah diwujudkan pada suku keempat 2020 daripada 202,900 pada suku ketiga 2020,” kata AmBank Research.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ kaji cadangan remaja hanya tunggang motosikal bawah 70cc

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneliti cadangan dikemukakan oleh polis yang mahu syarat lesen memandu dipinda dengan memastikan pemilik berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal kategori bawah 70cc menjelang 2025.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saranan itu dilakukan berikutan peningkatan kes kemalangan dan kadar kematian penunggang motosikal berkuasa besar melibatkan remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun,” katanya, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis bercadang mengkategorikan permohonan lesen baharu mensyaratkan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya menunggang motosikal berkuasa bawah 70cc menjelang 2025.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JPJ akan melancarkan sistem MyQ yang mampu mengurangkan kesesakan kepada pelanggan ketika berurusan di kaunter dan projek rintis akan dilaksana pada pertengahan bulan ini di cawangan JPJ terpilih.

Ini katanya antara usaha pendigitalan jabatan itu selari dengan amalan norma baharu dan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makan gaji buta: Dakwaan berat buat guru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Dakwaan dilemparkan segelintir individu di media sosial menuduh guru hanya makan gaji buta sepanjang tempoh penutupan sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sememangnya amat berat untuk ditelan.

Selain dikatakan makan gaji buta, paling teruk ada juga yang menyarankan supaya kerajaan melibatkan guru dalam tugas barisan hadapan seperti menjaga sekatan jalan raya.

Tuduhan mempertikaikan profesionalisme pendidik itu pastinya mengguris hati para guru yang kini berjumlah kira-kira 420,000 orang di seluruh negara.

Hakikatnya, tidak ada istilah makan gaji buta bagi guru yang kini berhadapan cabaran baharu apabila terpaksa melaksanakan tanggungjawab mendidik melalui sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR)

Satu tinjauan ringkas yang melibatkan 1,742 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta membuktikan dakwaan itu sangat tidak tepat.

Dalam soal selidik yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) November lepas, 85 peratus guru menyatakan mereka meluangkan antara satu hingga empat jam sehari melaksanakan aktiviti PdPDR manakala baki 15 peratus memperuntukkan lebih dari empat jam sehari.

Bagi kaedah pengajaran digunakan, 37 peratus melalui dalam talian, 16 peratus secara luar talian, 45 peratus secara dalam talian dan luar talian manakala selebihnya berada di pusat-pusat komuniti untuk mengedar dan mengutip nota, latihan dan tugasan diberikan kepada murid.

Ketua kajian Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata dapatan yang diperoleh menunjukkan majoriti guru melaksanakan tugas hakiki mengajar ketika PKP dan PKPB dengan mengikut jadual waktu yang diberikan kepada mereka.

“Mungkin ada yang musykil mengapa majoriti guru mengajar tidak sampai pun empat jam sehari?. Apa yang dijelaskan oleh guru yang terlibat dalam tinjauan itu, tugas sebenar mereka bukan sahaja mengajar sebaliknya ada lagi tugas-tugas lain yang berkaitan pentadbiran perlu dilaksanakan.

“Antaranya menyemak tugasan murid, menyediakan bahan bantuan mengajar, merekod data kehadiran dan tugas-tugas lain seperti yang diarahkan pengetua atau guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya kepada Bernama di sini.

Dalam tinjauan itu juga guru yang terlibat turut berkongsi cabaran dan kekangan PdPDR atau home-based learning (HBL) dengan 80 peratus menyatakan cabaran utama mereka adalah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung.

Ini diikuti cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping perlu memastikan murid dapat memberi tumpuan agar mereka faham dan seronok belajar dalam setiap kelas yang diadakan.

“Selain itu sebanyak 70 hingga 80 peratus menyatakan masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah.

“Cabaran lain menggugat kredibiliti guru, seperti Astro, Netflix, video game dan lain-lain seumpamanya yang boleh diakses pada bila-bila masa secara percuma dan lebih mengujakan murid sekolah khususnya para remaja,” katanya, sambil menambah laporan lengkap tinjauan dijangka siap Januari tahun depan.

Beliau berkata dalam hal pendidikan, tidak wajar guru sahaja dipersalahkan kerana banyak perkara perlu diambil kira antaranya masalah kesihatan mental dan fizikal pelajar yang ‘terkurung’ berikutan PKP dan PKPB, ruang dan kediaman yang tidak selesa, konflik keluarga dan persoalan lain yang turut mengganggu pembelajaran pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat sentimen atau tuduhan melulu individu atau pihak yang menyatakan guru makan gaji buta ketika PKP dan PKPB disebabkan mereka tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.

Beliau berkata jika gaji guru hanya perlu dibayar ketika mengajar di dalam kelas, itu adalah satu tanggapan sangat salah kerana banyak beban dan cabaran guru terutama ketika PKP dan PKPB dalam memastikan pelajar meneruskan pembelajaran di rumah.

Ini termasuk mempersiapkan nota-nota pengajaran, dokumen dan sebagainya sebelum melakukan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam talian atau luar talian, katanya.

“Apakah kita mampu berkata kepada ahli bomba, mereka makan gaji buta kerana mereka tidak memadamkan api, atau kita kata pihak polis memakan gaji buta kerana tidak menangkap pencuri atau penjenayah.

“Walaupun kelas ditutup, kuliah tidak ada, tidak bermakna guru makan tidur semata-mata. Mereka tetap bertugas seperti biasa terutama mempersiapkan nota-nota semasa PKP untuk dikongsikan dengan pelajar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Lebih 29,000 rumah tidak terjual, faktor harga pasaran

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Sebanyak 29,698 unit rumah yang siap dibina daripada 127,604 unit rumah dilancarkan dengan nilai lebih RM18 juta, dilaporkan tidak terjual pada suku pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.

Beliau berkata, rekod Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan, jumlah itu berkurangan berbanding 30,664 unit rumah siap dibina dan tidak dijual, pada suku keempat tahun lepas.

“Antara punca unit rumah tidak terjual ini ialah ketidakmampuan membeli rumah mengikut harga pasaran, dan ketiadaan sistem bersepadu bagi memastikan kesepadanan di antara penawaran dan permintaan mengikut lokasi,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah, yang ingin tahu jaminan kementerian dalam memastikan rumah yang dibina akan terjual.

Jelas Ismail, antara usaha kementerian untuk memastikan rumah yang akan bina dapat dijual mengikut keperluan setempat adalah, menetapkan harga rumah projek perumahan yang dibangunkan kerajaan mengikut Dasar Rumah Mampu Milik Negara, iaitu harga maksimum sehingga RM300,000.

Selain itu, KPKT turut meminta pemaju membuat kajian kebolehlaksanaan, agar masalah lebihan bekalan perumahan dapat diatasi bagi tempoh jangka panjang.

Pada masa sama, beliau berkata KPKT sedang melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan, yang bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai pengurusan perumahan di Malaysia.

“Kajian ini akan dijadikan sebagai input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah, yang meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu membuat keputusan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, serta membantu penyediaan dasar dan perancangan perumahan negara yang lebih komprehensif,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut membangunkan ‘Housing Integrated Management System (HIMS)’ yang bertindak sebagai pusat sehenti, bagi urusan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 dan mengemas kini maklumat pemajuan projek perumahan swasta.

Sistem ini, katanya dijangka akan siap pada April 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pertimbang kajian penularan Covid-19 dalam komuniti

PUTRAJAYA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang pertimbangkan pelaksanaan kajian penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti terutamanya di kawasan zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian tersebut akan melibatkan saringan terhadap penduduk setempat bagi mengukur antibodi individu yang telah dijangkiti Covid-19.

“Jadi kalau mereka terdedah kepada virus tersebut, maka dalam tempoh seminggu akan terbinanya antibodi atau IgG (Immunoglobulin G) dengan IgM (Immunoglobulin M).

“Jadi ini mungkin kajian yang baik yang boleh kita pertimbangkan, mungkin kita akan lihat masa yang sesuai untuk kita melaksanakan ujian tersebut dan ujian ini akan menggunakan kit ujian antibodi yang cepat (dapat keputusan) iaitu kita dapat ukur antibodi atau IgG atau IgM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata menerusi kit ujian tersebut, hanya perlukan setitis darah untuk mengukur antibodi tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian itu bukan untuk diagnosis tetapi bagi mengetahui berapa ramai dalam kalangan komuniti yang telah dijangkiti Covid-19.

Katanya, kajian itu juga memerlukan kerjasama rapat dengan pihak swasta bagi memastikan maklumat yang dikumpul adalah terkini dan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sebelum ini seorang pakar virologi Prof Dr Sazaly Abu Bakar mencadangkan KKM mengukur kadar jangkitan dalam komuniti bagi mengesan antibodi terhadap sejumlah orang awam secara rawak dari seluruh negara, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

Mengenai kekurangan penutup hidung dan mulut jenis N95 di Hospital Umum Kuching, Sarawak, Dr Noor Hisham berkata penggunaan penutup hidung dan mulut jenis itu diutamakan kepada petugas kesihatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad rawatan Covid-19.

Jelasnya, petugas kesihatan di klinik biasa pula boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapisan sekiranya tidak berdepan dengan pesakit Covid-19.

“(Petugas) bukan di wad Covid-19 boleh guna (penutup hidung dan mulut) tiga lapisan, penutup hidung dan mulut jenis N95 kena jimat untuk mereka yang memerlukan di wad ICU dan wad Covid-19.

“Tetapi kalau tidak ada N95, petugas boleh guna alat pelindung muka dan penutup hidung dan mulut tiga lapisan untuk mereka yang kerja di klinik dan sebagainya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL kaji potensi farmasuetikal dalam sampel tanah Royal Belum

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 SEPT: Enam pensyarah dan dua pelajar pasca siswazah Universiti Selangor (UNISEL) menyertai Ekspedisi Hutan Royal Belum bagi menyempurnakan projek COSMOS-SATREPS.

Ketua Ekspedisi, Prof Dr Mohd Kushairi Mohd Rajuddin berkata, COSMOS-SATREPS adalah projek penyelidikan antarabangsa membabitkan kerjasama beberapa institut pengajian tinggi dan beberapa universiti, di Jepun.

Katanya, setiap institusi menerima dana dan digunakan untuk membuat penyelidikan dalam bidang tertentu yang bermanfaat kepada masyarakat tempatan juga global.

ROYAL BELUM (2)“Kita memilih hutan tropika tertua di dunia itu kerana kita ingin mengkaji sampel tanahnya yang dianggarkan berusia melebihi 130 juta tahun.

“Kita mengambil sampel tanah bagi tujuan analisis kimia dan mengkaji potensinya sebagai bahan tambahan dalam formulasi media mikroalge.

“Kita juga mencari mikro organisma baharu yang mungkin terdapat di dalam sampel tanah bagi kajian mikrobiome dan potensinya dalam bidang farmasuetikal dan nutraseutikal,” katanya dilapor Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan.

Mohd Kushairi berkata, ia projek pertama dan semua yang terbabit adalah pensyarah muda Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat serta pelajar pasca siswazah yang mengambil kursus Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sains.

“Saintis muda harus diberi peluang untuk bersama menyertai program penyelidikan supaya mereka dapat menimba pengalaman selain legasi ini dapat diteruskan, pada tahun akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

54% setuju ekonomi, politik Selangor menuju landasan betul

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majoriti rakyat Selangor berpendapat hala tuju Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) berada di dalam landasan yang betul.

Hal itu berikutan kajian yang dijalankan Merdeka Centre ke atas 6,436 penduduk di lapan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu mendapati 54 peratus menganggap hala tuju daripada segi sosial, ekonomi dan politik Selangor berada di landasan yang betul.

Dalam kaji selidik yang dijalankan bermula 16 Mei hingga 6 Julai 2014 itu mendapati43 peratus menjawab ‘agak betul’ dan 11 peratus menjawab ‘amat betul’ apabila diajukan soalan ‘sejauh manakah anda rasa bahawa Selangor menuju ke arah yang betul atau tidak betul daripada segi sosial, ekonomi dan politik’.

Grafik-Selangor-PakatanKaji selidik itu juga mendapati enam peratus menjawab ‘tidak betul’, 22 peratus menjawab ‘kurang betul’ dan 16 peratus lagi menjawab ‘tidak tahu’ dan dua peratus tidak memberi sebarang respon.

Kajian yang dijalankan Merdeka Centre itu membabitkan 56 peratus masyarakat Melayu, 29 peratus Cina dan 14 peratus India dengan pecahan pendapatan isi rumah 43 peratus pekerja swasta, 16 peratus kerja sendiri, 15 peratus suri rumah, 12 peratus kakitangan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, 11 peratus pesara serta tiga peratus pelajar atau tidak bekerja.

Mengikut pecahan umur pula, kajian sama membabitkan 33 peratus responden terdiri daripada usia 41 hingga 50 tahun, 23 peratus pula 31 hingga 40 tahun, 22 peratus (51-60), 12 peratus (21-30) dan 10 peratus adalah 60 tahun ke atas.

Sementara itu, mengikut pecahan pendapatan isi rumah pula, 28 peratus berpendapatan melebihi RM5,000, 26 peratus (RM1,501- RM3,000), 21 peratus (RM3,001-RM5,000), 13 peratus kurang RM1,500 dan 12 peratus tidak tahu atau tiada respon.

MB-Lantik Exco Selangor 03Kajian itu dijalankan bagi pihak seksyen PBT, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk rakyat menilai prestasi PBT secara langsung, sekali gus membantu pihak bertanggungjawab menambahbaik prestasi masing-masing dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Selangor.

Selain itu, kaji selidik berkenaan dijalankan bagi memperkenalkan budaya penyelidikan dan sumbang saran umum sebagai suatu aspek penambahbaikan perkhidmatan awam di Selangor.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kajian UMCEDEL: 52 peratus tidak yakin BR1M mampu kurang kos sara hidup

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 24 DIS: Satu tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati 52 peratus responden juga tidak yakin pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh Kerajaan Pusat mampu mengurangkan kos sara hidup.

BR1M

Tinjauan ke atas 1,676 responden itu juga mendapati, 55 peratus daripadanya tidak percaya bahawa Belanjawan 2014 yang diumum Kerajaan Pusat mampu mengurangkan kos hidup.

Manakala 61 peratus daripada responden tidak bersetuju dengan langkah Kerajaan Pusat mengurangkan subsidi gula sebagai satu tindakan yang wajar.

gula kaji

Tinjauan itu mendapati para pengundi amat bimbang dengan kenaikan kos sara hidup, termasuk harga barang, harga minyak dan tarif elektrik.

Kajian UMCEDEL bertajuk Kajian Politik Enam Bulan Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 itu dijalankan ke atas responden di Semenanjung Malaysia dalam tempoh antara 6 hingga 8 Disember baru-baru ini.

Kaji selidik itu mengambil kira sampel responden dari pelbagai latar belakang dengan mengikut komposisi bangsa, umur, jantina, kawasan, pekerjaan, pendapatan isi rumah dan status mengundi.