Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK hulur bantuan kewangan kepada 460 kakitangan terjejas banjir

SHAH ALAM, 5 FEB: Seramai 460 kakitangan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang terkesan banjir pada Disember lalu menerima bantuan wang tunai RM500 semalam.

Yang Dipertua Noraini Roslan berkata sumbangan menerusi dana khas pascabanjir itu merupakan inisiatif pihaknya membantu warga yang kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Penerima ini turut melibatkan lapan ahli majlis serta enam ketua jabatan. Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka.

“Ini juga sebagai tanda cakna majlis terhadap kebajikan para kakitangan dan keluarga. Semoga semua mangsa terus istiqamah, kuat dan sabar dengan ujian dan dugaan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan terjejas banjir, Unisel tawar penempatan percuma tiga bulan

SHAH ALAM, 25 DIS: Universiti Selangor (Unisel) menawarkan bantuan penempatan selama tiga bulan secara percuma kepada seorang kakitangannya yang terjejas banjir minggu lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat Hasril Abu Hassan berkata pembantu perpustakaan Siti Mariani Mohd Yusof bersama keluarga ditempatkan di perumahan staf sepanjang tempoh terbabit.

“Beliau yang menerima pemakluman ini amat bersyukur atas pelbagai bantuan diterima pihak Unisel termasuk penempatan percuma diumumkan Presiden dan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

“Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Mohammad Redzuan kerana amat prihatin terhadap kakitangan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian Sabtu lalu mengakibatkan kediaman Siti Mariani di Kampung Bestari Jaya yang dihuni bersama ibu bapa serta adik beradik lain musnah sekelip mata akibat dilimpahi air paras pinggang.

Menceritakan detik cemas itu, Siti Mariani berkata beliau dan ibunya berpindah di rumah kawannya manakala bapa serta adik beradik lain berada di rumah untuk mengalihkan barang penting ke tempat lebih selamat.

“Apabila keadaan semakin buruk, adik menarik ayah saya keluar dan berlindung ke tempat lebih tinggi serta selamat. Alhamdulillah, pada malam itu juga saya dimaklumkan Unisel ada membuka penempatan sementara kepada kakitangan.

“Saya ke Unisel mengambil kunci namun tidak dapat berpatah balik membawa ahli keluarga yang lain kerana laluan sudah ditutup sebelum adik memaklumkan laluan ke rumah terputus keesokan harinya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun 7603721975 (Cimb Bank) atas nama Siti Mariani Binti Mohd Yusof.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Tiada kompromi individu tolak vaksin tanpa alasan kukuh

SHAH ALAM, 24 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya kini dalam tempoh meneliti faktor kakitangan seliaanya yang belum menerima dos pelalian.

“Kita masih meneliti perkara ini kerana mungkin ada segelintirnya enggan divaksin sebab faktor kesihatan dan mereka ada bukti lampiran daripada pihak perubatan.

“Namun, Jais tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak mahu divaksin dengan sengaja… tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka termasuk larangan bertugas,” katanya.

Berdasarkan data yang dikongsi, seramai 311 kakitangan Jais belum mendapat suntikan tersebut iaitu 207 ahli jawatankuasa masjid, 100 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan empat jurunikah.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklum seramai 96 individu daripada golongan terbabit menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
PBT SELANGOR

98 peratus kakitangan MPSepang terima vaksin

SHAH ALAM, 30 JULAI: Sebanyak 98 peratus kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) termasuk ahli majlis telah menerima suntikan vaksin.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran.

“MPSepang memandang serius perkara ini dengan memastikan sebanyak mungkin kakitangan menerima
vaksin bagi menyelamatkan nyawa semua dalam tempoh secepat mungkin.

“Kepada mereka yang telah menerima dos pertama dan lengkap dos kedua, terima kasih saya ucapkan kerana memainkan peranan anda dalam usaha mengekang pandemik ini,” katanya melalui perutusan Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang Bil 7/2021 hari ini.

Abd Hamid menjelaskan terdapat tiga pusat pemberian vaksin (PPV) beroperasi di daerah tersebut iaitu PPV Mega Movenpick, MMU Cyberjaya dan Dewan Bandar Baru Salak Tinggi (BBST).

“MPSepang turut menyumbang dalam mengguna pakai aset majlis bagi mempermudahkan proses pemberian vaksin,” tambahnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan larang kakitangan kuarantin kendiri berdepan tindakan

PUTRAJAYA, 10 MEI: Majikan yang tidak membenarkan kakitangan menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kakitangan sekiranya positif perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari manakala yang negatif pula disarankan melaksanakan pengasingan secara sukarela.

“Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, ada peruntukan di bawah Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka.

Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh,” katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

Beliau berkata amaran dibuat berikutan peningkatan kluster jangkitan Covid-19 berkaitan tempat kerja yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini, apabila mencatatkan 44 kluster dari 2 hingga 8 Mei berbanding 24 kluster pada tempoh 25 April hingga 1 Mei.

Menurutnya, situasi membimbangkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3 peratus bagi tempoh tersebut.

Dr Adham berkata trend peningkatan kes kematian akibat Covid-19 dikesan dalam masa enam minggu iaitu sejak 21 hingga 27 Mac iaitu 22 kes; diikuti masing-masing 35 kes pada dari 28 Mac hingga 3 April dan dari 4 hingga 10 April; 49 kes dari 11 hingga 17 April; 56 kes dari 18 hingga 24 April dan 95 kes dari 25 April hingga 1 Mei.

Sebanyak 1,657 kumulatif kes kematian direkodkan dengan kadar 0.38 peratus pada Sabtu lepas, katanya.

Dr Adham berkata individu yang melakukan ujian saringan RT-PCR Covid-19 sehingga 8 Mei lepas adalah seramai 9.98 juta orang.

Menurutnya, sebanyak 498,193 ujian dijalankan dari 2 hingga 8 Mei berbanding 480,688 ujian dari 25 April hingga 1 Mei, dan kadar individu yang dikesan positif dari 2 hingga 8 Mei adalah 5.1 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terlibat rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

JPJ dalam kenyataan semalam memaklumkan tindakan itu adalah hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

“Pengurusan tertinggi JPJ berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” menurut kenyataan itu.

Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan ucapan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqomah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

Media melaporkan SPRM menahan 44 individu, termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terlibat melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.

Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu kerana disyaki melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan kakitangan Hospital Melaka positif Covid-19

MELAKA, 21 OKT: Lapan anggota perubatan Hospital Melaka disahkan positif Covid-19, dan bukannya 11 sebagaimana yang tular di media sosial semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan lapan anggota perubatan itu kini menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala kontak rapat mereka disaring dan kini menjalani kuarantin di rumah masing-masing, dan bukannya di hospital.

Katanya, perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas, sebaliknya diteruskan dengan pematuhan penuh kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, dan secara keseluruhannya 30 kes pesakit Covid-19 sedang dirawat di Hospital Melaka ketika ini.

Beliau berkata Hospital Melaka merupakan hospital rujukan bagi kes Covid-19 di Melaka, dan menurutnya urusan di semua unit di hospital berkenaan perlu melalui janji temu, dan orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP ketika berurusan di sana.

Mengulas lanjut, katanya tiada penutupan wad termasuk Wad 1-1 di Hospital Melaka sebaliknya pihak pengurusan hospital mengambil langkah mengawal pergerakan di semua wad yang ada bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan pandemik itu.

Ismail berkata orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan berhubung situasi semasa Covid-19 di Melaka melalui Crisis Preparedness and Response Center Melaka dengan menelefon 06-2345999 atau dengan menghantar e-mel kealamat [email protected].

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp mendakwa wujud kluster membabitkan 11 kakitangan, jururawat, doktor di hospital itu dan wad 1-1 ditutup untuk dijadikan wad kuarantin kakitangan yang positif Covid-19.

Turut tular dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dijangkiti wabak berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Affin Bank sahkan kakitangannya positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Affin Bank Bhd mengesahkan seorang kakitangannya di ibu pejabat di sini disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat di sebuah hospital.

Bank itu berkata ia sedang melakukan pengesanan kontak ke atas kakitangan dan pihak-pihak lain yang mungkin berhubung rapat dengan kakitangan terbabit di Menara Affin, Jalan Raja Chulan.

“Kakitangan yang ada bersentuhan secara langsung dengan kakitangan terbabit akan disaring dan diperiksa bagi Covid-19. Semua kakitangan di aras pejabat yang terlibat telah diarahkan bekerja dari rumah.

“Langkah berjaga-jaga telah diambil oleh pihak bank untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada kakitangan lain dan pelanggan. Ibu pejabat Affin Bank akan ditutup bagi kerja-kerja sanitasi dan dibuka semula pada Isnin,” kata bank itu dalam kenyataan semalam.

Menurut bank itu, semua kakitangan dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan serta peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Affin Bank juga memberi jaminan kepada pelanggan operasinya tidak terjejas semasa tempoh ini selaras dengan pelan kesinambungan perniagaannya yang termasuk sistem sokongan, kemudahan pemulihan, penyusunan kerja dari rumah dan saluran komunikasi alternatif.

Pelanggan dinasihatkan untuk melakukan urusan perbankan mereka menerusi www.affinonline.com atau menghubungi pusat panggilan di 03-8230 2222.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh merujuk kepada laman web dan akaun media sosial rasmi Affin Bank.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Premis judi Sungai Buloh: MBSA tidak kompromi staf salah guna kuasa

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangannya jika berlaku salah guna kuasa berhubung dakwaan premis judi tidak diambil tindakan di Sungai Buloh.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam berkata tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan agensi itu sekiranya didapati melakukan aktiviti menyalahi peraturan dan undang-undang.

“Saya amat berharap supaya orang ramai menyalurkan aduan secara terus kepada MBSA sekiranya ada maklumat berkaitan dengan salah laku kakitangan kami.

“Mereka boleh melaporkannya secara emel kepada [email protected] atau menelefon di talian 03-55105133 sambungan 1671,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Mengulas dakwaan yang tular mengenai premis judi terbabit, Mohd Rashidi berkata pihaknya akan bekerjasama dan membantu polis menjalankan siasatan.

“Tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar,” katanya lagi.

Terdahulu, tular video yang mendakwa MBSA tidak memantau kegiatan judi dan jualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Video dimuat naik Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ turut mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.