Categories
EXCO SELANGOR

Tiga PBT disaran segera miliki kamera badan, mudahkan tugasan penguat kuasa

SHAH ALAM, 14 JULAI: Tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa segera memiliki peralatan kamera badan sebagai langkah keselamatan untuk anggota penguat kuasa.

EXCO kerajaan tempatan PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

“Saya menyarankan pihak berkuasa terlibat segera melengkapkan pembelian dan diharap sebelum hujung tahun ini semua penguat kuasa di 12 PBT sudah mula menggunakan kamera badan sepenuhnnya.

“Penggunaan peralatan ini amat penting selain untuk keselamatan ia juga sebagai bukti sekiranya berlaku serangan fizikal atau pergaduhan ketika bertugas,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata kos bagi barangan tersebut adalah kurang RM1,000 seunit dan tidak timbul isu mampu beli atau sebaliknya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 276 kamera badan di sembilan PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Selain itu, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Pada 22 Jun tahun lalu, Sze Han berkata semua PBT diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan penggunaan kamera badan anggota penguat kuasa.

Langkah tersebut susulan insiden seorang wanita memukul anggota penguat kuasa pada 6 Febuari tahun lalu selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Categories
AGENDA NASIONAL

KDN teliti jenis kamera badan diguna anggota polis

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih meneliti beberapa jenis kamera badan yang ditawarkan beberapa syarikat peralatan itu untuk digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Kami masih menunggu lagi untuk (kelulusan) peruntukan bagi mendapatkan peralatan (kamera badan) berkenaan.

“Saya difahamkan ada beberapa syarikat telah pun menawarkan beberapa jenis kamera badan. Pihak kementerian (juga) sedang meneliti untuk memilih mana yang terbaik untuk digunakan PDRM,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Tatacara Tetap Operasi Op Benteng di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.

Pada Julai lepas, Abdul Hamid dilaporkan berkata PDRM sedang dalam proses perolehan kemudahan itu di peringkat KDN untuk digunakan anggota polis ketika membuat rondaan terutamanya di kawasan bandar raya.

Selain kemudahan kamera badan untuk anggota polis ketika bertugas, kesemua kereta peronda PDRM juga akan dilengkapi dengan kemudahan kamera.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO PBT SELANGOR

EXCO: Penguat kuasa enam PBT guna kamera badan

SHAH ALAM, 25 NOV: Penguat kuasa enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudah menggunakan kamera badan ketika bertugas, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

“Baki enam PBT lagi dalam proses melengkapkan pembelian dan kita berharap bermula tahun depan, penguat kuasa 12 PBT dapat menggunakan kamera badan sepenuhnya.

“Penggunaan peralatan ini meningkatkan kecekapan dan integriti pihak berkuasa terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 22 Jun Sze Han berkata semua PBT diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan penggunaan kamera badan anggota penguat kuasa.

Langkah tersebut susulan insiden seorang wanita memukul anggota penguat kuasa pada 6 Febuari selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Seminggu kemudian tular pula video penguat kuasa menjatuhkan seorang warga emas selepas dipukul dengan payung lelaki tersebut di Subang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA beli 45 kamera badan, elak isu provokosi dan fitnah

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membeli 45 unit kamera badan bagi mengatasi isu provokasi dan fitnah dalam kalangan anggota penguat kuasa ketika bertugas.

Datuk Bandar Shah Alam berkata selain untuk rakaman, alat tersebut boleh menghubungkan video secara langsung dengan pusat kawalan ketika melaksanakan operasi yang akan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setiap kamera badan berharga RM1,000 dan kita sedang mempertimbang untuk menambah bilangannya dan setakat ini seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas.

“Penggunaan alat ini memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa,” kata Dato’ Haris Kasim pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 dengan tema merintis Norma Baharu Untuk Shah Alam Sejahtera di Wisma MBSA semalam.

Pada 22 Jun EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota penguat kuasa dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti.

Pada 6 Februari, seorang wanita memukul penguat kuasa MBSA selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.

Categories
EXCO SELANGOR

Kamera badan tak mahal, PBT diminta guna peruntukan sendiri

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diminta mengguna peruntukan sendiri bagi membeli kamera badan memandangkan harganya tidak mahal dan mampu dimiliki.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kurang peruntukan terutama bagi PBT berstatus daerah memasang alat tersebut seharusnya tidak menjadi isu.

“Harga kamera badan tidak mencecah sehingga RM1,000 seunit dan bergantung pada jenama yang mereka (PBT) pilih, jadi tidak timbul isu mereka mampu beli atau sebaliknya.

“Bukan semua anggota penguat kuasa perlu memakai kamera badan tetapi dikhaskan kepada ketua anggota sahaja yang bertugas di lapangan bersama pasukan. Bagaimanapun, jika ada dua atau tiga (anggota) adalah lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri tidak menetapkan kuantiti minimum bagi pembelian peranti itu namun bergantung tahap keupayaan masing-masing.

“Mereka (PBT) menyambut baik pemasangan alat ini yang mampu menjadi bahan bukti jika berlaku insiden tidak diingini seperti provokasi sama ada terhadap anggota penguat kuasa mahupun orang awam.

“Selain itu, ia dapat memastikan anggota penguat kuasa menjalankan tugas mengikut tatacara operasi piawai (SOP) selain memberi perlindungan terhadap kedua-dua pihak,” katanya.

Sehingga kini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Klang sudah menggunakan peranti tersebut.

Categories
PBT SELANGOR

Kamera badan bukan cari salah, bukti jika ada provokasi

SHAH ALAM, 29 OGOS: Penggunaan kamera badan pada anggota penguat kuasa dan keselamatan bukan untuk mencari kesalahan, sebaliknya bukti bagi melengkapkan laporan jika berlaku insiden luar jangka.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata peranti itu memberi keadilan kepada kedua-dua pihak sama ada anggota mereka difitnah atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa.

“Ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada anggota kita untuk bertugas di lapangan selain mempertahankan diri jika berlaku provokasi atau tohmahan,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau menambah alat itu memiliki paparan audio dan visual berdefinisi tinggi selain tempoh rakaman lebih panjang untuk keselamatan sekiranya berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua pihak berkuasa tempatan untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga sudah menggunakan alat tersebut.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPS peruntuk lebih RM11,000 beli 15 unit kamera badan

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntuk RM11,250 untuk membeli 15 unit kamera badan bagi kegunaan anggotanya ketika bertugas.

Yang Dipertuanya berkata alat itu digunakan di 10 zon penguatkuasaan membabitkan unit khas, tunda, malam, hasil serta zon Gombak, Rawang, Selayang dan Kepong.

“Harga seunit kamera badan ialah RM750 dan pemasangan alat ini bermula awal Julai lalu supaya dapat dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

“Setakat ini, kamera badan digunakan dalam operasi penguatkuasaan seperti kegiatan pembuangan sampah haram dan aktiviti perniagaan tanpa lesen terutama gerai penjaja,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau berkata pihaknya sedia menambah peralatan tersebut dari masa ke semasa bergantung pada keperluan anggota.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan bagi meningkatkan kecekapan dan integriti terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

Selain MPS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya sudah menggunakan peranti tersebut.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kamera badan lindungi penguat kuasa, pastikan tadbir urus cekap

OLEH IDA NADIRAH IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mula melengkapkan anggotanya dengan kamera badan bagi memastikan kecekapan dan ketelusan tadbir urus.

Timbalan pengarah Jabatan Pengurusan Korporat dan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata alat tersebut dipakai setiap hari atau ketika operasi khas, lapor Selangor Journal.

“Ini sebahagian tindakan proaktif kami memantau tingkah laku anggota ketika berada di lapangan, yang juga rujukan atau bukti jika berlaku kejadian tidak diingini,” kata Azfarizal Abdul Rashid, sambil menambah tiada kes dilapor setakat 23 Julai lalu.

Katanya, enam daripada 12 unit kamera tersebut kini digunakan Jabatan Penguatkuasaan.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata anggotanya menggunakan peranti berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Jelasnya, kesemua 10 unit kamera yang memiliki daya tahan bateri lapan jam menggunakan sistem pengawasan mudah alih keselamatan IAC (integriti, ketersediaan dan kerahsiaan)

“Alatan ini memiliki kualiti video 32GB dalam definisi tinggi dan mampu menangkap visual malam serta suara untuk keselamatan anggota jika berlaku serangan fizikal atau perbalahan.

“Ini juga untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan ketika berurusan dengan rakyat,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada semua PBT untuk melengkapkan anggota mereka dengan kamera badan.

Selain MPSJ dan MPAJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan peranti tersebut.

Categories
PBT SELANGOR

Kamera badan elak isu provokasi, tingkat kerjasama awam

SHAH ALAM, 30 JUN: Penggunaan kamera badan oleh anggota penguat kuasa boleh mengatasi isu provokasi dan kekasaran ketika bertugas, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan mendapat kerjasama lebih baik daripada orang ramai yang berhati-hati ketika bercakap apabila didekati.

“Penggunaan kamera badan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak jika penguat kuasa difitnah ketika bertugas atau orang ramai menjadi mangsa salah guna kuasa.

“Setakat ini MPK memiliki dua alat tersebut dengan seorang daripada pasukan penguat kuasa akan memakainya ketika bertugas dan bercadang menambah sekurang-kurangnya 15 lagi,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya bercadang membeli 10 kamera badan dalam tempoh terdekat.

“MPS menyokong penggunaan peralatan ini kerana memberi kebaikan kepada semua pihak dan sebelum hujung tahun ini pasukan penguat kuasa kita dilengkapi kamera badan ketika melaksanakan tugas atau operasi,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memberi tempoh sehingga hujung tahun kepada PBT untuk melaksanakan penggunaannya yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan integriti terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

Pada 6 Februari, seorang wanita memukul penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.

Categories
EXCO SELANGOR

Kamera badan: PBT diberi masa hingga hujung tahun

SERDANG, 22 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan penggunaan kamera badan anggota penguat kuasa, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan integriti pihak berkuasa terutama jika berlaku insiden luar dugaan ketika bertugas.

“Setakat ini penguat kuasa beberapa PBT telah mempraktikkan penggunaannya seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kita bukan wajibkan semua penguat kuasa pakai kamera itu, tetapi jika lima anggota keluar bertugas sekurang-kurangnya seorang daripada mereka kena pakai,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang di Kawasan Perindustrian Balakong hari ini.

Sze Han berkata kos membeli kamera badan adalah berpatutan dan PBT boleh membelinya secara berperingkat mengikut kemampuan.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita memukul penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20 manakala seminggu selepas itu tular video penguat kuasa MPSJ menjatuhkan seorang warga emas selepas dia dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.

Categories
PBT SELANGOR

Cadangan kamera badan, MDKL beri kerjasama

BANTING, 25 FEB: Penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi kerjasama mengenai cadangan pemasangan kamera badan pada penguat kuasa yang sedang diperhalusi Kerajaan Negeri, kata yang dipertuanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zain A Hamid berkata, kakitangannya kurang menerima ancaman fizikal berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Jika ada kes, kebanyakan berjaya diselesaikan secara baik oleh kakitangannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MDKL di sini hari ini.

Pada 15 Februari, EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa PBT dan orang awam jika berlaku insiden di luar dugaan.

Cadangan itu dibuat ekoran tercetusnya beberapa kes kekasaran antara orang awam dan penguat kuasa PBT.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita memukul pihak berkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Pada 13 Februari, tular video penguat kuasa MPSJ menjatuhkan seorang warga emas selepas beliau dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kamera badan: Dua PBT setuju, tetapi perlu pertimbang kos tambahan

SHAH ALAM, 23 FEB: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang kos tambahan yang perlu dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penggunaan kamera badan oleh penguat kuasa.

Menyambut baik pendekatan itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat berkata penggunaan alat tersebut boleh melindungi anggota bertugas jika berlaku perkara tidak diingini.

“Kita memandang serius dakwaan orang ramai berhubung salah laku penguat kuasa semasa bertugas dan sedia bekerjasama jika ada aduan, namun perkara ini (penggunaan kamera badan) melibatkan kos tambahan, justeru ia wajar diambil perhatian jika dilaksanakan kelak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad berkata penggunaan kamera badan membantu anggotanya semasa bertugas di lapangan.

“Kita sentiasa menasihatkan kakitangan khususnya anggota yang bertugas di lapangan supaya berintegriti dan amanah, tenang serta berhemah semasa berhadapan masyarakat,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Selangor memaklumkan akan mempertimbangkan penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa PBT dan orang awam di negeri ini jika berlaku insiden luar jangka.

Semalam, EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han menjangkakan penggunaan alat itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi bergantung kepada keperluan dan bajet PBT.