Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

CCTV pantau banjir dipasang di Taman Selat Damai, Teluk Gedung Indah

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau banjir di Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung Indah Pelabuhan Klang akan dipasang pada minggu hadapan.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kedua-dua perumahan berkenaan merupakan kawasan yang sering mengalami masalah banjir kilat ketika musim air laut pasang dan hujan lebat.

“CCTV itu turut mempunyai kamera pusingan 360 darjah yang boleh memantau secara menyeluruh dan berfungsi menggunakan tenaga solar.

“Kami di Pusat Khidmat Rakyat DUN Pelabuhan Klang mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dan JPS Klang kerana telah mengusahakan inisiatif ini” kata Azmizam Zaman Huri di Facebook.

Menurutnya, pemasangan CCTV itu menjadi percubaan pertama di DUN Pelabuhan Klang.

Terdahulu Azmizam melawat tapak bersama dengan wakil JPS Selangor bagi meninjau kedudukan untuk pemasangan CCTV tersebut.

 

Categories
SELANGOR

MBPJ tambah CCTV berhampiran Taman Mayang

cctv mbpj

SHAH ALAM 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) dan memasang lampu di laluan pejalan kaki ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang.

Tindakan segera itu dilakukan bagi meningkatkan keselamatan ekoran kes ragut yang menyebabkan kematian seorang pelajar kolej yang cedera di bahagian kepala, Dickson Wong, 22, di Taman Mayang, pada 26 Oktober lalu.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam kenyataan media, berkata kerja penambahan CCTV dan mencahayakan lorong laluan itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

“MBPJ juga akan mensyaratkan kepada pemilik premis komersial dalam pembaharuan lesen supaya memasang CCTV di premis mereka untuk membantu mengawal keselamatan bersama.

“MBPJ akan bekerjasama dengan polis dan Rukun Tetangga di kawasan itu bagi melaksanakan rondaan menerusi program rondaan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, mengadakan tinjauan lokasi kejadian ragut terbabit yang turut di hadiri Pengarah Penguatkuasa, Pengarah Kejuruteraan dan Pegawai Perhubungan Awam agensi berkenaan.

Tinjauan itu turut dihadiri pegawai dan anggota polis yang kemudiaannya memberi taklimat ringkas berkenaan kejadian kes ragut itu dan MBPJ melahirkan rasa simpati kepada keluarga mendiang Dickson. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

Transformasi PJ melalui Belanjawan 2014

alinah okuPETALING JAYA, 8 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi fokus kepada lima sektor pembangunan utama dalam pelan bajet tahunannya selaras dengan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai bandar lestari (PJ Lestari) pada 2014.

Pelan pembangunan yang dipersetujui melalui bengkel ‘PJ Livable City Strategic Plan 2030’ pada September lalu itu merujuk kepada prasarana lestari, persekitaran mesra alam, pengurusan trafik, gaya hidup lestari dan memperkasakan organisasi dengan anggaran kos melebihi RM150 juta.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, di bawah prasarana lestari, Majlis akan menumpukan kepada pembangunan sistem infrastruktur hijau, menyelenggara jalan raya serta menaiktaraf sistem saliran dan perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.

“Di bawah sektor ini, MBPJ juga akan menyediakan kemudahan pejalan kaki, siar kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU) dan laluan sikal mesra alam serta menyelenggara beberapa kemudahan awam lain seperti lampu jalan,” katanya dalam ucapan pembentangan Bajet MBPJ 2014 di Dewan Bunga Tanjung, semalam.

Di bawah fokus persekitaran mesra alam, MBPJ akan melaksanakan pelan induk landskap menerusi program Landskap dan Pengindahan serta Program Pembangunan Koridor Hijau sebagai langkah menjadikan Petaling Jaya sebagai bandaraya dalam taman.

Tidak ketinggalan katanya, MBPJ turut mempertingkatkan kualiti kerja pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal dengan menambah bilangan kakitangan dan membeli peralatan tambahan bagi mencapai sasaran 30 peratus kerja pembersihan awam.

“Bagi menyokong program menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berkarbon rendah juga, pihak Majlis akan melanjutkan program insentif meletak kenderaan secara percuma bagi pembelian kereta hybrid dari enam bulan kepada satu tahun,” katanya.

Beliau berkata, fokus pembangunan pengurusan trafik pula merujuk kepada usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

MBPJ menjalin kerjasama strategik bersama PRASARANA dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mewujudkan perkhidmatan bas, hub terminal dan perkhidmatan bas perantara di kawasan pusat bandar. Bilangan tempat petak parkir akan dikurangkan dan kadar caj parkir dinaikkan bagi mengurangkan kenderaan persendirian dalam bandar.

MBPJ mensasarkan 60% penggunaan pengangkutan awam dan 40% kenderaan persendirian di Pusat Bandar menjelang tahun 2030.

Katanya, di bawah aspek sama, MBPJ turut berhasrat mengadakan sistem kawalan trafik bersepadu dan pemantauan berpusat bagi lampu isyarat di kawasan Petaling Jaya.

“Bagi kawasan baru yang sedang dibangunkan pula, Majlis telah mensyaratkan pemaju supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat dan lampu jalan untuk diserahkan kepada MBPJ dan dipantau oleh pusat kawalan trafik tersebut,” katanya.

Gaya hidup lestari pula merujuk kepada peningkatan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi ‘hot spot’ bagi mengurangkan indeks jenayah.

MBPJ akan meneruskan Program Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi meronda kawasan komuniti masing-masing, dan penubuhan Unit Polis Bantuan di Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan bagi menjalankan kerja-kerja rondaan keselamatan bersama pihak polis.

Sementara itu, dibawah pelan pemerkasaan organisasi, struktur pentadbiran akan disusun semula dengan membentuk 5 jabatan sahaja (daripada 10 jabatan sedia-ada) mengikut aktiviti utama, iaitu Perancang Bandar, Rekabentuk Bandar, Pembangunan Perkhidmatan & Komuniti, Perniagaan Bandar dan Perniagaan Korporat.

Serentak dengan itu, Unit Integriti diketuai oleh pegawai yang dipinjamkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan ditubuh dan menganggotai Mesyuarat-Mesyuarat Jawatankuasa, Lembaga Tender dan Sebutharga serta Jawatankuasa Audit dan Tadbir Urus.

Pengurusan perlesenan juga ditambahbaik melalui kaedah kawal selia diri, antaranya dengan memperkenalkan Quick Response Code (QR Code) yang dilekatkan pada premis perniagaan dan kad pekerja. QR ini memaparkan maklumat pemegang lesen, aktiviti lesen serta tempoh sah lesen dan boleh diakses melalui telefon berinternet.

“Diharap perlaksanaan ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, mengurangkan aduan rakyat dan melaksanakan projek dengan lebih efisyen dan efektif,” kata Alinah.

Belanjawan MBPJ yang dicadangkan bagi tahun 2014 adalah RM305 juta (anggaran Hasil), manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM 278 juta sementara anggaran perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM46.55 juta.

Categories
SELANGOR

Indeks jenayah bandar raya Shah Alam turun 30 peratus

mbsaSHAH ALAM, 25 SEPT: Data polis menunjukkan indeks jenayah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkurangan sebanyak 245.28 kes bagi setiap 100,000 penduduk antara Januari hingga OGos berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengurangan sebanyak 30.48 peratus itu membuktikan MBSA mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak lima peratus.

MBSA juga mencatatkan pengurangan bagi indeks jenayah jalanan apabila mencatatkan pengurangan 36.78 peratus mengatasi 20 peratus yang ditetapkan.

Ia dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis MBSA kali ke-9 bagi 2012/ 2013 hari ini di Wisma MBSA di sini, bagi membincangkan jalan penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan ahli majlis.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata, kejayaan itu diraih hasil kerjasama pihak keselamatan dan orang ramai dalam membendung kejadian jenayah.

“Ini hasil usahasama kita dengan polis seperti meningkatkan pencahayaan dengan memasang lampu dan menambahkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik.

“Kerjasama orang ramai juga penting,” katanya sambil menambah ia sebahagian dari kejayaan inisiatif  Shah Alam sebagai bandar selamat.

– FZL

<center><iframe width=”420″ height=”315″ src=”//www.youtube.com/embed/CBGzkfHh7Ws” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe></center>

Mesin ATM rosak, bank perlu percepat tempoh pulang wang

Mesin atmSHAH ALAM 25 SEPT: Pihak Perbankan perlu mempercepat tempoh pemulangan wang pengguna mesin juruwang automatik (ATM) yang gagal mengeluarkan wang akibat masalah mesin itu.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusuf Abd Rahman, berkata tempoh antara lima ke tujuh hari terlalu panjang.

“Jika masalah disebabkan mesin, wang perlu dipulangkan secepat mungkin tanpa pengguna perlu berdepan proses yang lama.

“Bank perlu melihat rekod dan log mesin untuk melihat wang keluar atau tidak. Dari situ ia boleh dibuat dengan segera. Bank ada Kamera Litar Tertutup (CCTV) sebagai bukti sama ada pengguna mengeluarkan wang atau sebaliknya.

“Tempoh untuk membolehkan pengguna mendapatkan wang itu semula ialah perkara yang perlu diambil berat,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

Datuk Bandar jamin isu parkir MBPJ akan diselesaikan

gambar hiasan
gambar hiasan

PETALING JAYA, 28 OGOS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu parkir kereta di Kompleks C yang didakwa tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan bagi kegunaan orang ramai.

Datuk Bandar MBPJ, Datik Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ akan meneliti isu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya akan tengok perkara ini secara holistik. Kita tidak boleh selesai sekaligus aduan yang dibuat, tetapi kita akan pantau dulu dan ambil tindakan secara keseluruhan,” katanya ketika mengulas kenyataan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang meminta MBPJ menaiktaraf parkir Kompleks C, di sini.

Terdahulu, Rajiv dalam lawatannya ke kompleks tersebut menggesa pihak MBPJ supaya segera melakukan kerja-kerja pembaikan di tempat letak kereta itu supaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

Beliau turut meminta supaya MBPJ merobohkan bangunan kolej lama yang sudah dikosongkan di tingkat dua bangunan itu supaya boleh menempatkan kira-kira 400 buah kereta dalam satu-satu masa.

Selain itu, Rajiv turut meminta MBPJ supaya memasang lampu limpah di setiap tingkat bangunan, menempatkan pengawal keselamatan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Kompleks parkir ini sangat strategik kedudukannya kerana dilengkapi laluan pejalan kaki, tetapi malangnya ia tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan orang ramai,” katanya.

Sebagai langkah awal, pihak MBPJ telah mula memasang lampu limpah di tingkat satu dan dua kompleks parkir tersebut selain melakukan kerja-kerja pembersihan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Subang Jaya mahu pusat benarkan polis bantuan bantu PDRM

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM, 27 OGOS : Adun Subang Jaya Hannah Yeoh menggesa Kerajaan Pusat meluaskan bidang kuasa pasukan polis bantuan yang dipohon Pihak Berkuasa Tempatan Selangor meliputi keselamatan awam, dan bukan sekadar menjaga harta dan premis PBT.

Beliau berkata Kerajaan Pusat perlu faham bahawa Kerajaan Negeri melalui pasukan polis bantuan mahu bekerjasama membantu PDRM memelihara ketenteraman awam.

“Saya difahamkan hanya MBPJ diberi kelulusan untuk mempunyai polis bantuan tetapi dihadkan kuasa mereka hanya untuk menjaga harta MBPJ sahaja. Tiada gunanya (kelulusan itu) kerana kita mahu kelulusan untuk menjaga keselamatan awam, bukan menjaga harta atau bangunan MBPJ,” tegas Hannah.

Dalam pada itu juga, Hannah menggesa polis melaksanakan kembali Ops Payung yang meletakkan pos-pos anggota polis berkawal di kawasan-kawasan strategik.

Beliau berpendapat Ops Payung bukan sahaja berkesan mencegah jenayah, bahkan juga tidak menelan kos yang tinggi.

Mengulas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)  di semua wilayah PBT Selangor, Hannah berkata sistem itu perlu disemak dan diselia dengan kerap bagi memastikan ia berkesan memerangi jenayah.

“Semua PBT mesti semak CCTV mereka dan kaji secara statistik bagaimana sistem itu bantu selesaikan jenayah,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PBT Selangor mula pasang 414 CCTV untuk bendung jenayah

cctv mdkl

KUALA LANGAT 21 OGOS: Sebanyak 414 unit kamera litar tertutup (CCTV) mula dipasang di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh selangor, bagi membanteras jenayah dan melakukan pemantauan lain.

Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azahar Mohamed Ali, berkata kerajaan negeri memperuntuk RM6 juta setahun bagi penyediaan CCTV itu selepas mengikat kontrak 20 tahun dengan syarikat swasta yang dilantik.

Beliau berkata, sistem pemantauan 24 jam itu ditumpu di lokasi yang dikenal pasti polis sebagai berisiko tinggi terhadap gejala jenayah, selain turut membantu PBT dalam aspek lain.

“Dengan adanya CCTV ini, masyarakat yang berkeinginan untuk melakukan jenayah dan sebagainya akan ada perasaan takut,? katanya kepada TV Selangor, semalam.

Penyerahan rasmi hasil projek yang bermula 26 Mei 2011 berlangsung semalam dengan MDKL sebagai PBT perintis dan pertama memasangnya.

Kos keseluruhan projek pemasangan untuk 11 PBT tidak termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ialah RM117,244,8000.

Kamera berkenaan juga dihubung kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melalui sistem pengendalian digital.

Selain aspek keselamatan, Mohd Azahar berkata, projek Unit Perancang Ekonomi Selangor (Upen) itu turut digunakan bagi meningkatkan kualiti kendalian kawalan lalu lintas dan pemantauan kemudahan awam dari vandalisme.

– FZL

Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.