Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB arah tumpuan khusus bersihkan Kampung Bukit Lanchong

SUBANG JAYA, 24 DIS: Dato’ Menteri Besar mengarahkan pembersihan pascabanjir di Kampung Bukit Lanchong dekat sini diberi perhatian khusus oleh agensi berkaitan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan dihuni kira-kira 1,670 penduduk itu antara yang teruk terjejas selain Hulu Langat dan Taman Sri Muda dalam insiden pada Sabtu.

“Kita kena perkemas sebaiknya kerana jalan di kawasan ini sempit selain dipenuhi lumpur dan sampah, jadi kenderaan lebih kecil diperlukan bagi memudahkan kutipan sampah serta pembersihan.

“Disebabkan keadaan agak parah, saya minta keprihatinan unit pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan mempercepat pembersihan seperti dalam pelan Selangor Bangkit,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau aktiviti pembersihan di kampung terbabit hari ini turut memuji komitmen semua pihak yang berganding bahu membantu mangsa terjejas bencana.

“Sudah berhari-hari saya lihat banyak NGO (badan bukan kerajaan) dan parti politik bekerja, cuma saya minta untuk susun serta perkemas lagi,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.