Categories
SELANGOR

Mangsa Banjir Klang Terima Bantuan Dalam Masa Terdekat

KLANG, 2 APRIL : Hampir 1,000 mangsa banjir di kawasan Kampung Delek di sini, bakal menerima bantuan daripada Kerajaan Selangor dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Delek, Samsul Bahari Ehsan berkata pihaknya telah rekodkan 99 peratus daripada penduduk yang mengalami kerugian daripada banjir yang berlaku pada hari Jumaat lepas.

“Selepas bancian selesai, pihak kami akan menghantar laporan ke Pejabat Daerah untuk tindakan susulan serta meminta bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”

Tambah Samsul Bahari, agensi-agensi tersebut akan mengambil masa lebih kurang seminggu untuk memproses permohonan-permohonan tersebut.

Bantuan yang bakal diagihkan termasuk RM300 pada setiap keluarga yang diumumkan oleh Menteri Besar Sabtu lepas.

?Kita akan mengambil lebih kurang satu lagi minggu untuk mengagihkan bantuan tersebut,? beliau berkata ketika ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek di sini hari ini.

Hujan lebat awal pagi Jumaat lalu mengakibatkan beberapa kawasan di Klang mengalami banjir kilat yang disifatkan terburuk di dalam sejarah tempat itu.

Banjir itu dipercayai berpunca daripada kunci air pada sistem saliran gagal berfungsi pada hari tersebut.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.

Sementara itu ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali berkata, pihaknya memberikan bantuan kecemasan sebanyak RM50,000 khusus untuk banjir itu.

Wang itu digunakan untuk membantu mengemas rumah dan membeli barang-barang keperluan asas seperti beras bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Kita mengambil berat akan golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban yang mereka tanggung,” jelas Halimah.

Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan beras kepada mangsa banjir Rodiah Saad, 55, di Kampung Delek.

Halimah yang juga Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, mendakwa sehingga kini, Kerajaan Pusat tidak memberi apa-apa sumbangan kepada mangsa banjir.