Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut berserta hujan batu, 40 rumah di Kampung Kebun Bunga rosak

SHAH ALAM, 27 JAN: Kira-Kira 40 rumah di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini rosak akibat hujan lebat dan ribut yang disertai hujan batu di kawasan itu petang tadi.

Pemangku Ketua Kampung Batu 3 Mohd Syafiq Ali Bajunid Omar berkata hujan lebat, yang bermula pada 5.30 petang, turut disertai pusaran angin kecil yang mengakibatkan berpuluh-puluh bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

“Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak kami bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna MBSJ Batu Tiga untuk kemudahan penduduk yang terkesan akibat ribut petang tadi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PPS itu, yang sebelum ini menempatkan mangsa banjir dari kampung sama, baru sahaja ditutup pada awal bulan ini.

Anggota bomba memotong keluli untuk mengalihkan bumbung rumah penduduk Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 Shah Alam diterbang ribut pada 27 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Peduli Rakyat Ahli Parlimen Shah Alam

Tinjauan Bernama malam ini mendapati kawasan sekitar kampung itu masih bergelap kerana terputus bekalan elektrik sejak petang tadi selepas beberapa tiang elektrik tumbang akibat kejadian ribut berkenaan.

Seorang suri rumah, Norhaslinda Nayan, 43, berkata kejadian ribut seperti itu adalah yang pertama dialaminya sejak lebih 20 tahun menetap di situ.

“Ribut yang melanda tidak begitu lama namun cukup menggerunkan seperti ada puting beliung di atas bumbung dan bunyi hujan di luar seolah-seolah hujan batu kerana terlalu kuat,” katanya.

Beliau berkata kediamannya yang baru sahaja dicuci susulan banjir pada akhir tahun lepas sekali lagi terpaksa dibersihkan kerana ribut turut merosakkan bahagian bumbung sehingga menyebabkan seluruh bahagian dalam rumah basah.

“Ketika banjir baru-baru ini, air naik sehingga paras siling rumah, saya baru sahaja balik dari PPS awal bulan ini namun tidak sampai beberapa hari, sekali lagi kami diduga dengan ribut seperti ini,” katanya.

Norhaslinda berkata beliau tidak berpindah ke PPS malam ini kerana suaminya telah memasang kepingan aluminium di bahagian bumbung rumah mereka yang terjejas.

— BERNAMA

 

 

Categories
SELANGOR

Banjir kilat, 1,000 penduduk Kampung Kebun Bunga terjejas

SHAH ALAM,27 SEPT: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat semalam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

“Penduduk yang tinggal di kawasan rendah paling terus terjejas apabila rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut.

“Banjir kilat ini juga mengakibatkan Surau Al Hasani di kampung ini dinaiki air sehingga merosakkan karpet dan sejadah,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu tinjauan SelangorKini mendapati penduduk sedang membersihkan kediaman selepas air mulai surut pagi tadi.

Petang semalam beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan beberapa kawasan dinaiki air sejak jam 3 petang dengan lokasi paling teruk terjejas di sekitar Stadium Shah Alam di Seksyen 13.

Menurut beliau, beberapa laluan di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga empat kaki menyebabkan sebuah kenderaan terkandas dalam banjir kilat namun pemandunya sempat menyelamatkan diri.