Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri jamin selesai penempatan Kampung Melayu Bukit Tarek

SHAH ALAM, 27 OKT: Selangor akan menyelesaikan isu milikan tanah Kampung Melayu Bukit Tarek di Hulu Selangor selepas penduduk kawasan itu mendakwa tidak mendapat kemudahan asas.

Perkara itu dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) selepas permohonan penduduk mendapatkan bekalan air dan elektrik ditolak, kata Dato’ Menteri Besar.

“Kita akan selesaikan, pokok pangkalnya permohonan air, elektrik tidak lepas dan saya nak tahu kenapa tidak lepas jadi saya minta untuk bawa ke MTES.

“Apabila kita selesaikan pemilikan, mereka akan dapat kemudahan elektrik dan air,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim baharu Hijrah di bangunan pusat pentadbiran negeri hari ini.

Beliau menjelaskan kenyataannya sebelum ini bahawa penempatan tersebut dalam kawasan hutan simpan berdasarkan maklumat awal daripada Jabatan Perhutanan Selangor.

Minggu lalu, media melaporkan kira-kira 300 penghuni kampung terbabit tidak mempunyai kemudahan asas termasuk jalan raya, meski menduduki kawasan berkenaan selama 30 tahun.