Categories
ADN SELANGOR

50 murid terima kelengkapan sekolah sumbangan DUN Kampung Tunku, NGO

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 50 murid sekolah rendah yang tinggal di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya menerima perkakasan sekolah, kelmarin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata bantuan bagi meringankan beban ibu bapa yang masih terkesan Covid-19 itu disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) For The Kids dan Angkatan Demokrat.

“Antara barangan yang diberikan seperti botol minuman, bekas makanan, perkakasan menulis, peralatan mewarna dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan membantu si anak-anak kecil dalam mengejar ilmu,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku telah mengagihkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan susulan Covid-19.

Yi Wei berkata bantuan itu mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan berterusan demi memastikan tiada pihak terputus bekalan asas.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Pameran Kampung Tunku platform kenali sejarah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 23 SEPT: Pameran Kampung Tunku Kampung Ku yang diadakan sempena Hari Malaysia menjadi platform memperkenalkan budaya dan sejarah kampung terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Lim Yi Wei berkata, kampung berkenaan mempunyai populasi kira-kira 50,000 penduduk dan merupakan antara kampung tertua di negeri itu.

Katanya, pihaknya membawa beberapa gambar menarik Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman ketika merasmikan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku dan kisah Kapitan China, Yap Ah Loy.

“Kami juga menunjukkan beberapa video tempat-tempat menarik, penduduk, kisah-kisah sejarah dan restoren di dalam kawasan Kampung Tunku.

“Kejiranan itu juga menempatkan beberapa keperibadian yang menarik seperti keturunan Yap Ah Loy dan Mayawati Usman, anak sulung Usman Awang,” katanya kepada SelangorKini.

Yi Wei berkata, pameran itu juga menjadi platform bagi penduduk tempatan untuk mengenali jiran-jiran mereka.

“Saya mahu menjadikannya masyarakat yang bertenaga dan tersendiri, serta menjadikan Hari Malaysia relevan kepada mereka yang tinggal di kawasan itu.

“Kadang-kadang orang mengelirukan Bukit Tunku dengan Kampung Tunku. Adalah penting untuk memulihkan identiti kampung ini,” katanya.

Sebanyak 33 potret yang dihasilkan daripada bahan makanan antaranya nasi lemak, nasi kerabu, capati, roti canai dan kuih-kuih tradisional seperti onde-onde dan pulut tai-tai.

Turut disediakan, penjualan makanan tempatan seperti laksa Pulau Pinang dan Johor, dan kuih Melayu yang dibuat oleh kumpulan perusahaan sosial yang dikendalikan oleh wanita tunggal.

Persembahan tarian dari SK Kampung Tunku, Pawana Tari Troup tarian singa oleh Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke.

Acara itu berlangsung dari 11 pagi hingga 3 petang di Dewan Serbaguna MBPJ SS3 / 14, Petaling Jaya.

 

Categories
BERITA UTAMA

Masanya telah tiba & tanggungjawab kian memberat

Memang menjadi pengetahuan umum bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai
seorang wakil rakyat di Selangor menjadi semakin berat selepas Pilihan Raya
Umum ke-13.

Ahli-ahli Dewan Negeri (ADN) bukan sahaja perlu sentiasa turun padang untuk
menyelesaikan masalah dan isu di kawasan masing-masing tetapi juga perlu
memainkan peranan aktif dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).

Perbahasan di Dewan juga semakin rancak. Perbahasan Belanjawan 2014 di
peringkat jawatankuasa selesai selepas hebat diperbahas oleh ADN Selangor
selama dua hari berturut-turut.

laudownloadADN mengambil bahagian dengan aktif dalam perbahasan. Biasanya, ADN aktif membahas sesuatu belanjawan di peringkat dasar sahaja, tetapi kini kami bukan sahaja aktif di peringkat dasar tetapi juga sama aktif di peringkat jawatankuasa juga.

Ini menunjukkan, dalam kesibukan ADN menyelesaikan masalah rakyat, mereka
juga tidak melalaikan tanggungjawab yang diamanah kepada mereka untuk
membahas setiap satu butiran dalam Belanjawan 2014.

Malah, Menteri Besar juga tidak kurang hebatnya apabila beliau bangun dan
duduk tidak kurang daripada 100 kali, bermula dari sesi soal jawab hingga ke
penangguhan Dewan untuk menjawab setiap soalan dan isu yang dibangkitkan.

Oleh itu, saya ingin menyentuh dengan lebih banyak terhadap kenaikan saraan
yang melibatkan Menteri Besar, EXCO, Speaker dan Timbalan Speaker kerana
saraan untuk mereka telah dikekalkan pada paras yang amat rendah untuk satu
tempoh yang sangat panjang.

Justeru itu, sudah sampai masanya untuk menaikkan saraan mereka seperti apa yang dicadangkan oleh Rang Undang-undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) ini.

Bagi Tan Sri Khalid Ibrahim khususnya, beliau akan menerima gaji pokok sebanyak lebih kurang RM39,000 selaku Menteri Besar Selangor. Gaji ini adalah berbaloi kerana sumbangannya kepada pembangunan kerajaan negeri Selangor begitu besar.

Contoh yang begitu baik ialah kejayaan beliau mengutip balik hutang Syarikat TALAM terhadap kerajaan Selangor sebanyak RM3.92 bilion beberapa tahun lalu.

Dewan Yang Mulia ini juga akan membahas tujuh penyata yang dihasilkan oleh Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada Julai.

Dalam masa tidak sampai enam bulan, Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan kerap bermesyuarat dan menghasilkan penyata-penyata ini berikutan siasatan yang dijalankan terhadap pihak Eksekutif.

Siapa yang menganggotai Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan ini? Sudah tentu ADN sendiri. Ini juga merupakan satu bukti yang jelas bahawa wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam PRU-13 sememangnya mereka yang benar-benar bertugas untuk rakyat.

IMG-20131127-00597Penyelarasan saraan ADN dan anggota pentadbiran harus dilihat secara menyeluruh – elaun Ketua Pembangkang bertambah dan kenaikan saraan bertujuan memastikan ADN dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan hati yang tenang tanpa terlalu memikirkan ‘sumber-sumber pendapatan’ lain seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Penyelarasan saraan itu akan menjamin ADN sentiasa fokus kepada tugasnya dan
tidak perlu risau tentang penyaraan kehidupan dan ahli-ahli keluarganya walaupun selepas bersara.

Pernah ada seorang ADUN MCA yang menderita akibat diserang penyakit strok
dari Perak selepas bersara terpaksa merayu kepada kerajaan Perak kerana pinjaman perumahannya akan ditolak daripada pencennya. Ini menjadikan pencennya tidak mencukupi untuk menampung kos perubatan.

Selain itu, saya juga meminta saraan dan elaun untuk Ahli Majlis di PBT dan Ketua Kampung diselaraskan memandangkan mereka juga merupakan sebahagian daripada pasukan perkhidmatan ADN di peringkat akar umbi.

Sejajar kenaikan saraan ini, saya ingin mencadangkan kepada pihak Eksekutif untuk mempertimbang semula sama ada perlunya jawatan ‘Pembantu Exco’.

Ini kerana jawatan itu bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa. Kedua, selepas penyelarasan saraan, ADN sudah pasti perlu bekerja lebih keras untuk memantau perjalanan kerajaan negeri.

Maka, sudah pasti akan bercanggah dengan fungsi dan peranannya jika ADN dilantik menjadi sebahagian daripada Eksekutif melalui jawatan Pembantu Exco.

Justeru itu, saya memohon agar kerajaan mempertimbang semula jawatan berkenaan.

* Lau Weng San ialah ADUN Kampung Tunku
* Disunting dari www.wengsan.blogspot.com bertarikh 27 November 2013 yang 
menjadi intipati ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013