Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin, buruh asing tidak sabar mahu pulang ke kampung

PETALING JAYA, 2 SEPT: Seorang buruh binaan dari Kepulauan Boyan, Indonesia menanti penuh sabar untuk pulang ke kampung sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas sempadan negara kepada individu lengkap vaksin.

Asfan Rimin, 54, berkata sejak pandemik melanda, dia dan keluarga belum berkesempatan melawat ibu kandung yang tinggal bersendirian di kampung halaman, tidak seperti kelaziman tahun sebelumnya.

Asfan Rimin

“Walaupun anak dan isteri tinggal bersama saya di Malaysia tetapi ibu tinggal berseorangan di kampung. Kalau dulu, kami wajib pulang setahun sekali terutama musim perayaan tetapi sekarang hanya membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan.

“Paling penting, tanggungjawab saya sebagai anak terhadap ibu tidak akan diabaikan. Segala keperluan seperti wang belanja dikirim setiap bulan kerana rezeki harus dikongsi bersama orang tua,” katanya.

Asfan antara 2,000 peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang menerima dos kedua pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya semalam.

Meskipun belum mendapat status penduduk tetap (PR) sejak berhijrah ke Malaysia 32 tahun lalu, bapa tiga anak itu menghargai usaha Kerajaan Selangor yang tidak meminggirkan warga asing mendapat manfaat program terbabit.

“Kerajaan di sini sangat prihatin kerana banyak kemudahan disediakan malah saya sudah menganggap Malaysia sebagai negara sendiri dan akan terus memelihara kedaulatannya.

“Alhamdulillah, dari zaman bujang bersusah-payah merantau dan sekarang sudah ada pekerjaan. Saya berjanji tidak akan buat masalah di negara orang,” katanya yang kini tinggal di Puchong.

Nissa Ahmad Jalal

Sementara itu, warga asing dari Myanmar, Nissa Ahmad Jalal, 21, lega selepas menerima dos kedua vaksin dan tidak lagi bimbang untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di restoran.

Dia yang menetap di negara ini sejak lahir berkata inisiatif itu diambil sendiri tanpa paksaan majikan berikutan menyedari peningkatan kes wabak sejak akhir-akhir ini.

“Apa yang kerajaan arah, saya ikut sahaja kerana ini semua demi kepentingan bersama. Diharap selepas dua minggu suntikan kedua ini, saya boleh bergerak bebas walaupun tidak sepenuhnya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan khususnya Selangor kerana memudahkan urusan saya untuk mengambil vaksin termasuk warga asing yang lain,” kata anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Gombak.

Categories
ADN SELANGOR

Selvax Komuniti DUN Ijok ikut giliran kampung

BESTARI JAYA, 7 OGOS: Program Selangor Vaksin (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok hari ini berjalan mengikut giliran kampung.

Wakil rakyat Dr Idris Ahmad berkata proses berperingkat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari melibatkan lapan kampung tradisi dan dua kampung bagan.

Jelasnya, langkah terbabit lebih mudah dan sistematik kerana dapat memastikan semua penduduk hadir menerima imunisasi.

“Borang diagih sepanjang minggu ini. Ketua kampung dan penghulu akan beri kelulusan kepada yang layak dan mereka hanya perlu bawa borang berkenaan.

“Bagi vaksinasi secara terus, proses berjalan dari 1 tengah hari hingga 5 petang. Kita harap kuota 2,600 dipenuhi,” katanya ketika ditemui di Dewan Besar Yuk Chih di sini.

Dr Idris berkata program dijadualkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor namun beliau minta ditukarkan ke dewan terbabit.

“Lokasi ini berhampiran kediaman penduduk dan memudahkan mereka. Kenderaan juga disediakan untuk individu tiada kenderaan,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor kaji wujud kampung dalam kampung, licinkan tadbir urus

KUALA LANGAT, 3 JAN: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menstrukturkan semula kampung tradisi yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di setiap daerah.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata penyusunan itu dengan mewujudkan kampung dalam kampung bagi melicinkan tadbir urus pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Borhan Aman Shah menjelaskan kewujudan kampung dalam kampung bakal memudahkan penduduk untuk menjalankan aktiviti setempat.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi dialog di beberapa daerah berhubung perkara ini, jadi saya mahu kenal pasti jumlah penduduk di kampung terbabit. Jika ada keperluan, kita akan wujudkan satu lagi kampung dalam kampung.

“Bagaimanapun, ia perlu diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dikaji sebelum diselidik oleh Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini semalam.

Mengulas lanjut, ahli dewan negeri Tanjung Sepat berkata penduduk terlalu ramai di sesebuah kawasan menyebabkan pengerusi MPKK sukar mentadbir sesebuah kampung dengan cekap.

Beliau juga bimbang agenda Kerajaan Negeri tidak sampai ke sasaran berikutan keluasan kampung melebihi jangkauan.

“Malah, kita tidak mahu kampung berkenaan berdepan isu kekurangan kemudahan misalnya dengan berkongsi balai raya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MPKK guna aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’, pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 1 JUN: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bakal menggunakan aplikasi khas untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan memberi maklum balas, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata aplikasi ‘Kita Kan Sekampung’ sedang dibangunkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan setakat ini dalam peringkat akhir percubaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Aplikasi ini adalah pertama di Malaysia dan kita jangkakan dapat digunakan dalam tempoh terdekat disemua kampung tradisi di Selangor sekaligus meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala.

“Jadi ketua kampung ada aplikasi khas untuk berurusan dengan komuniti, orang kampung dan kepemimpinan peringkat atasan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan khas kewangan RM300 kepada setiausaha dan AJK Biro MPKK daerah Petaling.

Seramai 228 penerima dari 19 kampung tradisi di Petaling menerima manfaat tersebut melibatkan peruntukan RM68,400.

Pada 15 Mei lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Mengulas lanjut Rodziah berkata penggunaan aplikasi pintar di peringkat MPPK seiring dengan inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar terulung di peringkat serantau.

Categories
SELANGOR

Wujud program latihan dan bimbingan khas buat ketua kampung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 24 NOV: Kerajaan Negeri sedang giat membuat persediaan awal mewujudkan program pemberdayaan berbentuk latihan dan bimbingan khusus kepada semua ketua kampung.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, hal itu bagi memastikan ketua kampung bertindak lebih kompeten, cekap dan efisien dalam mengawal selia pentadbiran, di kawasan masing-masing.

Katanya, mereka turut menjadi tulang belakang dalam membantu pejabat daerah, sekali gus merealisasikan setiap dasar dan agenda yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kita mahu melihat ketua kampung mempunyai struktur pentadbiran mantap dan kukuh, yang bukan sekadar melakukan kerja bersendirian sahaja.

“Oleh sebab itu, satu jawatankuasa mantap diperlukan dalam sesebuah kampung bagi mengekalkan aspek warisan, meningkatkan tahap pendidikan, pemantapan spiritual, kerohanian dan infrastruktur yang baik, selain memberi tunjuk ajar mengenai pengurusan kewangan yang perlu diuruskan sebaiknya

“Ketua kampung daripada latar belakang berbeza perlu diberi latihan khusus supaya memudahkan mereka menangani isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Klang, di Padang Rakyat Jalan Kebun, Kampung Jalan Kebun Batu 7, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni; Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Penghulu-penghulu Mukim serta Ketua-ketua Kampung Tradisi Daerah Klang.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh tokoh kampung tradisi, termasuk asnaf dan kanak-kanak terbabit dalam program berkhatan beramai-ramai.

Menyentuh berhubung pelantikan ketua kampung, Rodziah berkata, sehingga kini, hampir 85 peratus pelantikan sudah selesai dijalankan daripada keseluruhan 371 kampung tradisi yang berada di bawah penyelarasannya.

Bagaimanapun katanya, masih berbaki beberapa buah kampung yang belum dibuat proses pelantikan itu akan dijalankan selepas ini.

“Pelantikan ketua kampung agak ketat pengurusan yang kita laksanakan, selain penjenamaan semula dibuat oleh Kementerian Luar Bandar daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) iaitu untuk melihat 30 peratus daripada jawatankuasa itu adalah dalam kalangan wanita,” katanya.

“Mulai tahun hadapan juga kita akan lihat pengurusan 371 kampung ini tidak lagi dibuat secara sama rata dengan memperlihatkan beberapa kategori diasingkan untuk menyelesaikan isu berbangkit melalui cara masing-masing,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik Selangor diteruskan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran pertandingan Kampung Tradisi Terbaik peringkat Selangor.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dibuat menerusi perancangan baru bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Beliau berkata, penganjurannya akan turut dipantau Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW).

“Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik akan dijalankan dengan kerjasama KKLW di bawah program Anugerah Desa Perdana dengan mengambil beberapa faktor.

“Antaranya kemasyarakatan, kepimpinan dan pentadbiran, peranan belia, teknologi maklumat, kebersihan dan kesihatan,” katanya.

Difahamkan, pengajuran pertandingan itu sebelum ini dihentikan sementara waktu ketika berlangsungnya proses pilihan raya di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan proses pelantikan Ketua Kampung Negeri.

Katanya, ia akan melibatkan beberapa kawasan perkampungan terpilih.

“Individu terpilih dan berkelayakan akan menduduki Kursus Pemantapan Ketua Kampung yang akan dijalankan selepas proses lantikan selesai.

“Pimpinan di peringkat desa perlu bersedia dengan tatacara kelola yang lebih berkesan bagi mencapai pelan pembangunan luar bandar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar 5 daerah Kampungku Kesayanganku sehingga Jun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 MAC: Program Kampungku Kesayanganku (3K) diteruskan lagi dengan mensasarkan lima daerah lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi enam bulan pertama tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk membiayai setiap program terbabit.

“Program 3K masih diteruskan lagi tahun ini di mana sehingga kini sudah dua daerah iaitu Sabak Bernam dan Kuala Langat dan selepas ini Hulu Langat pula.

“Kami menjangkakan lima daerah akan terlibat bagi enam bulan pertama untuk tahun ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, selain meneruskan kesinambungan agenda lalu, pada tahun ini program 3K membawa tema ‘Melentur Rebung Melanial” dengan memberi tumpuan kepada pembangunan generasi muda supaya golongan terbabit berminat untuk mendekati institusi masjid dan pemerkasaan institusi tahfiz.

Katanya, program kali ini juga menekankan Kempen ‘Desaku Bebas Sampah Jalanan’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan.

“Pemerkasaan pembangunan hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar turut ditekankan di samping kempen desaku bebas sampah jalanan’ di semua daerah,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kampungku Kesayanganku bentuk masyarakat prihatin & cinta ilmu

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 22 MAC: Karnival Kampungku Kesayanganku dirancang Kerajaan Negeri dengan masjid sebagai lokasi program bagi melahirkan masyarakat prihatin, penyayang, mencintai ilmu dan bertaqwa.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri menjayakannya di setiap daerah dengan Sabak Bernam dipilih yang pertama dan dijangka berakhir di Hulu Selangor pada November nanti.

kampungku1“Tema Kampungku Kesayanganku dipilih untuk menimbulkan rasa kasih dan sayang sesama kita tanpa mengira agama, kaum, warna kulit atau pangkat dengan menyayangi diri kita, ahli keluarga, masyarakat, alam sekitar, harta awam dan segala yang ada di sekeliling kita.

“Kerajaan Negeri menggalakkan terutama masyarakat kampung khasnya supaya menjadikan masjid sebagai pusat tranformasi, jantung pembangunan, pusat keilmuan serta di mana program kemasyarakatan diadakan di sini.

“Masjid bukan sahaja tempat bersolat dan beribadat tetapi pusat keilmuan dan informasi, pusat aktiviti komuniti juga pusat kebajikan yang seharusnya dilakukan di mana akhirnya dapat diperkasa rumah Allah sebagai jantung pembangunan di sesebuah kampung setiap daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima di sini, semalam.

Dr Yunus berkata, program berkenaan dirancang dengan pertemuan pelbagai jabatan dan komuniti membuktikan betapa Kerajaan Negeri amat mengambil berat setiap isu dan perkara berkaitan dengan kebajikan serta keperluan semua pihak.

“Kerajaan Negeri berharap setiap kampung mampu menggalakkan industri desa bagi membangunkan ekonomi kampung masing-masing,” katanya.

Karnival Kampungku Kesayanganku berlangsung dua hari diisi dengan pelbagai aktiviti sepeti keagamaan, kemasyarakat, gotong royong, sukan, keusahawanan, kesukarelaan, forum dan sebagainya.

Ia mendapat sambutan umum terutama masyarakat setempat yang hadir beramai-ramai ke program itu di mana hampir 500 orang hadir dalam majlis forum dan perasmian semalam.

EZY

Categories
SELANGOR

‘Kampungku’ fokus tingkat pendapatan desa

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 JUN: 20 buah kampung terutama di daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor dikenalpasti untuk melaksanakan projek pembangunan desa yang menjadi sasaran Kerajaan Negeri dalam penggal kedua pentadbiran.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata projek yang dikenali sebagai program “Kampungku” itu memfokuskan kepada usaha meningkatkan pendapatan masyarakat kampung dan membangunkan ekonomi mereka secara menyeluruh.

Beliau berkata, hal itu turut membabitkan pembabitan secara langsung daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk memantau serta menjayakan program pembangunan desa berkenaan.

Ketua Kampung Kuala Langat 01“Antara kampung yang diberi fokus adalah Kampung Banting dan beberapa kampung lain seperti Sungai Lat yang menjadi fokus dalam pemilihan pembangunan desa.

“Kegagalan program sebelum ini berpunca daripada masalah pelaksanaan pengurusan, maka untuk fasa pertama kita menekankan supaya mereka yang terbabit mempunyai disiplin yang tinggi untuk menjayakan program ini.

“Kita fokus dulu kepada JKKK supaya mereka sendiri mempunyai organisasi kefahaman tersusun dan mengikut sikap yang baik dalam menerima program pembangunan desa bagi memacu atau menjayakan program ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sallehen (PAS-Sabak) berkata, Kerajaan Negeri turut memfokuskan kepada Program Kemahiran Teknikal Belia Desa membabitkan belia luar bandar untuk mengikuti kursus kemahiran dalam bidang pendawaian, elektrik dan penyaman udara.

sallehin dun 02 jul 01Beliau berkata, belia terpilih akan dilatih secara berkelompok berasaskan kepada pemilihan program yang mempunyai pasaran dan daya saing baik.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga menerima beberapa cadangan. Kita juga akan melaksanakan cadangan yang dikemukakan komuniti kampung untuk memastikan program itu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, RM50 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan program pembangunan desa yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco.

Ia bertujuan meningkatkan taraf ekonomi penduduk di desa yang menjadi sasaran Kerajaan Selangor untuk tempoh lima tahun dalam pentadbirannya kali ini.

-NFN-