Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 pelajar UPM kembali ke kampus mulai 16 Mac ikut SOP ketat

PUTRAJAYA, 12 FEB: Seramai 10,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dibenarkan kembali ke kampus dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat secara berperingkat bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022 dan mendaftar di kolej kediaman bermula 16 hingga 18 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata selaras dengan ketetapan ini semua gerak kerja dan persediaan bagi menerima ketibaan pelajar untuk pulang ke kampus sedang giat dilaksanakan.

“Bagi mencegah risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pendaftaran untuk menginap di kolej kediaman bagi pelajar Semester Kedua Sesi 2021/2022 akan mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.

Katanya pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak dibenarkan kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar IPT dibenar masuk ke kampus berperingkat mulai 1 Mac

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kerajaan membenarkan kemasukan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 ke-12 semalam, yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, iaitu universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

“Antara tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KPT dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pelajar dan staf yang lengkap dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus, namun mereka yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus.

“Ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukan seminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, Hishammuddin berkata hanya mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke Malaysia serta wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau lima hari sekiranya telah mendapat dos penggalak.

Selain itu, katanya IPT perlu mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat, manakala PdP secara hibrid dan/atau secara dalam talian juga dibenarkan kepada IPT.

Beliau berkata semua aktiviti sukan dan riadah juga perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh KKM dan pelajar yang pulang ke kampus wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Dalam setiap kelonggaran diberikan kerajaan, aspek keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah pelajar IPT tetap menjadi keutamaan. Sehubungan itu, kerajaan menyeru kepada semua pihak termasuk pentadbiran IPT, staf dan pelajar agar mematuhi SOP ditetapkan dengan penuh berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT di talian 03-8870 6777/ 6949 / 6623 / 6628, layari laman web IPT atau terus hubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

8,000 mahasiswa Unisel kembali ke kampus mulai 17 November

SHAH ALAM, 7 OKT: Sejumlah 8,000 penuntut Universiti Selangor (Unisel) akan kembali ke kampus bagi mengikuti pengajian secara bersemuka mulai 17 November ini, maklum pengarah pejabat pemasaran dan kemasukan.

Prof Madya Dr Hashimah Ismail berkata bilangan itu termasuk mahasiswa baharu yang mendaftar bagi kemasukan November untuk semua peringkat pengajian di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Dengan sasaran negara beralih ke fasa endemik pada penghujung Oktober, tiada sebab untuk tidak mengarahkan pelajar masuk semula ke kelas meneruskan pembelajaran seperti biasa.

“Pihak pengurusan tidak sabar meraikan pelajar lama dan baharu, ramai kalangan mereka yang sudah jemu belajar dalam talian sepanjang pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) khusus akan diperincikan kepada pelajar antaranya pendaftaran kursus, asrama dan minggu tekad siswa bagi mahasiswa baharu.

“Kerja sanitasi pula akan dibuat menjelang pembukaan semula kampus selain menyediakan pengimbas suhu di setiap bilik kuliah dan asrama.

“Kita turut merancang untuk memberi suntikan vaksin kepada mana-mana pelajar yang belum berbuat demikian demi menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Pada 14 September, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN), namun keutamaan diberi kepada pelajar berkeperluan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak kira fasa PPN, siswa lengkap vaksin kembali ke kampus mulai 15 Oktober

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang lengkap dos vaksin dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan selain staf akademik dan bukan akademik yang melepasi tempoh keberkesanan vaksin.

“Saya ingin maklumkan hanya pelajar, staf akademik dan bukan akademik yang lengkap dos vaksin serta melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

“Perkara ini tertakluk kepada kapasiti IPT dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi membentuk persekitaran yang selamat dan kelompok imuniti di kampus,” katanya dalam sidang media hari ini.

Noraini berkata pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan perlu menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan VACC2Campus untuk meningkatkan jumlah vaksinasi warga IPT.

“KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh divaksin dan mendaftar dengan MySejahtera akan menerima suntikan lengkap menjelang hujung Oktober.

“Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin. Saya menyeru mereka yang belum mendapat vaksin segera berbuat demikian,” katanya lagi.

Noraini turut menerangkan pergerakan pelajar kembali ke kampus berdasarkan perkara berikut:

  • Hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan bagi Semenanjung
  • IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan tertakluk SOP dikuatkuasakan Kerajaan Negeri masing-masing. Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada polis dan menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan
Categories
AGENDA NASIONAL

Bermula kecil-kecilan, kini pes oden raih jualan enam angka

KOTA BHARU, 6 MEI: Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan menjual pes oden keluaran sendiri di tapak gerai kampus, dua pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini tersenyum lebar apabila hasil jualan yang diperoleh mereka sudah mencecah enam angka.

Lebih membanggakan, perniagaan produk perencah untuk makanan popular berasal dari Jepun yang diusahakan penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim, 24, dan Imer Jibril Mohd Nasir, 24, sejak awal tahun lepas itu turut menembusi pasaran antarabangsa.

Wan Azehan Helmi berkata pada mulanya mereka hanya berniaga pes itu yang menggunakan resipi olahan sendiri dan disajikan bersama bebola ikan, isi ketam, sosej dan lain-lain, di gerai ketika berada di kampus.

“Idea untuk berniaga oden timbul apabila makanan tersebut seakan menjadi trend ketika itu dan digemari dalam kalangan pelajar, bagaimanapun penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ketiadaan pelajar di kampus membuatkan kami terfikir untuk mengkomersialkan pes oden ini secara dalam talian pada April tahun lepas.

“Alhamdulillah, strategi pasaran dalam talian menerusi Facebook dan Instagram membuahkan kejayaan apabila kami mampu meraih hasil jualan sekitar RM500 dalam tempoh sebulan dan kini mencecah RM100,000,” katanya ketika ditemui pemberita di kedai King Oden miliknya di Jalan Salor Lama, di sini.

Bercerita lanjut, Wan Azehan Helmi berkata pada awal perniagaan, pes oden dengan jenama King Oden itu diproses secara manual di rumah, namun kini pemprosesan dilakukan di kilang mereka di Bachok yang beroperasi sejak Mac lepas.

“Pelbagai teknik pemasaran dan jualan kami lakukan, termasuk mengambil kira-kira 10 orang ejen yang terdiri daripada pelajar UMK bagi memberikan mereka pendapatan sampingan.

“Kini kami mempunyai 500 ejen di seluruh negara, malah pes oden ini juga turut mendapat permintaan daripada pelanggan di luar Malaysia termasuk di Indonesia,” kata penuntut tahun akhir itu.

Menurut Wan Azehan Helmi, mereka yang kini memiliki lapan pekerja, mampu mengeluarkan dan memasarkan kira-kira 30,000 hingga 40,000 pek pes oden sebulan yang ditawarkan dalam tiga perasa iaitu asli, lebih pedas dan asam laksa, berharga RM10 setiap pek dan boleh bertahan hingga lapan bulan.

“Kami berharap kejayaan yang dikecapi ini memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi pelajar di luar sana untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya yang menyasarkan hasil jualan RM1 juta menjelang akhir tahun ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USM sedia terima kemasukan pelajar baharu mengikut SOP

GEORGE TOWN, 3 FEB: Universiti Sains Malaysia (USM) sedia menerima kemasukan pelajar ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac depan, seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19, USM sentiasa peka dan mengambil kira beberapa faktor utama, dalam menyediakan pelan senario sebagai persediaan menerima kemasukan pelajar.

Beliau berkata pelan itu meliputi beberapa perkara merangkumi keselamatan semua warga kampus, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta memastikan kualiti PdP terjaga dengan baik.

“Pengumuman terkini daripada KPT dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan satu persefahaman dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini. Ia memang sesuai dengan mengambil kira keadaan semasa Covid-19 pada masa kini.

“Pastinya ini adalah normal baharu dalam dunia universiti dan semua perlu menyahut cabaran ini secara positif,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu pada 31 Januari, KPT menyenaraikan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac 2021, antaranya pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas, selain daripada pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif, untuk melaksanakan PdP dalam talian.

Selain itu, para pelajar di peringkat asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid, pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan akhir sekali pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

– BERNAMA