Categories
RENCANA WAWANCARA

Kebenaran kaji kanabis, khabar gembira bagi penyelidik

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Tidak mustahil satu hari nanti kanabis, atau lebih dikenali sebagai ganja dalam kalangan masyarakat tempatan, menjadi antara tanaman yang mampu menjana ekonomi negara khususnya bagi industri perubatan, apabila kajian meluas tentang potensinya dapat dilakukan selepas ini.

Ini susulan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar baru-baru ini, iaitu mereka yang berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar sekiranya ada bukti saintifik yang mencukupi.

Kenyataan itu disambut baik oleh kebanyakan penyelidik dan pakar merawat ketagihan dadah yang ditemu bual Bernama, dengan masing-masing melihat perkembangan tersebut sebagai lembaran baharu dalam usaha meneroka potensi kanabis untuk perubatan yang sebelum ini berdepan jalan sukar.

Bahkan Bernama difahamkan beberapa pakar merawat ketagihan dadah sudah mengemukakan permohonan kajian berkaitan penggunaan kanabis untuk penyakit tertentu susulan kenyataan Khairy itu.

Dalam pada itu, mereka berharap tumbuhan tersebut dapat ditanam sendiri oleh penyelidik bagi memudahkan pemerolehan bekalan bahan untuk kajian mereka.

NEGARA PENGELUAR

“(Langkah ini) sangat bertepatan, sebab penyelidik sudah lama berusaha tetapi gagal kerana sangat sukar mendapatkan kelulusan etika perubatan disebabkan stigma tumbuhan herba ini yang dikaitkan dengan ketagihan, sedangkan bukan semua bahagian pokok hemp (antara tumbuhan kanabis) boleh menyebabkan ketagihan.

“Misalnya CBD atau cannabidiol (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis), tidak menyebabkan ketagihan atau ‘high’ malah berpotensi sebagai ubat untuk autisme, tahan sakit, antimurung dan mengubati penyakit ketagihan ganja itu sendiri,” kata Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid kepada Bernama.

Kanabis atau nama saintifiknya Cannabis, adalah tumbuhan daripada keluarga Cannabaceae. Antara spesies pokok daripada genus Cannabis ialah cannabis sativa, cannabis indica dan cannabis ruderalis.

Tumbuhan ini menghasilkan kompaun dipanggil cannabinoid dan difahamkan terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya – paling lazim ditemukan ialah CBD dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Bagaimanapun kadar kandungan CBD dan THC dalam setiap varieti tumbuhan itu adalah berbeza. Marijuana misalnya, antara tumbuhan kanabis dengan kandungan THC yang sangat tinggi, berbeza dengan hemp yang langsung tidak mempunyai THC tetapi tinggi kandungan CBD.

Di Malaysia, semua varieti kanabis diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kandungan bahan aktifnya yang bersifat psikoaktif, iaitu THC yang merujuk kepada semua bahan yang mampu memberi kesan kepada otak, sekali gus boleh menyebabkan perubahan dari segi kewarasan, tingkah laku dan kebolehan berfikir.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata stigma menebal dalam kalangan masyarakat terhadap kanabis perlu dikikis selain diterapkan kesedaran bahawa tumbuhan itu tidak hanya membawa keburukan, sebaliknya berpotensi menjadi ubat bagi mereka yang ketagihan ganja.

“Didiklah orang awam mengenai kebaikan tumbuhan ini. Masyarakat tidak perlu bimbang kerana sekiranya diperakukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk digunakan nanti, pesakit memerlukan preskripsi doktor untuk mendapatkannya, bukan boleh didapati sewenang-wenangnya.

“(Bagi saya) keterbukaan menteri kesihatan dalam isu ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada penyelidik bagi memulakan kajian penggunaan CBD mahupun ketum untuk membantu pesakit, tetapi juga membuka ruang mendidik masyarakat mengenainya.

“Mana tahu suatu hari nanti Malaysia boleh menjadi pengeluar ubat-ubatan berasaskan ketum dan hemp,” kata beliau.

KETINGGALAN?

Bagaimanapun untuk sampai di tahap itu, kerajaan wajar menimbang kebenaran tumbuhan tersebut ditanam secara besar-besaran di negara ini.

“Lebih menguntungkan kalau kita buat kajian menggunakan produk dari Malaysia kerana negara akan mendapat keuntungan sebagai antara pembekal ubat CBD dunia. Tetapi kita perlu pantas memandangkan kita agak ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand,” kata Dr Rusdi.

Pada 2018, Thailand membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perubatan, sekali gus menjadi negara pertama serta pemain utama di rantau ini yang berbuat demikian.

Mengulas mengenai perkara itu, pensyarah di Jabatan Anatomi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas berkata proses liberalisasi penggunaan kanabis terus berkembang di negara berkenaan, apabila pada tahun ini Lembaga Kawalan Narkotik Thailand mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik kategori lima bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan.

Ini bermakna penanaman kanabis dibenarkan tetapi melalui proses permohonan dan pemantauan yang ketat oleh agensi yang berkenaan.

“Sejarah menunjukkan bahawa kanabis merupakan tanaman yang pernah hidup subur di Malaysia pada satu ketika dahulu dan seharusnya potensi tanaman asli yang berpotensi ini dieksploitasi untuk kemakmuran negara dalam bidang perubatan.

“Apa yang kami perjuangkan ialah membenarkan tanaman kanabis untuk perubatan, maksudnya bila untuk perubatan ia masih lagi dikawal. Mengapa kita tidak mahu memanfaatkan pokok ini hanya semata-mata kerana takut nanti ramai (jadi) penagih?

“Kita tidak akan ke mana selagi terus beranggapan begitu, walhal negara jiran kita, Thailand, sudah maju ke depan memanfaatkan peluang yang ada. Saya percaya setiap tumbuhan kurniaan Allah ini ada kegunaannya,” kata Mohamad Aris.

Selain Thailand, penggunaan kanabis perubatan dengan dos terkawal dan dipreskripsi oleh doktor atau pakar dilantik turut dibenarkan oleh 30 lagi negara, antaranya Argentina, Australia, Kanada, Itali, Jerman, Turki dan Denmark.

Kanabis digunakan dalam rawatan untuk mengurangkan simptom penyakit tertentu seperti menghilangkan loya yang dialami oleh pesakit kanser semasa rawatan kemoterapi, dan antara ubat-ubatan yang berasaskan THC yang kini berada di pasaran ialah Dronabinol, Nabilone dan Sativex.

KOS MAHAL

Beliau berpandangan ada kewajaran untuk kerajaan menimbang kebenaran tumbuhan itu ditanam di negara ini kerana kenyataan Khairy itu secara tidak langsung akan mendorong lebih ramai penyelidik tempatan membuat kajian tentang tumbuhan tersebut.

Namun, jika ada kekangan untuk mendapatkan bekalan kanabis seperti perlu diimport, kajian tersebut akan memerlukan kos yang tinggi.

Menceritakan pengalamannya semasa membuat kajian praklinikal untuk mengaitkan kebolehan kanabis dalam pencegahan dan perawatan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson, beliau mengakui kos untuk membeli bahan kanabis yang mempunyai kandungan aktif THC sangat tinggi.

“Kajian saya berkaitan penyakit Alzheimer menggunakan kanabis bermula pada 2003 semasa membuat ijazah kedoktoran di University of Nottingham, United Kingdom. Masa itu bahan kanabis senang dapat, tidak jadi isu.

“Tetapi masalah timbul apabila saya membuat kajian praklinikal di Malaysia menggunakan model haiwan, memandangkan kanabis agak mahal kerana terpaksa dibeli dari negara luar. Bayangkan, untuk membeli kandungan aktif kanabis iaitu THC dalam ‘pure form’, sebanyak RM30,000 diperlukan bagi satu gram.

“Sebab itu saya amat bersetuju dan menaruh harapan yang sangat tinggi supaya kanabis dapat ditanam di negara ini dalam kerangka perundangan jelas dan ketat. Ini bukan sahaja bagi membantu sektor perubatan tetapi juga ekonomi,” katanya.

Beliau berkata kajiannya itu masih lagi diteruskan bersama-sama pelajarnya bagi mengenal pasti punca Alzheimer dan rawatan sesuai berasaskan THC namun hanya setakat praklinikal, iaitu menguji dadah menggunakan haiwan.

Justeru, beliau berharap susulan pengumuman Khairy itu, kajian dapat dilaksanakan di peringkat klinikal kerana dapatan kajian praklinikal dilihat berpotensi merangsang pertumbuhan sel saraf pada haiwan, iaitu petunjuk positif untuk merawat Alzheimer, penyakit yang berpunca daripada kematian saraf otak.

“Kajian dilakukan secara berfasa, yang mana terdapat kumpulan tikus yang diaruh (ubat mencetuskan atau mempercepat) menggunakan bahan kimia terlebih dahulu untuk menghasilkan pembentukan Alzheimer pada model tikus.

“Selepas itu barulah tikus tersebut menerima rawatan cannabinoid atau THC dengan dos berbeza dan secara umumnya, saya boleh simpulkan bahawa kanabis mempunyai potensi untuk merawat penyakit Alzheimer yang mana THC mampu merencatkan kemerosotan neuron, dan pada masa sama mengembalikan fungsi normal neuron terjejas,” katanya.

KEBENARAN PERMIT

Berdasarkan dapatan positif kajian itu, termasuk penyelidikan lain di luar negara berkenaan potensi kanabis dalam perubatan, UPM kini dalam proses mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menanam tumbuhan tersebut bagi tujuan R&D perubatan.

Menurut beliau, sudah ada beberapa buah syarikat tempatan dan luar negara menyatakan minat untuk bekerjasama dengan UPM sekiranya permohonan untuk mendapatkan permit tersebut berjaya.

“Sekiranya dapat kebenaran, syarikat tersebut akan melabur untuk membantu dari segi peralatan seperti penyediaan rumah hijau kerana kosnya bukanlah murah. Malah, untuk beli biji benih pokok induk, iaitu pokok asal kanabis pun mahal, mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata UPM mempunyai beberapa perancangan, antaranya ialah menghasilkan pokok kanabis paling optimum iaitu pokok dengan kandungan THC tinggi, menghasilkan pokok dengan CBD tinggi, dan seterusnya pokok kanabis yang mempunyai kandungan serat tinggi.

Jelas beliau, kandungan serat tinggi itu boleh didapati daripada varieti hemp yang tidak mempunyai sebarang THC tetapi tinggi CBD dan boleh memberi pulangan baik kepada ekonomi negara sekiranya dimanfaatkan.

Ini kerana katanya serat berasaskan pokok kanabis mempunyai ciri unik berbanding serat daripada pokok lain serta berpotensi untuk dikembangkan kerana mempunyai permintaan tinggi di pasaran global selain tempoh kitaran penanaman yang singkat, sekali gus memberi pulangan modal dengan cepat.

“Saya yakin kanabis akan dapat ditanam di negara ini suatu hari nanti. Lagipun perancangan di UPM untuk tujuan R&D perubatan, bukannya komersial, dan saya mengharapkan, sekiranya UPM dapat kelulusan ini, ia akan menjadi titik tolak kepada penanaman kanabis di negara ini untuk tujuan perubatan sahaja.

“Ini kerana kanabis mempunyai nilai potensi yang sangat tinggi, bukan sahaja dari segi perubatan tetapi juga sektor ekonomi negara. Bagi saya, dengan adanya penubuhan badan yang mengawal atur peringkat kebangsaan yang berperanan sebagai pusat kawalan dan pemantauan lebih ketat serta undang-undang yang ada, salah guna kanabis tidak akan menjadi isu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Benarkan kanabis, ketum digunakan untuk ubat, cadang pakar

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Sebagai ahli psikiatri dan juga pakar merawat ketagihan dadah, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menyaksikan sendiri kesan marijuana atau ganja ke atas pesakit, termasuk mencetuskan psikosis dalam kalangan penghidap skizofrenia dan lain-lain gangguan mental.

Justeru, beliau terperanjat apabila mendapati bahan itu dapat menenangkan seorang individu autistik teruk. Individu tersebut merupakan anak lelaki pesakitnya yang mengalami kemurungan kerana tidak mampu menangani situasi si anak.

“Wanita itu memberikan minyak CBD (cannabidiol) kepada anaknya – dia cuma letakkan beberapa titik di bawah lidah si anak setiap hari – dia dapati kelakuan hiperaktif dan melampau anaknya berkurangan,” katanya.

Hal itu menimbulkan rasa ingin tahu Dr Rusdi tentang potensi kebaikan kanabis dari segi perubatan dan penggunaannya, terutama CBD iaitu bahagian bukan psikogenik pada tumbuhan itu, terhadap individu autistik teruk yang lebih tua.

Hasrat beliau dan beberapa penyelidik lain untuk mengkaji faedah perubatan kanabis dan ketum – sejenis dadah psikotropik yang berkait rapat dengan opium namun kurang dikenali, menghangatkan lagi polemik tentang “menghalalkan” dua dadah berkenaan di Malaysia, antara negara yang mengenakan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah.

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan lebih 200 gram kanabis atau resin ganja dianggap sebagai bukti niat untuk mengedar, dan mereka yang ditangkap dengan jumlah itu akan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Ketum pula disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Walaupun tidak dikategorikan sebagai narkotik, dan penanaman pokoknya serta penggunaan dibenarkan, penjualan bahan itu diharamkan melainkan oleh ejen sah.

Ini bermakna, jika Dr Rusdi yang juga Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya, cuba menjalankan kajian mengenai keberkesanan CBD dalam merawat masalah kelakuan dengan menjalankan eksperimen sendiri menggunakan minyak CBD, beliau berisiko menghadapi hukuman mati.

Namun ada perkembangan yang mungkin dapat mengubah senario itu.

Susulan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggugurkan marijuana perubatan daripada senarai dadah berbahaya, Malaysia kini menimbang untuk membolehkan penggunaan, penjualan dan pengedaran kanabis serta ketum bagi tujuan perubatan, melalui penubuhan kaukus bipartisan bagi mengkaji aspek perundangan.

Boleh dari segi teknikal

Pada 9 November lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa penggunaan kanabis dibenarkan untuk tujuan perubatan di bawah undang-undang sedia ada, namun menambah produk mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Beliau berkata penjual mesti mempunyai lesen dan permit di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya bagi mengimport dan menjual produk kanabis di Malaysia. Hanya pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh membekalkan produk itu.

“Kanabis (hemp) turut dikawal di bawah Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 dan tersenarai di bawah Jadual I Konvensyen tersebut. Kawalan utama dikenakan ke atas bahan yang tersenarai dalam Jadual I adalah dihadkan hanya untuk tujuan perubatan atau saintifik yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, eksport, import, pengedaran, perdagangan, penggunaan dan pemilikan,” kata Khairy.

Ramai pakar sedia maklum tentang peruntukan itu, namun mereka keberatan untuk memohon kebenaran daripada Kementerian Kesihatan kerana proses yang agak sukar.

Dr Rusdi berkata sekalipun penyelidik dapat meyakinkan jawatankuasa kelulusan mengenai merit kajian mereka, kos kajian terlalu tinggi untuk diteruskan kerana mereka perlu membeli bekalan kanabis, bukan menanam sendiri yang memerlukan satu lagi proses permohonan kebenaran.

Bagaimanapun susulan kenyataan Khairy itu, ramai yang menyatakan hasrat ingin berbuat demikian.

Seorang daripada ahli kaukus itu, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen berharap dapat menangani permasalahan berkenaan bagi membolehkan kajian dijalankan dan seterusnya membentuk strategi kukuh bagi membenarkan dan mengawal selia penggunaan kanabis dan ketum.

“Kebenaran di sisi undang-undang tidak bermakna bahan itu akan diedarkan secara meluas di pasaran terbuka, iaitu dengan tanggapan setiap orang menggunakannya untuk khayal dan macam-macam lagi. Sebaliknya, kebenaran itu hanya bagi tujuan perubatan dan ekonomi,” jelas Dr Yii.

Beliau berkata dengan membenarkan penggunaan tumbuhan itu untuk tujuan perubatan, negara akan beroleh faedah dari segi kesihatan dan juga ekonomi, mengurangkan penjualan dadah di pasaran gelap selain memastikan produk itu selamat untuk digunakan.

Antara potensi kebaikan tumbuhan itu ialah melegakan kesakitan, relaksan otot (meredakan tegang otot), antiemetik/antimuntah dan antikonvulsan, selain sebagai pengganti untuk penyalahgunaan bahan.

“(Menerusi undang-undang ini) ada elemen kawalan, kita boleh memantau pelaksanaan, kita boleh kenakan cukai, kita boleh kawal pengeluaran dan penjualan serta menilai impak secara berterusan,” tambah Dr Yii.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr B. Vicknasingam melihat ada potensi ekonomi daripada penanaman dan penjualan kanabis serta ketum di pasaran antarabangsa, namun berpendapat Malaysia patut menerajui penyelidikan ketum bersandarkan pada sejarah penggunaannya sebagai ubat tradisional sejak sekian lama di negara ini.

Tidak seperti kanabis, tidak banyak halangan untuk mengkaji ketum di Malaysia.

“Kita ada kelebihan. Kita selalu beritahu mereka yang berminat untuk melakukan penyelidikan tentang marijuana dan kanabis bahawa dunia Barat sudah mendahului dan mereka juga sudah mengeluarkan produk di pasaran,” katanya.

Beliau antara lain ingin mengkaji potensi ketum sebagai ubat melegakan kesakitan dan juga dalam rawatan salah guna bahan.

Sekiranya dibenarkan di sisi undang-undang, Malaysia akan menuruti langkah beberapa negara yang telah “menghalalkan” kanabis serta menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan selepas Thailand.

Guna terima dan cegah salah guna

Kebenaran penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan akan membawa perubahan kepada banyak sektor.

Pakar-pakar yang dihubungi Bernama, baik peguam mahupun pegawai perubatan atau aktivis antidadah, menyatakan sokongan terhadap marijuana perubatan. Bagaimanapun sokongan mereka berserta kaveat – peraturan mesti ketat bagi mencegah dan menghukum penyalahgunaan apabila penanaman dan penjualan dadah itu dibenarkan untuk tujuan perubatan.

Masyarakat tahu pasaran kanabis dunia bernilai berbilion dolar dan ketum juga berpotensi memberi nilai yang sama. Pulangan besar sedemikian pastinya menarik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata Malaysia boleh mencontohi Colorado, sebuah negeri di Amerika Syarikat, tentang bagaimana untuk menanam, memproses dan mengedar kanabis.

Namun katanya kerajaan perlu mengubah suai model itu agar menepati kebudayaan dan masyarakat Malaysia.

Menggambarkan perjalanannya untuk mengkaji industri kanabis di Colarado sebagai “pembuka mata”, beliau berkata industri itu melibatkan semua sektor – pelesenan, impak alam sekitar, penguat kuasa undang-undang, keselamatan pekerja, sekuriti serta pengangkutan dan jualan.

“Semua tanaman dipantau menerusi CCTV dan setiap pokok ditag dengan kod bar RFID… setiap pokok kanabis boleh dijejaki daripada penanaman hingga ke dispensari,” katanya.

Menurutnya, pendapatan daripada jualan marijuana itu digunakan oleh Colorado untuk membiayai perkhidmatan sosial serta latihan pekerja dalam industri berkenaan.

Dalam pada itu, pakar perundangan berkata undang-undang mesti dipinda untuk mencerminkan status quo, seperti menggugurkan kanabis daripada senarai Jadual Pertama dalam Akta Dadah Berbahaya dan mungkin memasukkannya dalam Akta Racun seperti ketum.

Chong berkata wujud keperluan undang-undang untuk mencegah salah guna kuasa selain mengemas kini undang-undang lain termasuk Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Penjara 1995.

Kerajaan juga perlu bersedia untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah yang dikenakan hukuman mati atas penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

“Sekiranya pindaan dibuat, pindaan hendaklah diaplikasikan secara retrospektif dan kemudian diaplikasikan dalam kes seperti Amiruddin,” kata Ramkarpal Singh, peguam bagi Amiruddin Nadarajan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dr Ganja, pesakit kanser berusia 63 tahun yang berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengedar kanabis.

Dari sudut perubatan, pakar berkata ada keperluan untuk mengubah cara kerajaan menangani masalah penagihan dan pemulihan yang pada masa ini menggunakan kaedah berbentuk hukuman.

Pakar perubatan yang berpandangan tidak sukar untuk membenarkan penggunaan kanabis perubatan dan ketum, berkata kerajaan boleh menggunakan rangka kerja sedia ada mengenai ubat-ubatan mengandungi bahan terkawal seperti opioid dan metadon.

Dr Rusdi berkata kaedah semasa melibatkan diagnosis dan preskripsi oleh pengamal perubatan terlatih dan bertauliah. Pesakit kemudian mendapatkan ubat-ubatan daripada farmasi berdaftar.

Pesakit juga perlu membawa kad perubatan yang menyatakan mereka telah dipreskripsikan bahan terkawal dan oleh siapa, sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga tidak menjangka timbul kesukaran untuk menghalang salah guna.

“Jika tidak ada diagnosis yang sahih dan kita syak mereka pengguna dadah rekreasi, maka jangan keluarkan preskripsi,” katanya.

Tentang kanabis

Hemp dan marijuana adalah kanabis, namun hemp merujuk kepada tumbuhan kanabis yang mengandungi 0.3 peratus tetrahydrocannabinol (THC) — bahan kimia yang membuatkan seseorang khayal. Semua tumbuhan kanabis — C. sativa, C. indica dan C. ruderalis — mengandungi jumlah-jumlah tertentu THC dan cannabidiol (CBD).

Penyelidik perubatan dan saintis paling berminat terhadap CBD, kandungan yang kebanyakannya ditemukan dalam hemp, khususnya jenis C. sativa. Kajian-kajian terhad yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ada faedah perubatan. Daun dan bunga pokok hemp digunakan untuk membuat minyak CBD, bahan lazim dalam kebanyakan produk penjagaan diri seperti penjagaan kulit.

Hemp juga digunakan untuk membuat kertas, pakaian, tali dan kain layar.

Ketum pula merupakan tumbuhan lazim di rantau Asia Tenggara yang digunakan sebagai ubat tradisional oleh penduduknya sejak beratus tahun dahulu. Tumbuhan yang berkait rapat dengan opium itu semakin popular di Amerika Syarikat, khususnya bagi mengawal gejala penarikan ketagihan dadah. Tumbuhan ini berpotensi menjadi faktor pengubah dalam usaha negara mengawal krisis penagihan dadah.

Hingga kini belum ada laporan tentang seseorang mengalami dos berlebihan ketum di Malaysia. Di Amerika Syarikat, kematian akibat penggunaan ketum dilaporkan berlaku akibat dicampurkan dengan dadah lain dan ubat-ubatan seperti antihistamin.

(Sumber: Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, Prof B. Vicknasingam, American Society for Biochemistry and Molecular Biology, National Institute on Drug Abuse dan Medical News Today.)

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kekasih ditahan proses, edar kek dan biskut kanabis

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Sepasang kekasih ditahan selepas disyaki terlibat memproses dan mengedar kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis di sekitar Lembah Klang dalam serbuan berasingan pada Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata dalam serbuan di hadapan lobi sebuah residensi di Jalan Pudu kira-kira 3.50 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Honda City kerana disyaki memiliki biskut dan kek berasaskan bahan itu.

Katanya, pada pada hari sama, kira-kira 6.30 petang, polis turut menahan seorang wanita berusia 28 tahun di sebuah residensi di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya.

Hasil kedua-dua serbuan itu, pihaknya merampas 156 balang biskut dan 94 kek berasaskan kanabis dianggarkan seberat 52.9 kilogram, lapan ketulan mampat kanabis (7.8 kg) dan cecair kanabis (31 kg) dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM229,299.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek yang juga pasangan kekasih menjadikan kediaman disewa mereka dengan bayaran RM3,000 sebulan itu sejak lapan bulan lepas sebagai tempat memproses kek dan biskut berasaskan kanabis.

“Kek dan biskut tersebut akan dipasarkan kepada kenalan rapat suspek di media sosial iaitu Instagram dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 untuk sebiji kek seberat 100 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata turut disita sebuah kereta jenis BMW, wang tunai RM11,790, peralatan untuk membuat kek dan biskut manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis kanabis namun kedua-dua suspek tidak mempunyai jenayah lampau.

Menurut Sahar, suspek kini direman masing-masing enam dan tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dengan penahanan ini, polis menumpaskan kegiatan memproses dan pengedaran kek dan biskut berasaskan dadah jenis kanabis yang didalangi warga tempatan dikesan aktif selama lima bulan sekitar Lembah Klang.

“Biskut dan kek ini dipercayai mempunyai impak negatif jika dimakan oleh golongan kanak-kanak dan kita menasihatkan orang ramai tidak membeli atau memiliki makanan yang mempunyai kandungan kanabis atau dadah lain yang berbahaya terutamanya kepada kanak-kanak,” katanya.

-BERNAMA