Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam renang buatan sendiri

IPOH, 7 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia awal pagi ini, selepas dipercayai lemas dalam sebuah kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River di Tanjung Malim semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata bapa mangsa menyedari anak lelakinya yang berumur setahun sembilan bulan tiada di dalam rumah dan menemukan anaknya lemas di dalam kolam buatan sendiri berhampiran rumahnya pada kira-kira 9 pagi semalam.

“Bapanya telah membawa mangsa ke Hospital Slim River dan semasa itu mangsa didapati masih hidup dan diberi rawatan awal.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang tidak stabil. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 2.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sulizmie Affendy berkata proses bedah siasat mangsa akan dijalankan hari ini untuk mengetahui sebab sebenar kematian kanak-kanak tersebut.

Katanya polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak empat tahun parah ditikam jiran warga emas

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Polis menahan seorang lelaki warga emas disyaki menikam seorang kanak-kanak lelaki dengan menggunakan pisau dalam kejadian di kawasan taman permainan rumah pangsa di Jalan Loke Yew di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan hari ini berkata suspek berumur 80-an menikam mangsa berumur empat tahun yang juga jirannya itu di perut dan paha sehingga cedera parah.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat kejadian terbabit pada 5.39 petang, dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.

“Polis pada masa sama menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati lelaki terlibat dikesan menyembunyikan diri di sebuah unit rumah pangsa.

“Berdasarkan siasatan lanjut mendapati individu itu mempunyai rekod rawatan psikiatri dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.

Noor Dellhan berkata kes berkenaan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Bakau

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di Sungai Bakau, Rawang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, mangsa yang bermain bersama abangnya di tebing sungai berkenaan dikatakan tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kedalaman paras air di sungai berkenaan adalah kira-kira satu meter.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan di kawasan tebing sungai dan setakat 8 malam, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR dihentikan malam ini dan akan disambung pada pukul 8 pagi, esok.

-BERNAMA